Tuesday, 31 January 2017

Bangladesh akan pindahkan etnik Rohingnya ke sebuah pulau

Kawasan Pulau Hatiya (lingkungan merah) dicadangkan bagi menempatkan pelarian Rohingya dan Cox's Bazar yang menjadi penempatan sementara pelarian Rohingya di Bangladesh pada waktu kini.

DHAKA - Pihak berkuasa Bangladesh dijangka akan meneruskan rancangan untuk memindahkan ribuan pelarian etnik Rohingnya ke sebuah kepulauan terpencil dikenali sebagai Thengar Char berhampiran Pulau Hatiya, Teluk Bengal pada masa akan datang.

Pemindahan itu akan dilakukan ke atas warga Rohingnya yang tiba dari Myanmar ke negara ini tanpa memiliki sebarang dokumen perjalanan sah.

Menurut laman sesawang kerajaan, satu jawatankuasa terdiri daripada pegawai kerajaan di daerah pesisir pantai ditubuhkan bagi membantu mengenal pasti dan memindahkan kumpulan ini ke kepulauan tersebut.

Kira-kira lebih 300,000 etnik Muslim Rohingya berada di Bangladesh ketika ini yang rata-ratanya melarikan diri daripada krisis keganasan terutamanya di Rakhine sejak Oktober tahun lepas. -AFP

Monday, 30 January 2017

Anak bijak, berpangkat belum tentu mahu jaga ibu


“MEMPUNYAI anak yang ramai tidak bermakna hidup kita akan dilimpahkan dengan kesenangan semasa kita sihat atau ketika kita telah tua. Kerana belum tentu 10 anak yang dilahirkan boleh menjaga kita apabila kita tua nanti atau boleh bantu kita tatkala kita susah. Kadangkala anak-anak inilah yang akan beri kita ujian maha besar ketika membesarkan mereka atau ketika kita tua nanti.

“Saya tidak bercakap memperkecilkan pengorbanan ibu dan ayah membesarkan anak-anak mereka, kerana kehadiran anak amat mereka nantikan setelah berkahwin. Malah ada suami kahwin lagi kerana inginkan zuriat yang menjadi kebanggaan mereka. Tetapi setelah anak itu lahir, belum tentu anak itu boleh membahagiakan hidup mereka, baik ketika mudanya, atau setelah tua nanti.’’ Itu cerita Shaliza dalam e-mel pendeknya dan ketika ditemui oleh wartawan kami baru-baru ini.

“Apa yang saya ceritakan ini bukan bertujuan mengumpat, tetapi untuk beri kesedaran kepada ibu bapa, didiklah anak-anak lelaki dan perempuan sama rata, jangan bezakan antara mereka, khususnya antara anak bijak pandai dengan anak yang kurang pandai sambil mengharap anak yang lebih pandai dan bijak itu boleh membantu kita bila tua nanti. Sebaliknya yang tak punya harta dan tidak pandai itulah yang berkorban menjaga anda ketika tua dan nanti.

“Saya bercerita sekadar mengingatkan diri sendiri dan juga pembaca semua tentang apa yang berlaku dan melihat depan mata saya sendiri betapa perbuatan membezakan anak-anak ini membawa masalah kepada diri kita apabila tua. Contoh opah saya, punyalah sayangkan anak-anak lelaki dan anak perempuan yang bijak pandai kerana mereka dapat kerja yang baik-baik serta berpangkat, sementara yang tidak bekerja dan kurang pandai ini dipinggirkan.

“Seingat saya setiap kali pergi rumah opah, dia selalu puji pakcik dan makcik yang berpangkat, berkereta besar dan suruh saya rajin belajar supaya boleh jadi macam mereka. Bila pakcik dan makcik berkahwin dan ada anak, saya adik-beradik pulak merasa dipinggirkan sebab emak ayah kami tidak ada kereta besar. Kalau bercakap dan bercerita semua tentang cucu-cucu yang kaya ini sahaja yang dapat tempat di hati opah. Sementara kami dilupakan.

“Oleh sebab saya cucu kedua daripada emak yang juga anak sulung opah, tentulah saya dapat lihat sendiri perbezaan layanan opah. Pertama kerana emak tak bekerja dan ayah tak berpangkat. Awalnya memang abang dan saya dapat perhatian opah sebab cucu sulung. Tetapi berubah setelah pakcik dan makcik ada anak masing-masing. Bukan cemburu, tetapi nak cerita pasal perbezaan layanan opah, sebab akhirnya opah sendiri kecewa tidak mendapat layanan daripada anak-anak yang berpangkat dan bijak pandai seperti yang opah harapkan.

“Opah ada lima orang anak. Emak anak sulung, tak bekerja, tiga lagi adik emak semuanya bekerja dan bergaji besar, yang bongsu lagi pandai bekerja dan duduk luar negara, maklum ‘orang minyak’. Saya masih ingat lagi kalau opah bercerita dengan jiran dan saudara mara yang datang ketika Hari Raya atau kenduri, semua tentang anak-anak opah yang pandai, pasal gaji, rumah dan kereta besar mereka. Dan saguhati serta hadiah yang mereka beri kepada opah.

