Thursday, 3 November 2016

KWSP perkenal akaun emas

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Sharil Ridza Ridzuan menyampaikan maklumat pada Majlis Taklimat Media Penambahbaikan Skim KWSP di Bangunan KWSP hari ini.

KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperkenalkan Akaun Emas untuk ahli yang masih bekerja selepas berusia 55 tahun mulai 1 Januari 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, pengeluaran penuh KWSP pada usia 55 tahun bagaimanapun tidak terjejas.

Menurutnya, Akaun Emas adalah sebahagian daripada inisiatif penambahbaikan skim KWSP, di mana sumbangan selepas 55 tahun akan secara automatik diletakkan di bawah tabung persaraan kedua ini.

"Ia hanya boleh dikeluarkan apabila ahli mencapai usia 60 tahun bagi memastikan mereka mempunyai simpanan persaraan mencukupi apabila mencapai usia berkenaan," kata Shahril Ridza pada taklimat media mengenai penambahbaikan Skim dan Dasar KWSP di sini, hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata, ahli yang mencapai usia 55 tahun mempunyai pilihan sama ada mengeluarkan semuanya atau terus menyimpannya manakala sumbangan baharu mereka akan dimasukkan ke Akaun Emas.

Shahril Ridza berkata, ahli akan menikmati dividen yang sama bagi kedua-dua akaun.    

"Apabila mencapai usia 60, simpanan ahli dalam Akaun 55 dan Akaun Emas akan disatukan untuk tujuan pengeluaran," jelasnya.

Shahril Ridza berkata, pekerja melepasi usia 60 masih boleh terus menyumbang dan membuat simpanan dengan KWSP sehingga mereka mencapai usia 100 tahun untuk terus menikmati bayaran dividen.

Akaun Emas adalah antara inisiatif yang dibentang di Parlimen tahun lepas dan diwartakan pada 18 Februari tahun ini.

Lain-lain inisiatif penambahbaikan termasuk perubahan kepada dasar penamaan, peningkatan dalam kuantum simpanan asas, pengeluaran sebelum persaraan untuk pekerja asing serta penambahbaikan pentadbiran dasar.

Semua inisiatif tersebut akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2017. - Bernama

Harga LPG naik tahun depan?


SELEPAS harga minyak masak dan petrol naik kelmarin, rakyat jelata sekali lagi akan tertekan apabila harga gas petroleum cecair (LPG) dikatakan akan turut naik mulai tahun depan, lapor China Press.

Mengikut maklumat daripada peruncit, kenaikan harga LPG tidak mungkin berlaku pada tahun ini, tetapi tetap akan naik selewat-lewatnya tahun depan dengan kadar kenaikan RM7 setong.

Selain itu, ada dalam kalangan ejen penjual LPG turut memberitahu, kenaikan harga LPG tidak mampu dielakkan lagi ketika ini, cuma menunggu masa untuk diluluskan dan diumumkan oleh kerajaan dalam beberapa bulan akan datang.

Akhbar ini turut membuat tinjauan terhadap beberapa peruncit dan ejen penjual LPG di sekitar Lembah Klang, namun mereka mengesahkan masih belum menerima sebarang maklumat mengenai kenaikan LPG seperti diura-urakan.

Sekiranya harga LPG dinaikkan, pengguna di seluruh negara pastinya akan mengeluh kerana selepas minyak masak dan petrol, mereka sekali lagi terpaksa mengeluarkan perbelanjaan tambahan.

Kenaikan harga minyak masak dan petrol pada awal bulan ini, dan disusuli LPG dalam beberapa bulan akan datang turut memungkinkan peniaga makanan menaikkan harga jualan mereka.

Tak asing sisa pepejal, 85 terima NPK

Masih terdapat dalam kalangan orang ramai yang tidak tahu adanya penguatkuasaan Program Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca (SAS) walaupun telah dilancarkan mulai 1 September tahun lalu.

