Friday 30 June 2017

Maut gara-gara mahu lebih 
popular di laman sosial

Monalisa Perez dan teman lelakinya Pedro Ruiz

MINNESOTA – Tindakan melulu sepasang kekasih yang mahu meningkatkan jumlah pengikut dan penonton di laman sosial YouTube dengan melakukan aksi ‘luar biasa’ akhirnya membawa padah.

Dalam rakaman itu, Monalisa Perez, 19, menembak dada teman lelakinya yang sedang memegang buku berkulit tebal dari jarak 30 sentimeter dengan menggunakan pistol 0.50-calibre Desert Eagle dengan harapan peluru itu tidak akan menembusi buku tersebut.

Malang tidak berbau, peluru itu sebaliknya menembusi buku tersebut dan terkena pada dada teman lelakinya, Pedro Ruiz.

Pakar perubatan mengesahkan Ruiz mati akibat kecederaan serius di dada akibat tembakan.

BBC melaporkan, kejadian itu berlaku di hadapan anak pasangan itu yang berusia tiga tahun.

Pada Isnin lalu, Perez dalam akaun Twitternya ada membuat satu posting berbunyi ‘Saya dan Pedro akan membuat satu penggambaran video paling berbahaya. Ini adalah idea dia (Pedro), bukan saya’.

Sementara itu, makcik Ruiz, Claudia Ruiz memberitahu, mang­sa pernah menyatakan hasratnya untuk melakukan aksi berbahaya itu untuk meningkatkan jumlah penonton supaya mereka boleh menjadi terkenal.

Perez kini ditahan polis atas pertuduhan membunuh.

Saturday 24 June 2017

Qatar dituntut selesai 13 perkara

PUTERA Mahkota Qatar, Sheikh Mohammed Zayed al-Nahyan (kiri) berjabat tangan dengan Presiden Perancis, Emmanuel Macron selepas mesyuarat bagi membincangkan krisis diplomatik Qatar di Istana Elysee, Paris pada Rabu lalu.

WASHINGTON – Arab Saudi dan beberapa negara Arab lain yang memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar mengeluarkan satu senarai tuntutan semalam sebagai laluan menamatkan krisis berkenaan.

Kuwait yang menjadi sebagai pengantara konflik itu telah membentangkan satu senarai yang mengandungi 13 perkara kepada Qatar termasuk menuntut menamatkan kehadiran tentera Turki di negara itu.

Arab Saudi, Mesir, Emiriyah Arab Bersatu dan Bahrain telah memutuskan hubungan dengan Qatar pada bulan ini selepas mendakwa negara Teluk Parsi itu membiayai dana pengganas.

Bagaimanapun negara yang kaya dengan minyak itu telah menegaskan bahawa tidak akan memenuhi tuntutan tersebut termasuk menutup stesen televisyen Al-Jazeera.

Kerajaan Qatar berkata, pihak­nya tidak akan berunding sebarang perkara sehingga negara-negara Arab terlebih dahulu menarik balik sekatan mereka.

Sehari sebelum itu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson mengeluarkan amaran bahawa tuntutan yang bakal dibuat itu perlu berasas selain kesalahan yang boleh didakwa.

Menurut senarai itu, Qatar tidak dibenar menerima rakyat dari empat negara berkenaan serta perlu mengusir mereka keluar dari negara itu.

Mereka turut menuntut Qatar menyerahkan kesemua individu yang dikehendaki oleh empat buah negara terbabit kerana terlibat dalam keganasan selain menghentikan pembiayaan kepada sebarang entiti pelampau yang digelar sebagai kumpulan pengganas oleh Amerika Syarikat.

Malah, mereka mahu Qatar menyediakan maklumat terperinci mengenai jumlah yang dibiayai kepada pihak pembangkang terutamanya di Arab Saudi dan beberapa negara lain.

Bagaimanapun, Qatar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berhubung pembiayaan atau menyokong pengganas tetapi negara itu mengakui ada membenarkan anggota kumpulan Hamas menetap di Qatar dengan alasan mahu memupuk dialog dengan kumpulan itu bagi menyelesaikan konflik yang timbul.

Senarai itu turut menuntut Qatar menyelaraskan negara itu dari segi politik dan ekonomi dengan Majlis Kerjasama Teluk iaitu sebuah kelab serantau yang memfokuskan tum­puan menangani pengaruh Iran.

