Showing posts with label Disaster. Show all posts
Showing posts with label Disaster. Show all posts

Sunday, 27 November 2016

Peduduk Yahudi lari, kebakaran belukar merebak ke Tebing Barat

Sebuah pesawat Bomba Russia turut membantu memadamkan api yang baru merebak  di bandar Nataf berhampiran Tebing Barat yang diduduki oleh Israel secara haram.
BAITULMUQADDIS – Kebakaran belukar berdekatan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat yang dijajah Israel memaksa beratus-ratus orang meninggalkan kediaman mereka, kata polis semalam.

Situasi itu berlaku ketika anggota bomba Israel dan Palestin dengan dibantu sebilangan pesawat asing, bertungkus-lumus memadamkan kebakaran belukar yang tersebar akibat cuaca kering dan angin kencang.

Sebelum ini, lebih 80,000 orang di bandar ketiga terbesar di Israel, Haifa dan beberapa kawasan lain telah berpindah.

Sekitar 1,000 penduduk di penempatan Halamish dekat Ramallah terpaksa berpindah selepas 45 kediaman musnah atau rosak dalam kebakaran itu.

Kebakaran juga dilaporkan berlaku berdekatan penempatan ha­ram Doleve dan Karnei Shomron dekat Tebing Barat.

Sejumlah pesawat pemadam api adalah dari Israel dan negara-negara seperti Rusia, Turki, Greece, Perancis dan Kanada terus menggugurkan bertan-tan air di beberapa lokasi termasuk Kampung Nataf dekat Baitulmuqaddis.

Sementara itu, polis Israel mengumumkan telah menangkap 14 orang kerana disyaki cuai atau mencetuskan kebakaran dengan sengaja tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut tentang identiti mereka. – AFP

Friday, 3 June 2016

Bumi yang ditelan lumpur

ARCA manusia dibina di kawasan aliran lumpur bagi memperingati penduduk yang terkorban.
Sepuluh tahun lalu, kehidupan penduduk di beberapa perkampungan miskin di daerah Sidoarjo di Jawa Timur, Indonesia berubah sekelip mata apabila kampung mereka dilanda banjir lumpur.

Lumpur yang keluar tiba-tiba dari bumi bukan sahaja memusnahkan kediaman tetapi turut menghancurkan kehidupan penduduk.

SEBUAH telaga yang musnah
akibat banjir lumpur.
Aliran lumpur tebal itu menyebabkan lebih 40,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan lebih 12 orang terkorban.

Lumpur itu mula keluar dua hari selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda wilayah berkenaan pada 27 Mei 2006.

Selepas 10 tahun, lumpur itu masih mengalir malah tidak menunjukkan tanda akan berhenti.

Arca manusia yang separuh tenggelam dalam lumpur didirikan bagi memperingati mangsa yang maut dalam tragedi itu.

Biarpun pampasan diberikan oleh syarikat gas dan minyak Indonesia, PT Lapindo Brantas yang dianggap antara punca bencana itu, tetapi ia lambat diterima oleh mereka yang terjejas.

Kini penduduk meneruskan kehidupan dengan meraih sedikit pendapatan apabila kawasan bencana berkenaan menjadi lokasi tarikan pelancongan yang popular. -myMetro

KEADAAN di sebahagian daerah Sidoarjo yang musnah.

Saturday, 21 May 2016

Sungai Pahang di ambang kemusnahan - Pakar

Penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling.
JERANTUT: Nama Sungai Pahang sebagai sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia tidak mustahil akan terpadam dalam lipatan sejarah negara sekiranya pihak berkuasa tidak mengambil langkah yang tegas untuk menangani masalah penerokaan hutan tanpa kawalan di Ulu Tembeling. 

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed, berkata ini kerana Sungai Pahang serta anak sungai utamanya iaitu Sungai Tembeling hampir berada di ambang 'garisan kemusnahan' dan hampir kontang ekoran sikap rakus manusia meneroka khazanah alam itu sehingga lupa kepada implikasinya. 

"Ramai yang mengaitkan punca sungai ini cetek disebabkan El Nino, pemanasan global. Benda tu pada skala dunia, memang boleh jadi ada impak, tetapi persoalannya berapa peratus. "Isunya kini ia lebih daripada itu, lebih kepada faktor tempatan iaitu pengurusan kawasan tadahan air tempatan. 

Impaknya kini dirasai oleh penduduk dan ini terbukti apabila Sungai Kancing yang sebelum ini dapat membekalkan air kepada masyarakat sehingga ke Kampung Bantal sudah tidak dapat lagi berbuat demikian. 