Pelaksanaan ini berkuat kuasa di tujuh negeri dan wilayah-wilayah persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Pahang, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perlis dan Kedah, manakala denda kompaun maksimum sehingga RM1,000 dikenakan jika didapati enggan melaksanakan pengasingan sisa pepejal mulai 1 Jun lalu.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Ismail Mokhtar, sejak 1 Jun hingga 30 September ini, pihaknya telah memeriksa sebanyak 130,535 unit rumah dan hasilnya, seramai 85 orang telah menerima Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) kerana tidak mengasingkan sisa pepejal dengan betul, manakala 11 orang lagi masih menunggu Izin Kompaun yang akan dikeluarkan oleh timbalan pendakwa raya.

"Walaupun kerajaan telah menghabiskan banyak wang untuk melancarkan publisiti mengenai cara-cara pengasingan sisa pepejal ini, tetapi ada yang masih menggunakan alasan seperti tidak ada masa dan tidak tahu melakukan pengasingan," kata Ismail kepada China Press.

Bagaimanapun, jelas Ismail, selepas pengasingan sisa pepejal dikuatkuasakan, jumlah sisa pepejal pada pertengahan awal tahun ini berkurangan sebanyak 13.2 peratus berbanding dalam tempoh sama tahun lepas.

Berapa jumlah pinjaman dengan China?

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diminta memberikan penjelasan terperinci mengenai jumlah wang yang dipinjam oleh Malaysia dengan China sempena lawatan yang beliau lakukan ke negara itu mulai Isnin lalu.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi berkata, disebabkan China telah memperoleh banyak projek yang diberikan oleh Malaysia, maka adalah penting Najib sebagai Menteri Kewangan memberitahu kepada sidang Parlimen segala jumlah pinjaman dan maklumat perjanjian yang dimeterai oleh kedua-dua negara.

"Perdana menteri sepatutnya memberikan jaminan kepada rakyat bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang tidak akan menggadai hak dan maruah bangsa kepada China," katanya seperti yang dilaporkan dalam Sin Chew Jit Poh.

Menurutnya, pada 1971, negara-negara Asean telah diisytiharkan sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali, namun pada hari ini, beberapa negara seperti Kemboja, Laos dan Filipina telah menyokong China atas dasar hubungan kerjasama dalam bidang ekonomi.

"Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk terus mempertahankan rantau Asean sebagai kawasan aman, bebas dan berkecuali serta tidak terpengaruh oleh negara-negara yang mempunyai kekuatan ekonomi seperti China," katanya.

Wednesday, 2 November 2016

Malaysia sah beli kapal tentera laut dari China

Majlis menandatangani MoU kerjasama pertahanan antara Hishamuddin dengan Jeneral Chang Wanquan di Beijing, semalam.
Beijing: Lawatan rasmi ketiga Datuk Seri Najib Tun Razak ke China bukan hanya bersejarah berdasarkan perspektif perniagaan disebabkan ia menyatukan hubungan dua hala tetapi turut mencapai keputusan bersejarah dalam bidang pertahanan.

Perdana menteri berkata dari segi kejayaan perjanjian perdagangan, Malaysia dan syarikat China melakar pencapaian bersejarah menerusi pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Pada sidang media bersama media Malaysia di sini, semalam, Najib berkata kerajaan Malaysia turut mencapai keputusan bersejarah membeli empat Kapal Misi Litoral (LMS) daripada China, dua daripadanya dibina di China dan dua lagi di Malaysia.

Najib, yang juga Menteri Kewangan berkata jumlah kapal itu akan ditambah jika Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berpuas hati dengan kapal dihasilkan itu yang dijangka dapat disiapkan dalam masa dua tahun.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ini kali pertama Malaysia membeli peralatan tentera dari China dan ia dibuat atas cadangan TLDM berdasarkan harganya yang murah serta memenuhi keperluan mereka.