Malah, senarai berkenaan turut menuntut Qatar menghentikan pembiayaan ke atas pelbagai saluran berita termasuk Arab21 dan Middle East Eye.

Qatar juga diberikan masa selama 10 hari untuk mematuhi ke­semua tuntutan itu termasuk membayar sejumlah wang yang tidak dinyatakan sebagai pampasan. – AP

Thursday 22 June 2017

Penduduk dunia cecah 9.8 bilion pada 2050



NEW YORK: Jumlah terkini penduduk dunia seramai 7.6 bilion akan mencecah 9.8 bilion pada 2050, dengan bilangan rakyat India akan mengatasi China dalam masa tujuh tahun lagi, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Nigeria akan mengambil alih tempat Amerika Syarikat pada 2050 untuk menjadi negara ketiga paling ramai penduduk di dunia, menurut perangkaan dikeluarkan Jabatan Ekonomi dan Sosial badan dunia itu. 

"Dengan kira-kira 83 juta tambahan penduduk dunia setiap hari, corak menarik dalam saiz populasi dijangka berterusan, walaupun dengan anggapan tahap kesuburan akan terus menurun," kata laporan berkenaan. 

Pada kadar itu, jumlah penduduk dunia akan mencecah 8.6 bilion pada 2030, 9.8 bilion pada 2050 dan 11.2 bilion pada 2100. Jumlah rakyat India, yang kini tersenarai sebagai negara kedua paling ramai penduduk dengan 1.3 bilion, akan mengatasi 1.4 bilion jumlah rakyat China pada 2024. 

Namun, Nigeria paling pantas menambah jumlah warganya dan penduduk di 26 negara Afrika berkemungkinan meningkat sekurang-kurangnya dua kali ganda menjelang 2050. Bilangan penduduk berusia 60 tahun ke atas dijangka bertambah lebih dua kali ganda pada 2050 dan lebih tiga kali ganda menjelang 2100. - AFP

Wednesday 21 June 2017

Premis sembelih, proses ayam guna logo halal palsu diserbu

Antara bungkusan ayam yang menggunakan logo halal palsu yang dirampas Jaipk dalam serbuan di sebuah premis di Segari, Lumut semalam.

LUMUT – Sebuah premis penyembelihan dan pemprosesan ayam di Batu 11, Segari di sini yang didapati menggunakan logo halal palsu dalam produk kelua­rannya diserbu Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) awal pagi semalam.

Malah, proses penyembelihan ayam di premis tersebut turut meragukan apabila pemeriksaan mendapati kerja-kerja penyembelihan ayam di premis itu dijalankan tiga lelaki warga asing dari Nepal dan Bangladesh.

Penolong Pengarah Unit Pengurusan Halal Jaipk, Yusri Abdul Rani berkata, premis tersebut turut menggunakan pek yang mempu­nyai logo halal palsu tanpa memiliki sijil halal yang diiktiraf daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

CUEPACS mohon naik gaji penjawat awam

Datuk Azih Muda

PUTRAJAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan agar mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam sebanyak tiga peratus pada pembentangan Bajet 2018.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, jika diluluskan kenaikan itu akan membantu meringankan beban 62,000 penjawat awam dalam kategori B40 yang berdepan kos sara hidup yang tinggi.

“Kenaikan kos sara hidup meningkat sebanyak lapan peratus dan keadaan itu menjadi antara faktor penjawat awam berpendapatan rendah dibelenggu hutang.

“Sebab itu kita mahu cadangan kenaikan gaji ini diberi perhatian sewajarnya demi memberi kelegaan terutama bagi pekerja yang berpendapatan kira-kira RM1,200 sebulan,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan kongres kesatuan itu di sini semalam.

Tuesday 20 June 2017

Teh ais 'lalok'

DADAH perisa teh ais yang dirampas.


Kuala Lumpur: Dadah perisa teh ais. Itu inovasi terbaru dihasilkan satu sindiket pengedaran dadah mencampurkan dadah syabu bersama serbuk teh.

Taktik sindiket itu terbongkar hasil operasi khas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Wangsa Maju di sebuah hotel di kawasan Pudu di sini, pada 16 Jun lalu.

