Showing posts with label War. Show all posts
Showing posts with label War. Show all posts

Saturday, 26 August 2017

Pejuang Rohingya lancar serangan besar-besaran

SEORANG anggota polis sempadan berkawal di sebuah pos polis yang menjadi sasaran serangan pemberontak Rohingya di Buthidaung,Rakhine semalam.

YANGON – Sekurang-kurangnya 59 pemberontak dan 12 anggota pasukan keselamatan terbunuh di negeri Rakhine semalam apabila pemberontak Rohingya menyerang 30 pos polis dan sebuah pangkalan tentera, kata tentera Myanmar.

Pertempuran itu yang masih berterusan di beberapa kawasan, memba­yangkan bahawa konflik di Rakhine semakin merun­cing.

Serangan serupa pada Oktober lalu mendorong operasi pembersihan oleh tentera yang didakwa dicemari kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia.

Tentera Penyelamat Arakan Rohingya (ARSA), kumpulan pemberontak yang sebelum ini dikenali sebagai Harakah Al-Yaqin mendakwa bertanggungjawab melancarkan sera­ngan awal pagi itu. ARSA memberi amaran bahawa lebih banyak serangan akan berlaku.

Pihak berkuasa berkata, seorang askar, seorang anggota imigresen, 10 anggota polis dan 59 pembe­rontak ARSA maut dalam serangan itu.

Namun, dua sumber tentera yang dihubungi agensi berita Reuters memberitahu bahawa angka kematian sebenar adalah lebih besar.

“Pemberontak Rohingya menyerang pos polis di rantau Maungdaw, Rakhine dengan meletupkan bom buatan sendiri dan melakukan serangan te­rancang ke atas beberapa pos polis pada pukul 1 pagi (waktu tempatan),” kata pasukan pemberita kerajaan dalam satu kenya­taan.

Etnik Rohingya tidak mendapat kerakyatan di Myanmar. Mereka dituduh sebagai pendatang tapa izin dari Bangladesh walaupun telah menetap di Rakhine sejak beberapa abad lalu. – Reuters

Wednesday, 23 August 2017

AS tidak undur dari Afghanistan

TRUMP menyampaikan ucapan mengenai penglibatan tentera AS di Afghanistan di pangkalan tentera Fort Myer, Arlington di Virginia kelmarin.

WASHINGTON – Presiden Donald Trump meluluskan penghantaran beribu-ribu askar tambahan Amerika Syarikat (AS) ke Afghanistan kelmarin sekali gus melanggar janji beliau untuk menamatkan penglibatan Washington di negara bergolak itu.

Dalam ucapan rasmi sebagai komander tertinggi tentera AS, Trump menarik balik kritikan bahawa perang 16 tahun di Afghanistan merupakan pembaziran masa dan wang.

"Naluri saya adalah berundur dari Afghanistan tetapi persepsi saya berubah apabila menduduki White House," kata Trump semasa meluahkan kekecewaan berhubung perang tersebut yang mengakibatkan ribuan askar AS terbunuh dan negara kerugian berbilion-bilion dolar.

Namun, selepas membuat pertimbangan selama beberapa bulan, Trump berkata, beliau tidak akan membiarkan kumpulan militan termasuk Taliban bermaharajalela di Afghanistan ekoran ketiadaan tentera AS.

Trump juga enggan mendedahkan bilangan askar yang akan dihantar tetapi beberapa pegawai kanan White House memberitahu, beliau telah meluluskan penghantaran seramai 3,900 askar ke Afghanistan.

Trump juga memberi amaran bahawa tentera AS bukan dihantar untuk melaksanakan sistem demokrasi berdasarkan acuan Washington.

"Kami bukan mahu membina semula Afghanistan. Kami mahu membunuh pengganas," katanya.

Dalam pada itu, kumpulan Taliban berjanji akan menjadikan Afghanistan sebagai perkuburan askar AS dan akan meneruskan jihad selagi tentera AS berada di negara itu.

