Showing posts with label Travelling. Show all posts
Showing posts with label Travelling. Show all posts

Sunday, 21 August 2016

Tarikan gaji lumayan

KENANGAN bersama rakan sekerja.
Sekali pandang, gambar ini bagaikan dirakam di hospital Malaysia kerana jururawatnya berwajah Melayu - kecuali seorang mek salih.

Sebenarnya ini pemandangan biasa di Security Forces Hospital, Riyadh, Arab Saudi yang mengupah jururawat dari 31 negara untuk berkhidmat di hospital berkenaan.


Tawaran gaji lumayan, peluang mengembara di negara orang dan pada masa sama dapat meningkatkan kepakaran sebagai jururawat menjadi tarikan kepada mereka bertugas di Arab Saudi walaupun terpaksa berjauhan dengan orang tersayang.

Minggu ini penulis cuba membawa pembaca untuk menyelami kisah suka duka tiga jururawat dari Malaysia yang berkhidmat di negara Teluk itu.

Antarini Karimun


ANTARINI bersama rakan sekerja
ketika menyambut Aidilfitri di perantauan.
Semuanya bermula 10 tahun lalu apabila Antarini, 56, yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di Malaysia mendapat tawaran bekerja di Security Forces Hospital, Riyadh.

“Gaji yang ditawarkan agak lumayan iaitu lebih tiga kali ganda berbanding di tanah air.

“Selepas berbincang dengan suami serta mengambil kira kebaikan dan keburukan, akhirnya saya memutuskan ke Arab Saudi. Selain dapat meningkatkan ekonomi keluarga, saya juga berpeluang menambah ilmu dan kepakaran sebagai jururawat bilik bedah,” katanya.

Beliau berkata, secara amnya, penyakit berada di mana saja tidak kira negara manakala rawatan yang disediakan pula tidak jauh berbeza.

“Justeru, tidaklah sesukar mana bertugas di sini kecuali peralatan yang digunakan lebih canggih dan jururawat perlu mahir dalam bahasa Arab dan Inggeris,” katanya.

Menurutnya, gaji jururawat di Arab Saudi berdasarkan gred yang bermula daripada gred satu sebanyak RM14,000 sebulan, gred dua (RM10,000) dan gred tiga (RM8,000).

Katanya, semua jururawat dari Malaysia diberi gred satu atau dua, manakala gred tiga biasanya untuk jururawat dari Filipina, India dan beberapa negara lain.

Bagi yang bernasib baik, katanya, mereka boleh mendapat gred khas yang gajinya mencecah RM25,000 sebulan.

Antarini berkata, persediaan mental dan fizikal perlu dititikberatkan bagi menyesuaikan diri bertugas di negara orang.

“Antara cabaran dihadapi jururawat luar negara di Arab Saudi ialah terlalu rindukan kampung halaman atau kejutan budaya.

“Kami bekerja bersama jururawat dari 31 negara berlainan, jadi budaya serta ideologi masing-masing pasti berbeza,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan di Riyadh, Antarini berkongsi sebuah vila yang selesa bersama tiga jururawat lain dengan bil air dan elektrik percuma.

“Saya boleh menabung dan meminimumkan perbelanjaan kerana rumah sewa (vila) lengkap dengan perabot manakala pengangkutan untuk ke tempat kerja juga percuma.

“Pada waktu cuti atau masa lapang, saya dan rakan senegara akan menghabiskan masa menyediakan masakan Malaysia. Malah, kami beberapa kali berpeluang melakukan ibadah umrah bersama,” katanya.

Mengenai budaya masyarakat Arab, beliau berkata tidak semua mereka bersikap kasar seperti didakwa.

“Perangai dan tingkah laku kasar tidak mengira bangsa dan warna kulit. Ia berdasarkan individu, bukan keturunan. Saya boleh katakan majoriti orang Arab di sini bertimbang rasa,” katanya

Shahnaz Mohamed


SHAHNAZ mendukung pesakit kanak-kanak
 semasa bertugas di Riyadh.
Sewaktu pertama kali menjejakkan kaki di Arab Saudi, Shahnaz, 34, cukup sayu kerana terlalu merindui dua anaknya yang masih kecil.

Apa tidaknya, ketika itu anak sulungnya baru berusia dua tahun, manakala anak kedua pula setahun. Ibu mana yang mampu berpisah dengan keluarga tersayang, namun dia menyerahkan segalanya kepada Yang Maha Esa.

Menurut bekas jururawat itu yang pernah bertugas selama lapan tahun di King Abdul Aziz Medical City, Riyadh, walaupun perit, beliau perlu menggagah diri selepas melihat peluang yang terbentang di depan mata.

Beliau mengakui tawaran gaji lumayan menjadi sebab ramai jururawat dari pelbagai negara mahu mendapat tempat bekerja di Arab Saudi.

