Sunday, 22 May 2016

Edra bina loji tenaga solar RM400j di Kedah

PRESIDEN dan Pengarah Eksekutif Edra, Datuk Mark Ling. 

KUALA LUMPUR: Pelaburan terbesar di Kedah bakal menjadi kenyataan dengan loji tenaga solar bernilai RM400 juta oleh Edra Power Holdings Sdn Bhd. 

Loji yang terletak di Kuala Ketil itu akan menjadikan tanah pertanian sebelum ini kepada tapak perindustrian dan menyokong taman perindustrian yang terdapat di Kulim, kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Edra Datuk Mark Ling. 

"Kepentingan mempunyai loji solar di Kedah adalah ia dapat menempatkan ladang panel solar 50MWAC yang pertama dan akan menjadi terbesar di Malaysia," katanya kepada Bernama. 

Edra, diambil alih oleh General Nuclear Power Corp, China dengan nilai RM9.83 bilion baru-baru ini -- pelaburan asing tunggal terbesar di Malaysia -- gembira untuk berkongsi pengalaman luas kumpulan itu di Malaysia seperti dalam skim tenaga boleh diperbaharui yang besar, katanya. 

"Loji tenaga solar itu juga untuk memenuhi dasar campuran bahan api kerajaan, iaitu perlu ada campuran arang batu dan gas dan mungkin hidro sejajar dengan usaha untuk mengurangkan kesan pelepasan karbon," katanya. Ling menyifatkan solar, tenaga boleh diperbaharui, sebagai program tenaga boleh diperbaharui yang paling sesuai di negara ini. 

Kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga telah menyediakan semua garis panduan dan proses untuk membida campuran tenaga boleh diperbaharui yang akan dilaksanakan, tenaga boleh diperbaharui yang berterusan setiap tahun, setengah tahun berdasarkan segmen berlainan negara untuk dilaksanakan dan tanah menjadi faktor penting. 

Ling berkata, Kedah yang mempunyai banyak tanah rata di tempat yang sesuai terbukti menjadi lokasi untuk loji solar berbanding negeri lain seperti Kelantan dan Terengganu yang lebih berbukit. "Kestabilan tanah amat penting. Oleh itu, Kedah dan Perlis adalah pilihan pertama," katanya. 

Beliau memuji kerajaan negeri Kedah atas sokongan yang amat menggalakkan kepada program Edra terutamanya dari segi penukaran tanah seluas 200 ekar (80 hektar) untuk projek itu. Kewujudan loji itu juga dijangka memberi rangsangan yang besar kepada tahap perindustrian negeri selain kenyataan tenaga hijau Suruhanjaya Tenaga dan program hijau Malaysia. 

Ling berkata, loji itu juga akan meningkatkan pembangunan tempatan di kawasan tersebut untuk masyarakat seperti menyediakan peluang pekerjaan dan kesan limpahan yang lain. "Ia juga akhirnya akan menjadikan banyak tanah pertanian di negeri itu kepada tanah perindustrian. 

Selain daripada pelaburan pembangunan tanah, juga ternyata penduduk berpindah untuk menetap di Kedah kerana akan terdapat perniagaan diwujudkan daripada peluang pekerjaan," katanya. - BERNAMA

Iran musuh Rasulullah: Mufti Saudi


Jeddah: Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh menyelar Iran kerana apa yang disifatkannya sebagai cubaan negara itu untuk mendapat tumpuan politik dari ibadah haji sepanjang 30 tahun lalu.

Dalam wawancara dengan sebuah akhbar tempatan kelmarin, Abdul Aziz turut mendakwa kerajaan Iran sebagai musuh ‘Masjidilharam dan Rasulullah (SAW).’

“Teheran berbohong apabila menyatakan Arab Saudi menghalang rakyatnya melnunaikan haji,” kata Abdul Aziz.

Dia juga menuduh Iran bertanggungjawab terhadap cubaan untuk mencetuskan kekacauan di Masjidilharam.

“Berapa banyak kesilapan dan pencabulan yang telah mereka lakukan sehingga ini. Antaranya, pada 1987 apabila ramai jemaah tidak berdosa terbunuh,” kata mufti itu.

Menurutnya, Iran cuba memalukan Arab Saudi dalam usaha menyembunyikan masalah yang ia sendiri cetuskan terhadap rakyatnya sehinggakan mereka tidak boleh menunaikan haji tahun ini.

Sementara itu, anggota pembangkang Iran yang juga ketua Parti Sirbitz Kurdistan, Aref Bawa Jani, berkata dasar dalam dan luar negara Iran bertujuan mencetuskan masalah antara Syiah dan Sunni.

