Saturday, 4 November 2017

Timbalan Pengarah JKKP ditahan SPRM


JOHOR BAHRU - Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Operasi) ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah.

SPRM dalam satu kenyataan memberitahu, suspek berusia 47 tahun itu ditahan di ibu pejabat SPRM negeri pada pukul 11 malam tadi.


“Berdasarkan siasatan, suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah sebanyak RM8,000 daripada seorang pengurus projek sebuah syarikat petroleum. 


“SPRM turut merampas wang tunai berjumlah RM40,444 dan SG$1,613 selain beberapa dokumen berkaitan dalam serbuan yang dibuat di tiga lokasi berbeza,” demikian menurut kenyataan berkenaan.

Friday, 3 November 2017

Adun DAP didakwa tumbuk teman wanita



SEORANG Adun DAP dari Perak didakwa menumbuk dan menipu teman wanitanya seperti ditular dalam satu blog, kelmarin.

Blog tersebut, iaitu 'Dr MiM' yang menulis dalam bahasa Melayu bertajuk Skandal! Adun Pukul Teman Wanitanya mendedahkan, Adun tersebut yang telah berkahwin dan memiliki anak, didakwa terlibat melakukan penipuan dan menumbuk teman wanitanya.

"Yang inklusif dan utamakan rakyat, kita dikejutkan dengan tindakan seorang Adun yang berlaku zalim dengan menumbuk teman wanitanya," demikian petikan perenggan pertama dalam blog berkenaan.

Seterusnya, blog itu menulis lagi, "Kita difahamkan Adun DAP di negeri Perak ini telah membuat laporan polis pada 30 Oktober lalu. Beliau mendakwa telah pergi ke rumah teman wanitanya untuk berbincang, tetapi berlaku salah faham dan beliau memaki teman wanitanya. Beliau keluar rumah tersebut selepas itu.

"Bagaimanapun, laporan polis Adun DAP itu berlainan dengan laporan polis yang dibuat oleh teman wanitanya. Wanita itu menjelaskan, Adun DAP itu telah datang ke rumah untuk berbincang tapi beliau  ditipu oleh Adun tersebut. Malah, Adun DAP itu telah mencederakannya dengan menumbuk pipi wanita tersebut.

"Wanita itu juga melaporkan bahawa beberapa barangan miliknya telah hilang termasuk dokumen-dokumen penting dan juga wang tunai," tulis blog itu.

Walaupun blog tersebut tidak menyebut identiti sebenar Adun terbabit, ramai pihak yang mendakwa Adun yang dimaksudkan ialah Adun Bercham, Cheong Chee Khing.

Bagaimanapun, ketika dihubungi oleh Oriental Daily, Chee Khing menafikan dakwaan itu kerana sekiranya beliau terbabit dengan kes memukul dan menipu wanita, sudah lama beliau ditahan pihak polis.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming enggan mengulas kes tersebut apabila dihubungi wartawan akhbar tersebut.

Thursday, 2 November 2017

Pelajar sekolah, universiti Indonesia sokong kerajaan Khalifah



JAKARTA: Hampir 20 peratus pelajar sekolah tinggi dan universiti di Indonesia menyokong penubuhan kerajaan Khalifah di negara paling ramai umat Islam di dunia itu berbanding kerajaan sekular sedia ada, menurut satu tinjauan baru minggu ini.

Reputasi negara itu yang mengamalkan toleransi agama sejak sekian lama mula diperhatikan apabila kumpulan konservatif Islam mula memasuki kehidupan umum dan politik Indonesia.

Majoriti rakyat negara itu mengamalkan Islam secara sederhana dan ia mempunyai ramai minoriti Hindu, Kristian dan mereka yang memegang kepercayaan tradisional.

Kepelbagaian agama ada dalam Perlembagaan negara itu.

Tinjauan oleh pertubuhan beribu pejabat di Jakarta itu menemubual lebih 4,200 pelajar Islam, kebanyakannya di sekolah dan universiti terkenal di Jawa, yang mempunyai lebih separuh daripada penduduk negara itu.

Hampir satu dalam empat pelajar berkata mereka, pada pelbagai tahap, bersedia melancarkan jihad untuk mencapai matlamat penubuhan kerajaan Khalifah.

"Ini menunjukkan ketiadaan toleransi sudah memasuki sekolah tinggi dan universiti utama.

"Kerajaan dan pertubuhan Islam sederhana perlu mula mengambil langkah ketara menjangkakan perkara ini dan berada dalam kalangan pelajar dengan cara yang boleh difahami mereka," kata pusat tinjauan itu, Alvara, dalam laporan yang disiarkan Selasa lalu.

Kumpulan konservatif Islam, lewat tahun lalu mengetuai bantahan jalanan besar-besaran menentang bekas gabenor Jakarta yang berketurunan Cina dan beragama Kristian, yang dipercayai menghina Islam. - Reuters

Doktor muda HSNZ ditemui mati

Deretan gerai jualan makanan di Pasar Malam Kuala Ibai iaitu lokasi seorang pegawai perubatan HSNZ dipercayai membeli makanan sebelum mengalami keracunan dan ditemui mati di dalam bilik rumah sewanya kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ditemui mati dalam bilik rumah sewanya di Kampung Nyiur Sepohon di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Muaz Mohd. Sabri, 30, ditemui kira-kira pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil selepas anak pemilik rumah sewa berkenaan berjaya membuka pintu bilik tersebut.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari yang lalu.

Menurut anak pemilik rumah berkenaan, Hakim Mat Lazim, 32, dia dimaklumkan bahawa mangsa mengalami keracunan makanan selepas memakan juadah yang dibeli di sebuah pasar malam di Kuala Ibai.

Katanya, pasar malam berkenaan dibuka setiap hari Rabu pada waktu malam.

“Saya difahamkan tunang mangsa yang turut bertugas sebagai seorang pegawai perubatan di HSNZ terpaksa ditahan beberapa hari di wad untuk rawatan kerana turut mengalami keracunan makanan.

“Bagaimanapun, arwah yang enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengambil keputusan untuk berehat di bilik sewanya sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Wednesday, 1 November 2017

Kerajaan pantau aktiviti Zakir Naik

Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memantau aktiviti dijalankan oleh penceramah terkenal, Zakir Naik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan akan diambil sekiranya Zakir didapati terlibat dengan terrorisme.

"Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak pernah melanggar undang-undang dan peraturan,"

Menurutnya, kerajaan juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada India berhubung dakwaan terrorisme.

"Tiada alasan dari segi peruntukan undang-undang untuk menahan atau menangkap Zakir," katanya.

Berhubung dengan isu kewarganegaraan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasil semakan di Jabatan Pendaftaran Negara mendapati tiada rekod permohonan dikemukakan.

"Untuk makluman, tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada warga India itu sebagaimana dilaporkan," katanya.

Terdahulu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan menyatakan status kewarganegaraan dan rasionalnya layanan istimewa yang diberikan.

Zahid berkata, pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kepada Zakir dilakukan mengikut prosedur berdasarkan pemilikan Permit Masuk dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.