Menurutnya, pembelian itu menggunakan lebihan peruntukan TLDM untuk membaik pulih kapal bagi menggantikan Laksamana-class Corvettes yang perlu diganti.

Najib juga membangkitkan kesalinghubungan udara kepada rakan sejawatannya dari China, Li Keqiang, dengan berharap kerajaan China dapat mengkaji waktu penerbangan AirAsia dan Malaysia Airlines ke negara itu yang kini hanya pada lewat malam atau awal pagi kepada waktu yang lebih selesa kepada penumpang.

Ditanya mengenai jumlah pelaburan dan perjanjian perniagaan besar yang diperuntukkan kepada China berbanding negara lain, Najib berkata keputusan itu dibuat berdasarkan realiti ekonomi, malah sesetengah peluang perniagaan yang diberi kepada China turut ditawarkan kepada negara lain.

Bagaimanapun katanya, negara yang turut ditawarkan itu tidak mempunyai kemampuan kewangan dan kepakaran untuk menerima projek berkenaan.

"Kita turut mengambil kira kebaikan yang kita peroleh daripada perjanjian perniagaan itu," katanya.

Bekalan minyak masak peket habis

Beberapa anggota KPDNKK merampas 61 botol minyak masak bersaiz 5kg dan 388 peket minyak masak di sebuah pasar raya di Taman Putra Perdana, Puchong semalam.
KUALA LUMPUR – Bekalan minyak masak peket satu kilogram (kg) di Lembang Klang dan empat buah negeri dilaporkan habis di beberapa buah pasar raya dipercayai disorok oleh peniaga yang cuba mengaut keuntungan berlebihan ekoran langkah kerjaaan memperkenalkan Rasionalisasi Harga Minyak Masak bermula bulan ini.

Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, selain Kuala Lumpur, para pengguna turut me­ngalami kesukaran untuk membeli mi­nyak masak dalam bentuk peket di Kedah, Selangor, Pahang dan Johor.

Di Kedah, Presiden Persatuan Pengguna Negeri Kedah, Datuk Yusof Ismail berkata. perbuatan menyorokkan minyak masak oleh peniaga menjadi punca kekurangan bekalan di beberapa buah pasar raya di Alor Setar.

“Namun, saya yakin bekalan minyak masak akan kembali pulih apabila kerajaan menaikkan harga terbuka seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya kepada Bernama selepas membuat tinjauan di sebuah pasar raya di sini semalam.

Tuesday, 1 November 2016

China bina, biayai projek ECRL di Malaysia

Laluan ECRL.

BEIJING: Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) sepanjang 620 kilometer (km) menerusi Rancangan Malaysia ke-11 (RMKe-11) akan dibina dan dibiayai oleh China. 

Kontrak pembinaan dianugerahkan kepada syarikat China Communication Construction Company Ltd (CCCC) manakala perjanjian kewangan akan dibuat dengan Export-Import Bank of China (EXIM). 

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, berkata Malaysia mendapat pinjaman kewangan kompetitif dari China yang jauh lebih rendah berbanding pasaran antarabangsa. 

"Projek ini mempunyai pelbagai kesan positif. Bandar kecil seperti Mentakab, Dungun dan Tumpat di sepanjang laluan akan mendapat faedah dari segi pembangunan," katanya kepada media selepas menyambut ketibaan Datuk Seri Najib Razak di Hotel China World di sini, hari ini. 

Mohd Irwan berkata, butiran kontrak dan rangka kerja pinjaman akan ditandatangani pada lawatan Perdana Menteri ke China ini. Katanya, pembinaan landasan itu akan memudahkan pelbagai produk keluaran pantai timur dibawa ke pantai barat, terutama Pelabuhan Klang. 

"Ini akan menjadikan pasaran lebih kompetitif kerana kos pengangkutan rendah, selain menaikkan taraf hidup penduduk," katanya. Mohd Irwan berkata, projek berimpak tinggi itu boleh dimulakan tahun depan jika semua urusan berkaitan selesai hujung tahun ini.