“Tetapi hari berubah apabila anak-anak opah berkahwin dan kemudian ada anak sendiri. Mereka mula kurang beri perhatian dan sagu hati pada opah. Saya dapat lihat pasangan mereka mula tidak suka balik rumah opah. Kalau balik pun setahun sekali dua saja. Alasan mereka sibuk, anak-anak sekolah, tusyen, kelas tambahan, anak periksa dan pelbagai alasannya.

“Apabila anak-anak mereka semakin besar, mereka juga jarang balik rumah opah kerana aktiviti seperti kelas muzik, sukan dan hal peribadi. Opah dan atuk semakin sunyi terutama apabila usia semakin tua. Dan opah semakin sibuk uruskan atuk yang sakit-sakit.

“Bila atuk masuk hospital, opah suruh emak telefon pakcik dan makcik suruh balik. Kerana atuk sering keluar masuk hospital, bukan selalu mereka boleh balik. Lagi sedih atuk duduk hospital kerajaan sebab atuk kakitangan kerajaan. Saya perhatikan banyak perbezaan antara atuk dengan adik atuk apabila sakit, anak-anak mereka masukkan ayah mereka di hospital swasta tapi atuk duduk hospital kerajaan. Sedangkan anak-anak atuk bergaji besar, konon.

“Ketika atuk meninggal dunia cuma emak, ayah dan kami adik-beradik yang mengadap. Anak-anak opah sampai setelah atuk dimandikan dan dikapankan, sementara yang di luar negara sampai sehari selepas atuk dikebumikan. Sementara cucu-cucu opah tidak semuanya dapat balik, termasuk menantu perempuan opah, sebab bekerja.

“Ketika atuk di hospital, emak dan opah sahaja yang sering datang menguruskan makan minum atok. Saya lihat opah memang sedih dan kecewa. Tapi opah diam. Lepas sehari atuk meninggal, masing-masing balik ke rumah mereka, tinggallah opah sendirian. Emak ajak opah tinggal bersama kami, tetapi opah tolak, dia tak mahu rumahnya tinggal. Jadi terpaksalah emak berulang alik jengok opah, dalam seminggu dua atau tiga kali.

“Untuk keselamatan opah, emak minta tolong saudara berdekatan datang jengok opah. Masa berlalu begitu pantas, ketika saya dan abang bekerja dan pindah ke bandar, emak terpaksa bawa opah tinggal bersamanya, sebab keadaan opah sering sakit dan emak tak mahu opah tinggal sendirian. Ada kalanya emak terpaksa tidur di hospital jaga opah beberapa hari.

“Sepanjang opah di rumah kami, saya dapat lihat dengan jelas anak-anak opah yang lain jarang datang jengok opah...,” Shaliza merumuskan ceritanya.

Sunday, 29 January 2017

Sempadan dikuasai gengster


MUKADIMAH


PELBAGAI usaha dijalankan kerajaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan terutama di kawasan sempadan negara termasuk mengatur strategi baharu dan menjenamakan semula agensi serta pasukan yang dipertanggungjawabkan dalam mengawal kawasan terbabit.

Namun, apa yang menyedihkan, kawasan sempadan kira-kira sepanjang 108 kilometer yang memisahkan negara ini dan Thailand bermula dari Bukit Arang sehingga Bukit Batu Puteh, Perlis amat mudah dibolosi penyeludup.

Pagar sempadan di sepanjang kawasan terbabit berlubang-lubang, malah pintu utama sempadan iaitu di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar turut menjadi laluan sindiket penyeludupan.

Ikuti laporan wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMMAD YASIR JAAFAR yang membongkar kegiatan dan modus operandi sindiket penyeludupan di Padang Besar, Perlis - Wilayah Satun, Thailand yang bukan sahaja merugikan dari aspek ekonomi, malah membawa ancaman terhadap keselamatan negara.


KANGAR - Hanya dalam tempoh lima minit, sekumpulan lelaki selesai mengangkut ratusan guni putih yang dicampakkan di pagar sempadan sebelum dimuatkan dalam kenderaan yang menunggu di sebelah Thailand.

Itulah keadaan yang berlaku setiap hari di sepanjang pagar sempadan Padang Besar-Thailand yang menyaksikan sindiket begitu bebas menyeludup masuk dan membawa keluar pelbagai jenis barangan seperti daun ketum, bahan bersubsidi, barangan bercukai termasuk dadah dan senjata api.

Lebih mengejutkan, kegiatan itu dijalankan secara terang-terangan di kawasan awam dan tanah lapang, malah turut berlaku berhampiran kawasan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) kedua-dua belah negara.

