Thursday, 30 November 2017

AS-Korea Utara kembali tegang

Gambar ini dikeluarkan dari Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) Korea Utara diambil pada 28 Julai 2017 menunjukkan peluru berpandu balistik antara Korea Utara (ICBM), Hwasong-14, yang dilancarkan dan tempat yang tidak didedahkan di Korea Utara.

WASHINGTON: Presiden Donald Trump berikrar untuk mengenakan sekatan lebih berat ke atas Korea Utara susulan ujian peluru berpandu terkini dilancarkan negara itu.

Dalam tweet terbaru yang dimuat naik hari ini, Trump menyatakan telah menghubungi Presiden China, Xi Jinping, bagi meraih perhatian berhubung tindakan Korea Utara itu.

"Sekatan tambahan akan dikenakan ke atas Korea Utara hari ini. Situasi ini akan segera ditangani," katanya.

Tidak dapat dipastikan sama ada sekatan berkenaan akan dilakukan bagi pihak Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) atau Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam perbualan bersama Jinping, Trump telah meminta Beijing untuk mengguna pakai semua saluran yang ada untuk mengenakan tekanan ke atas Korea Utara.

Pyongyang semalam melancarkan peluru berpandu balistik rentas benua (ICBM) yang mampu terbang sehingga ke Washington.

Presiden AS itu mengancam untuk bertindak lebih keras terhadap Korea Utara jika negara Asia berkenaan berterusan mengancam mereka atau rakan sekutu lain menerusi pelaksanaan ujian ICBM. - AFP

Wednesday, 29 November 2017

Duit persundalan sampai berkulat

SEBUAH sindiket pelacuran dipercayai telah menjalankan aktiviti persundalan mereka sejak lebih 10 tahun lalu di sebalik operasi pusat urut Hotel Promenade di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Jabatan Imigresen Malaysia mengesyaki aktiviti sindiket persundalan di Hotel Promenade di sini sudah beroperasi lebih 10 tahun ekoran penemuan kesan reput dan berkulat pada sebahagian wang tunai RM13.5 juta yang dirampas Jumaat lalu.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati kesan lumut dan berkulat terdapat pada sebahagian daripada wang tunai yang dijumpai dalam serbuan Ops Gegar itu.

“Walaupun sindiket pelacuran tersebut dikesan baru-baru ini, namun kami percaya kegiatan ini sudah lama dijalankan berikutan terdapat kesan kulat dan berlumut pada sebahagian wang tunai berkenaan.

“Selain itu, terdapat juga beberapa ikat wang tunai disimpan di dalam kotak yang tertera perkataan tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat Jabatan Imigresen Sabah di sini semalam.

Tuesday, 28 November 2017

Pemeriksaan wajib pendawaian elektrik setiap 10 tahun



PETALING JAYA: Semua rumah akan diwajib memeriksa pendawaian elektrik setiap 10 tahun mulai tahun depan.

Ketua Unit Pembangunan Keselamatan Elektrik Suruhanjaya Tenaga, Iffah Hannah Muluk, berkata peraturan itu akan berkuat kuasa di bawah pindaan kepada Peraturan Elektrik 1994.

"Sebelum ini kita tidak mempunyai peraturan seumpama itu. Oleh kerana kurangnya kesedaran mengenai keselamatan elektrikal, orang ramai tidak memeriksa pendawaian hinggalah sesuatu berlaku," katanya pada perbincangan keselamatan elektrik di Schneider Electrics di sini, pada Isnin.

Peraturan itu dibuat selepas berlaku beberapa insiden terutama yang membabitkan unit kediaman, yang menyebabkan kemalangan jiwa.

Sejak 2002, 914 kes kebakaran dilaporkan, 50.5 peratus daripadanya membabitkan rumah kediaman.

Bagi tahun ini, 49 kes dilaporkan dengan separuh daripadanya membabitkan kemalangan jiwa.

Sementara itu, Presiden Persatuan Elektrikal dan Elektronik, Chew Shee Fuee, berkata kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia mengenai keselamatan elektrik adalah rendah, dan ramai tidak menyedari bahawa badan mereka sendiri adalah konduktor elektrik.

