Tuesday, 31 October 2017

Ustaz Haslin, Mufti Menk dilarang masuk Singapura

Ustaz Haslin Baharim dan Mufti Menk.

SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) tidak akan membenarkan Ustaz Haslin Baharim untuk memasuki republik ini.

Seorang lagi yang tidak dibenarkan ialah Ismail Menk yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk.

Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Dalam kenyataan di laman webnya, MHA berkata, peme­rintah mendapat maklumat bahawa mereka berceramah di atas sebuah kapal persiaran yang belayar dan kembali ke Singapura dari 25 hingga 29 Nov lalu.

Ismail Menk dan Haslin sebelum ini ditolak permohonan Pas Kerja Pelbagai mereka bagi berceramah di Singapura, katanya.

Menurut kementerian itu, Ismail Menk diketahui berce­ramah ajaran yang memisah dan memecah-belah.

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” katanya.

Haslin pula telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai ‘menyeleweng’. – Bernama

Monday, 30 October 2017

Polisi baharu usia kereta di Malaysia

KERAJAAN kini dalam proses kajian mengenai polisi jangka hayat kenderaan di Malaysia.

IPOH – Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir melakukan kajian polisi baharu bagi jangka hayat kenderaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian itu yang turut mengandungi cadangan pemberian insentif bagi menukar kenderaan lama kepada baharu, perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

“Kita tidak letakkan jangkaan tempoh untuk laksanakan polisi ini kerana kita tahu ia membabitkan pelbagai perkara selain perlu meminda undang-undang pengangkutan terutamanya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, kita memahami kebimbangan rakyat kerana semakin 'berusia' kenderaan itu, semakin banyak isu atau masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen MCA Perak 2017 di sini semalam.

Sunday, 29 October 2017

ATM terima aset ketenteraan baharu

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
PALOH - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bakal menerima lebih 20 aset baharu menerusi pembentangan bajet 2018 yang diumumkan semalam bagi meningkatkan kesiapsiagaan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau menyambut baik dan berpuas hati dengan peruntukan RM14 bilion yang diumumkan bagi dimanfaatkan untuk melaksanakan perolehan aset-aset baharu serta menyelenggara dan menaik taraf aset sedia ada di bawah Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM).

Beliau yang juga Menteri Tugas- Tugas Khas berkata, bagi perolehan aset baharu, TDM akan menerima enam helikopter 'Light Attack' (MD 530-G), meriam 155mm Self Propelled Howitzer, meriam 105mm Pack Howitzer dan peralatan khas bagi Getup Gerak Khas (GGK).

"Perolehan aset dan kelengkapan latihan GGK ini penting bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menangani ancaman keselamatan semasa terutamanya ancaman militan Daesh.

"Bagi TLDM, akan menerima enam Littioral Combat Ship (LCS) dan empat Littoral Mission Ship (LMS) yang mana masing-masing masih di dalam proses pembinaan.

"Kapal kelas kelima yang dirancang untuk diperolehi di bawah program Transformasi 15-to-15 ini pula adalah Multi Role Support Ship (MRSS) yang mana saya telah arah TLDM untuk mengkaji perolehan kapal tersebut.

"Manakala bagi TUDM, kerajaan telah meluluskan perolehan empat unit pesawat Maritime Patrol Aircraft (MPA) yang akan digunakan untuk mengawasi perairan negara termasuk Laut China Selatan dan Selat Melaka di bawah program Malacca Straits Patrol," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelancaran Task Force Agenda Pendidikan Sembrong (TAPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Kota Paloh.

Selain itu, Hishamuddin berkata, Kementerian Pertahanan akan menggunakkan peruntukkan sebanyak RM22 juta untuk menaiktaraf pos kawalan sedia ada serta membina 18 pos kawalan baharu di sempadan Sabah, Sarawak dengan Kalimantan.

Katanya, penaiktarafan itu melibatkan lima POS kawalan sedia ada yang dinaik taraf menjadi POS Gabungan, iaitu dua di Sabah (Pos Saliliran dan Pos Serudong) serta tiga di Sarawak (Pos Kandie, Pos Tebedu dan Pos Serikin).

"Inisiatif ini diharap mampu memantapkan lagi tahap keselamatan di Sabah dan Sarawak serta menangani ancaman keselamatan semasa," katanya.

