Wednesday, 6 December 2017

Tambang bas sekolah dijangka naik

MOHD. ROFIK

IPOH – Kadar tambang bas sekolah sesi persekolahan tahun depan dijangka naik antara RM10 hingga RM20.

Presiden Gabungan Persatuan Peng­usaha Bas Sekolah Malaysia, Mohd. Rofik Mohd. Yusof berkata, kenaikan itu akibat peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung peng­usa­ha termasuk alat ganti dan kos penyelenggaraan.

Menurutnya, harga mi­nyak tidak menentu ketika ini juga turut menyumbang kepada peningkatan kos operasi pengusaha bas sekolah.

Katanya, alat ganti kenderaan juga mengalami ke­naikan harga antara 50 hingga 80 peratus se­per­ti bateri dahulu RM300 sekarang men­cecah lebih RM500.

“Jadi kami tidak menolak kemungkinan akan ada pengusaha bas sekolah berbuat demikian untuk membolehkan mereka terus bernafas dan terus memberi perkhidmatan.

“Dijangka berlaku kenaikan kadar tambang sebanyak RM10 di luar bandar manakala sebanyak RM20 di kawasan bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia Ke-6 di Dewan Orang Ramai Taman Meru, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Bumiputera Ipoh Perak, Rokiah Yeop.

Mohd. Rofik berkata, sejak Janua­ri 2015, Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD) menyerahkan ke­pu­tusan memutuskan caj tambang bas sekolah kepada pengusaha dan Persa­tuan Ibu Bapa dan Guru.

Katanya, persatuan itu mempunyai seramai 18,890 ahli di seluruh negara dan jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada 20,000 ahli selepas pembaharuan lesen pada hujung tahun ini.

Dalam pada itu, Mohd. Rofik turut mencadangkan kepada kerajaan agar tempoh tamat bagi lesen bas, insurans, cukai jalan dan tempoh pemeriksaan Puspakom diselaraskan kepada setahun untuk memudahkan pengusaha bas terlibat membuat pembayaran secara serentak.

Monday, 4 December 2017

Fenomena pancuran meteor geminids di Port Dickson


PORT DICKSON -  Balai Cerap Teluk Kemang membuka peluang kepada orang ramai untuk melihat fenomena pancuran meteor 'geminids'  dari perkarangan balai itu mulai 13 Disember ini.

Penolong Pengurus Balai Cerap Teluk Kemang, Muzamir Mazlan berkata,  orang ramai boleh melihat fenomena itu bermula jam 11.30 malam selama tiga hari mulai tarikh tersebut.

"Fenomena ini dinamakan hujan meteor 'geminids' kerana titik asal permulaannya daripada buruj Gemini di langit pada sebelah Utara dan dijangka sebanyak dua meteor akan muncul setiap satu minit.

"Saya menjemput orang ramai sempena musim cuti persekolahan ini untuk melihat fenomena tersebut di sini dengan hanya mata kasar – tanpa memerlukan teleskop," katanya ketika ditemui Bernama.

Muzamir berkata hujan meteor pada kali ini juga sangat sesuai dilihat kerana cahaya bulan sangat kurang disebabkan bulan sabit ataupun dipanggil bulan tua.

Beliau berkata, berikutan fenomena alam ini, pihaknya akan menganjurkan pertandingan fotografi untuk para pengunjung dengan yuran penyertaan serendah RM10.

Pertandingan menawarkan hadiah utama RM300.

“Para pengunjung boleh menghayati fenomena hujan meteor ini sambil mengambil gambar.

“Mereka yang menyertai pertandingan ini perlu menghantar satu gambar terbaik dengan syarat hanya diambil di perkarangan balai cerap," katanya.

Sementara itu, bagi merancakkan lagi kemeriahan menyaksikan hujan meteor di langit Port Dickson, hotel Klana Beach Resort, milik Majlis Agama Islam Negeri Sembilan, yang terletak berhadapan Balai Cerap itu menawarkan pakej istimewa buat pelanggan yang menginap di situ dalam tempoh tersebut.

Pengurusnya Che Dzarudin Che Omar berkata pelanggan di hotel mereka bukan sahaja boleh melihat keindahan pantai dan suasana matahari terbenam malah boleh melihat angkasa lepas menggunakan teleskop yang disediakan di balai cerap.

Che Dzarudin berkata bagi pelanggan berkenaan, mereka berpeluang memasuki balai cerap secara percuma, sedangkan orang awam yang ingin memasuki balai itu dikenakan bayaran RM25 seorang.