“Walaupun jururawat di Arab Saudi dari pelbagai negara, jururawat Malaysia mendapat keutamaan kerana selain boleh berbahasa Inggeris, kami juga mahir dalam tugas kejururawatan,” katanya.

Beliau yang ditempatkan di Klinik Kardiologi (Jantung) Pediatrik berkata, beberapa tugas perlu digalas bukan saja membantu pesakit, malah melancarkan tugas doktor.

“Selain menjalankan ekokardiogram iaitu prosedur mengimbas jantung bayi bagi mengesan punca penyakit, saya juga ditugaskan memberi ubat pelali kepada pesakit.

“Disebabkan pesakit adalah bayi dan kanak-kanak, penjagaan mereka perlu lebih rapi. Setiap lima minit, jururawat perlu memantau pesakit,” katanya.

Ditanya mengenai pengalaman menguruskan pesakit yang majoriti berbangsa Arab, Shahnaz berkata, batasan komunikasi antara cabaran yang perlu dihadapi.

“Rata-rata orang Arab Saudi boleh bertutur bahasa Inggeris tapi ada sesetengah daripada mereka terutama dari pedalaman hanya boleh berbahasa Arab.

“Selepas beberapa tahun di sana, saya mula mahir berbahasa Arab kerana dibantu doktor dan jururawat lain yang boleh berbahasa Arab,” katanya.

Berpeluang menyelami dan mempelajari perbezaan budaya dan karakter dari pelbagai negara menjadikan Shahnaz lebih menghargai asal usulnya.

“Hanya saya seorang warga Malaysia bertugas di unit berkenaan. Rakan sekerja lain dari Australia, Arab Saudi, Filipina dan United Kingdom.

“Saya berkesempatan mempelajari budaya orang menyebabkan saya lebih kenal dan faham mengapa karakter dan tingkah laku mereka berbeza dengan kita, namun tidak pula saya terikut budaya mereka,” katanya.

Katanya, sesetengah orang Arab mungkin kasar, namun sifat itu segera berubah apabila beliau memberi penerangan dengan sopan dan lemah lembut.

“Biasanya orang Arab dari pedalaman lebih kasar tapi golongan terpelajar dan sudah terbiasa dengan budaya orang luar lebih sopan.

“Ada ibu bapa enggan memberi ubat kepada anak mereka selepas disuruh jururawat tapi saya enggan berbalah, sebaliknya merujuk kepada doktor. Kebanyakan doktor orang Arab, jadi lebih mudah untuk mereka faham,” katanya.

Shahnaz turut mengakui teknologi perubatan di Arab Saudi lebih canggih berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, kenangan paling manis dalam hidupnya ketika bertugas di Arab Saudi ialah dapat mengerjakan umrah selama beberapa kali.

“Sangat mudah untuk pergi mengerjakan umrah kerana jarak Riyadh dengan Tanah Suci Makkah dan Madinah tidak terlalu jauh.

“Dalam setahun saya dapat mengunjungi Tanah Suci beberapa kali dan belanjanya jauh lebih rendah berbanding melalui tanah air,” katanya.

Nordinahwati Udin


NORDINAHWATI (hadapan tiga dari kanan) bersama rakan sekerja
yang terdiri daripada Jururawat dari pelbagai negara.
Walaupun cuma tiga tahun, bagi Nordinahwati, 38, pengalaman bertugas sebagai jururawat di Arab Saudi sukar dilupakan.

Bertugas di Unit Rawatan Jantung di Saad Specialist Hospital di Al Khobar, Dammam dari tahun 2006 hingga 2009, beliau mempunyai kisah sendiri sebelum ke negara itu.

“Secara jujurnya sewaktu permohonan saya untuk bekerja di Arab Saudi diluluskan, saya cukup teruja kerana sudah lama menyimpan hasrat ke sana.

“Sebelum itu memang saya berhasrat bertugas di sana tapi ibu tak izinkan menyebabkan saya terpaksa akur.

“Tetapi pada 2006, apabila ibu beri kebenaran, saya tidak lepaskan peluang itu. Saya tidak nafikan rindu kepada keluarga terutama ibu, namun tidaklah sampai ‘home sick’ kerana bertugas di hospital itu memang seronok.

Niat untuk menambah pengalaman di negara orang, Nordinahwati yang kini masih bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital swasta di Lembah Klang berkata, gaji ditawarkan turut menjadi daya penariknya ke Arab Saudi.

“Gaji yang ditawarkan berbeza mengikut unit dan pengalaman. Ketika di sana saya ditawarkan gaji RM8,000 hingga RM10,000 sebulan.

“Selain menghantar sebahagian gaji kepada keluarga, saya dapat berbelanja dan membeli-belah kerana perbelanjaan harian kebanyakannya ditanggung pihak hospital.

“Tempat tinggal walaupun di luar hospital diberikan percuma termasuk pengangkutan,” katanya.

