Friday, 7 October 2016

Risiko guna Internet berlebihan



Cyberjaya: Golongan remaja dan belia yang berumur dibawah 24 tahun terutama lelaki yang mempunyai masalah menumpukan perhatian mempunyai risiko tinggi dalam penggunaan Internet secara berlebihan.

Pakar psikiatri Kanak-kanak dan Remaja Hospital Selayang Dr Norharlinar Bahar berkata, kajian yang dilakukan pihaknya mendapati majoriti remaja menggunakan Internet untuk melayari media sosial dan mendapatkan maklumat tertentu untuk dijadikan sebagai bahan rujukan.

"Malah, 18.9 peratus daripada mereka menggunakan Internet untuk bermain permainan secara dalam talian selain memuat turun lagu dan filem dengan hampir ke semua mereka mempunyai akses Internet di rumah masing-masing.

"Golongan yang mempunyai masalah untuk memberi perhatian dalam tempoh yang lama dan merasakan aktiviti dalam talian lebih menarik menjadi satu daripada faktor yang mendedahkan mereka dengan penggunaan Internet berlebihan," katanya pada sidang media selepas Persidangan Tahunan Masyarakat Antarabangsa mengenai Ketagihan Internet kali ke-5 (ISIA 2016) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah Kanan Bahagian Advokasi dan Jangkauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Eneng Faridah Iskandar.

Katanya, penggunaan Internet secara berlebihan mampu membawa keburukan sehingga menjejaskan tumbesaran mereka terutama dalam bidang akademi.

"Pelbagai masalah yang akan dihadapi remaja yang terdedah dengan penggunaan Internet berlebihan kerana mereka tidak boleh melakukan perkara yang sepatutnya dilakukan seperti ke sekolah.

"Selain itu, kajian di negara ini mendapati pelajar yang menggunakan Internet secara berlebihan dengan purata masa antara tiga jam ketika waktu persekolahan dan lima jam pada hujung minggu," katanya.

Beliau yang juga Presiden ISIA 2016 berkata, persidangan itu membincangkan mengenai kepentingan usaha bersepadu dan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu mengurangkan penggunaan Internet dalam kalangan masyarakat.

Wednesday, 5 October 2016

Malaysia ketinggalan dalam pembangunan nuklear

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar
PUTRAJAYA: Kurang keyakinan dan persepsi rendah rakyat negara ini mengenai isu nuklear menjadi cabaran utama kepada Perbadanan Kuasa Nuklear Malaysia (MNPC) bagi menzahirkan hasrat membangunkan loji nuklear menjelang 2030. 

Ketua Pegawai Eksekutif MNPC, Mohd Zamzam Jaafar, berkata mengikut Laporan Transformasi Ekonomi (ETP) 2010, Malaysia dijangka mempunyai loji nuklear pertama pada 2021, namun ia terpaksa dianjak berikutan tragedi kebocoran di Loji Janakuasa Nuklear Fukushima, Jepun selepas dilanda tsunami pada 2011. 

"Selepas kejadian terbabit rakyat di negara ini turut diselubungi kebimbangan, malah banyak isu negatif berkaitan tenaga nuklear dibangkitkan, walhal ada banyak kebaikan jika negara ini mempunyai loji nuklear. 

"Banyak negara sudah memiliki loji nuklear sendiri contohnya Bangladesh, Turki, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Iran. "Malah, Iran kini merancang untuk menambah dua lagi loji nuklear," katanya ketika mempengerusikan Perbincangan Meja Bulat bersama media sempena 'Sesi Pembukaan Integrated Nuclear Infrastructure Review (INIR) Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia', di sini hari ini. 

Turut hadir, Pengarah Program Pembangunan Kuasa Nuklear MNPC, Jamal Khaer Ibrahim dan Ketua Penyelarasan Kawal Selia Nuklear MNPC, Azlina Mohammad Jais. Mohd Zamzam berkata, sesi pembukaan 'INIR IAEA Misi untuk Fasa Pertama di Malaysia' itu akan diadakan di Hotel Marriott di sini, yang dijangka dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri dan disertai beberapa pakar antarabangsa dalam bidang nuklear. 

Beliau menjelaskan, dalam pertemuan selama seminggu bermula Isnin ini, pakar berkenaan akan mengkaji semula apa yang sudah dilakukan negara ini dalam aspek pembangunan kuasa nuklear. "Kita sudah hampir dengan pembangunan kuasa nuklear ini, namun ada beberapa kekangan yang dihadapi. Antaranya, MNPC tidak mempunyai tapak yang sesuai untuk membina loji nuklear berkenaan. 

"Seperti yang sedia maklum, isu penempatan adalah sangat sensitif bagi rakyat di negara ini. Lihat sahaja bagaimana rakyat membantah berhubung isu kilang pemprosesan nadir bumi Lynas di Kuantan, Pahang," katanya.

Tuesday, 4 October 2016

Perjanjian OPEC boleh naikkan harga minyak mentah melepasi jangkaan


KUALA LUMPUR - Harga minyak mentah boleh meningkat melepasi jangkaan berikutan perjanjian Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) memotong pengeluaran di antara 32.5 juta dan 33 juta tong sehari daripada 33.7 juta tong sehari ketika ini.

Dalam satu nota hari ini, Maybank Kim Eng Research (Pte) Ltd berkata, perjanjian pengurangan pengeluaran itu adalah yang pertama sejak 2008.

Firma penyelidikan itu berkata, pada pandangannya, harga minyak mentah itu akan memurata kepada US$42.50 setong tahun ini dan US$50 setong tahun depan. "Harga minyak mentah itu berpotensi naik melepasi jangkaan kita jika pengeluaran dikurangkan," katanya.

Menurutnya, margin kilang penapisan dijangka meningkat secara beransur-ansur pada suku keempat tahun ini ketika permintaan pulih untuk sulingan pertengahan semasa musim sejuk dan percutian.

"Pada asas tahun ke tahun, kami menjangka margin penapisan kasar penanda aras purata akan merosot ketika kapasiti tambahan di Asia Pasifik dan Asia Barat untuk tahun kewangan 2017 dijangka melepasi kadar yang dicatat pada 2016, walaupun bekalan masih kurang daripada permintaan tambahan," katanya. -BERNAMA

Sunday, 2 October 2016

Lampu isyarat cetus kerugian ekonomi


UMUM mengetahui fungsi lampu isyarat pada dasarnya adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas agar lalu lintas bergerak dengan lebih teratur. Ia ditempatkan di persimpangan jalan, lintasan pejalan kaki dan lokasi yang dirasakan perlu.

Penggunaan sistem lampu isyarat pertama kali diperkenalkan di England, United Kingdom (UK) iaitu di daerah Westminster pada 10 Disember 1868 dan ketika itu ia menggunakan lampu gas dan perlu dikendalikan secara manual. 

Namun begitu, Institut Hal Ehwal Ekonomi (IEA) UK, baru-baru mengeluarkan laporan kajian 'Seeing Red: Traffic Controls and the Economy', mendapati UK mengalami kerugian ekonomi lebih dari 16 bilion pound (RM85 bilion) setahun berikutan kesesakan trafik akibat terlalu banyak lampu isyarat. 

Agensi pemantauan lalu lintas berkenaan mencadangkan, lapan daripada 10 lampu isyarat di UK perlu dihentikan kerana ia sebenarnya menggugat keselamatan jalan raya, ekonomi dan alam sekitar.

Laporan itu mencadangkan supaya alternatif baharu dicari jika lampu isyarat dihentikan, sistem jalan raya direka kembali agar ia lebih bersifat terbuka dan berkonsepkan perkongsian antara pengguna. Ia sebagai mekanisma memaksa pemandu, penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki supaya lebih bertanggung-jawab serta berwaspada dengan bergerak lebih perlahan di persimpangan jalan. 