Saturday, 28 October 2017

Anggota RELA dakwa dipukul Datuk Seri

KETUA Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong menunjukkan kecederaan yang dialami anggota RELA yang didakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri'.

KUALA LUMPUR: Tiga anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) cedera selepas mendakwa dipukul seorang lelaki berstatus 'Datuk Seri' ketika sedang bertugas di sebuah tokong dekat Kampung Baru, pagi semalam.

Salah seorang daripada mangsa, Melvin Cheong Mun Khai,19, berkata kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu bermula ketika dia yang melakukan kawalan bersama rakannya, Leong Jiun Jie,21, meminta Datuk Seri berusia 28 tahun untuk mengalih kenderaan jenis Toyota Vellfire yang diletakkan di tepi jalan besar kerana menghalang lalu lintas.

Mun Khai mendakwa, teguran itu menyebabkan lelaki berkenaan naik berang sebelum dia bertindak menepuk meja dan memaki hamun mereka.

"Seorang rakan, Lee Weng Poh, 27, yang turut bertugas ketika itu datang dan cuba meleraikan keadaan tetapi, dia ditampar lelaki itu.

"Datuk Seri itu turut memukul dan menendang kami selain mengugut akan mengapa-apakan kami selepas ini," katanya.

Mereka ditemui selepas membuat aduan kepada Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA Datuk Seri Michael Chong yang juga Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA di Wisma MCA, di sini, hari ini.

Mun Khai berkata, kejadian mengakibatkan mereka masing-masing cedera bengkak di mata kiri selain sakit di beberapa bahagian badan.

Katanya, satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Ampang bagi membolehkan tindakan lanjut diambil polis.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Mohd Zaid Hassan mengesahkan menerima laporan daripada mangsa.

Beliau berkata, setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan.

"Kita juga sedang menyiasat bagi mengenal pasti suspek serta pengesahan berhubung status Datuk Seri itu," katanya dalam satu kenyataan.

Catalonia isytihar merdeka daripada Sepanyol

Puluhan ribu penduduk Catalonia berhimpun di luar perkarangan parlimen di Barcelona bagi menunggu pengisytiharaan kemerdekaan wilayah itu daripada Sepanyol.

MADRID – Ahli Parlimen Catalonia memutuskan untuk mengisytiharkan kemerdekaan daripada Sepanyol semalam ketika Madrid berikrar akan ‘memulihkan undang-undang’ dan memusnahkan usaha pemisahan tersebut.

Parlimen rantau ber­kenaan di Barcelona meluluskan resolusi untuk mengisytiharkan Catalonia sebuah negara republik yang merdeka ketika beribu-ribu aktivis prokemerdekaan berhimpun di luar bangunan Parlimen.

Usul kemerdekaan itu diluluskan dengan 70 undi menyokong berbanding 10 undi menentang dengan dua ahli Parlimen tidak hadir.

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy memberikan tidak balas segera dengan me­minta semua rakyat Sepanyol supaya bertenang.

“Undang-undang akan kembali pulih di Catalonia,” katanya di laman Twitter sejurus selepas keputusan kontroversi itu.

Dewan tinggi Parlimen Sepanyol dan Senat mengadakan sidang berasingan pada pukul 10 pagi (waktu tempatan) untuk membincangkan pengaktifan Artikel 155 perlembagaan Sepanyol bagi memboleh­kan kerajaan pusat menguasai Catalonia.

Rajoy menggesa barisan senator melaksanakan pemerintahan langsung di Catalonia, namun wujud keraguan sama ada warga tempatan akan mematuhi arahan Madrid.

Krisis itu mengundng perpecahan dalam kalangan penduduk Catalonia dan mencetuskan kebimbangan di Sepanyol. Ia mendorong banyak perniagaan keluar dari rantau mewah itu dan mengakibatkan Eropah khuatir masalah Catalonia akan menghidupkan sentimen pemisahan di benua itu.

Rajoy memerlukan kelulusan Dewan Senat yang dikuasai parti pimpinannya, Parti Rakyat untuk memecat kerajaan Catalonia dan melaksanakan pemerintahan langsung Madrid di wilayah autonomi tersebut. – REUTERS