Timbalan Ketua JSJN Kuala Lumpur Superintendan Mohd Faisal Yahya berkata, pihaknya yang melakukan risikan bertindak menahan suspek berusia 15 dan 25 tahun di hotel berkenaan pada jam 1.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan di dalam beg digalas remaja wanita itu membawa kepada penemuan 100 peket plastik berwarna biru bertulis ‘Apache’ Ice Cool Lemon Tea disyaki campuran serbuk dadah Methamphetamine seberat 2.9 kilogram (kg).

“Susulan itu, polis membuat serbuan kedua di sebuah rumah di Bukit Bintang di sini, dan menahan lima lelaki dan dua wanita tempatan berusia 16 hingga 25 tahun,” katanya semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan di rumah itu, sebanyak 10 peket plastik minuman segera seberat 305 gram, sepaket syabu seberat 0.37 gram dan tiga biji pil Eramin 5 dirampas.

Kesemua rampasan dadah itu bernilai RM224,395.

Sementara itu katanya, pihak JSJN turut menahan 18 pengedar dadah yang bergiat aktif di sekitar ibu kota dalam tempoh tiga hari sejak 16 Jun lalu hingga kelmarin.

“Hasil penahanan itu, kami merampas heroin seberat 188.9 gram, syabu seberat 4.4kg, serbuk dadah Methamphetamine seberat 305 gram, serbuk dadah seberat 200 gram, 200 biji pil Eramin 5 dan 15 biji pil ekstasi.

“Semua dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM596,715. Ekoran kejayaan itu, kami menyita pelbagai harta pengedar dadah bernilai RM65,000,” katanya.

Saturday 17 June 2017

SPRM bakal berkas lebih ramai pemaju hartanah

ABDUL AZIZ ABAN


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dijangkakan menahan lebih ramai pemaju hartanah kerana didapati menyeleweng kuota bumiputera dalam urusan jual beli perumahan di Pulau Pinang.

Tindakan tegas itu bakal dilakukan susulan penahanan seorang pengarah urusan sebuah syarikat hartanah kerana dipercayai memalsukan perjanjian jual dan beli (S&P) dengan menyeleweng kuota bumiputera pembelian kondominium di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

Lelaki berusia 47 tahun itu diberkas ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira pukul 6 petang semalam disusuli de­ngan seorang wanita berusia 39 tahun yang merupakan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran syarikat berkenaan kira-kira pukul 6.50 petang bagi membantu siasatan.

Pengarah urusan itu dikatakan berbuat demikian bagi mengurangkan jumlah sumbangan yang diperoleh daripada pelepasan kuota bumiputera yang perlu dibayar oleh pemaju kepada kerajaan negeri.

Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk Abdul Aziz Aban berkata, kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam kes pemalsuan S&P dengan menggunakan 20 penama sebagai pembeli kuota bumiputera unit kediaman tersebut.

“Mereka dikatakan telah membayar sejumlah wang kepada seorang individu iaitu ‘ejen’ bagi mendapatkan salinan kad pengenalan daripada mana-mana orang yang kononnya sebagai pembeli bumiputera bagi projek perumahan tersebut. Setiap kad pengenalan yang diperoleh akan dibayar lebih kurang RM3,000,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, sumber mendedahkan, berkaitan kes berkenaan, sebanyak 80 unit kediaman dibuka untuk penjualan di bawah kuota bumiputera yang harga rumahnya antara RM1 juta hingga RM1.5 juta.

“Mereka palsukan S&P sebelum menjualnya kepada bukan bumiputera, perkara seumpama ini dilihat disyaki dilakukan oleh semua pemaju di Pulau Pinang bagi mengaut keuntungan.

“Selain itu juga, terdapat 60 unit lagi untuk bumiputera yang tidak terjual dan pemaju se­ngaja memohon kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk mereka beri pelepasan unit tersebut dijual kepada bukan bumiputera,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abdul Aziz memaklumkan SPRM turut merakamkan ke­terangan daripada 20 saksi sehingga kini bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Kita juga telah mendapat perintah tahanan reman terhadap pasangan terbabit selama empat hari mulai hari ini sehingga 19 Jun ini mengikut Seksyen 16(b)(a) Akta SPRM 2009,” jelasnya.

Perintah tahanan reman ke atas dua individu berkenaan dikeluarkan Penolong Pendaftar Tertinggi Mahkamah Majistret, Ahmad Tajudin Zain kira-kira pukul 11.10 pagi ini.