Nordinahwati bagaimanapun membuat keputusan pulang ke Malaysia selepas ibunya sakit, namun pengalaman di negara orang banyak merubah dirinya.

“Selepas bekerja di negara orang saya jadi lebih rasional dan matang kerana melihat dan belajar perbezaaan budaya menjadikan kita menerima kepelbagaian manusia.

“Kita lihat orang Arab kasar tapi pada mereka itu biasa kerana ia budaya mereka. Jadi apabila dapat memahaminya, tugas kita jadi mudah.

“Sebab itu saya lebih banyak mendengar daripada menyuarakan pendapat secara lantang. Apabila memahami kenapa seseorang bersikap begitu, lebih mudah kita bertolak ansur dan membuka minda.

“Kalau jururawat Malaysia ingin mengumpul pengalaman terutama mereka yang masih muda, jangan ragu-ragu ke Arab Saudi tapi pastikan bersedia dari segi mental dan fizikal,” katanya.

Saturday, 9 July 2016

Rakyat Malaysia ke Indonesia dikenakan pemeriksaan menyeluruh

Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta
JAKARTA 9 Julai - Rakyat Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara rawak tidak lama lagi.

Syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia, PT Angkasa Pura II dalam satu kenyataan media yang dipetik oleh media-media tempatan menyebut, pengawasan dan pemeriksaan ketat itu bagi memastikan rakyat dari kedua-dua buah negara itu yang memasuki Indonesia tidak membawa barangan terlarang terutamanya dadah.

Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi berkata, tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan.

"Dalam perbincangan kami dengan Kementerian Perhubungan, ternyata banyak hal yang tidak diinginkan masuk ke Indonesia dari dua negara terdekat, yakni Singapura dan Malaysia. Oleh kerana itu, menteri telah bersetuju untuk mengadakan 'random check-in', dari pesawat penumpang untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian Perhubungan bagi menguatkuasakan peraturan baharu itu terhadap rakyat atau penumpang pesawat dari kedua-ddua buah negara berkenaan.

Budi berkata, pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau oleh pasukan peronda khas yang tidak memakai seragam dan mereka akan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan untuk pemeriksaan secara tertutup.

Sebelum itu, Menteri Perhubungan, Ignasius Jonan dalam satu kenyataan baru-baru ini mengarahkan pihak berkuasa di lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat asing yang memasuki Indonesia.

Katanya, pemeriksaan secara rawak itu perlu dilakukan ekoran terdapat banyak kes penyeludupan dadah ke negara itu berlaku melalui jalan udara. - BERNAMA

Tuesday, 19 April 2016

Manila, kota yang murtad!


Sungai Pasig yang menyimpan seribu satu sejarah Kota Manila.
BARU-baru ini, penulis menjejakkan kaki buat kali pertama di Manila untuk menghadiri persidangan Publish Asia 2016, acara tahunan Persatuan Penerbit Akhbar dan Berita Seluruh Dunia (WAN-Ifra) Asia Pasifik.

Pertama kali ke Manila dan tanpa sebarang nasihat atau pedoman, penulis berhadapan dengan pengalaman sukar hendak mendapatkan makanan halal di ibu kota Filipina itu terutama pada hari pertama. Hotel Manila, penginapan kami yang juga venue persidangan berlokasi di Teluk Manila, agak terpinggir dari pusat kota.

Untuk itu, kami terpaksa keluar ke Makati dengan teksi bertambang 200 Pesos (RM17) sehala pada waktu biasa. Pada waktu jalan sesak teruk – kesesakan paling teruk di Kuala Lumpur adalah biasa bagi Manila – tambang diminta 400 Pesos (RM34). Ada pemandu yang minta 700 Pesos (RM60) untuk perjalanan sehala sedangkan kalau hendak dikira jarak tidaklah begitu jauh.

Itu hanya untuk mendapatkan makanan halal sedangkan sepanjang waktu siang, kami terperangkap di dalam dewan persidangan dengan makanan yang disediakan oleh penganjur amat dicurigakan status halalnya. Pihak hotel pula hanya menyediakan makanan halal yang boleh dikira meyakinkan pada waktu sarapan.

Itulah situasi di Manila, kota metropolitan yang tidak ramai orang tahu bahawa suatu ketika dahulu adalah sebuah kota Islam. Raja Islam yang terakhir memerintah Manila ialah Raja Soliman @ Sulaiman.  Sebelum itu, Manila diperintah oleh bapa saudaranya yang bernama Raja Matanda dan Lakandula.  

Apabila disebut Islam di Filipina, fikiran kebanyakan kita tertumpu di selatan negara itu, Mindanao dan kepulauan sekitarnya. Tidak ramai yang tahu bahawa sebelum penjajahan Sepanyol, 98 peratus daripada penduduk wilayah kepulauan itu beragama Islam.

