Monday, 12 June 2017

Petani terpaksa bakar harumanis

Musa (dua dari kanan) dan isterinya, Zainab Hasim (kanan) melayan pelanggan yang datang ke ladang mereka untuk membeli harumanis di Santan, Padang Besar kelmarin.


PADANG BESAR – Para petani harumanis di Perlis mengalami kerugian besar berjuta-juta ringgit pada tahun ini kerana berlaku lambakan buah dan penurunan mendadak harga harumanis yang memaksa sesetengah mereka membakar hasil ladang masing-masing untuk mengelakkan ancaman penyakit.

Malah lebih buruk, buah harumanis yang dipetik terpaksa dijual pada harga serendah RM10 sekilogram kepada peraih dan RM15 kepada pembeli akibat lambakan di pasaran pada bulan puasa selain faktor kelemahan pemasaran.

Fenomena itu cukup mengejutkan kepada pengusaha ladang harumanis berbanding zaman kemuncak pada tahun 2015 apabila seorang petani mampu mengaut untung dengan menjual harumanis pada harga RM50 sekilogram.

Menurut seorang pekebun, Musa Darus, 75, dia tidak menyangka tahun ini merupakan ujian terbesar bagi dirinya dan pengusaha lain kerana permintaan merosot teruk lebih 70 peratus sehingga menyebabkan banyak buah terbiar busuk di pokok.

Musa berkata, 133 pokok mempelam harumanisnya mengeluarkan hasil kira-kira lima tan (5,000 kilogram) tahun ini, namun malangnya 2.5 tan terpaksa dibiarkan busuk di pokok dan terpaksa dibakar bagi mengelakkan penyakit yang mengancam pokok lain.

Thursday, 8 June 2017

1.4 juta saman belum dibayar

AHMAD Zahid menyampaikan ucapan pada majlis penerapan nilai-nilai murni di bulan ramadan
bersama Timbalan Perdana Menteri di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR - Sebanyak 1.4 juta saman trafik tahun lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah jalan raya sehingga hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejumlah 5.3 juta saman dikeluarkan tahun lalu tetapi hanya 3.9 juta sudah dijelaskan yang membabitkan nilai kutipan sebanyak RM309 juta.

Jika 1.4 juta saman ini dapat dikutip semua, PDRM akan memperoleh kutipan sebanyak RM600 juta.

“Ketua Polis Negara minta kebenaran saya untuk kutip 1.4 juta saman ini, ketuk pintu ke pintu tetapi saya kata nanti dulu.

“Bukan saya nak halang beliau, tetapi saya sedar rakyat sedang tertekan. Wang mahu digunakan untuk keperluan lain. Jadi, di sini kalau rakyat tidak mahu bayar, nak guna wang kepada keperluan lain, beri kerjasama. Jangan lakukan kesalahan jalan raya,” katanya.

Sunday, 4 June 2017

Revolusi telefon bimbit

CONTOH alat telekomunikasi radio digunakan tentera yang dikeluarkan oleh syarikat Motorola.

TELEFON bimbit pada hari ini seperti sudah menjadi satu keperluan bagi setiap orang. Jika 20 tahun dahulu sesiapa yang mempunyai alat peranti tersebut boleh dianggap sebagai orang berada.

Revolusi telefon bimbit telah menarik minat ramai orang, dengan fungsi dan kelebihan terbina membuatkan peralatan itu diminati ramai. Tambahan pula sekarang harga untuk memilikinya tidak lagi seperti dahulu.

Justeru, hampir setiap orang dalam pelbagai lapisan masyarakat mempunyai telefon bimbit sendiri sebagai medium komunikasi. Tidak kira sama ada peranti mahal atau murah, yang penting boleh berkomunikasi dengan mudah.

Sebelum kewujudan telefon bimbit, pada 1907 majalah Punch telah menerbitkan karikatur dilukis oleh Lewis Baumer yang membayangkan pada tahun tersebut seorang lelaki dan wanita bercakap antara satu sama lain menerusi telefon tanpa wayar.

Sejarah penggunaan telefon mudah alih te­lah bermula sejak 1908 lagi. Seperti dilaporkan sebuah syarikat di London, USWithc Limited, Amerika Syarikat menjadi negara pertama yang mempatenkan telefon tanpa wayar.

Pada tahun tersebut, Profesor Albert Jahnke serta Oakland Transcontinental Aerial Tele­phone dan Power Company mendakwa mencipta sebuah telefon tanpa wayar.

Walau bagaimanapun, mereka tidak mengeluarkan telefon tersebut dan telah dituduh menipu.

Pada 1918 pula, sebuah syarikat kereta api di Jerman telah menguji sistem telefon tanpa wayar untuk kegunaan komunikasi tentera di Berlin dan Zossen.

Kemudian, satu percubaan umum telah dilakukan pada 1924 juga oleh syarikat kereta api untuk meng­hubungkan Berlin dengan Hamburg.

Selepas percubaan tersebut dilakukan, syarikat Zugtele­phonie A. G. telah diasaskan pada 1925 untuk membekalkan peralatan telekomunikasi untuk kegunaan sistem kereta api.

Sejak peralatan tersebut diaplikasikan, sistem kereta api Deutsche Reichbahn dan perkhid­matan Mail German yang menghubungkan Berlin dengan Hamburg telah menjadi sebuah pengangkutan kelas pertama.

Pada 1926, seorang artis Karl Arnold telah melukis watak kartun yang membayangkan orang ramai menggunakan telefon bimbit. Kartun itu telah diterbitkan oleh majalah Simplicissimus.