Friday 16 June 2017

4 pelajar Malaysia di akademi tentera AS



KUALA LUMPUR – Empat pelajar Malaysia terpilih menerima tajaan melanjutkan pengajian ke akademi tentera di Amerika Syarikat (AS) bagi sesi pengambilan tahun ini.

Pemangku Duta AS di negara ini, Edgard Kagan berkata, dua daripada mereka, Wan Kamal Fitri Wan Kamal, 19, dan P.M. Sayniish, 19, akan mengikuti pengajian di Akademi Tentera AS (USMA) di West Point, New York, Ahmad Yusuf Ahmad Azani, 18, ke Akademi Tentera Laut AS (USNA) di Annapolis, Maryland manakala Muhammad Salihin Mohd. Sabri, 19, melanjutkan pengajian di Akademi Tentera Udara AS (USAFA) di Colorado Springs, Colorado.

“Seorang pelajar Maktab Tentera Diraja (MTD) dan tiga orang pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menerima tajaan penuh masing-masing bernilai RM2 juta untuk membia­yai pembelajaran dan mengikuti latihan di akademi-akademi yang terpilih itu.

“Saya tidak fikir ada negara yang mempunyai lebih daripada empat orang pegawai kadet layak ke akademi ketenteraan dengan tajaan penuh dalam satu tahun dan saya sangat kagum dengan prestasi calon-calon di Malaysia yang sangat dedikasi, berkualiti serta berkebolehan tinggi,” kata­nya kepada pemberita selepas majlis menghargai keempat-empat pelajar itu di sini, hari ini.

Empat pelajar yang mempu­nyai latar belakang keluarga dalam bidang ketenteraan itu merupakan antara 50 pelajar antarabangsa bertuah yang layak menerima tajaan tersebut.

Sementara itu, Sayniish berkata, kejayaannya melanjutkan pelajaran ke akademi berprestij berkenaan didedikasi kepada mendiang bapa saudaranya, Mejar C. Kayamboo yang terkorban dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terhempas berhampiran Terminal Peluru, Pangkalan Udara Butterworth, tahun lalu.

“Walaupun agak gemuruh kerana pertama kali akan ke AS, tetapi saya sudah bersedia secara mental dan fizikal untuk menimba sebanyak mana pengalaman dan ilmu untuk dibawa balik dan dipraktikkan di Malaysia kelak,” katanya.

Muhammad Salihin pula memberitahu, penerimaannya ke USAFA umpama sudah selangkah untuk menjadi seperti idolanya yang juga merupakan bapa saudaranya, bekas Panglima TUDM, Leftenan Jeneral (B) Tan Sri Abdul Ghani Abdul Aziz.

“Sejak umur lapan tahun, saya sudah bercita-cita menjadi seorang juruterbang tetapi saya mula mahu menjadi juruterbang TUDM apabila menginjak umur enam belas tahun dengan menjadikan bapa saudara sebagai inspirasi,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Kamal Fitri menjelaskan, dia ingin mewarisi darah ketenteraan bapanya yang merupakan anggota TUDM.

“Sebagai seorang anak tentera, saya sudah didedahkan dengan dunia ketenteraan sejak kecil dan itulah yang membuatkan saya jatuh cinta dengan bidang ini,” ujarnya.

Thursday 15 June 2017

Kerajaan tak campur isu harumanis

Harumanis mengalami penurunan harga mendadak selepas buah tersebut gagal dipasarkan secara meluas di luar Perlis.

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) tidak akan campur tangan dalam isu kejatuhan harga harumanis kerana tidak mahu ditafsir sebagai cuba mensabotaj pasaran buah yang dianggap eksklusif milik negeri Perlis.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, usaha Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk membantu para petani harumanis di Perlis pernah dianggap sebagai cubaan untuk mensa­botaj pasaran buah tersebut.

“Jadi kementerian menye­rahkan kepada kebijaksanaan pihak yang me­ngusahakan tanaman dan pasaran buah harumanis di Perlis dalam menentukan harga kerana mereka lebih mengetahui mengenai produk pertanian itu daripada pihak lain.

“Kalau ada pihak tertentu yang datang minta bantuan daripada kementerian, kita akan bantu tetapi pernah FAMA cuba promosi menggunakan saluran online malang­nya agensi itu turut dihentam kerana buah tersebut dikatakan tidak patut dijual pada harga murah kepada pengguna,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis pengagihan bubur lambuk kepada kakitangan kementerian dan sumbangan kepada asnaf di Walkway MOA di sini semalam.