Manila, pernah diusahakan untuk jadi ibu kota Islam di Nusantara. Malangnya, penjajahan Sepanyol yang begitu berdendam terhadap orang Islam susulan apa yang berlaku di tanah air mereka, telah ‘memurtadkan’ terus Manila malah seluruh Filipina hingga hari ini.

Yang tinggal Islam daripada 94 juta populasinya sekarang hanya lima peratus!
Bagaimana hilangnya Islam di Andalusia, begitulah juga hilangnya Islam di Filipina.

Arab

Manila, nama asalnya Kota Seludong mendapat nama  daripada  perkataan Arab,  ‘Amanillah’ ataupun ‘Fi amanillah’ yang bermaksud ‘Kota Aman Lindungan ALLAH’.

Raja Sulaiman memerintah di delta Sungai Pasig, bersemayan di tapak asal bandar Manila, tidak jauh dari Hotel Manila sekarang. Selain beliau, bapa saudaranya, Lakandula memerintah kerajaan Tondo yang menguasai muara Sungai Pasig. Meskipun wilayah mereka tidak seluas mana, kedua-duanya memerintah dengan makmur.   
    
Lakandula yang menguasai pelabuhan, membeli semua barangan yang dibawa oleh pedagang terutama dari China dan beliau membayar terus separuh harga untuk setiap barangan itu sebelum menjual semula kepada mereka yang mahu membelinya di wilayah pedalaman dan kepualuan sekitar. Separuh lagi harga dibayar kepada pedagang terbabit apabila mereka datang semula ke Manila setahun kemudiannya.

Raja Sulaiman pula mengambil alih pemerintahan daripada bapa saudaranya, Raja Matanda. Raja Sulaiman adalah raja Islam yang terakhir di Manila. Anak Lakandula, Magat Salamat yang juga putera mahkota, tidak sempat naik takhta ekoran kemasukan Sepanyol.

Wakil Hispanik yang pertama kali menjejak kaki ke Filipina (ketika itu, belum ada nama Filipina) ialah Ferdinand Magellan yang mendarat di Pulau Cebu pada 16 Mac 1521. Cebu ketika itu diperintah oleh Raja Humabon. Pembantu Magellan ketika di Cebu ialah Panglima Awang, seorang anak muda Melayu yang ditawannya di Melaka. Magellan berasal dari Portugal namun dalam misinya di Nusantara, beliau mewakili Sepanyol.

Disebabkan bahasa Melayu hampir sama dengan bahasa tempatan, Awang diminta jadi penterjemah kepada Magellan.

Dengan pengaruh Magellan, Raja Humabon bersama pengikutnya bersetuju untuk tukar agama. Mereka jadi kumpulan yang pertama murtad di Filipina lalu digelar oleh Magellan sebagai ‘Warga Tuhan Sepanyol’. Persetujuan Raja Humabon adalah disebabkan janji Magellan untuk membantunya memerangi pemberontak Mactan yang diketuai Lapu Lapu.

Buluh

Magellan bersama 60 anggota delegasinya menyerang Lapu Lapu dengan senapang, meriam dan segala jenis senjata besi. Lapu Lapu bersama 1,500 pahlawan Mactan pula hanya bersenjata buluh runcing dan panah beracun. Magellan terkena panah beracun dan temui ajalnya di situ manakala pengikutnya lari lintang pukang balik ke kapal. Panglima Awang juga turut tercedera.

Usaha Sepanyol dalam misi Gold, Glory and Gospel diketuai oleh Magellan tidak begitu berjaya. Bagaimanapun mereka telah dapat menanam benih Kristianisasi dengan murtadnya Raja Humabon dan pengikutnya.

Sejak itu, beberapa lagi misi dihantar ke Filipina hinggalah ia mula memberi kesan melalui pertapakan Miguel Lopez de Legazpi di Cebu pada 1565. Cebu yang telah dikristiankan menerusi pemurtadan Raja Humabon yang sudah pun mempunyai nama baharu, Carlos (bersempena dengan nama Raja Sepanyol) menyambut baik kehadiran de Legazpi.

Sejak itu, Cebu menjadi pusat pemerintahan penjajah Sepanyol. Nama Filipina juga mula digunakan, iaitu ‘Islas de las Felipina’ yang mengambil nama raja muda Sepanyol, Felipe.

de Legazpi bagaimanapun tetap tidak berpuas hati kerana belum menguasai Manila yang didengarinya lebih strategik untuk dijadikan pusat pemerintahan.  Beliau mengatur rancangan untuk menyerang Manila dan menghantar Martin de Goiti dan Juan de Salcedo sebagai utusan untuk rundingan ‘persahabatan’ dengan Raja Sulaiman. Pada mulanya, mereka disambut baik, namun apabila menyedari muslihat Sepanyol, Raja Sulaiman enggan menyerah kalah lalu berlaku pertempuran pada 1570.

