Wednesday, 31 May 2017

Kapten ‘Cef ganja’, isteri diberkas STING

Chez CHIANG (dua dari kiri) menunjukkan pelbagai produk makanan dicampur ganja yang dirampas daripada ‘cef ganja’ pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR – Seorang pegawai tentera bersara menyalahgunakan kreativiti dirinya apabila menghasilkan pelbagai jenis makanan berasaskan dadah jenis ganja sebelum dijual secara meluas menerusi Facebook.

Lelaki berusia 58 tahun berketurunan India dengan dibantu oleh isterinya, seorang wanita Indonesia berusia 35 tahun, menghasilkan pelbagai makanan yang menjadi kegemaran rakyat negara ini. Makanan yang diadun dengan ganja itu kononnya mampu merawat pelbagai jenis penyakit seperti kanser, sawan, kencing manis, buah pinggang dan darah tinggi.

Antara makanan yang bercampur ganja dan mendapat permintaan ramai ialah mi­nyak, coklat, madu, marjerin, susu, kek dan pelbagai jenis pes. Lebih menarik pe­langgan juga boleh memberi cadangan kepada lelaki digelar ‘cef ganja’ untuk itu menghasilkan makanan berasaskan dadah tersebut mengikut cita rasa masing-masing.

Semua adunan makanan bercampur dengan ganja ditawar dengan harga mampu dibeli oleh pelanggan dan suspek mempromosi dan menjual ‘kepakarannya’ yang didakwa mujarab memulihkan pelbagai penyakit itu di media sosial.

Bagaimanapun, kegiatan suspek yang beroperasi di sebuah rumah di Kampung Delek Dalam, Klang itu hanya bertahan lima bulan sebelum diserbu Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman pada Jumaat lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang berkata, dalam serbuan pada pukul 12.30 tengah hari, polis menangkap pesara tentera berpangkat kapten, isterinya dan seorang pembantu pasangan berkenaan yang merupakan lelaki berketurunan India berusia 32 tahun.

“Tangkapan tersebut merupakan kejayaan pertama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada tahun ini dalam membongkar kegiatan mempromosi dan mengedar dadah melalui platform laman sosial,” kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam.

Tuesday, 30 May 2017

Beri makan guna sudu punca bayi kegemukan

Bayi perlu diajar dan diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri.


CARDIFF - Bayi yang diberi makan ibu bapa mereka menggunakan sudu dipercayai cenderung untuk mengalami masalah ke­gemukan setelah mereka dewasa berbanding kanak-kanak yang menyuap makanan secara sendiri.

Penyelidik dari Universiti Swansea, Profesor Madya Amy Brown yang dipetik Mail Online sebagai berkata, kanak-kanak yang diberi peluang untuk menyuap makanan sendiri didapati lebih tahan lasak serta sihat.

Untuk itu jelas beliau, ibu bapa seharusnya berhenti daripada menyuap makanan menggunakan sudu kepada anak-anak yang sudah melebihi usia enam bulan kerana mereka sudah bersedia untuk diberikan makanan pejal.

Berdasarkan kajian Brown yang ditulis dalam buku Why Starting Solid Matters, pihaknya mendapati bayi yang tidak bergantung kepada ibu bapanya cenderung untuk berhenti makan apabila kenyang dan kurang me­ngalami masalah berat badan.

Jelasnya, bayi sepatutnya dibenarkan makan berdasarkan kemahuan mereka semasa belajar menyuap makanan sendiri kerana perbuatan memberi makan menggunakan sudu hanya mendorong kepada pengambilan makanan berlebihan.

“Biarkan bayi makan sekadar apa yang mereka mahukan. Jika ibu bapa menggunakan sudu dengan mengharapkan anak-anak akan menghabiskan sesuatu makanan dan mereka sudah menutup mulut, biarkan,” katanya.

Brown menghabiskan tempoh beberapa tahun untuk menyi­apkan kajian itu yang diusahakan bersama rakannya, Michelle Lee sejak tahun 2014.

Kajian itu menggunakan sampel sebanyak 298 bayi dengan melihat perkembangan mereka semasa diperkenalkan dengan makanan pejal semasa berusia enam dan 12 bulan.

Mereka kemudiannya mengkaji berat dan tabiat pemakanan bayi yang sama dalam tempoh 18 dan 24 bulan.

Pelampau Buddha ubah nama selepas diharamkan

Wirathu berucap kepada para pengikutnya selepas pergerakannya diharamkan oleh barisan tertinggi agama Buddha Myanmar, baru-baru ini.


YANGON – Gerakan nasio­nalis Ma Ba Tha, sebuah kumpulan pelampau Buddha mengumumkan penjenamaan semula nama­nya beberapa hari selepas pertubuhan utama agama Buddha mengharamkan rangkaian itu yang didakwa telah mencetuskan Islamophobia di Myanmar.