"Sekiranya AS tidak mengundurkan askarnya dari Afghanistan, negara ini akan menjadi tanah perkuburan untuk kuasa besar tersebut," kata jurucakap Taliban di Afghanistan, Zabiullah Mujahid. – AFP 

Monday, 24 April 2017

Tentera rejim Zionis serang kem tentera Syria

GAMBAR fail menunjukkan kereta kebal Israel menakluk Bukit Golan berhampiran sempadan gencatan senjata antara Israel dan Syria.
DAMSYIK – Serangan tentera Israel terhadap kem tentera Syria menyebabkan tiga anggota tentera terbunuh dan dua lagi ce­dera dekat Bukit Golan, hari ini.

Menurut seorang pegawai tentera Syria kepada AFP, serangan itu disasarkan ke atas kem Al-Fawwar dekat Quneitra di barat daya negara ini namun masih belum dipastikan sama ada kemusnahan itu disebabkan serangan udara atau sebaliknya.

Kumpulan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria memaklumkan, serangan itu menyasarkan ‘gudang senjata’ dalam kem berkenaan.

Tentera Israel enggan memberi sebarang ulasan terhadap sera­ngan tersebut.

Pada Jumaat lalu, tentera Israel memberitahu, pihaknya me­nyasarkan kedudukan di Syria sebagai serang balas terhadap serangan mortar di utara bukit berkenaan.

Agensi berita rasmi Syria, SANA memaklumkan, serangan tentera Israel mengenai kedudukan tentera di wilayah Quneitra dan menyebabkan kerosakan.

Kerajaan Syria menyifatkan kumpulan penentang sebagai pengganas dan menuduh Israel menyokong kumpulan tersebut.

Israel merampas 1,200 kilometer persegi kawasan Bukit Golan dari Syria semasa Perang Enam Hari pada 1967 dan kemudian bertindak memperluaskan pencerobohan dalam tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Kira-kira 510 kilometer persegi kawasan berkenaan adalah di bawah kawalan Syria. – AFP

Sunday, 9 April 2017

Rusia-AS di ambang peperangan



MOSCOW – Rusia memberi amaran bahawa tindakan Amerika Syarikat (AS) yang melancarkan serangan ke atas sebuah pangkalan tentera udara Syria bakal membawa kesan buruk terhadap hubungan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Rusia, Dmitry Medvedev berkata, serangan itu meletakkan AS kini hanya berada ‘selangkah’ sahaja lagi untuk berperang dengan tentera negaranya.

“Bertentangan dengan ke­nyataan mengenai pepera­ngan bersama menentang musuh terbesar, Islamic State (IS), pentadbiran Presiden AS, Donald Trump telah membuktikan negara itu akan menentang pemerintah sah Syria.

“Sebagai cara untuk melaksanakan matlamat itu, AS kini bertindak bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan tanpa kebenaran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan melancarkan serangan itu,” katanya menerusi akaun Facebooknya kelmarin.

Friday, 16 December 2016

Bashar menang kerana Syiah

PEJUANG kumpulan penentang kerajaan Syria melepaskan tembakan senjata anti-pesawat di timur laut Aleppo.
BEIRUT – Apabila pejuang-pejuang kumpulan penentang melancarkan cubaan terakhir mematahkan kepungan ke atas bandar Aleppo pada Oktober lalu, mereka dikalahkan oleh militia Syiah Hizbollah dari Lebanon dan bukannya tentera Syria.

Usaha terakhir untuk menguasai Aleppo minggu ini turut menyaksikan beratus-ratu militia Syiah Iraq terbunuh dalam pertempuran selama dua hari, kata komander sebuah kumpulan lain yang berjuang bagi pihak Presiden Syria, Bashar Al-Assad.

Malah, militia Syiah Iraq terus bertempur di barisan hadapan bersama pejuang Hizbollah beberapa jam sebelum Aleppo jatuh ke tangan Bashar.

Sementara itu, pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata, tentera Syria dan militia Iraq telah membunuh sekurang-kurangnya 82 penduduk awam di Aleppo selepas menawan bandar kedua terbesar Syria itu.

Situasi itu menunjukkan militia Syiah dari luar negara menjadi tonggak kekuatan Bashar untuk mendapatkan kemenangan terbesarnya di Aleppo.