Antara kes dirujuk adalah pekan kecil, Kent, Ashford yang menghentikan penggunaan lampu isyaratnya pada 2008 dan kemudian menstruktur semula jalan raya agar menjadi lebih mesra pengguna. 

Hasilnya, angka kemalangan susut 41 peratus dan kesesakan jalan raya berjaya dikurangkan walaupun pertambahan jumlah kenderaan di kawasan terbabit. Walau begitu di negara kita, masih belum ada kajian sebegini dibuat. 

Sebahagian besar daripada kita sendiri kadangkala terasa ada lampu isyarat yang ditempuhi setiap hari tidak sepatutnya diletakkan di lokasi berkenaan. Bahkan lebih meresahkan apabila menunggu di lampu merah terlalu lama menyebabkan kesesakan panjang sedangkan di jalan bertentangan yang lengang. Lihat saja berapa ramai yang melanggar lampu isyarat mungkin kerana tidak tahan menunggu lama di persimpangan kosong. Saya sering pulang ke kampung di Kangar, Perlis.

Seingat saya, pada sekitar tahun 80-an bandar Kangar hanya ada kurang daripada lima lampu isyarat, sehinggakan ia adakalanya menjadi bahan jenaka rakan warga bandar lain sewaktu saya belajar di sebuah institusi pengajian tinggi ibu kota. 

Namun itu bukan isunya. Kini berpuluh-puluh mungkin beratus lampu isyarat diletakkan di bandar kecil itu. Perkara ini sangat meresahkan dan ada daripadanya dirasakan membuang masa kerana ia tidak diperlukan di situ.

Banyak alternatif lain yang lebih sesuai seperti susur pusingan U atau bulatan, jika dirasakan jejambat itu terlalu mahal. Janganlah dijadikan lampu isyarat sebagai lambang kemajuan. Saya rasa banyak lagi tempat lain khususnya bandar kecil di negara ini berdepan situasi serupa. 

Mungkin tiba masanya pihak kerajaan, universiti tempatan dan pihak majlis bandaran memberi perhatian mengkaji alternatif kepada lampu isyarat serta struktur jalan raya tempatan yang lebih sesuai dan selamat untuk mengurangkan kesesakan.

Kamarulzaidi Kamis
Kolumnis Berita Harian (BH)

Saturday, 1 October 2016

Tak tahu bayi dilahir tanpa mata

Xiao Ming dilahirkan tanpa mata
GUANGDONG - CHINA. Pasangan suami isteri pada mulanya tidak menyangka bayi lelaki mereka yang tidak membuka mata walaupun selepas seminggu dilahirkan sebenarnya tidak mempunyai mata.

Ibu muda, Liu Peihua dari Guangzhou City, wilayah Zengcheng, Selatan Guangdong berkata, dia terkejut kerana tidak mengalami sebarang isu kesihatan semasa proses kehamilan.

Kecacatan yang dialami bayi yang dinamakan sebagai Xiao Ming tidak disedari oleh doktor dan hanya akan diketahui selepas dilahirkan.m‎

Peihua berkata, bayinya menangis kuat dan menggerakkan anggota badannya ketika dilahirkan namun doktor dan keluarganya mendapati bayi itu menutup matanya.

Hasil pemeriksaan teliti yang dibuat doktor, bayi itu sebenarnya tidak mempunyai mata.

Pakar berkata, bayi berkenaan menghidap anophthalmia iaitu keadaan kesihatan di mana ketiadaan satu atau kedua-dua mata yang disebabkan oleh hilangnya tisu okular

Menurut doktor, anaphthalmia sukar dikesan melalui imbasan walaupun dilakukan secara berkala semasa proses perkembangan kanak-kanak di dalam rahim.

Sementara itu, Xiao Ming akan turut menjalani pemeriksaan lain bagi memastikan tiada kecatatan lain yang dialaminya.