Pergerakan yang diterajui kumpulan sami itu berkembang di bawah kerajaan tentera sebelum ini dan kerap melaungkan satu bentuk nasionalisme Buddha yang telah meningkatkan ketegangan dengan minoriti umat Islam di negara ini.

Pada Selasa lalu, barisan ter­tinggi pemimpin agama Buddha Myanmar mengarahkan Ma Ba Tha untuk menghentikan semua aktivitinya sehingga pertengahan bulan Julai ini atau berdepan tindakan undang-undang.

Bagaimanapun semalam, pe­mimpinnya dalam kenyataannya bertegas tidak mahu membubarkan gerakan tersebut sebaliknya mengumumkan akan bergerak di bawah nama baharu, Yayasan Dermawan Dhamma Buddha selepas mengadakan persidangan di sebuah biara di Yangon.

“Kami menyeru kepada ahli di seluruh negara untuk bekerja demi negara, bangsa dan agama menggunakan nama Yayasan Dermawan Buddha Dhamma,” kata kenyataan itu yang ditandatangani oleh pemimpin tertingginya, Tilawka Biwuntha.

Gerakan Ma Ba Tha dipercayai kerap melancarkan bantahan dan mengadakan syarahan bertujuan untuk membangkitkan idea bahawa penganut agama Buddha di Myanmar diancam oleh penduduk Islam.

Polis telah menahan beberapa nasionalis bulan ini selepas pergaduhan meletus di kawasan kejiranan Islam Yangon, apabila berpuluh-puluh orang menyerbu sebuah rumah kerana dikatakan menyembunyikan penduduk minoriti Islam Rohingya.

Pada awal tahun ini, badan utama agama Buddha yang dikenali sebagai Jawatankuasa Na­yaka Maha Sangha mengharamkan pemimpin kontroversinya, Wirathu daripada membuat sebarang ceramah selama setahun, tetapi dia didapati masih berdegil memberikan ucapan dalam perhimpunan kelmarin. – AFP

Monday, 29 May 2017

Harga barang naik bulan puasa

Ab. GHANI (kiri) bertanya sesuatu kepada seorang peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan mengesahkan harga beberapa barangan mentah termasuk daging, ayam dan ikan semakin mahal pada bulan Ramadan berbanding sebelum ini.

Pengarah KPDNKK Kelantan, Datuk Ab. Ghani Harun berkata, pihaknya mendapati terdapat peningkatan beberapa harga barangan mentah termasuk da­ging, ayam dan ikan yang dikesan berlaku di negeri ini.

“Penentuan harga barangan yang semakin mahal mempunyai hubung kait dengan agensi lain dan kenaikan harga barangan tersebut tidak sepatutnya menjadi tanggungjawab KPDNKK semata-mata.

“Jika ada kenaikan harga barangan keperluan harian mesti ada agensi lain turut memantau iaitu seperti bekalan ikan di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, daging di bawah Jabatan Perkhidmatan Veterinar manakala sayur-sayuran serta buah-buahan tertakluk di bawah Lembaga Pemasaran Kemajuan Pertanian Persekutuan,” katanya.

Ab. Ghani berkata demikian selepas beliau bersama beberapa pegawai dan anggota KPDNKK melakukan pemeriksaan harga barangan di Pasar Siti Khadijah di sini semalam.

Sunday, 28 May 2017

Dua ditikam mati cuba pertahankan wanita Islam

Jeremy Joseph Christian ditahan tidak lama selepas serangan itu terjadi.


OREGON: Seorang lelaki menikam mati dua penumpang tren komuter di Portland selepas mereka cuba menghalang dia mengganggu dua wanita Islam, kata polis semalam. 

Polis mengenal pasti lelaki itu, yang ditahan tidak lama selepas serangan kelmarin itu, sebagai Jeremy Joseph Christian dari Portland, 35, yang memiliki rekod jenayah. 

Penyelidik kanan dengan Southern Poverty Law Center, dalam blog, berkata laman Facebook Christian menunjukkan dia bersikap perkauman dan memegang kepercayaan pelampau. Serangan dilakukan beberapa jam sebelum bermulanya Ramadan, apabila 1.6 bilion penganut Islam berpuasa. 

Christian bermula dengan mengeluarkan cacian berunsurkan etnik dan agama terhadap kedua-dua wanita itu, seorang daripada mereka memakai tudung, kata Jabatan Polis Portland. Tiga lelaki lain yang cuba menghalangnya ditikam. Ricky John Best, 53 dari Happy Valley, Oregon, maut di lokasi kejadian manakala Taliesin Myrddin Namkai Meche, 23, meninggal dunia di hospital. 

Seorang lagi mangsa berada di hospital dengan kecederaan serius tetapi tidak mengancam nyawa. Christian didakwa atas dua tuduhan membunuh dan cubaan membunuh, mengancam dan memiliki senjata. Dia diarahkan ditahan tanpa ikat jamin. - Reuters