Sumber kumpulan penentang pula memberitahu, bulan-bulan terakhir kepungan Bashar ke atas Aleppo menyaksikan mereka menawan ramai pejuang Syiah tanpa seorang pun askar Syria.

Selain bantuan pejuang


Syiah dari negara lain, serangan udara Rusia juga menjadi faktor penting dalam menentukan kemenangan Bashar.

Serangan udara bertubi-tubi oleh Moscow membolehkan tentera Bashar meneruskan kepungan ke atas kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di timur Aleppo, melemahkan mereka dan seterus­nya menawan bandar penting itu.

Dalam perkembangan terbaharu semalam, militia Syiah melepaskan tembakan ke arah konvoi penduduk awam yang baru bersiap sedia untuk me­ninggalkan Aleppo, mengakibatkan seorang terbunuh. – Reuters

Monday, 11 July 2016

Britain salah serang Iraq

Tony Blair 
LONDON – Britain melanggar undang-undang antarabangsa apabila menyerang Iraq pada 2003, kata Timbalan Perdana Menteri ketika itu, John Prescott semalam susulan inkuiri awam berhubung tindakan tersebut.

Inkuiri tujuh tahun itu mendapati pada Rabu lepas bahawa justifikasi, perancangan dan pengendalian Perang Iraq oleh bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair merupakan siri ke­gagalan tetapi tidak menyebut sama ada perang itu mencabuli undang-undang.

Lapan bulan sebelum Iraq di­serang pada 2003, Blair berkata kepada Presiden Amerika Syarikat, George Bush: “Saya akan bersama anda, walau apapun,”.

Beliau akhirnya menghantar seramai 45,000 askar Britain ke medan perang walaupun pilihan untuk perdamaian masih wujud, demikian menurut inkuiri awam itu.

Prescott dalam komentarnya yang disiarkan akhbar Sunday Mirror berkata, beliau kini menukar pendiriannya tentang status Perang Iraq dan mengkritik Blair kerana menghalang menteri-menterinya daripada berbincang terlebih dahulu sama ada perang itu sah di sisi undang-undang.

“Pada 2004, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Kofi Annan memberitahu bahawa penukaran kepimpinan menjadi matlamat utama Perang Iraq, perang ini jelas melanggar undang-undang.

“Dengan hati yang amat sedih dan marah. Saya kini percaya beliau berkata benar,” kata Prescott dalam komentarnya.

Ramai rakyat Britain mahu Blair dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah berkaitan keputusannya mengambil tindakan ketenteraan ke atas Iraq yang menyebabkan kematian seramai 179 anggota tentera negara itu dan lebih 150,000 penduduk awam Iraq sepanjang perang dan penaklukan selama enam tahun itu. – Reuters

Friday, 6 May 2016

Tentera Hamas-Israel kembali bertempur

KELIHATAN asap yang berkepul di udara selepas serangan udara Israel di Rafah, semalam.
BANDARAYA GAZA: Tentera Israel dan pejuang Hamas bertempur buat kali pertama sejak insiden berdarah 2014 dengan Zionis didakwa menceroboh Wilayah Gaza. 

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menuduh tentera Israel menceroboh wilayah itu dan berkata, mereka bersedia untuk bertindak balas. 

"Kami tidak akan sama sekali membenarkan sikap agresif pihak lawan berterusan," kata kumpulan berkenaan. Menurut sumber keselamatan dan perubatan, serangan semalaman oleh tentera Israel terkena empat sasaran di Gaza dengan empat orang cedera, tiga daripada mereka kanak-kanak.

Sementara itu, tentera Zionis mendakwa terowong kedua merentas sempadan digunakan kumpulan militan. Jurucakap tentera, Peter Lerner mendakwa dalam tempoh 24 jam lalu mereka berdepan sekurang-kurangnya enam insiden membabitkan serangan Hamas ke atas aktiviti IDF.

Beliau berkata, Zionis menyerang balas dalam konfrontasi yang disifatkan yang pertama antara tentera Israel dan pejuang Hamas sejak perang terakhir di Gaza pada 2014. 