Revolusi penggunaan telefon mudah alih mula tercetus dalam Perang Dunia Kedua dan banyak digunakan dalam ketenteraan seperti komunikasi radio dua hala, namun ia menggunakan tenaga elektrik yang banyak.

Kemudian, pada 1946, telefon mudah alih mula dihasilkan oleh syarikat telekomunikasi AT&T. Telefon tersebut mempunyai peranti asas dan digunakan oleh kebanyakan pemandu teksi sebagai alat komunikasi radio dua hala.

Alat tersebut merupakan sebuah telefon yang dipasang dalam kereta (teksi) tanpa memerlukan sambungan kabel seperti telefon rumah, tetapi memerlukan peranti asas untuk menyambungkan dengan pengguna lain dan liputannya sangat terhad.

Dunia semakin berkembang, selepas melihat telefon jenis itu sukar untuk digunakan secara umum, pada 1973, Motorola mengeluarkan telefon bimbit tanpa memerlukan peranti asas sebagai stesen penghubung.

Justeru, pada 3 April 1973, Motorola mencipta telefon bimbit pertama iaitu Motorola DynaTAC oleh Naib Presidennya, Martin Cooper. Tetapi, masih belum digunakan secara umum.



Tidak lama selepas itu, Jepun menjadi negara pertama memulakan langkah drastik yang mencetuskan penggunaan telefon bimbit besar-besaran apabila syarikat Nippon Telegraph and Telephone (NTT) mengeluarkan telefon mudah alih.

Kemudian pada 1981, syarikat Nordic Mobile Telephone (NMT) telah melancarkan sistem liputan telefon bimbit pertamanya di Denmark, Norway, Sweden dan Finland.

Sejak itu, Generasi Pertama (1G) berfungsi automatik sepenuhnya yang pertama telah dihasilkan dan liputan capaian jaringan telefon bimbit diperkenalkan.

Dalam masa sama, Motorola mengeluarkan Motorola DynaTac yang menjadi telefon bimbit pertama diluluskan oleh Persekutuan Suruhanjaya Komunikasi (FCC) di Amerika Syarikat pada 1983.

Telefon bimbit terus berevolusi dengan kemajuan teknologi hingga wujud syarikat pengeluar telefon bimbit gergasi seperti Nokia, Blackberry, Sony Ericsson, Samsung dan Apple iPhone.

REVOLUSI telefon bimbit dalam masa 70 tahun daripada sebuah telefon bimbit kepada telefon pintar. – BAREKLIFTRUCKS.CO.UK

Friday, 2 June 2017

‘Saya tidak akan minta maaf’ - PM



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar pihak-pihak tertentu yang lebih mahu melihat negara tertinggal di belakang dengan mengkritik segala tindakan kerajaan membawa masuk pelaburan dari luar negara.

Perdana Menteri menegaskan, beliau bagaimanapun tidak akan mempedulikan sebarang kritikan tersebut malah ‘mengalu-alukan’ pihak berkenaan untuk berkempen menggunakan modal itu jika mereka mahu pembangunan Malaysia tertangguh.

Kata beliau, sesetengah orang berfikir adalah lebih baik memiliki syarikat yang rugi, tetapi 100 peratus milik Malaysia berbanding mempunyai pegangan lebih kecil dalam sebuah syarikat, tetapi mampu mendapat akses kepada pasaran lebih besar.

“Saya ingin bertanya, yang mana satukah pilihan itu akan memberi lebih kekayaan dan mencipta lebih banyak pekerjaan untuk rakyat? Jawapannya sangat jelas.

“Kepada mereka yang mengkritik bahawa tindakan ini sangat keterlaluan, terlalu cepat dan terlalu drastik, saya ingin memberitahu, jika kamu mahu menangguhkan pembangunan Malaysia, jika kamu ingin lihat negara kita tertinggal, jadi teruskan berkempen dengan modal itu.

“Saya tidak akan sekali-kali meminta maaf demi memudahkan kemasukan pelaburan ke negara ini. Usaha ini adalah demi kepentingan semua rakyat termasuk rakan-rakan kita dari luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan pembukaan rasmi China Contruction Bank (Malaysia) Bhd., di sini hari ini.

Thursday, 1 June 2017

Tempoh menunggu giliran haji 50 tahun



BALIK PULAU – Lembaga Tabung Haji (TH) berusaha bagi memendekkan tempoh menunggu bagi jemaah untuk menunaikan haji di Tanah Suci Mekah daripada 89 tahun kepada 50 tahun.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (Gambar) berkata, tempoh berkenaan boleh dipendekkan berdasarkan peningkatan jumlah kuota jemaah negara ini yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

“Sebelum ini, kita terima kuota 27,900 jemaah haji dan tempoh me­nunggu mengambil masa 120 tahun namun ia menjadi lebih singkat kepada 89 tahun apabila kuota meningkat kepada 30,200 orang.

“Kita menyasarkan tempoh itu dipendekkan kepada 50 tahun atau ke bawah kerana jika diizinkan Allah, kuota jemaah haji negara ini boleh mencapai hingga 35,000 ke 40,000 bagi setiap musim,” katanya sambil menambah sehingga kini terdapat 2.5 juta orang pendeposit di TH.

Abdul Azeez berkata demikian selepas program Ziarah Kasih Ramadan 2017 bagi kawasan Parlimen Balik Pulau di sini semalam.