Showing posts with label Youth. Show all posts
Showing posts with label Youth. Show all posts

Saturday, 22 April 2017

Muda-muda dah hutang RM60 juta

ZULHELMI (kanan) dan rakannya menceritakan kisah hitam yang menimpa mereka kepada wartawan Kosmo! dalam temu bual di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Impian tiga anak muda untuk bergelar usahawan online bukan sahaja musnah, malah bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka kini menanggung hutang sehingga RM60 juta selepas ditipu sekumpulan sindiket.

Peristiwa hitam dalam hidup mereka itu berlaku selepas terjebak sebagai ejen produk online yang ditawarkan sindiket telefon bimbit.

Modus operandi sindiket itu sangat mudah apabila menawarkan kepada mana-mana individu untuk menjadi ejen dengan menjual barangan pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Ejen pula membuat promosi dan menjual produk berkenaan di laman sosial masing-masing seperti Facebook, Instagram dan Twitter.

Menurut seorang ejen serta mangsa penipuan online, Muhammad Zulhelmi Mohd. Yusof, 20, dia dan dua rakannya kini berhutang hampir RM60 juta selepas duit pelanggan yang menempah telefon pintar iPhone lesap dilarikan sindiket.

Monday, 7 November 2016

Syor ganjaran kepada penguat kuasa, orang awam


ALOR SETAR: Kerajaan disaran mempertimbangkan pemberian ganjaran dalam bentuk insentif kepada pasukan penguat kuasa yang berjaya mengesan dan melaksanakan tugas mencegah penyeludupan. 

Cadangan itu disuarakan Pengerusi Kelab Belia Darulaman, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, sebagai langkah memastikan kegiatan haram itu tidak terus berleluasa, apatah lagi ia turut menjadi punca stok terhad minyak masak di pasaran ketika ini. 

Beliau berkata, selain pasukan penguat kuasa, penghargaan harus diberikan kepada masyarakat yang memberikan maklumat sehingga terbongkar dan tertangkapnya mereka yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan. 

"Minyak masak diseludup dengan sewenangnya ke negara jiran sejak sekian lama dan nampaknya belum ada penyelesaian muktamad. Malah terbaharu aktiviti penyeludupan dilaporkan antara punca kekurangan minyak masak paket dalam pasaran negara. 

"Penyeludupan mengakibatkan puluhan juta ringgit wang subsidi mengalir keluar. "Justeru, pemberian insentif kepada penguat kuasa yang berjaya menjalankan tugas mengekang penyeludupan dan ganjaran kepada orang ramai yang membantu menyalurkan maklumat, cukup berkesan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. 

Selain itu, Syed Mohd Johan berkata, hukuman lebih berat termasuk sebatan dan hukuman mandatori pada individu terbabit penyeludupan juga boleh membantu mengekang kegiatan itu, malah lesen pengilang, pemborong juga harus dibatalkan serta merta sekiranya didapati mereka bersekongkol dengan penyeludup. 

Mengenai rasionalisasi subsidi harga minyak masak yang diperkenalkan kerajaan mulai bulan ini pula, katanya, ia adalah langkah ke hadapan bagi mengelakkan wang subsidi tiris kepada pihak lain dan penjimatan daripada wang subsidi itu boleh disalurkan kepada perkara lain.

Thursday, 4 August 2016

Puas tangan berminyak

Noorashima mencuci enjin motosikal di bengkel bapanya di Pekan Dong.
Raub: “Sejak kecil lagi memang hobi saya membaiki motosikal. Ayah (Harun Mat Sah, 50) yang mengusahakan bengkel membaiki motosikal di pekan Dong sejak 20 tahun lalu juga menjadi pencetus kepada minat saya.

“Minyak hitam, spanar, palam pencucuh dan karburator sudah tidak asing bagi saya. Setiap hari, saya memegang dan membeleknya tanpa rasa jijik malah bangga dapat membantu ayah,” katanya Noorashima Harun, 21 yang tinggal di Taman Lechar, dekat sini.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis itu, selepas menamatkan persekolahan tiga tahun lalu, dia terus membantu ayah mengusahakan bengkel motosikal tanpa sekelumit perasaan malu dan sesal.


Katanya, walaupun setiap hari tangannya kotor terkena minyak, dia puas dan berbangga dapat membantu ayah dan menjadi antara segelintir wanita di Pahang mempunyai kemahiran membaiki pelbagai jenis motosikal.

“Keadaan kesihatan ayah yang tidak menentu disebabkan lelah menambahkan lagi kesungguhan saya untuk membantunya di bengkel.

“Ilmu dan kemahiran belajar dalam jurusan teknologi automotif selama dua tahun di SMV Sultan Haji Ahmad Shah saya manfaatkan sepenuhnya.

“Minat bersama kemahiran yang ada menjadi kelebihan kepada saya untuk terus berkhidmat sebagai ‘pomen’ membaiki motosikal.

“Malah, saya amat berbangga dapat membantu ayah menyara keluarga walaupun pendapatan tidak seberapa, ” kata ketika ditemui di bengkel motosikal ayahnya di Taman Lechar dekat sini, baru-baru ini.

Noorashima atau lebih terkenal dengan panggilan Adik dalam keluarga dan penduduk kampung berkata, pada peringkat awal, ramai yang berpendapat tugas berkenaan tidak sesuai dilakukan oleh seorang gadis sepertinya.

Namun menurutnya, disebabkan terlalu minat dengan kerja berkenaan, dia tidak pernah mempedulikan cakap-cakap orag kerana yang penting hatinya puas dapat membantu ayah membaiki motosikal.

Menurutnya, cabaran utama pada awal pembabitannya sebagai pomen motosikal adalah apabila terdapat pelanggan yang seolah-olah tidak yakin dengan kebolehannya membaiki kenderaan mereka walaupun hanya untuk menukar minyak hitam.

“Membaiki motosikal empat lejang lebih mudah berbanding motosikal dua lejang terutama membabitkan skuter. Ketelitian, tumpuan dan kesabaran perlu ada ketika membaiki bagi memastikan punca rosak dapat dikesan.

“Selain membaiki kerosakan kecil dan menukar peralatan, saya juga melakukan kerja mencuci karburator dan membaiki enjin beberapa jenis motosikal seperti Honda, Yamaha, Kawasaki dan Suzuki,” katanya yang turut mengusahakan warung burger berhampiran rumahnya.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia kini sudah membuka kedai alat ganti motosikal di pekan Dong dengan nama “Atan Motor Garage” sebagai kesinambungan bengkel ayahnya yang kini beroperasi di Taman Lechar.

“Saya ingin buktikan kepada masyarakat jantina bukan penghalang kepadanya berjaya dalam bidang perniagaan membabitkan motosikal,” katanya.