Dia juga mendakwa pemimpin Syiah Iran cuba meyakinkan penganut fahaman itu bahawa lawatan ke tempat suci Syiah di Iraq, khususnya Najaf dan Karbala, boleh menggantikan ibadah haji di Arab Saudi. -Agensi

Saturday, 21 May 2016

Sungai Pahang di ambang kemusnahan - Pakar

Penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling.
JERANTUT: Nama Sungai Pahang sebagai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia tidak mustahil akan terpadam dalam lipatan sejarah negara sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah yang tegas untuk menangani masalah penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling. 

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed, berkata ini kerana Sungai Pahang serta anak sungai utamanya iaitu Sungai Tembeling hampir berada di ambang 'garisan kemusnahan' dan hampir kontang ekoran sikap rakus manusia meneroka khazanah alam itu sehingga lupa kepada implikasinya. 

"Ramai yang mengaitkan punca sungai ini cetek disebabkan El Nino, pemanasan global. Benda tu pada skala dunia, memang boleh jadi ada impak, tetapi persoalannya berapa peratus. "Isunya kini ia lebih daripada itu, lebih kepada faktor tempatan iaitu pengurusan kawasan tadahan air tempatan. 

Impaknya kini dirasai oleh penduduk dan ini terbukti apabila Sungai Kancing yang sebelum ini dapat membekalkan air kepada masyarakat sehingga ke Kampung Bantal sudah tidak dapat lagi berbuat demikian. 

"Sehubungan itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan negeri dan pusat bekerjasama cari jalan penyelesaian bagaimana nak perbetulkan masalah ini," katanya selepas menyertai Misi Selamatkan Kawasan Tadahan Air Negara di Ulu Tembeling baru-baru ini. 

Misi berkenaan disertai oleh 150 anggota yang terdiri daripada pakar alam sekitar dan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Pelindung Alam Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, dan Jaringan Orang Asli Pahang. -Bernama

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed berkata Sungai Tembeling hampir berada di ambang 'garisan kemusnahan' dan hampir kontang ekoran sikap rakus manusia meneroka khazanah alam.

Friday, 20 May 2016

Eksesais Haringgaroo eratkan hubungan tentera Malaysia-Australia

ANGGOTA Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) bergambar pada sesi latihan ketenteraan Eksesais Haringgaroo.
KOTA BHARU: Seramai 888 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Darat Australia (TDA) bergabung dalam latihan ketenteraan Eksesais Haringgaroo siri 67/2016.

Latihan seminggu bermula hari ini di hutan kawasan am di Jeli itu, menekankan kepada aspek operasi ofensif peperangan konvensional untuk bertempur dan berdepan serangan musuh. 

Pemangku Panglima 8 Briged, Kolonel Mohd Adzhar Abd Latif, berkata latihan dikawal oleh 8 Briged membabitkan 16 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bersama Rifle Company Butterworth (RCB) yang berpangkalan di Butterworth, Pulau Pinang. 

"Latihan ini bertujuan memahirkan pemerintah dan anggota dalam pelaksanaan pemerintahan dan kawalan di medan serta kerjasama antara semua pasukan bantuan. 

"Ia juga dapat meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara TDM dan TDA," katanya selepas perasmian latihan itu di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas di sini, hari ini. 

Perasmian Eksesais Haringgaroo disempurnakan oleh Timbalan Panglima 2 Divisyen TDA, Brig Jen Damian Cantwell. Sementara itu, Cantwell berkata, latihan berterusan itu dimulakan pada 1967 untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran antara dua negara. 

"Latihan kami agak sama namun ada perbezaan dari segi cuaca dan faktor itu agak mencabar bagi anggota tentera kami. "Harapan kami kerjasama ini memanfaatkan kedua-dua negara selain menjalinkan persahabatan antara anggota," katanya. -BH

Pahang pernah dihuni dinosaur

Inilah fosil gigi dinosaur herbivor yang dijumpai sekumpulan penyelidik UM di satu lokasi di kawasan pedalaman Pahang pada 2014.
KUANTAN – Kerajaan ne­geri Pahang mengesahkan terdapat kesan pe­nemuan fosil dinosaur di negeri itu seperti yang sering diperkatakan beberapa tahun lalu, namun belum bercadang untuk mengisytiharkan di mana lokasi­nya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelanco­ngan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, kesan penemuan fosil dinosaur itu telah disahkan oleh beberapa pakar dari dalam dan luar negara termasuk beberapa kajian berkaitan turut dijalankan.

“Pihak berkenaan juga telah memberikan taklimat, namun kerajaan negeri belum berhasrat untuk mengisyti­harkan hasil kajian terma­suk mendedahkan di mana kawasan pe­nemuan itu.

“Kesan penemuan ini masih memerlukan beberapa kajian yang mendalam,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor) yang ingin tahu bila kerajaan negeri bercadang untuk mengisytiharkan hasil kajian serta lokasi kesan penemuan tersebut. -KOSMO!