Tuesday, 12 June 2018

Wawasan 2020 boleh dicapai pada 2025 - Dr. Mahathir

Perdana Menteri pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di Tokyo.

TOKYO - Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengilhamkan Wawasan 2020 menyatakan matlamat wawasan itu hanya dapat dicapai menjelang tahun 2025 atau mungkin lebih awal lagi.  

Dr. Mahathir berkata, kelewatan itu berpunca daripada pelaksanaan dasar yang tidak sesuai dengan usaha mencapai aspirasi Wawasan 2020.           

Dengan hanya dua tahun lagi menjelang tahun 2020, Dr. Mahathir menyuarakan keraguan tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi pada masa itu.

"Walaupun kita bekerja keras siang dan malam, saya tidak fikir kita boleh mencapainya pada tahun 2020.

“Mungkin ia akan (mengambil masa) agak lama daripada itu, mungkin tahun 2025 atau mungkin lebih (awal) jika kita mengamalkan dasar yang betul," kata beliau pada Persidangan Antarabangsa ke-24 mengenai Masa Depan Asia atau Persidangan Nikkei di sini hari ini.

Dr. Mahathir merupakan Perdana Menteri keempat Malaysia semasa beliau mengilhamkan Wawasan 2020 pada tahun 1991 bertujuan menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian yang maju ketika itu.

Beliau menjadi Perdana Menteri dari  tahun 1981 hingga 2003.

Dr. Mahathir kini dalam rangka lawatan kerja tiga hari ke Jepun termasuk untuk menghadiri Persidangan Nikkei itu. - Bernama 

Sunday, 3 June 2018

ATM bakal terima Panglima baharu

Perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

KUALA LUMPUR - Tampuk pemerintahan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal bertukar apabila Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin disebut akan dilantik ke jawatan tersebut.

Beliau menggantikan Jeneral Tan Sri Raja Moha­med Affandi Raja Mohamed Noor yang bersara pada Disember nanti.

Difahamkan perlantikan tersebut yang berkuat kuasa 20 Jun ini telah pun dipersetujui oleh Majlis Angkatan Tentera yang bersidang Khamis lalu.

Zulkifli, 60, sebelum ini merupakan bekas Panglima Tentera Darat (PTD) dan Naib Canselor (NC) Universiti Pertahanan Nasional (UPNM).

Beliau yang sepatutnya bersara wajib pada 30 November ini telah pun menyerahkan tugas sebagai NC UPNM kepada penggantinya, Leftenan Jeneral Datuk Abdul Halim Jalal pada Mei lepas.

Bagaimanapun, Zulkifli dipanggil semula untuk berkhidmat bagi menerajui ATM sebagai PAT ke-20.

Zulkifli yang dilantik sebagai PTD pada 2011 melepaskan jawatan itu dua tahun kemudian dan dipindahkan ke UPNM sebagai NC buat kali kedua selepas kali pertama pada 2008.

Beliau yang memulakan kerjaya ketenteraan pada 1978 memiliki pengalaman luas dalam bidang kejurulatihan dan pemerintahan. - KOSMO

Saturday, 26 May 2018

Pembayaran BR1M sebelum Aidilfitri



KUALA LUMPUR - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dibayar kepada penerima bulan hadapan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menerusi laman Twitter rasminya hari ini, beliau berkata bantuan kewangan itu akan diberi nama baharu.

Beliau berkata maklumat lanjut mengenai bantuan itu akan diumumkan minggu depan.

"Sepertimana yang diarahkan oleh (Perdana Menteri) Tun (Dr Mahathir Mohamad)  @chedetofficial, BR1M (yang akan diberikan nama lain) akan dibayar pada bulan Jun sebelum Hari Raya Aidilfitri," kata Lim dalam catatan itu.

Perdana  Menteri sebelum ini memaklumkan pemberian BR1M yang diteruskan di bawah kerajaan Pakatan Harapan akan dikaji semula bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menerimanya. - Bernama

Thursday, 22 March 2018

Zuckerberg janji tingkat keselamatan Facebook

PENGERUSI dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg.

SAN FRANCISCO: Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg memberi jaminan untuk memperbaiki segala masalah yang melanda rangkaian media sosial itu, susulan skandal 'penggodaman' data peribadi jutaan penggunanya.

"Kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi data peribadi anda, dan jika kami gagal berbuat demikian, kami tidak layak berkhidmat untuk anda," kata Zuckerberg ketika mengulas mengenai penyalahgunaan data pengguna Facebook oleh firma perunding Britain yang dikaitkan dengan kempen pilihan raya 2016 Presiden Donald Trump.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Zuckerberg turut mengumumkan langkah terbaharu bagi menangani isu kecurian data oleh pihak luar atau aplikasi milik pihak ketiga, dengan menyediakan butang khas bagi membolehkan pengguna melindungi maklumat peribadi mereka.

Zuckerberg berkata, pendekatan itu sudah diwujudkan sejak 2014 bagi mengelak berlakunya segala bentuk penyalahgunaan yang didedahkan baru-baru ini.

"Tetapi kami mengakui bahawa kami turut melakukan kesilapan, lebih banyak perkara yang perlu dilakukan dan kami atau memperbaikinya dan melaksanakannya dengan segera," katanya.

Baru-baru ini, firma perunding data Britain, Cambridge Analytica (CA) didedahkan menyediakan laporan profil psikologi 50 juta pengguna Facebook menerusi aplikasi ramalan personaliti yang dihasilkan oleh penyelidik yang dikenali sebagai Aleksandr Kogan.

Aplikasi itu turut dimuat turun kira-kira 270,000 pengguna, tanpa menyedari mereka turut 'mengambil' data rakan mereka secara tidak sengaja, kerana ketika itu peraturan Facebook membenarkan ia berlaku.

"Kogan, Cambridge Analytica dan Facebook sudah melanggar amanah.

"Facebook juga sudah melanggar amanah yang diberikan oleh orang ramai untuk melindungi data mereka, jadi kami perlu memperbaikinya," kata Zuckerberg. - AFP

Friday, 9 March 2018

Seluar pegawai SPRM koyak bergelut tangkap polis

Anggota polis yang ditahan di Tampin Square dipercayai terlibat dengan gejala rasuah.

PEGAWAI Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Negeri Sembilan terkoyak seluar ketika bergelut dengan anggota polis yang ditahan bersabit kes rasuah di kedai akuarium di Tampin Square, hari ini.

Sumber berkata, lans koperal polis berusia 36 tahun itu ditahan 2 petang berikutan membekalkan rokok kepada seorang tahanan lelaki di lokap Balai Polis Tampin, dekat sini.

Katanya, lelaki berkenaan ditahan di lokap antara 2 hingga 6 Mac lalu berikutan terbabit kes gaduh di Tampin.

"Suspek yang berkhidmat di balai berkenaan dipercayai membekalkan bahan larangan iaitu rokok dan menerima RM400.

“Bertindak atas aduan diterima, lapan pegawai SPRM negeri ke Tampin Square hari ini untuk menahannya," katanya.

Sumber itu berkata, sebaik tiba di lokasi suspek enggan bekerjasama ketika empat pegawai SPRM cuba memberkasnya sehingga berlaku pergelutan dan menyebabkan seluar seorang pegawai SPRM terkoyak pada bahagian lutut.

Sementara itu, jurucakap SPRM Negeri Sembilan ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan, namun enggan mengulas lanjut.

Beliau berkata, suspek akan direman esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.