Pertempuran demi pertempuran terus meletus hingga 1574, yang akhirnya menyaksikan ketewasan di pihak Raja Sulaiman yang dibantu oleh bapa saudaranya, Lakandula. Raja Sulaiman juga dibantu oleh seorang lagi pemerintah Islam bernama Tarik Sulaiman dari Macabebe dalam Perang Bangkusay.

Bagaimanapun kecanggihan senjata Sepanyol tidak dapat ditandingi.

Setelah kekalahan Raja Sulaiman, penjajah Sepanyol terus memperlihatkan dendam kesumat mereka yang begitu membara. Mereka meruntuhkan tapak kerajaan Raja Sulaiman di bandar Manila lalu mendirikan kota di sekeliling ibu pejabat mereka yang diberi nama Fort Santiago.

Kawasan di dalam kota itu dikenali sebagai Intramuros yang jadi tumpuan pelancong hingga hari ini.

Ada riwayat menyebut, Lakandula selepas itu mengambil tindakan berkompromi dengan penjajah, dan telah murtad bersama keluarganya. Beliau menukar nama kepada Don Carlos Lacandola. Dalam rekod sejarah Sepanyol, Lakandula dianggap seorang pemerintah yang bijak kerana memilih untuk berdamai dan keluarga serta keturunannya diberikan beberapa keistimewaan oleh penjajah.

Ada disebutkan bahawa beberapa nama besar Filipina hari ini termasuk bekas Presiden Diosdado Macapagal dan anaknya yang juga bekas Presiden, Gloria Macapagal Arroyo adalah daripada keturunan Lakandula. Keturunannya yang lain termasuk dua bekas presiden Senat, Jovito Salonga dan Gil Puyat; selebriti antarabangsa, Lea Salonga dan tokoh perniagaan, Gonzalo Puyat.

Sementara Raja Matanda pula ketika terlantar sakit dikatakan telah minta untuk dibaptiskan. Yang kekal Islam hingga menemui syahid dalam peperangan menentang penjajah, adalah Raja Sulaiman, seorang penganut Islam yang taat daripada aliran Ahlul Sunnah Wal Jamaah.

Sama ada cerita kemurtadan raja-raja Manila ini benar ataupun sekadar propaganda penjajah, tidak dapat dipastikan. Apa yang pasti lebih 90 peratus penduduk Filipina hari ini beragama Katholik, agama yang dibawa oleh Sepanyol dan mereka adalah daripada keturunan nenek moyang yang beragama Islam.

Keadaan telah berubah begitu drastik hingga untuk mendapat makanan halal pun begitu sukar di Manila!

Bukanlah tidak ada orang Islam di Manila, masjid pun ada namun bilangan mereka adalah sangat sedikit berbanding keseluruhan populasi. Kebanyakannya bertumpu di Quiapo District, dan apa yang menyedihkan ialah dari sudut sejarahnya. Hilangnya Islam di Manila (dan hampir seluruh Filipina) adalah kerana pemurtadan nenek moyang mereka!

Sejak era Christopher Columbus yang tersesat ke Amerika dalam pelayaran ke India, setiap orang tempatan yang ditemui digelar Indian. Di Filipina, penjajah Sepanyol menggelar penduduk tempatan yang telah dikristiankan sebagai Indios manakala penduduk di kepulauan selatan (Mindanao dan lain-lain) yang beragama Islam sebagai Moro. Ini adalah berkaitan dengan pengalaman mereka di Sepanyol yang mana orang Islam digelar ‘Moor’ sebagai gelaran penghinaan.

Sulu

Selepas menguasai Manila dan sebahagian besar wilayah Filipina, Sepanyol cuba untuk mara ke selatan. Bagaimanapun mereka menghadapi tentangan sengit daripada penduduk di sana. Sepanyol tidak pernah berjaya menjajah wilayah selatan Filipina.  Orang Suluk atau Tausug di selatan Filipina sejak abad ke 14 lagi sudah mempunyai empayar kesultanan yang kuat.

Dengan sejarah gemilang sebagai pemilik empayar Sulu, sukar bagi Sepanyol untuk  menewaskan mereka, tidak seperti di utara. Bagaimanapun Sepanyol menggunakan jalan selamat untuk tidak menggunakan orangnya sendiri di barisan hadapan sebaliknya menghantar penduduk Filipina sendiri yang telah dikristiankan untuk memerangi saudara mereka yang masih Islam.

Ini terus berlaku hinggalah kekuasaan bertukar tangan. Pada 1898, pengakhiran Perang Sepanyol – Amerika Syarikat telah membawa Amerika sebagai penjajah baharu Filipina.

Penduduk selatan Filipina cuba untuk mendapatkan kemerdekaan bagi wilayah mereka yang tidak pernah dijajah oleh Sepanyol namun tidak diendahkan oleh Amerika Syarikat.