Menurut beliau, sejak insiden itu, kementerian tidak lagi akan campur tangan me­ngenai harga buah harumanis kerana tidak mahu disalah anggap dalam hal produk keluaran yang dianggap sebagai eksklusif negeri Perlis.

Wednesday 14 June 2017

Pesara kerajaan bakal cecah 1.5 juta orang



PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah pesara kerajaan dijangka meningkat daripada 775,000 orang ketika ini kepada 1.5 juta pada tahun 2050.

Perdana Menteri berkata, jumlah itu seiring dengan trend peningkatan jangka hayat penduduk daripada 75 tahun kepada 85 tahun dalam tempoh tersebut.

Beliau berkata, trend itu dijangka meningkatkan perbelanjaan kerajaan kepada pesara daripada RM20.35 bilion pada 2016 kepada RM100 bilion pada 2050.

“Kita sedang meneliti trend ini dan implikasi besar kepada masa depan negara yang melibatkan tuntutan untuk membuat pengubahsuaian kepada polisi dan dasar yang dijalankan kerajaan,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama 2,000 pesara kerajaan di Seri Perdana di sini malam tadi.

Tamak punca harumanis tak laku

Petani harumanis mendakwa berlaku lambakan buah tersebut sehingga rosak di atas pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelak serangan penyakit.

KUALA LUMPUR – Perbuatan sesetengah pihak di Perlis yang cuba mengawal bisnes buah harumanis dengan menetapkan harga terlalu mahal menjadi punca utama buah tersebut gagal dipasarkan secara meluas di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain di negara ini.

Lebih memburukkan, tindakan pihak-pihak tersebut telah menyebabkan berlakunya lambakan harumanis di Perlis sehingga ada buah yang menjadi busuk di pokok dan terpaksa dibakar.

Difahamkan, harga semasa yang ditetapkan pengusaha harumanis sekitar RM15 hingga RM30 sekilogram dan jika buah itu dibawa dan dijual di ibu kota sudah tentu ia terpaksa dijual lebih mahal sekali ganda.

Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, dengan harga yang mahal diperoleh daripada pengusaha harumanis di Perlis, adalah sukar untuk buah tersebut dijual secara meluas di Kuala Lumpur.

Katanya, jika dijual di pasaran Kuala Lumpur, buah harumanis perlu bersaing dengan buah mangga import lain yang jauh lebih murah berbanding buah ikon negeri utara itu.

Monday 12 June 2017

Petani terpaksa bakar harumanis

Musa (dua dari kanan) dan isterinya, Zainab Hasim (kanan) melayan pelanggan yang datang ke ladang mereka untuk membeli harumanis di Santan, Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR – Para petani harumanis di Perlis mengalami kerugian besar berjuta-juta ringgit pada tahun ini kerana berlaku lambakan buah dan penurunan mendadak harga harumanis yang memaksa sesetengah mereka membakar hasil ladang masing-masing untuk mengelakkan ancaman penyakit.

Malah lebih buruk, buah harumanis yang dipetik terpaksa dijual pada harga serendah RM10 sekilogram kepada peraih dan RM15 kepada pembeli akibat lambakan di pasaran pada bulan puasa selain faktor kelemahan pemasaran.

Fenomena itu cukup mengejutkan kepada pengusaha ladang harumanis berbanding zaman kemuncak pada tahun 2015 apabila seorang petani mampu mengaut untung dengan menjual harumanis pada harga RM50 sekilogram.

Menurut seorang pekebun, Musa Darus, 75, dia tidak menyangka tahun ini merupakan ujian terbesar bagi dirinya dan pengusaha lain kerana permintaan merosot teruk lebih 70 peratus sehingga menyebabkan banyak buah terbiar busuk di pokok.

Musa berkata, 133 pokok mempelam harumanisnya mengeluarkan hasil kira-kira lima tan (5,000 kilogram) tahun ini, namun malangnya 2.5 tan terpaksa dibiarkan busuk di pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelakkan penyakit yang mengancam pokok lain.