Chew berkata, lambakan bahan-bahan elektrik tiruan dan yang tidak mempunyai sijil kelulusan terutama kabel dan 'charger' telefon amat membimbangkan dan kerana mudah berlaku 'kebocoran' elektrik yang akan menyebabkan renjatan dan kebakaran.

Beliau mengingatkan orang ramai agar menggunakan wayar sambungan untuk alat-alat elektrik bervoltan rendah sahaja.

"Jangan gunakan pada alat-alat utama seperti peti ais, oven dan mikrowave. Anda membahayakan nyawa orang-orang di rumah anda.

"Untuk lebih selamat, lucutkan plug pada semua alat-alat elektrik bila anda tidak menggunakannya bagi mengurangkan risiko kebakaran," katanya. - BERNAMA

Monday, 27 November 2017

Proton bakal lancar kereta terbang

PROTOTAIP TF-X hasil rekaan syarikat Terrafugia Inc.

KUALA LUMPUR – Perusahaan Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (Proton) mungkin mencatatkan sejarah tersendiri dalam industri automotif dunia apabila bakal mengeluarkan kereta terbang tidak lama lagi.

Memetik laporan akhbar China Press, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton, Li Chunrong berkata, Proton akan melancarkan tiga jenis va­rian kenderaan iaitu kereta pemanduan automatik, kereta berkuasa elektrik sepenuhnya dan kereta terbang secara berperingkat menjelang tahun 2019.

“Selain model Boyue, Proton akan menaik taraf dan me­ngubah suai lapan model sedia ada dalam usaha untuk me­ningkatkan daya saing Proton,” katanya ketika berucap pada Persidangan Usahawan Malaysia-China ketujuh yang diadakan di Putrajaya kelmarin.

Keyakinan Chunrong mengenai inovasi kereta terbang yang bakal dimiliki Proton itu susulan kejayaan Zhejiang Geely Holding Group (Geely) membeli sebuah syarikat Amerika Syarikat, Terrafugia Inc. pada 13 November lalu.

Friday, 24 November 2017

Inspektor, koperal 'Kaki Paw' direman



EMPAT individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes samun ke atas ejen insurans di Rawang.

Sumber berkata, suspek terdiri tiga polis dan aktivis NGO ditahan susulan aduan mangsa berhubung kejadian yang dilaporkan berlaku kira-kira 2 petang, 12 November.

Katanya, kejadian berlaku ketika mangsa berusia 51 tahun berada di premis perniagaannya di Batu 17 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh.

“Pengadu kata dia dikunjungi tiga lelaki. Memperkenalkan diri sebagai polis. Suspek mendakwa kononnya polis mahu siasat mangsa susulan satu aduan berhubung syarikatnya.

“Dua daripada suspek kemudian arah pengadu tunjuk kad pengenalan dan duit yang disimpan di pejabatnya. Seorang lagi suspek menunggu di luar premis syarikat itu.

“Mangsa akur, menyerahkan kad pengenalan dan kira-kira RM4,000 kepada suspek. Mangsa kemudian diarahkan mengikut mereka ke balai polis,” katanya.

Jelasnya, mangsa kemudiannya meminta kebenaran untuk masuk semula ke pejabat untuk mengambil begnya sebelum mengikut suspek ke balai polis.

“Namun, ketika mangsa masuk ke pejabat kesemua suspek bertindak melarikan diri bersama kad pengenalan, telefon bimbit dan duitnya dengan menaiki kereta.

“Selepas mangsa membuat laporan, polis menahan empat suspek menerusi beberapa tangkapan berasingan sehingga semalam.

“Tiga anggota polis yang ditahan terdiri daripada Inspektor dan Koperal.

“Dua daripadanya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi. Seorang lagi di IPD Gombak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Katanya, suspek berusia antara 30 tahun dan 34 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan.

“Tempoh reman semalam. Tapi, disambung sehingga Ahad ini. Dua anggota IPD Dang Wangi terbabit direman empat hari sehingga Sabtu ini.

“Seorang lagi suspek disambung reman lima sehingga Isnin depan. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan,” katanya.