Ternyata Amerika mendapat kekuasaan ke atas wilayah itu dengan muslihat. Ini kerana berdasarkan rekod yang ia tidak pernah dijajah oleh Sepanyol, mana mungkin Sepanyol menyerahkan begitu sahaja wilayah tersebut kepada Amerika Syarikat sedangkan Sepanyol sendiri tidak mempunyai kuasa di situ.

Bagaimanapun, keadaan sudah tidak berupaya untuk diperbaiki lagi. Kekallah wilayah selatan Filipina di bawah pentadbiran Amerika Syarikat melalui ‘penjajahan di atas kertas’ hingga 1946 (tahun Filipina mendapat kemerdekaan) yang kemudian disambung dengan pemerintahan kerajaan Pusat oleh anak watan dari Manila.

Apa pun, nasib penduduk selatan terutama di Mindanao tidak pernah berubah. Mereka dipinggirkan dari arus pembangunan dengan persengketaan yang berterusan, yang bermula sejak zaman penjajahan Sepanyol yang telah mencetuskan konflik agama antara selatan dengan utara.

Mengikut rekod, penjajah sememangnya pernah cuba mengkristiankan selatan Filipina hingga seorang Sultan Sulu, Sultan Azimuddin @ Alimuddin I pernah dibaptiskan di Manila pada 1750. Beliau menukar nama kepada Don Fernando de Alimuddin, The Christian Sultan of Jolo.

Berdasarkan undang-undang kesultanan Sulu yang ketat, hak beliau dan keturunannya gugur secara automatik apabila meninggalkan Islam. Sultan yang murtad itu malah telahpun memberikan kebenaran kepada mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama mereka di wilayahnya.  

Lantaran itu, berlaku perbalahan antara beliau dengan kerabat diraja yang lain hingga akhirnya, Raja Muda Bantilan dilantik menggantikan Sultan Alimuddin I dengan gelaran Sultan Bantilan Muizuddin.

Dengan itu, gagallah usaha untuk mengkristiankan selatan Filipina sebagaimana yang telah dilakukan dengan jayanya oleh penjajah Sepanyol di kepulauan utara.

Sultan yang terbuang akibat murtad itu bersama keluarga dan pengikutnya berhijrah ke Zamboanga, kemudian ke Manila dan diberi sambutan mesra oleh Sepanyol.

Ada maklumat mengatakan, beliau kemudiannya kembali semula ke Sulu dan bertaubat, namun kesahihan maklumat itu tidak dapat dipastikan.

Ganas

Ironinya, kedudukan umat Islam di Filipina hari ini amat menyedihkan. Mereka bukan sahaja telah bertukar daripada majoriti menjadi minoriti malahan diperangi dan dianggap pengganas oleh dunia.

Memang benar ada segelintir daripada mereka yang beraksi sebagai pengganas namun siapakah yang meletakkan mereka dalam kancah ketidakadilan hingga terpaksa jadi begitu?

Meskipun negara telah mencapai kemerdekaan, hak mereka sebagai pribumi terus menerus dipinggirkan. Ruang untuk mereka berekonomi secara selesa dinafikan sehingga mencetus berbagai-bagai masalah sosial.

Setelah keluarnya penjajah asing, mereka tetap juga diberi kan ayanan yang tidak adil dalam pemerintahan oleh anak bangsa. Ini dilakukan atas dasar perbezaan agama.
Itulah dilemanya!

Penduduk selatan yang digelar Bangsamoro ini boleh dianggap mangsa keadaan setelah nenek moyang mereka memilih untuk kekal dalam Islam dan beriman, tidak sebagaimana saudara mereka di Cebu, Luzon atau di mana-mana wilayah Filipina yang lain.

Mereka boleh sahaja memilih untuk hidup senang, aman dan kaya raya dalam arus perdana negara jika sanggup untuk murtad dan bersekongkol dengan penjajah yang telah merampas negara, hasil mahsyul malah agama nenek moyang mereka.   Siapa yang sebenarnya mencetuskan keganasan?

Itulah ceritanya 'keadilan' dunia yang berlaku di Filipina! - MUHAMAD MAT YAKIM

Wednesday, 6 April 2016

Backpacking Seorang Diri Akhirnya Temukan Jodoh Saya Dengan Gadis Rusia


Pengalaman travel ke Rusia.

Saya telah travel ke negara Rusia pada tahun 2011 ketika itu masih lagi dalam pengajian peringkat Master Ekonomi.

Secara ringkas mengenai Rusia. Negara Rusia mempunyai kepadatan penduduk sebanyak 150 Juta manakala penduduk beragama Islam di sana lebih kurang 30 Juta dan merupakan agama kedua terbesar selepas Kristian Ortodoks.

KETIKA INI SUHU -17.. SEJUK
Tujuan asalnya adalah untuk melihat negara orang dengan harapan jauh perjalanan luas pemandangan.