“Kami mendapat respon yang sangat baik kerana tempahan bilik sudah penuh selepas dua minggu tempahan dibuka,” katanya. - Bernama

Sunday, 3 December 2017

Ditahan polis kerana stokin busuk

Seorang lelaki ditangkap di India kerana "menyebabkan gangguan" selepas dia menanggalkan kasut dan stokin dan meletakkannya di laluan dalam bas.

NEW DELHI: Sepasang stokin busuk menyebabkan seorang lelaki ditahan Polis India kerana mencetuskan rasa kurang senang penumpang lain dalam sebuah bas.

Menurut polis, tindakan lelaki itu menanggalkan kasut dan stokin dan meletakkannya di laluan dalam bas ketika dalam perjalanan dari Himachal Pradesh ke New Delhi menyebabkan rasa marah penumpang lain.

Mereka yang kurang senang mengarahkan lelaki itu mengalihkan atau membuang stokin terbabit.

Bagaimanapun, lelaki itu berdegil hingga mencetuskan salah faham sehingga memaksa pemandu bas berhenti di balai polis di daerah Una, Himachal Pradesh.

Ketua Polis Una, Sanjeev Gandhi berkata, bas itu terpaksa berhenti beberapa kali kerana masalah bau yang kurang menyenangkan sebelum sampai ke balai polis.

"Lelaki itu ditahan kerana mengganggu ketenteraman awam dan kemudian dibebaskan dengan ikat jamin," kata Gandhi. - AFP

Saturday, 2 December 2017

Bank Perancis beri amaran risiko bitcoin


PARIS: Bitcoin adalah aset spekulatif dan orang ramai yang melabur mata wang itu melakukannya dengan risiko sendiri, kata Gabenor Bank of France, Francois Villeroy de Galhau.

Amaran itu diberi selepas dagangan mata wang maya itu tidak menentu kebelakangan ini.

"Kita perlu jelas, bitcoin bukan mata wang, malah bukan juga mata wang kripto," kata Villeroy dalam satu kenyataan dalam satu persidangan di Beijing, menurut Bank of France.

"Ia aset spekulatif. Nilai dan ketidaktentuan keterlaluan tidak mempunyai asas ekonomi, malah ia bukan tanggungjawab sesiapa. Bank of France mengingatkan sesiapa yang melabur dalam bitcoin bahawa mereka melakukannya dengan risiko sendiri keseluruhannya," katanya.

Bitcoin berlegar sekitar AS$9,600 dalam dagangan tidak menentu semalam, selepas jatuh kira-kira 15 peratus daripada paras tertinggi dalam sejarah minggu ini apabila beberapa pengurus wang memberi amaran gelembung dan kejatuhan berterusan nilainya.

Bitcoin kali terakhir diniagakan susut sekitar 3.4 peratus pada AS$9,612.60 di bursa Bitstamp berpangkalan di Luxembourg, berbanding rekod tertinggi AS$11,395 yang dicatatkan pada Rabu.

Pada Khamis, nilainya susut serendah AS$9,000.

Penurunan terbaru ini berbeza dengan kenaikan mendadak beberapa bulan sebelum ini. Bitcoin melonjak hampir 1,100 persen setakat tahun ini pada Rabu.

Malah, setakat semalam ia masih lagi meningkat 915 peratus.

Seorang pengurus kekayaan berkata, analisis carta teknikal meramalkan penurunan lebih ketara.

"Pembetulan akan menjadikan bitcoin kembali ke paras sokongan carta sebelum ini iaitu sekitar AS$7,500. Ia penurunan 20 peratus berbanding harga semasa," kata penasihat ekuiti dan derivatif ASR Wealth, Shane Chanel.

"Tanpa utiliti setiap hari, spekulasi tulen meningkatkan harganya pada masa ini. Peniaga terpaksa menggunakan petunjuk teknikal untuk membuat keputusan beli dan jual." - Reuters

Friday, 1 December 2017

Anak saudara MB Selangor direman

EMPAT individu termasuklah anak saudara Menteri Besar Selangor dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya semalam untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes perlombongan pasir dan batu haram.

PUTRAJAYA – Anak saudara Menteri Besar Se­langor, Mohd. Nuzul Fadli Mohd. Noriyualsaid, 34, bersama tiga lagi individu ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombo­ngan pasir dan batu haram di Selangor.

Perintah reman yang dikeluarkan oleh Majistret Ainna Sherina Saipolamin bermula semalam hingga 6 Disember depan bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Keempat-empat individu yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di pekarangan Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.40 pagi.

Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman ke atas empat individu terbabit selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut. 

Tambah beliau, seramai tujuh individu sudah diambil ketera­ngan oleh SPRM berhubung ke­giatan perlombongan haram itu.

Kelmarin, dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan dilaporkan ditahan kerana disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut.