Sunday, 10 September 2017

Virtsim mantapkan kesiagaan anggota Tentera Darat


SUSUK tubuh lima anggota tentera itu bergerak perlahan-lahan secara taktikal sambil memegang raifal M4. Kelihatan salah seorang daripada mereka berjaga di bahagian belakang, manakala empat yang lain bergerak secara serentak menggeledah sebuah bangunan terbiar untuk mencari musuh.

Anggota tentera itu menyusup masuk dari satu tingkat ke tingkat dan menembak musuh satu persatu. Setelah beberapa ketika, kesemua musuh ditewaskan oleh mereka.

Menariknya, jika senario tersebut ditonton secara langsung, penonton hanya dapat melihat anggota tentera sahaja manakala bangunan dan musuh di lokasi berkenaan tidak kelihatan.

Situasi pertempuran itu sebenarnya tidak berlaku di alam realiti sebaliknya hanya dilakukan secara maya melalui paparan skrin pada peranti yang dikenali sebagai Head-Mounted Display (HMD).

Simulasi tempur itu merupakan sebahagian daripada Simulasi Latihan Maya (Virtsim) yang mula diguna pakai oleh Tentera Darat (TD) sejak dua bulan lalu.

Virtsim merupakan teknologi latihan pertempuran menggunakan simulasi arena realiti maya berbentuk tiga dimensi (3D).

Menerusi teknologi tersebut, anggota tentera boleh melaksanakan latihan pertempuran seolah-olah seperti berada dalam situasi pertempuran sebenar selepas pergerakan dan tubuh anggota diselaraskan dalam sistem maya mengikut pergerakan sebenar.

Teknologi itu yang dibangunkan oleh syarikat Motion Reality Inc. dari Georgia, Amerika Syarikat sebelum ini telah digunakan dalam pembikinan filem seperti The Lord of The Rings, Avatar dan The Avengers.

Sistem latihan pertempuran canggih itu memberi peluang kepada kru Jurnal untuk menyaksikan sendiri simulasi berkenaan di Pusat Simulasi Visual Tentera Darat yang terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat (POP TD) di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pusat Simulasi Visual itu turut menempatkan ruang latihan dan pengendali, bilik pemerhati, bilik persiapan, tempat menunggu dan bilik ulang kaji.

Ruang latihan bersaiz 420 meter persegi dibina daripada satu set kekuda besar yang terdiri daripada 16 tiang teras.

Kit kekuda itu menempatkan 98 kamera menangkap pergerakan (motion capture) dengan diod pemancar cahaya (LED) yang disambung kepada stesen pengesan prestasi tinggi.

Kit tersebut juga menempatkan dua buah televisyen bertujuan untuk menayangkan aksi latihan kepada pemerhati, sementara ruang pengendali menempatkan peralatan komputer Virtsim.

Anggota Komando 21 GGK menunjukkan demo dalam latihan peperangan menggunakan Simulator Arena Realiti Maya 3D.

Pelbagai senario


Menurut Pengarah POP TD, Kolonel Abdul Razak Hussain, objektif utama Virtsim adalah untuk meningkatkan kecekapan dan ketangkasan bertempur anggota dalam aspek keupayaan menembak, ketangkasan bertindak balas sewaktu bertempur dan keupayaan mengatur gerak anggota.

“Virtsim berupaya melaksanakan latihan pertempuran antara pelatih dengan kecerdasan buatan (AI) atau antara pelatih dengan pelatih.

“Perancangan bagi penggunaan sistem ini adalah untuk melatih setiap anggota infantri dan Grup Gerak Khas (GGK) yang terlibat dalam operasi khas dan misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ia dilengkapkan dengan 48 senario pertempuran antaranya di kawasan padang pasir, lapangan terbang, dan kawasan yang mempunyai bangunan. Senario kawasan hutan, paya dan sungai masih dalam pembangunan oleh syarikat pembekal,” katanya kepada kru Jurnal baru-baru ini.

Tambahnya, Virtsim terbahagi kepada empat peringkat latihan iaitu persiapan, penyelarasan, latihan dan ulang kaji. Terdapat dua senjata yang dibekalkan semasa latihan simulasi iaitu raifal M4 dan pistol Sig Sauer P226.

Untuk setiap simulasi, seramai 12 orang anggota boleh dilatih pada satu-satu masa dan tahap latihan pula terdiri daripada tahap permulaan (beginner), pertengahan (intermediate), lanjutan (advanced) dan pakar (expert).

Antara manfaat sistem itu termasuklah keperluan ruang latihan yang kecil dan boleh digunakan dalam apa jua keadaan cuaca, mengolah senario pertempuran tanpa had berdasarkan objektif latihan, menukar senario dalam masa singkat selain sesi latihan boleh direkod dan diulang tayang dari semua sudut latihan bagi memudahkan perbincangan ulang kaji.

PUSAT Simulasi Visual terletak di Pusat Olah Perang Tentera Darat di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan.


Tahap kesiagaan


Sementara itu, Leftenan Jusman Muktar daripada 21 GGK yang telah menguji sistem tersebut berkata, menerusi latihan itu tahap kesiagaan anggota dapat ditingkatkan semasa operasi.

“Pelatih akan terkena sedikit renjatan elektrik dan sistem anggota akan dimatikan jika terkena tembakan.

“Selain itu, latihan ini menuntut kita untuk berkomunikasi dengan anggota lain bagi mencapai objektif dengan lebih efisien,” ujarnya.

Jelas Jusman, anggota harus lebih berhati-hati jika melawan AI di tahap pakar kerana musuh akan sentiasa menembak tepat ke arah anggota.

“Kita juga mengulang kaji dengan melihat semula taktikal anggota menerusi rakaman video untuk mengenal pasti kesilapan,” tambahnya.

Sebelum bermula latihan, Jusman turut menunjukkan cara-cara pemakaian sut latihan.

“Pertama, anggota akan memakai pin pengesan pergerakan di kedua-dua pergelangan kaki, lutut, lengan dan pergelangan tangan. Kemudian peranti renjatan elektrik akan dipakaikan pada lengan.

“Selepas itu, anggota akan memakai beg yang mengandungi sistem Virtsim dan HMD sebelum dibekalkan dengan senjata,” katanya.

Anggota kemudiannya akan dibawa untuk penyelarasan pergerakan. Latihan akan berjalan mengikut objektif dan selepas itu, anggota akan dibawa untuk melihat rakaman latihan bagi tujuan ulang kaji.

Saturday, 9 September 2017

ATM sedia hantar misi kemanusiaan ke Rakhine



KUALA LUMPUR – Angkatan Ten­tera Malaysia (ATM) bersedia menyertai misi kemanusiaan untuk membantu masyarakat Ro­hingya di Ra­khine, Myanmar, jika diperlukan, ka­ta Panglima ATM, Jene­ral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor (gambar).

Beliau berkata, ATM sebagai sebuah organisasi yang lengkap dan mempunyai pe­ngalaman luas dalam beberapa misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa memang mempunyai satu batalion khas untuk melaksanakan tugas-tugas khas seperti dalam misi pengaman dan kemanusiaan.

“Semalam saya dapat arahan daripada Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) untuk kita melihat apa keperluan yang kita boleh kita sedia untuk membantu masyarakat Rohingya di Rakhine dan yang berlindung di sempadan Bangladesh.

“Kita mampu me­ngerak­kan (misi kemanusiaan) sekiranya perlu, sekiranya kalau perubatan diperlukan kita hantar satu hospital lapangan, kita mempunyai keupayaan tersebut,” katanya ke­­pada pemberita pada sidang media sempena sambutan Hari Ulang Tahun ATM ke-84 pada 16 September ini

Beliau berkata, ATM pernah menyertai be­­­­berapa misi kemanusiaan seperti di Lebanon, Congo, Somalia, Namibia dan Kemboja selain pernah membuat misi kemanusiaan di Aceh, Indonesia dan Filipina.

Beliau berkata pengalaman menyertai misi-misi berkenaan selain Malaysia yang dikenali sebagai negara bersemangat muhibah akan memudahkan ATM menyertai misi kemanusiaan dan pengaman.

Menurutnya, penyertaan Malaysia dalam beberapa misi pengaman dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapat pengiktirafan Jabatan Operasi Pengaman PBB.

Satu pasukan ATM disokong oleh Sukarelawan iM4U dijangka akan menghantar satu pasukan tinjauan bagi misi kemanusiaan ke Dhaka dan Chittagong, Bangladesh, berikutan krisis kemanusiaan yang berlaku di Rakhine dan sempadan Bangladesh ketika ini. – BERNAMA

Friday, 8 September 2017

Awas pelaburan dana PRU-14

ANAS menunjukkan laporan polis yang dibuat.

Seremban: “Biarpun saya sudah mendapat semula wang itu, tetapi saya tidak mahu perkara sama berlaku kepada orang lain,” kata Anas Salmee Syed Mohammad, 49, yang mendakwa hampir ditipu seorang lelaki menawarkan pelaburan dana bagi Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), awal bulan ini.

Wanita dari Taman Matahari Height, Senawang, di sini, berkata kejadian itu berlaku ketika dia melayari laman sosial Facebook sebelum berkenalan dengan seorang lelaki berusia 49 tahun pada 3 Ogos lalu.

Katanya, lelaki terbabit mendakwa berstatus Datuk Seri dari Shah Alam, Selangor dan memiliki sebuah syarikat penerbitan di Lembah Klang yang turut menjalankan aktiviti pelaburan dana bagi PRU14.

“Saya berjumpa dengannya pada keesokkan hari di sebuah restoran di Senawang, di sini, pada jam 10.30 pagi. Pertemuan berlangsung hampir sejam dan lelaki itu mengajak saya melabur bersamanya.

“Malah, lelaki itu memberitahu wang sumbangan akan disalurkan kepada parti politik dan 14 hari kemudian, jumlah wang akan berganda,” katanya yang berkunjung ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Katanya, lelaki itu cuba meyakinkannya dan menawarkan janji manis supaya dia terjebak dalam pelaburan berkenaan.

“Saya seperti terpukau dengan tawaran lalu memasukkan wang RM3,200 dalam akaun lelaki terbabit menerusi mesin deposit tunai di sebuah bank di Senawang,” katanya.

Anas Salmee yang bekerja sendiri, berkata dia menghubungi lelaki itu pada 20 Ogos lalu bagi bertanyakan pulangan wang pelaburan tetapi pelbagai alasan diberikan sebelum menghilangkan diri.

“Kesal dengan perbuatannya, saya membuat laporan di Balai Polis Senawang pada 28 Ogos lalu bagi menuntut pembelaan,” katanya.

Sehari selepas laporan dibuat, Anas Salmee memberitahu lelaki itu bahawa dia sudah membuat laporan polis menyebabkan wang terbabit dipulangkan.

“Saya tahu lelaki itu cuba menipu dan tidak mahu orang ramai menjadi mangsa,” katanya sambil berharap polis menjalankan siasatan menyeluruh ke atas skim pelaburan terbabit.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Datuk Noor Azam Jamaludin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Kataya, siasatan mendapati memang wujud cubaan menipu dan pihaknya akan menyiasat mengenai skim pelaburan berkenaan.

Thursday, 7 September 2017

Badan jadi belon


Keadaan Martinez selepas dada dan tangannya menggelembung akibat penyakit dekompresi.

Pisco, Peru: Badan seorang nelayan menggelembung akibat satu keadaan luar biasa selepas timbul ke permukaan terlalu cepat ketika menyelam di lautan baru-baru ini.

Berat badan Alejandro Ramos Martinez juga meningkat hampir 30 kilogram selepas dada dan tangannya menggelembung.

Martinez berkata, dia menyelam di dasar lautan untuk menangkap udang dan ikan sebelum naik ke permukaan terlalu cepat.

Kesilapan itu menyebabkan gas nitrogen di dalam darahnya bertukar menjadi gelembung, satu keadaan yang dikenali sebagai ‘bends’ atau penyakit dekompresi.

