Thursday, 5 October 2017

Tiada individu 'H' kerja di Pejabat Perdana Menteri


SHAH ALAM - Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad memaklumkan Pejabat Perdana Menteri tidak mempunyai seorang pegawai seperti dinamakan Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Menurutnya, individu berkenaan juga tidak berkhidmat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penasihat kanan seperti mana yang didakwa.

“Pejabat Perdana Menteri tidak mempunyai seorang pegawai bernama sedemikan berkhidmat dengan perdana menteri,” jawabnya ringkas kepada Sinar Harian, semalam.

Sebelum ini, Syed Saddiq mendedahkan, beliau diumpan RM5 juta oleh penasihat kanan Najib untuk melanjutkan pengajian ke Universiti Oxford dengan biasiswa RM400,000.

Tawaran termasuk dana untuk beliau memulakan sekolah debat bakal diketuainya di seluruh negara.

Dalam satu wawancara bersama Sinar Harian kelmarin, Syed Saddiq turut mendedahkan beliau mengenai individu tersebut, namun tidak pernah bersua. Sebaliknya, dia bertemu dengan beberapa orang tengah yang cuba memujuk beliau untuk meninggalkan Bersatu.

Tambahnya, pelbagai kaedah digunakan oleh orang tengah itu untuk meyakinkan dirinya bahawa pemberian wang berjumlah RM5 juta sebagai geran bagi membina sekolah-sekolah debat di negara ini, bukan rasuah sebaliknya salah satu cara membantu rakyat.

Wednesday, 4 October 2017

Denda, penjara tidak tutup aurat

CHE MOHD. RAHIM JUSOH

KOTA BHARU - Rakyat beragama Islam di negeri ini yang berpakaian tidak menutup aurat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara enam bulan.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, hukuman tersebut termaktub mengikut Seksyen 5(1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985.

Jelasnya, mengikut enakmen berkenaan, memakai seluar pendek paras atas lutut dan perem­puan yang berseluar serta berbaju ketat, berlengan pendek, tidak bertudung, adalah kesalahan dalam adab berpakaian.

Bagaimanapun katanya, undang-undang tersebut hanya ter­pakai kepada orang Islam sahaja.

“Undang-undang itu sudah termaktub sejak 1985, yang bertujuan mendidik umat Islam me­makai pakaian sopan dan juga menanam kesedaran kepada remaja berhubung dengan pakaian menutup aurat.

“Saya meminta semua pihak tidak menjadikan perkara ini sebagai isu besar atau mencipta konflik antara orang Islam dengan bukan Islam di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP), Lim Guan Seng.

Pada 25 September lalu, seorang pemuda diberi notis arahan menghadiri sesi kaunseling kerana memakai seluar pendek di tempat terbuka.

Lelaki itu yang ditahan ketika dalam perjalanan ke gelanggang futsal diarahkan hadir ke sesi kaunseling tersebut pada minggu depan bersama 10 lagi individu, termasuk empat perempuan yang didapati melakukan kesalahan berpakaian tidak sopan.

Mengulas lanjut Che Mohd. Rahim berkata, tindakan juga tidak akan terlepas terhadap mereka yang bermain bola sepak dengan memakai seluar pendek atas paras lutut.

“Bagaimanapun setakat ini, tidak ada lagi tindakan diambil terhadap mereka (pemain bola sepak),” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga akan sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan mereka mematuhi peraturan tersebut.

“Peraturan tersebut bukan untuk menghukum, sebaliknya ingin memberi kesedaran supaya mereka lebih bersopan dalam adab berpakaian. Setakat ini, dua orang telah dikenakan denda berhubung kesalahan tersebut,” katanya.

Tuesday, 3 October 2017

2 lagi anggota TLDM mangsa dera

Pangkalan TLDM, Lumut tempat dua lagi anggota tentera yang mendakwa menjadi mangsa dera ketika bertugas.

IPOH – Selepas kematian dua anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang disahkan sebagai mangsa penderaan ketika berada di bilik tahanan Pusat Komunikasi TLDM, Unit Sungai Wangi, Setiawan pada Jumaat lalu, polis mengesan terdapat dua lagi anggota lain turut mengalami nasib sama.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, kedua-dua anggota TLDM berpangkat Laskar Kelas 1 (LK1) cedera di abdomen dan masing-masing yang berusia 30 tahun telah membuat laporan polis semalam selepas mendakwa mereka juga mengalami nasib sama seperti rakan mereka yang meninggal dunia.

Menurut beliau, susulan laporan tersebut, polis menahan reman dua anggota polis tentera (Protela) masing-masing berusia 29 dan 37 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan seperti yang didakwa oleh dua anggota tentera berusia 30 tahun berkenaan.