Thursday 8 June 2017

1.4 juta saman belum dibayar

AHMAD Zahid menyampaikan ucapan pada majlis penerapan nilai-nilai murni di bulan ramadan
bersama Timbalan Perdana Menteri di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1.4 juta saman trafik tahun lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah jalan raya sehingga hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejumlah 5.3 juta saman dikeluarkan tahun lalu tetapi hanya 3.9 juta sudah dijelaskan yang membabitkan nilai kutipan sebanyak RM309 juta.

Jika 1.4 juta saman ini dapat dikutip semua, PDRM akan memperoleh kutipan sebanyak RM600 juta.

“Ketua Polis Negara minta kebenaran saya untuk kutip 1.4 juta saman ini, ketuk pintu ke pintu tetapi saya kata nanti dulu.

“Bukan saya nak halang beliau, tetapi saya sedar rakyat sedang tertekan. Wang mahu digunakan untuk keperluan lain. Jadi, di sini kalau rakyat tidak mahu bayar, nak guna wang kepada keperluan lain, beri kerjasama. Jangan lakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

Sunday 4 June 2017

Revolusi telefon bimbit

CONTOH alat telekomunikasi radio digunakan tentera yang dikeluarkan oleh syarikat Motorola.

TELEFON bimbit pada hari ini seperti sudah menjadi satu keperluan bagi setiap orang. Jika 20 tahun dahulu sesiapa yang mempunyai alat peranti tersebut boleh dianggap sebagai orang berada.

Revolusi telefon bimbit telah menarik minat ramai orang, dengan fungsi dan kelebihan terbina membuatkan peralatan itu diminati ramai. Tambahan pula sekarang harga untuk memilikinya tidak lagi seperti dahulu.

Justeru, hampir setiap orang dalam pelbagai lapisan masyarakat mempunyai telefon bimbit sendiri sebagai medium komunikasi. Tidak kira sama ada peranti mahal atau murah, yang penting boleh berkomunikasi dengan mudah.

Sebelum kewujudan telefon bimbit, pada 1907 majalah Punch telah menerbitkan karikatur dilukis oleh Lewis Baumer yang membayangkan pada tahun tersebut seorang lelaki dan wanita bercakap antara satu sama lain menerusi telefon tanpa wayar.

Sejarah penggunaan telefon mudah alih te­lah bermula sejak 1908 lagi. Seperti dilaporkan sebuah syarikat di London, USWithc Limited, Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang mempatenkan telefon tanpa wayar.

Pada tahun tersebut, Profesor Albert Jahnke serta Oakland Transcontinental Aerial Tele­phone dan Power Company mendakwa mencipta sebuah telefon tanpa wayar.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mengeluarkan telefon tersebut dan telah dituduh menipu.

Pada 1918 pula, sebuah syarikat kereta api di Jerman telah menguji sistem telefon tanpa wayar untuk kegunaan komunikasi tentera di Berlin dan Zossen.

Kemudian, satu percubaan umum telah dilakukan pada 1924 juga oleh syarikat kereta api untuk meng­hubungkan Berlin dengan Hamburg.

Selepas percubaan tersebut dilakukan, syarikat Zugtele­phonie A. G. telah diasaskan pada 1925 untuk membekalkan peralatan telekomunikasi untuk kegunaan sistem kereta api.

Sejak peralatan tersebut diaplikasikan, sistem kereta api Deutsche Reichbahn dan perkhid­matan Mail German yang menghubungkan Berlin dengan Hamburg telah menjadi sebuah pengangkutan kelas pertama.

Pada 1926, seorang artis Karl Arnold telah melukis watak kartun yang membayangkan orang ramai menggunakan telefon bimbit. Kartun itu telah diterbitkan oleh majalah Simplicissimus.

Revolusi penggunaan telefon mudah alih mula tercetus dalam Perang Dunia Kedua dan banyak digunakan dalam ketenteraan seperti komunikasi radio dua hala, namun ia menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Kemudian, pada 1946, telefon mudah alih mula dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi AT&T. Telefon tersebut mempunyai peranti asas dan digunakan oleh kebanyakan pemandu teksi sebagai alat komunikasi radio dua hala.

Alat tersebut merupakan sebuah telefon yang dipasang dalam kereta (teksi) tanpa memerlukan sambungan kabel seperti telefon rumah, tetapi memerlukan peranti asas untuk menyambungkan dengan pengguna lain dan liputannya sangat terhad.