Keadaan itu yang berpunca daripada naik ke permukaan terlalu cepat boleh membawa maut dan sangat ditakuti oleh penyelam.

Bagaimanapun, dalam kes Martinez, gelembung nitrogen terperangkap di sekitar ototnya dan ia sangat jarang berlaku serta unik.

Doktor juga masih berusaha mendapatkan rawatan yang sesuai untuk Martinez.

Martinez kini diberi rawatan oksigen dalam kebuk tekanan tinggi.

Seorang doktor di Hospital San Juan de Dios, Miguel Alarcon berkata, pihaknya sehingga kini berjaya mengeluarkan 30 peratus nitrogen daripada badan lelaki itu.

“Kami juga menjalankan kajian terhadap penyakit dekompresi yang dialami Martinez kerana kami tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini,” jelasnya.

Keadaan itu menyebabkan Martinez sering berasa sakit dan sukar berjalan serta mengalami tekanan darah tinggi.

Wednesday, 6 September 2017

Penagih internet sanggup pakai lampin

Rutin latihan kawad dan perbarisan bertujuan mendisiplinkan pelatih.

“IBU bapa menipu saya. Saya berteriak dan menjerit: Saya mahu keluar! Saya tidak mahu tinggal di sini.

“Perbuatan itu tidak berguna. Tanpa menghiraukan saya mereka berlalu begitu sahaja,” ujar Xiong Chengzuo ketika mengenang detik dimasukkan ke sebuah sekolah pemulihan ketagihan internet di Huai’an, Timur China baru-baru ini.

Sebelum itu, Chengzuo, 16, ‘terpedaya’ dengan ajakan ibu bapanya untuk keluar makan bersama-sama. Sebaliknya, dia dihantar kira-kira 600 kilometer (km) dari rumahnya ke sebuah bangunan yang baginya kelihatan tidak ubah seperti penjara.

Seorang lagi yang mempunyai ketagihan yang teruk pada telefon pintar ialah Bing Jiaying, 18. Pada Mei lalu, dia dimasukkan ibunya ke sekolah tersebut. Sebelum itu, ibunya menyatakan ingin membawanya melawat saudara di sekolah tersebut.

“Saya benci awak! Itu yang saya katakan kepada ibu. Saya dimasukkan di sini secara paksa,” imbaunya.

Gadis itu mengakui, hampir setiap masa tangannya tidak lekang dengan iPhone 6 Plus. Dia akan berborak berjam-jam lamanya di laman sosial WeChat dan aplikasi QQ tanpa mengira siang atau malam.

Begitupun dia sedikit bimbang memikirkan kehidupan baharunya yang diibaratkan seperti tentera. Pendek kata, ia bukan sesuatu yang menggembirakan. Apatah lagi dia perlu melalui rutin tersebut selama setahun.

Kedatangan Chengzuo dan Jiaying disambut bekas Tentera Liberalisasi Rakyat, Xu Xiangyang. Lelaki berusia 57 tahun itu kini berjuang dalam misi yang disifatkannya sebagai menyelamatkan golongan muda daripada neraka maya.

Gangguan klinikal


Sejak tahun 2008, China menjadi negara pertama mengisytiharkan kecanduan internet sebagai gangguan klinikal. Awal tahun ini, China merekodkan 731 juta pengguna internet.

Jumlah itu meningkat dua kali ganda berbanding tahun 2009. Dianggarkan terdapat 24 juta penagih internet di republik tersebut.

“Saya benar-benar menentang permainan dalam talian. Ia merosakkan kesihatan seseorang. Ia turut membuatkan seseorang itu bagai tidak mempunyai perkara yang lebih penting dalam hidup.

“Pada saya, mereka hanyut dalam dunia yang langsung tidak bermakna mahupun membawa erti positif terhadap keluarga dan insan di sekeliling mereka,” tuturnya.

Apabila Xiangyang membuka sekolah tersebut pada tahun 1997, penagih internet tidak begitu ramai. