Tuesday, 30 January 2018

Robot 'bunuh' pekerjaan manusia

ROBOT android mengambil alih tugas manusia menjaga kaunter pertanyaan di sebuah hotel di Tokyo, Jepun.

PLATFORM kecerdasan buatan (AI) dan penghasilan ro­bot-robot canggih sebenarnya telah membunuh banyak peluang pekerjaan dan bakal memberi kesan yang lebih besar kepada kehidupan manusia.

Perkara itu merupakan salah satu isu besar yang hangat dibincangkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos minggu lalu.

Ikon global China yang juga Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma mengakui perkara itu dan menyuarakan kebimbangannya mengenai perkembangan yang dilihat semakin bergerak ke arah yang lebih negatif.

Kebangkitan AI bukan hanya untuk berinteraksi atau memudahkan tugas seharian sebalik­nya telah memanipulasi kehidupan manusia dan menjadikan kita semakin lemah.

Benar kata Jack Ma, teknologi harus sentiasa memberikan peluang baharu kepada manusia dan bukan pula merampasnya.

Apa yang penting adalah kebijaksanaan manusia itu sendiri menggunakan teknologi dan keprihatinan golongan berkuasa untuk tidak terlalu rakus mengejar keuntungan tanpa memikirkan akibat buruk yang bakal berlaku.

Di Davos, kebimbangan me­ngenai gergasi internet yang merompak sejumlah besar data peribadi secara haram atau untuk tujuan berkongsi dengan pihak berkuasa turut dibahaskan.

Rata-rata bersetuju bahawa sikap masyarakat yang terlalu mudah menyerah dan mendedahkan segalanya di rangkaian sosial dan enjin carian menjadi pe­nyumbang utama kepada masalah tersebut.

Namun Davos menjadi saksi persetujuan unik daripada gergasi dunia digital yang sebelum ini sering menolak pengawasan yang terlalu banyak oleh pihak kerajaan atas alasan cuba menghalang inovasi.

Pengasas Salesforce, sebuah syarikat perkhidmatan awam utama, Marc Benioff yang sebelum ini lantang menyuarakan pendapatnya turut akur bahawa perlu wujud lebih banyak peraturan dalam sektor itu.

Ramai pengkritik dan pemerhati menyifatkan perubahan pendirian itu sebagai sesuatu yang amat positif terhadap masa depan keselamatan data peribadi setiap individu.

Pihak berkuasa pengawal seliaan di Eropah telah mengeluh selama bertahun-tahun ba­hawa syarikat-syarikat digital be­sar tidak bertindak balas ketika mereka dipanggil dalam sebarang siasatan mengenai penyelewe­ngan atau kebocoran data peribadi pengguna.

Namun Zvika Krieger yang mengetuai projek digital untuk penganjuran forum ekonomi tersebut yakin perkembangan itu mungkin menyaksikan syarikat-syarikat berkenaan menjawab panggilan mereka dan bekerjasama dalam usaha memastikan dunia digital terus memperkasa keupayaan manusia dan bukan sebaliknya. - REUTERS

Wednesday, 24 January 2018

Kebangkitan semula tentera Jepun di Asia

Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, berdiri tengah, meninjau perbarisan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF).


JEPUN mempunyai bala tentera yang digeruni, lengkap dengan persenjataan serba canggih berbanding negara-negara lain di Asia lain semasa Tokyo terlibat dalam Perang Dunia Kedua beberapa dekad lalu.

Malah, siapa sangka, tentera Nippon juga memiliki dua buah kapal perang paling besar di dunia iaitu Yamato dan Mushashi. 

Kapal seberat 72,000 tan dan panjang lebih 260 meter itu menjadi simbol kekuatan  armada Jepun di laut.

Malah, Jepun ketika itu setanding dengan Amerika Syarikat (AS)  apabila mempunyai bukan satu atau dua tetapi 10 buah kapal pengangkut pesawat. Kapal induknya, Shinano adalah antara yang paling besar ketika itu. 