Saya menggunakan Qatar Airways, transit di Qatar seterusnya ke Moscow. Di Moscow terdapat tiga Lapangan Terbang Antarabangsa iaitu Domodedovo, Sheremetyevo dan Vnukovo. Saya mendarat di Domodedovo.

Saya mula mencari tempat untuk solat dan awalnya terkejut kerana di Domodedova ada surau dan terdapat orang Rusia sedang membaca Al-Quran. Selepas itu bermulalah perjalanan saya di Rusia dan saya telah berjumpa dan berkenalan dengan seorang wanita Rusia. Saya berada di sana selama satu minggu.

Selepas balik ke Malaysia, kami terus berhubung melalui Facebook, SMS, Whatsapp dan Skype. Beliau juga datang ke Malaysia setahun selepas itu untuk berjumpa saya. Saya mengambil kesempatan melamar beliau dan beliau mengatakan sekiranya ingin kepada beliau perlu terlebih dahulu berjumpa dengan ibu bapa beliau. Saya bersetuju untuk berjumpa dengan ibu bapa beliau.

Alhamdulillah keluarga saya tidak menghalang dalam pilihan saya dan mendoakan yang terbaik. Segala persiapan telah dibuat dan saya telah terbang semula ke Rusia seorang diri pada musim bunga penghujung bulan April 2013.

DI MASJID KUL SHARIF, KAZAN RUSIA
Memilih Qatar Airways untuk ke dua kalinya. Setelah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Domodedovo, saya menaiki satu lagi penerbangan domestik ke Lapangan Terbang Nizhnekamsk untuk sampai ke tempat rumah beliau di Naberezhnye Chelny, Republik Tatarstan, Rusia.

Bermulalah perkara yang paling mendebarkan saya apabila bertemu kedua ibu bapa beliau. Saya telah menyerahkan sebentuk cincin sebagai tanda hajat saya untuk mengambil anak mereka menjadi isteri saya. Perbincangan tersebut agak sukar kerana ibu bapa beliau tidak boleh berbahasa lain selain bahasa Rusia. Perbincangan tersebut terpaksa di lakukan dalam dua bahasa, bahasa Inggeris dan bahasa Rusia.

Alhamdulillah akhirnya kami telah dapat kata sepakat dan keluarga beliau sudi menerima dan mengahwinkan saya serta terima saya sebagai menantu. Tetapi ibu-bapa beliau menetapkan syarat untuk saya belajar bahasa Rusia serta boleh berkomunikasi dengan mereka. Saya disana selama dua minggu. Beliau membawa saya ke tempat-tempat menarik seperti di Kazan, Nizhnekamsk, Naberezhnye Chelny, Elabuga dan banyak lagi.

SALAH SATU TEMPAT MENARIK DI ELABUGA, RUSIA
Sekembalinya saya ke Malaysia, segala proses perjalanan yang berlaku di sana berjalan dengan lancar, Alhamdulillah. Saya telah memaklumkan kepada keluarga saya berhubung perkara yang berlaku semasa saya di Rusia dan sekali lagi keluarga menyokong hasrat saya. Saya telah berbincang dengan beliau untuk datang ke sana semula bagi membincangkan tarikh pernikahan dengan keluarga beliau sebelum saya membuat langkah awal untuk memohon daftar nikah di Pejabat Agama Negeri Selangor.

Maklumbalas yang saya terima daripada pihak beliau mengatakan, tidak perlu lagi datang berulang kali hanya semata-mata menetapkan tarikh pernikahan. SubhanAllah, Allah mudahkan urusan kami. Keluarga beliau memberi kebebasan kepada kami menetapkan tarikh. Kami telah berbincang dan menetapkan pada hujung tahun bulan Disember 2013. Ketika itu musim sejuk dibawah baras beku -20 sehingga -25 Celcius.

Proses permohonan berkahwin di luar negara telah diluluskan oleh pejabat agama. Cumanya saya terpaksa menterjemahkan dokumen tersebut ke Bahasa Inggeris dan ke Bahasa Rusia. Proses permohonan visa juga telah selesai dan hanya menanti sahaja tarikh untuk terbang ke Rusia. Pada kali ini saya telah memilih China Southern Airlines kerana tiket penerbangan agak murah sedikit berbanding syarikat penerbangan yang lain. Biasaya tiket akan mahal pada waktu musim sejuk (winter).

Penerbangan melalui China Southern Airlines agak penat kerana akan transit di Guangzhou, China selama 10 jam. Selepas Guangzhou akan transit lagi ke Urumqi selama 2 jam. Selepas Urumqi terus ke Moscow. Pada ketika ini lapangan terbang yang berlainan iaitu Sheremetyevo.

Pada masa ini terdapat masalah di bahagian Kastam Rusia. Saya serta beberapa penumpang lain telah ditahan untuk tidak masuk ke Rusia dan pasport kami telah diambil. Setelah hampir 2 jam menunggu datang seorang pegawai Kastam memanggil kami dan bertanyakan soalan kenapa ke Rusia. Setiap orang memberi jawapan masing-masing. Pegawai Kastam tersebut tidak menerima dan mahu menghantar kami balik ke negara masing-masing.