Hasil tinjauan Mingguan Malaysia mendapati pagar dawai yang menjadi pemisah bagi Padang Besar dan Wilayah Satun, Thailand itu banyak dipotong dan dilubangkan sekali gus menjadi laluan utama bagi kumpulan penyeludup membawa masuk dan keluar apa jua barangan.

Malah paling menyedihkan, beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti sebagai laluan utama penyeludup turut dibina kubu dan pos pengawal pasukan kese­lamatan, namun tiada anggota yang berada di lokasi terbabit.

Itu secara tidak langsung membolehkan ahli sindiket penyeludup terbabit menjalankan ke­giatan mereka pada bila-bila masa sehingga penduduk tempatan juga seperti tidak hairan dengan aktiviti kumpulan terbabit kerana menganggap perkara itu bukan sesuatu yang baharu.

Menurut sumber, kegiatan itu sudah berlanjutan sejak sekian lama dan kian berleluasa berikutan tiada pengawasan dan kelemahan penguatkuasaan.

“Masalah ini bukan sahaja meru­gikan kerajaan dari segi kutipan cukai termasuk terpaksa menanggung kos membaiki pagar yang ‘bocor’, malah amat membimbangkan dari segi keselamatan apabila barangan terlarang seperti dadah serta senjata api amat mudah diseludup keluar dan masuk ke negara ini.

“Bayangkan mereka (penyeludup) ini tetap beroperasi walaupun di siang hari secara terbuka tanpa risau dicekup pihak berkuasa,” katanya.

Ditanya punca utama masalah terbabit berlaku, sumber memberitahu, antaranya adalah kerana kelemahan penguatkuasaan dan tidak menolak kemungkinan telah ‘dibayar’ oleh sindiket berkenaan.

“Mereka bijak dua-dua belah penguat kuasa (Malaysia dan Thailand) sudah ‘dibayar’. Maka tidak hairanlah penguat kuasa bersikap ‘tutup mata’.

“Boleh dikatakan sempadan ini ‘milik’ gengster, mereka boleh bawa masuk dan keluar apa jenis barangan termasuk menyeludup pendatang asing tanpa izin (PATI),” ujarnya.

Sehubungan itu tambah sumber, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi menangani masalah terbabit termasuk menyusun semula strategi demi memastikan tahap pengawasan sempadan berada pada tahap optimum.

Saturday, 28 January 2017

MB kejar pencuri kabel

Status yang dimuat naik Dr. Zambry di laman Twitternya.

Manjung: Polis sedang menyiasat kegiatan curi kabel telekomunikasi yang semakin menjadi-jadi di daerah ini seperti didedahkan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam Twitternya hari ini.

Zambry memuat naik status meminta polis menyiasat hingga ke akar umbi kegiatan curi kabel yang semakin serius di daerah itu dan menyatakan menerima maklumat terdapat tempat yang membeli hasil curi berkenaan.

Dalam satu lagi statusnya, Zambry turut memuat naik gambar pekerja syarikat telekomunikasi yang sedang memasang semula kabel telekomunikasi yang dicuri dengan status menyatakan beliau dan pengawalnya mengejar dua pelaku yang dipercayai sedang mencuri kabel pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata, unit kereta peronda (MPV) polis sudah dihantar ke lokasi kejadian seperti yang dimaklumkan Menteri Besar dalam Twitter itu sebaik menerima maklumat.

Katanya, polis sentiasa memantau kegiatan itu namun maklumat diterima masih kurang sehingga menyukarkan tindakan diambil.

"Kurang maklumat diberikan oleh orang ramai seperti jam berapa kejadian itu berlaku, jenis kenderaan dan maklumat pelaku serta di mana kabel itu dijual menyukarkan tindakan diambil.

"Namun kita sentiasa memantau kegiatan ini dan akan mengambil tindakan sehingga ke akar umbi," katanya.

Friday, 27 January 2017

Edar syabu guna kanak-kanak

Asisten Komisioner Azhar Hamin.
SANDAKAN - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran syabu menggunakan kanak-kanak berikutan penahanan tiga bersaudara dan merampas syabu seberat 1.05 kilogram di Flat Majlis Perbandaran Sandakan Karamunting di sini Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Azhar Hamin hari ini berkata, seorang wanita berusia 37 tahun ditahan bersama remaja perempuan berusia 15 tahun dan kanak perempuan berusia sembilan tahun yang ketiga-tiganya mempunyai pertalian saudara.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Sandakan membuat intipan dan tugas risikan dadah, di sebuah blok flat itu pada pukul 5 petang.

Menurutnya, mereka ternampak ketiga-tiga perempuan itu berada dalam keadaan mencurigakan sambil memegang satu plastik berwarna hitam.

"Ketiga-tiganya ditahan dan hasil pemeriksaan menemui ketulan hablur disyaki dadah jenis syabu dalam plastik hitam itu," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah Sandakan di sini. - Bernama