Umum juga  tahu bahawa letupan dua bom atom di Hiroshima dan Nagasaki menjadi titik noktah cita-cita imperialisme Tokyo.

Selepas negara itu diduduki tentera AS dalam tahun 1945 hingga 1952, Jepun mendapatkan semula kemerdekaannya. Namun, tenteranya  yang kuat suatu masa dahulu hanya tinggal sejarah.

Di bawah perlembagaan pasca perang yang digubal, Jepun dilarang daripada melancarkan perang, manakala pada tahun 1954, tentera Jepun berwajah baharu dinamakan Pasukan Pertahanan Diri Jepun (JSDF) ditubuhkan. 

Jika dilihat pada namanya, tentera baharu itu hanya sekadar memenuhi syarat sebuah negara yang merdeka dan dipenuhi dengan kekangan. Rakyat Jepun amnya, sudah jelik dengan perang dan kuasa tentera Asia yang dahulunya gah ibarat harimau yang hilang taring. 

Sejak penubuhannya, JSDF bukan sahaja pasukan tentera yang tidak digeruni, malah tidak pernah menyertai sebarang pertempuran.

Dari aspek perlembagaan, tiada halangan untuk Jepun muncul semula sebagai kuasa tentera utama seperti beberapa dekad lalu, namun rakyat dan pemimpinnya memberi tumpuan untuk memacu negara itu untuk muncul sebagai sebuah kuasa ekonomi dunia.

Namun, perkembangan di Asia termasuk tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik sehingga menceroboh sempadan wilayah Jepun dan keberanian China dalam isu tuntutan bertindih membuka mata Tokyo bahawa ia tidak selamanya boleh bergantung kepada pakatan pertahanan dengan AS.

Jepun sebenarnya mempunyai teknologi dan kepakaran jika ia mahu mempersenjatai semula angkatan tenteranya. Negara itu mempunyai lebih 300,000 askar termasuk pasukan  simpanan, hampir 3,000 kereta kebal dan perisai, lebih 200 artileri, kira-kira 100 peluru berpandu, hampir 1,700 pesawat tentera, 129 kapal dan 17 kapal selam. 

Jepun juga mempunyai dua buah kapal induk, Izumo dan Kaga yang berselindung di sebalik nama kapal pengangkut helikopter. Tokyo merancang mengubah suai kedua-dua kapal itu untuk fungsi sebenarnya, sebagai pangkalan bergerak untuk pesawat tempur. 

Dari aspek peluru berpandu pula termasuk peluru berpandu balistik antara benua (ICBM), Jepun tidak memilikinya, namun, harus diingat, Tokyo mampu  melancarkan roket dan satelit sendiri ke angkasa lepas. 

Ia bermakna Tokyo hanya memerlukan masa beberapa bulan sahaja untuk mengubah suai teknologi itu untuk menghasilkan ICBM sendiri.

Perkembangan semasa di Semenanjung Korea dan Laut Timur mendorong kebangkitan semula angkatan tentera Jepun. Dasar pasif yang sinonim dengan JSDF juga akan dirombak menjelang tahun 2020.

Perkembangan itu bakal menyaksikan sebuah kuasa tentera baharu akan muncul di rantau Asia selain China, India, Pakistan dan Korea Utara. 

Kebangkitan semula itu sedikit sebanyak akan mengubah status quo di rantau itu, sama ada ke arah kestabilan ataupun sebaliknya.  

Kredit: Wan Azhar Wan Abdullah

Monday, 22 January 2018

Satu peratus golongan hartawan terus bolot kekayaan

SATU peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu.

PARIS: Satu peratus golongan paling kaya di dunia meraih 82 peratus hasil kekayaan tahun lalu, manakala orang miskin atau separuh penduduk dunia tidak menerima apa-apa, kata Oxfam hari ini.

Laporan baharu badan kebajikan itu turut mendapati kekayaan kalangan hartawan meningkat enam kali lebih pantas berbanding pekerja biasa sejak 2010.

Selain itu, seorang hartawan baharu muncul setiap dua hari di antara Mac 2016 dan Mac 2017.