Pegawai kastam berkenaan menjangkakan saya mahu migrasi (migrate) ke negara Russia. Ketika itu terdapat penumpang dari China, Mongolia, Kazakhstan, India dan beberapa lagi negara bekas Soviet. Saya seorang sahaja penumpang dari Malaysia.

Saya tiada kata-kata dan hanya menelefon bakal isteri saya ketika itu bagi menjelaskan situasi saya dan beliau meminta untuk bercakap dengan pegawai kastam tersebut. Setelah beberapa minit talian dimatikan. Kemudian Pegawai Kastam memanggil saya lalu membenarkan saya untuk masuk melapasi Kastam.

Alhamdulillah hanya mengucapkan syukur kepada Allah. Alhamdulillah Allah bantu lagi dalam urusan saya. Tetapi untuk penerbangan seterusnya hanya ada masa 20 minit. Dari Terminal A hendak ke Terminal D berjalan kaki mengambil masa selama 15 minit. Pada masa ini saya menangis tetapi tiada air mata.

Memang tidak sempat untuk naik penerbangan seterusnya. Mujur ketika itu Allah utuskan seorang lelaki bertanyakan kepada saya hendak ke mana lalu beliau membantu dan mengajak saya menaiki kereta kerana lebih cepat. Kami berdua berlari ke kaunter dan beliau juga membantu membawa beg dan menjelaskan situasi saya semasa ditahan kastam dalam bahasa mereka. Alhamdulillah sekali lagi Allah membantu saya dalam urusan saya dengan penerbangan dilewatkan selama 10 minit semata-mata menunggu saya untuk naik pesawat tersebut.

Saya tiba di Nizhnekamsk tengah malam dan ketika itu suhu -18 Celcius. SubhanAllah sangat sejuk dan terlalu penat. Saya mengalami sedikit demam.

Abang bakal isteri saya telah menjemput saya dan terus bawa saya ke rumah untuk dirawat.

SEMASA MAJLIS AKAD NIKAH..SANGAT MUDAH (SIMPLE JE..)
Alhamdulillah sebelum hari pernikahan saya telah sihat sepenuhnya. Kali ini saya travel dan berkahwin seorang diri tanpa iringan keluarga. Bukan tidak mendapat restu tetapi telah disarankan keluarga mentua untuk tidak serta kerana tidak biasa dengan cuaca sejuk yang ekstrim bagi mengelakkan sebarang masalah yang bakal berlaku.

Majlis pernikahan dilakukan secara kecil-kecilan dan berjalan lancar dengan menjemput hanya keluarga terdekat. Apa yang menarik majlis pernikahan dalam bahasa Rusia dan kami berdua telah selamat menjadi suami isteri. Pihak keluarga isteri pun hanya minta sebentuk gelang tangan yang sangat halus sebagai mahar.

Ketika saya di Malaysia untuk buat persiapan perkahwinan, semasa saya memilih di kedai emas dan tangkap gambar yang mana satu dia berkenan, bakal isteri saya (ketika itu) tunjuk yang paling halus sahaja. Keluarga saya pun agak terkejut.

SELESAI MAJLIS NIKAH.. SUDAH BERGELAR SUAMI
SUDAH JADI SUAMI ISTERI WAKTU INI, SUHU SEKITAR -20
Alhamdulillah kini kami telah dikurniakan seorang anak lelaki berusia setahun setengah dan menetap di Malaysia.

Apa yang saya nak sampaikan jangan takut untuk travel ke negara orang. Mengembaralah dan lihatlah negara orang kerana ini adalah sunnah Nabi. Sekiranya terdapat sebarang masalah fokus kepada solusinya sahaja.

Lihat dan berkenal-kenallah dengan orang berbangsa asing. Dari situ kita akan belajar bahasa, budaya, bangsa, ekonomi dan secara tidak langsung kita dapat melihat kebesaran Allah.

MUSIM BUNGA 2015
Apa yang saya belajar dari masyarakat Rusia, ada yang mengatakan masyarakat di sana tidak mesra dan tidak senyum. Berbeza dengan budaya kita. Ini kerana apa yang saya nampak mereka mempunyai sifat yang berterus terang dan tidak hipokrit. Mereka tidak berpura-pura untuk menjaga hati.

Tetapi masyarakat Islam di sana apabila bertemu sesama Islam akan memberi Salam. Budaya Salam sangat meluas di sana di kalangan Muslim dan ini perlu dipraktikkan di Malaysia.

BALIK KE RUSIA
Insya’Allah akhir bulan empat ini kami akan ke Rusia lagi untuk melawat keluarga di sana dan mencari peluang-peluang yang boleh diadaptasikan di sini.

Insya’Allah, mohon doakan saya.