Dunia semakin berkembang, selepas melihat telefon jenis itu sukar untuk digunakan secara umum, pada 1973, Motorola mengeluarkan telefon bimbit tanpa memerlukan peranti asas sebagai stesen penghubung.

Justeru, pada 3 April 1973, Motorola mencipta telefon bimbit pertama iaitu Motorola DynaTAC oleh Naib Presidennya, Martin Cooper. Tetapi, masih belum digunakan secara umum.



Tidak lama selepas itu, Jepun menjadi negara pertama memulakan langkah drastik yang mencetuskan penggunaan telefon bimbit besar-besaran apabila syarikat Nippon Telegraph and Telephone (NTT) mengeluarkan telefon mudah alih.

Kemudian pada 1981, syarikat Nordic Mobile Telephone (NMT) telah melancarkan sistem liputan telefon bimbit pertamanya di Denmark, Norway, Sweden dan Finland.

Sejak itu, Generasi Pertama (1G) berfungsi automatik sepenuhnya yang pertama telah dihasilkan dan liputan capaian jaringan telefon bimbit diperkenalkan.

Dalam masa sama, Motorola mengeluarkan Motorola DynaTac yang menjadi telefon bimbit pertama diluluskan oleh Persekutuan Suruhanjaya Komunikasi (FCC) di Amerika Syarikat pada 1983.

Telefon bimbit terus berevolusi dengan kemajuan teknologi hingga wujud syarikat pengeluar telefon bimbit gergasi seperti Nokia, Blackberry, Sony Ericsson, Samsung dan Apple iPhone.

REVOLUSI telefon bimbit dalam masa 70 tahun daripada sebuah telefon bimbit kepada telefon pintar. – BAREKLIFTRUCKS.CO.UK

Friday 2 June 2017

‘Saya tidak akan minta maaf’ - PM



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar pihak-pihak tertentu yang lebih mahu melihat negara tertinggal di belakang dengan mengkritik segala tindakan kerajaan membawa masuk pelaburan dari luar negara.

Perdana Menteri menegaskan, beliau bagaimanapun tidak akan mempedulikan sebarang kritikan tersebut malah ‘mengalu-alukan’ pihak berkenaan untuk berkempen menggunakan modal itu jika mereka mahu pembangunan Malaysia tertangguh.

Kata beliau, sesetengah orang berfikir adalah lebih baik memiliki syarikat yang rugi, tetapi 100 peratus milik Malaysia berbanding mempunyai pegangan lebih kecil dalam sebuah syarikat, tetapi mampu mendapat akses kepada pasaran lebih besar.

“Saya ingin bertanya, yang mana satukah pilihan itu akan memberi lebih kekayaan dan mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat? Jawapannya sangat jelas.

“Kepada mereka yang mengkritik bahawa tindakan ini sangat keterlaluan, terlalu cepat dan terlalu drastik, saya ingin memberitahu, jika kamu mahu menangguhkan pembangunan Malaysia, jika kamu ingin lihat negara kita tertinggal, jadi teruskan berkempen dengan modal itu.

“Saya tidak akan sekali-kali meminta maaf demi memudahkan kemasukan pelaburan ke negara ini. Usaha ini adalah demi kepentingan semua rakyat termasuk rakan-rakan kita dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pembukaan rasmi China Contruction Bank (Malaysia) Bhd., di sini hari ini.

Thursday 1 June 2017

Tempoh menunggu giliran haji 50 tahun



BALIK PULAU – Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha bagi memendekkan tempoh menunggu bagi jemaah untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah daripada 89 tahun kepada 50 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Gambar) berkata, tempoh berkenaan boleh dipendekkan berdasarkan peningkatan jumlah kuota jemaah negara ini yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Sebelum ini, kita terima kuota 27,900 jemaah haji dan tempoh me­nunggu mengambil masa 120 tahun namun ia menjadi lebih singkat kepada 89 tahun apabila kuota meningkat kepada 30,200 orang.

“Kita menyasarkan tempoh itu dipendekkan kepada 50 tahun atau ke bawah kerana jika diizinkan Allah, kuota jemaah haji negara ini boleh mencapai hingga 35,000 ke 40,000 bagi setiap musim,” katanya sambil menambah sehingga kini terdapat 2.5 juta orang pendeposit di TH.

Abdul Azeez berkata demikian selepas program Ziarah Kasih Ramadan 2017 bagi kawasan Parlimen Balik Pulau di sini semalam.