"Sehubungan itu, sudah sampai masanya untuk kerajaan negeri dan pusat bekerjasama cari jalan penyelesaian bagaimana nak perbetulkan masalah ini," katanya selepas menyertai Misi Selamatkan Kawasan Tadahan Air Negara di Ulu Tembeling baru-baru ini. 

Misi berkenaan disertai oleh 150 anggota yang terdiri daripada pakar alam sekitar dan ahli akademik, badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Persatuan Pelindung Alam Malaysia, Sahabat Alam Malaysia, dan Jaringan Orang Asli Pahang. -Bernama

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Maketab Mohamed berkata Sungai Tembeling hampir berada di ambang 'garisan kemusnahan' dan hampir kontang ekoran sikap rakus manusia meneroka khazanah alam.

Tuesday, 19 April 2016

Gempa 'mega' mungkin melanda

JAMBATAN sepanjang 200 meter yang mrentasi
Sungai Kurokawa musnah dalam gempa 7.3 magnitud.
LEBIH 40 orang mati apabila gempa bumi kedua
melanda Jepun minggu lalu.

Beberapa siri gempa bumi yang melanda Asia dan Amerika Selatan sepanjang beberapa hari lalu mungkin diikuti dengan satu gempa ‘mega’ tidak lama lagi, kata seorang saintis.

Pada Khamis dan Sabtu lalu, dua gempa melanda Jepun, meagut sekurang-kurangnya 41 nyawa, menyebabkan tanah runtuh dan kerosakan besar pada bangunan dan infrastruktur.

Ia diikuti dengan gempa sekuat 6.1 magnitud di Tonga, negara pulau di Lautan Pasifik. Bagaimanapun, tidak ada laporan mengenai kerosakan mahupun kecederaan.

Di satu lagi hujung Lingkaran Api, Ecuador dilanda gempa berukuran magnitud 7.8, awal kelmarin.
Seramai 272 orang terbunuh setakat semalam dan jumlah itu dijangka meningkat.

Pakar seismologi di Universiti Colorado, Amerika Syarikat, Roger Bilham berkata: “Keadaan sekarang mungkin menyebabkan sekurang-kurangnya empat gempa bumi berukuran lebih 8.0 magnitude. Dan jika itu tidak berlaku, gempa bumi berukuran lebih kuat daripada itu mungkin berlaku, menyebabkan lebih banyak kemusnahan,” katanya.

Selain empat gempa bumi yang berlaku sejak Khamis lalu, beberapa gempa turut menggegarkan Filipina, Vanuatu dan Myamar. Semuanya berlaku di negara yang terletak di atas apa yang dipanggil Lingkaran Api.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat, agensi bebas yang mengawasi bencana semula jadi seperti gempa bumi berkata, gempa bumi ‘mega’ jarang berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang mustahil.

Menurutnya, tidak ada garisan sesar - kawasan tempat plat beralih yang membentuk pertemuan kerak bumi - diketahui boleh menyebabkan gempa sekuat 10 magnitud.

Bagaimanapun, saintis tidak menolak sama sekali kemungkinan berlaku gempa bumi ‘mega’ kerana mereka baru saja mula mengukur aktiviti seismik sejak 100 tahun lalu. -Agensi

ANGKA kematian akibat gempar di Ecuador meningkat melebih 270 orang.

Wednesday, 24 February 2016

Beberapa kawasan dekat‎ Tasik Kenyir alami gegaran


HULU TERENGGANU - Penduduk di beberapa buah kampung yang tinggal‎ berhampiran kawasan Tasik Kenyir khususnya dalam Mukim Jenagur gempar seketika apabila mereka dikejutkan dengan gegaran dalam kejadian‎ kira-kira 9.40 malam tadi.

Kejadian tersebut ternyata turut merisaukan orang ramai sehingga menjadi perbualan hangat dalam laman sosial  dan membuat  pelbagai andaian termasuk berlakunya gempa bumi di tasik buatan‎ manusia terbesar di Asia Tenggara itu.

Difahamkan, antara kampung yang rasa gegaran berkenaan ialah Kampung Jenagur, Kuala Dura, Kuala Pueh, Kampung Padang Tara, Kampung Tapah, Kampung Dusun dan Felcra Bukit Kapah.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zamri Omar  memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan berhubung gegaran tersebut.

“Kita menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung gegara n dirasai mereka itu kerana ia dapat undang situasi lebih panik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.