Menurut saksi, pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera IDF berterusan di timur Rafah di selatan Semenanjung Gaza, petang semalam. - AFP

Thursday, 21 April 2016

Abu Kedah terbunuh di Syria

Mohamad Fuzi sahkan laporan kematian Abu Kedah.
Kuala Lumpur: Seorang lagi rakyat Malaysia yang menyertai Daish, Abd Ghani Yaacob, 31, dilaporkan terbunuh di Wilayah Al Khair, Syria.

Abd Ghani yang turut dikenali sebagai Abu Kedah difahamkan terbunuh ketika bertempur dengan tentera Bashar Al-Assad 17 April lalu.

Dia yang berasal dari Pendang, Kedah, dikatakan menyertai kumpulan militan itu menerusi laman sosial Facebook sejak 2013 selepas terpengaruh dengan fahaman Salafi Jihadi.


Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Mohd Harun ketika dihubungi mengesahkan laporan kematian Abu Kedah.

Sebelum ini difahamkan seorang rakyat Malaysia yang dikenali Ahmad Salman Abdul Rahim turut terbunuh selepas bertempur dengan tentera sama di negara bergolak itu.

Kematian Abu Kedah menjadikan jumlah rakyat Malaysia yang terbunuh seramai 19 orang. -myMetro

Monday, 18 April 2016

Sukarkah ambil anak angkat Syria atau kahwini gadisnya?

Gambar anak-anak Syria di penempatan Jordan.
BERKULIT putih,  bermata hijau itulah rata-rata rupa paras anak-anak Syria, maka tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia yang tertarik untuk mengambil anak-anak Syria ini untuk dijadikan sebagai anak angkat.

Selain mempunyai sifat empati terhadap anak-anak comel yatim piatu ini dek kerana peperangan yang melanda negara mereka menjadi faktor ‎ramai rakyat Malaysia ingin memiliki anak-anak ini untuk dibawa pulang ke Malaysia untuk dipelihara.

Namun, mungkin hasrat rakyat Malaysia itu terpaksa dilupakan kerana sepanjang temuramah Sinar Harian dengan ibu bapa pelarian Syria di Jordan serta pengalaman ‎rakyat Malaysia di Jordan hasrat tersebut sangat sukar direalisasikan.

Menurut Ketua Biro Kemanusiaan Haluan Siswa Jordan, ‎Muhammad Sheikh Zaki berkata, dia pernah beberapa kali diminta oleh rakyat Malaysia untuk mengambil beberapa orang anak Syria untuk dijadikan anak angkat namun pada saat akhir hasrat tersebut terpaksa dilupakan dek kerana beberapa kekangan.

"Ada orang kaya Malaysia yang minta saya tolong carikan anak angkat Syria di kem pelarian Syria di Jordan.

"Namun di saat akhir si empunya ‎permintaan (orang kaya) tersebut terpaksa membatalkan hajatnya," katanya kepada Sinar Harian.

Faktor kesukaran

Jelas Muhammad faktor rakyat Malaysia menarik diri adalah kerana kesukaran keluarga mereka untuk melepaskan anak-anak mereka di tangan orang luar.

"Dari segi undang-undang insya-ALLAH kita boleh selesaikan walaupun berhadapan dengan cabaran yang agak mencabar, kerana kita kena melalui banyak proses.

"Yang kes rakyat Malaysia itu, apa yang membuatkan dia membatalkan hasrat adalah kerana jika dia mahu mengambil anak angkat itu dia perlu membawa sekali keluarga terdekat atau sebuah keluarga itu untuk dijaga di Malaysia.

"Dari satu segi saya melihat bahawa walaupun mereka susah namun kasih sayang antara mereka tidak boleh dipisahkan," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata,  keluarga Syria kini juga berhati-hati untuk memilih keluarga untuk mengambil anak angkat.

‎"Ada orang-orang tertentu yang mengambil kesempatan terhadap anak-anak pelarian ini, jadi kini mereka lebih berhati-hati," katanya lagi.

Kahwini gadis Syria

Dalam pada itu, ketika ditanya bagaimana caranya untuk mengahwini gadis-gadis Syria, Muhammad berkata, keluarga Syria sangat mengalu-alukan rakyat Malaysia yang berhasrat mengakhiri gelaran bujang dengan gadis Syria.

"Mereka sangat mengalu-alukan," katanya.