Oxfam menggunakan penemuannya untuk memberi gambaran terhadap ekonomi global yang menyaksikan segolongan kecil mengumpul lebih banyak kekayaan ketika ratusan juta penduduk berdepan kesukaran meneruskan hidup dengan gaji yang rendah.

"Lonjakan jumlah hartawan bukan petunjuk ekonomi yang baik, ia adalah gejala sistem ekonomi yang gagal," kata pengarah eksekutif Oxfam, Winnie Byanyima dalam kenyataannya.

Oxfam juga menekankan nasib pekerja wanita yang mendapat gaji lebih rendah berbanding lelaki dan sering mendapat bayaran paling rendah serta tiada jaminan.

Katanya, sembilan daripada 10 hartawan adalah lelaki.

Laporan bertajuk "Reward Work, not Wealth," menggunakan data Credit Suisse untuk membandingkan pulangan eksekutif kanan dan pemegang saham berbanding pekerja biasa.

Ia mendapati, bayaran ketua eksekutif lima jenama fesyen terkemuka dunia selama empat hari adalah sama dengan pendapatan sepanjang hayat seorang pekerja pakaian di Bangladesh. - AFP

Wednesday, 17 January 2018

Pekerja asing jadi faktor gaji rendah di Malaysia

Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Punca mengapa masih ada 50 peratus rakyat Malaysia yang bergaji di bawah RM1,703 adalah kerana pengaruh pekerja asing.

Perkara itu dimaklumkan Penganalisis Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusof Saari.

Menurutnya, apa yang dilihat hari ini, negara tiada dasar yang jelas seperti negara lain di mana kemasukan pekerja asing akan mempengaruhi gaji rakyat dalam negara.

“Kita ambil contoh seperti Singapura, jika hendak ambil pekerja luar, syarikat perlu memastikan tiada rakyatnya yang hendak bekerja barulah ambil pekerja luar.

“Hendak ambil orang luar, syaratnya juga adalah pembayaran gaji adalah sama. Di Malaysia tiada, misalnya, pekerja tempatan dibayar RM2,000, tetapi pekerja asing RM700. Di sini dilihat berapa ramai orang kita digantikan dengan orang luar,” katanya ketika Live Facebook bersama Sinar Harian.

Berhubung pemantauan terhadap isu pekerja asing ini, beliau tidak pasti sejauh mana perkara itu dilihat oleh pihak berwajib.

Yusof bagaimanapun mengakui tahap ekonomi yang masih rendah adalah kesan daripada dasar terdahulu.

“Ini kerana dalam ekonomi, dasar hari ini akan memberi kesan pada negara lima tahun akan datang,” katanya.

Jelasnya, apa yang dilihat hari ini, ekonomi negara dilihat sihat daripada luarannya, tapi dalamannya agak parah.

“Antara beberapa yang pengaruhinya iaitu isu agihan pendapatan, isu pekerjaan dan gaji..yang mana kalau dibiarkan akan menjadi parah,” katanya.

Saturday, 13 January 2018

Malaysia dilanda cuaca sejuk

Petikan status facebook Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Jabatan Meteorologi Malaysia mengesahkan beberapa kawasan di negara ini terutama di selatan Semenanjung mengalami penurunan suhu dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan merekodkan suhu paling rendah pada 21 darjah Celsius sejak tengah malam hingga awal pagi semalam.

Ketua Pengarahnya, Alui Bahari berkata, keadaan itu adalah fenomena biasa ketika musim Monsun Timur Laut.

Menurutnya, cuaca mendung, hujan berterusan dan pergerakan tiupan angin sejuk Monsun Timur Laut merupakan antara faktor cuaca sejuk yang me­landa beberapa negeri di Semenanjung sejak kelmarin.

“Cuaca sejuk ini berlaku ter­utamanya di kawasan pedalaman dan daratan.

“Stesen meteorologi dari selatan Semenanjung hingga ke Johor mencatatkan suhu mini­mum 21 darjah Celsius dan maksimum 25 darjah Celsius berban­ding suhu biasa bermula 30 darjah Celsius,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.