“Perintah reman terhadap kedua-dua suspek itu diperoleh dari Mahkamah Majistret Seri Manjung hari ini (semalam),” kata beliau selepas sambutan Hari Pahlawan peringkat negeri di Dataran Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini semalam.

Monday, 2 October 2017

Sindiket jual ijazah palsu

INILAH diploma tulen UiTM (kiri) dan palsu (kanan) yang dikeluarkan oleh sindiket beroperasi di Puchong.

KUALA LUMPUR – Sebuah sindiket didapati menjalankan aktiviti menjual sijil palsu diploma, sarjana muda dan sarjana pada harga sehingga RM3,000 untuk digunakan oleh pembeli bagi memohon pekerjaan dalam sektor swasta.

Wartawan Kos­mo! yang menyamar sebagai pembeli mendapati sindiket yang beroperasi dari Puchong, Selangor itu hanya menjual sijil palsu dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Kolej Segi.

Sijil diploma serta ijazah sarjana muda palsu UiTM itu masing-masing ditawarkan pada harga RM1,000 dan RM2,000.

Sindiket itu juga menjual sijil diploma palsu Kolej Segi pada harga RM2,000 manakala ijazah sarjana muda dan sarjana dikenakan bayaran RM3,000.

Harga sijil diploma palsu tersebut lebih murah berbanding yuran pengajian peringkat sama yang dikenakan oleh UiTM sekitar RM3,000 setahun manakala Kolej Segi RM37,000.

Yuran pengajian untuk ijazah sarjana muda UiTM juga adalah sekitar RM4,000 manakala Kolej Segi RM50,000.

Sindiket tersebut yang didalangi oleh individu yang dikenali sebagai Shafizal berkata, sijil tersebut dicetak dalam bahasa Me­layu dan Inggeris.

Menurutnya, dia mempromosi penjualan sijil palsu bersama transkrip peperiksaan tersebut melalui pengiklanan di laman web dengan meminta orang ramai yang berminat menghubunginya melalui e-mel terlebih dahulu sebelum memperoleh nombor telefon untuk dihubungi.

Sunday, 1 October 2017

Cubaan sabotaj litar sepang

SURAT tuntutan palsu yang tular di media sosial semalam kononnya Haas menuntut ganti rugi akibat kemalangan pemandu pasukan itu pada sesi latihan GP Malaysia di Sepang kelmarin.

KONTROVERSI surat tuntutan palsu bernilai AS$295,000 (RM1.3 juta) yang dibuat ke atas pengurusan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menimbulkan perasaan kurang se­nang pada perlumbaan terakhir saingan Grand Prix (GP) Malaysia sekali gus menyentap emosi peminat sukan Formula Satu (F1) semalam.

Awal pagi semalam, satu surat rasmi tular di laman sosial apabila pasukan Haas menuntut kerugian AS$295,000 ekoran kemalangan pelumbanya, Romain Grosjean melanggar penutup longkang di selekoh ke-13 pada sesi latihan kedua kelmarin.

Insiden tersebut menyebabkan jentera pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat tersebut rosak teruk, namun pelumba kelahiran Switzerland itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali (gambar kecil) menyelar berita tersebut dan menyifatkan sebagai tidak bertanggungjawab serta yakin ada segelintir pihak berniat untuk mencalarkan nama Malaysia.

Katanya, SIC tidak menerima sebarang surat rasmi daripada mana-mana pihak dan yakin kenyataan palsu itu timbul untuk merosakkan suasana perlumbaan terakhir F1 di Sepang.

“Apa yang saya ketahui surat tersebut adalah palsu kerana sehingga kini kami tidak menerima sebarang tuntutan rasmi daripada mana-mana pihak termasuk daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

“Kita peka dengan isu keselamatan dan FIA telah melakukan pemeriksaan secara rasmi sejak Khamis lalu. Kami te­lah mengikut segala arahan keselamatan yang diberikan dan FIA sangat berpuas hati sebelum mereka mengesahkan litar ini selamat digunakan,” katanya.

Dalam pada itu, sejak insiden tersebut berlaku SIC telah melakukan pemeriksaan semula di litar sepanjang 5.543 kilometer yang bernilai RM400 juta tersebut.

“Kami telah melakukan pemeriksaan semula di setiap selekoh dan sejak malam semalam (kelmarin) kami telah mengarahkan pembaikan semula penutup longkang di selekoh. Saya rasa tiada isu yang menyatakan perlumbaan ini perlu dibatalkan,” ujarnya.

Pada sesi kelayakan semalam, kira-kira 27,000 penonton membanjiri saingan terakhir F1 di Sepang dan Razlan yakin kehadiran penonton akan meningkat pada aksi final hari ini.