Sementara itu, menurut Muhammad dia menasihati agar mereka yang berhasrat memiliki gadis Syria agar bersikap jujur dan mempunyai kewangan kukuh.

"Apa yang keluarga mereka tanya adalah, adakah mereka mampu untuk menjaga anak mereka.

"Daripada segi duit hantaran dan sebagainya mereka boleh berbincang dengan keluarga tersebut," katanya.

Sinar Harian kini bersama  NGO Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Astro Prima memulakan misi ke kem pelarian Syria  di Jordan yang mengambil  masa selama 11 hari di bumi Jordan bermula 12 April lalu.

Ketiga-tiga agensi ini yang disatukan dalam satu tim, ke kem pelarian Syria di Jordan adalah bagi memberi sumbangan berbentuk ubat-ubatan, makanan dan sumbangan yang lain.

Kira-kira 10 orang krew yang terlibat dalam misi kemanusian tersebut iaitu terdiri daripada Penerbit Program Hajat Astro Prima,  Azmee Mahmud; Pengarah Hajat Musim ke-5, Lokman Hakim Mustapha; Pengacara Hajat Musim ke-5 Pencetus Ummah, PU Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil; Pengacara bersama, PU Mohd Fakhrurrazi Mohd Hanapi; dua orang doktor daripada NGO (HALUAN) iaitu Ketua Biro Kemanusiaan, Dr Baharuddin Suri; ‎Ketua Unit Latihan Biro Kemanusiaan, Dr Mohtar Ibrahim; Aktivis Kemanusiaan Haluan, Muhammad Qawiem bin Abdul Baki; Setiausaha Kerja Biro Misi Kemanusiaan Haluan, Muhammad Shakir Sabarudin; Aktivis Kemanusiaan Haluan yang juga merangkap Jurugambar Haluan, Abdullah Afiq Nashiron dan wartawan Sinar Harian, Muhammad Shamsul Abd Ghani. -SH

Monday, 7 March 2016

Benarkan pejuang IS pulang ke pangkuan negara


KANGAR - Seorang pakar kajian strategik dan keganasan hari ini mencadangkan agar kerajaan membenarkan rakyat Malaysia yang terbabit dengan perjuangan IS pulang ke tanah air dan kembali ke pangkuan masyarakat.  

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Mohamad Mizan Mohd Aslam berkata kumpulan tersebut tidak akan ada tempat tinggal kerana tiada negara asing sudi menerima mereka.  

"Malaysia sebagai negara berdaulat belum menafikan kepulangan rakyatnya yang menganggotai Daesh (IS).

"Walau besar manapun dosa mereka, kecuali yang memilih untuk melucutkan kerakyatan Malaysia, mereka harus dibenarkan pulang.

"Saya yakin kerajaan mampu bertindak relevan dan membantu memulihkan mereka yang sedia untuk pulang.

"Apakah kita sanggup bertindak kejam dengan tidak membenarkan mereka pulang?," soal beliau, pada temu bual dengan Bernama.

Dr Mohamad Mizan memiliki PhD bagi Pengajian Strategik mengkhusus pada ideologi keganasan dan radikalisme serta kaunter-terrorisme dari Victoria University of Wellington, New Zealand.  

Beliau mengulas statistik terkini Cawangan Khas Counter-Terrorism Polis Malaysia mengenai 137 pejuang IS - 65 lelaki, empat kanak-kanak dan selebihnya wanita Malaysia - yang berada di Iraq dan Syria untuk berjihad.

Dr Mohamad Mizan berkata, selain ditahan melalui peruntukan undang-undang seperti Pota dan Sosma, para pejuang yang sedia pulang itu hendaklah diberi peluang membina  kehidupan baharu.

Menurutnya perkara yang perlu ditekankan ialah memulihkan ideologi, memberi penjelasan tentang Islam, iman, ihsan dan konsep jihad sebenarnya kepada mereka.

Katanya, langkah itu penting memandangkan mereka adalah pejuang yang telah ditarbiah secara lahiriah dan rohaniah melalui kelas dan kuliah pengajaran tradisional tetapi sistematik - melalui sistem pendidikan kluster atau maktab al-khidamah.

Jiwa raga mereka yang tertanam ideologi ekstremisme dan radikalisme pasti akan mencari jalan untuk melaksanakan kemahiran yang dimiliki, kata Dr Mohamad Mizan.

Menurutnya konsep 'jihad al-qital' (jihad di medan perang) yang merentasi sempadan dan bangsa menyebabkan mereka sentiasa mencari jalan untuk melaksanakannya termasuk medan jihad baharu.

Konsep jihad ini tidak terpadam malah subur dalam jiwa dan nurani mereka.

Beliau menarik perhatian terhadap apa yang berlaku di Afghanistan selepas perang Russia-Afghanistan dahulu.

Warga Afganistan dan yang lain terlibat dalam IS pulang ke kampung halaman dan membina kehidupan baharu.

"Bila pulang mereka akan berkumpul melalui usrah diketuai oleh 'naqib' dan 'naqibah' yang mempunyai pengalaman dan persefahaman yang sama.

"Kanak-kanak pula diindoktrinasikan dengan ekstremisme dan radikalisme.  "Jumlah mereka bertambah melalui hasil perkahwinan sesama pejuang.

"Keadaan akan lebih menggerunkan kerana (kanak-kanak) dibesarkan dengan senjata dan operasi serta melihat sendiri kemusnahan dan kematian di sekeliling mereka," katanya.

Beliau berkata kanak-kanak ini membesar dengan penuh kebencian dan dendam, memungkinkan hasilnya diterjemah melalui perbuatan dan tingkah laku mereka pada masa hadapan.

Dr Mohamad Mizan telah menulis pelbagai artikel dan buku berkaitan keganasan dan kaunter-terrorisme. Antara bukunya, 'The Typology Of Radicalism' diterbitkan pada 2012. -Bernama



Sunday, 28 February 2016

Gencatan senjata Syria bermula

Gencatan senjata itu membolehkan bantuan kemanusiaan dihantar kepada penduduk di kawasan terjejas teruk. - Foto AFP
DAMSYIK - SYRIA. Gencatan senjata yang disokong oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mula berkuatkuasa di Syria, tengah malam kelmarin.

Hal ini terbukti apabila bunyi tembakan tidak lagi kedengaran di sekitar pinggir Damsyik dan Aleppo menjelang jam 12 tengah malam (waktu tempatan).

Media tempatan melaporkan, kurang sejam sebelum gencataan dikuatkuasakan, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) menyokong resolusi yang dirangka oleh Rusia dan Amerika Syarikat (AS).

“UNSC mengulangi gesaan supaya semua pihak supaya membenarkan bantuan kemanusiaan dihantar ke seluruh Syria secara cepat dan selamat tanpa sebarang halangan,” menurut resolusi itu.

Sementara itu, Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berpusat di Britain mendakwa, Moscow dan rejim Bashar telah melancarkan gelombang serangan ke kawasan puak pemberontak bukan militan sebelum tengah malam.

“Ia adalah serangan udara paling sengit berbanding biasa dan kawasan pemberontak menjadi sasaran utama mereka,” kata ketuanya, Rami Abdel Rahman.

Beberapa hari lalu, Presiden Syria, Bashar al-Assad dan pembangkang utama juga telah sepakat untuk melaksanakan gencatan senjata tersebut.

Perjanjian itu disifatkan sebagai usaha diplomatik terbesar setakat ini untuk membantu menghentikan konflik berdarah yang berlarutan selama lima tahun di Syria walaupun ada beberapa pihak meragui keberkesanannya selepas usaha damai sebelum ini menemui jalan buntu.

Difahamkan, hampir 100 kumpulan bersenjata menyatakan persetujuan mereka untuk mengambil bahagian dalam gencatan senjata itu bagi meredakan krisis di Syria.

Jawatankuasa Perundingan Tinggi (HNC) memaklumkan kira-kira 97 puak dan kumpulan bersenjata itu juga bersetuju untuk menghormati gencatan senjata berkenaan selama dua minggu.

Dalam perkembangan berkaitan, Wakil Khas PBB, Staffan de Mistura berkata, beliau bercadang untuk mengemukakan semula rundingan damai pada 7 Mac depan. -Agensi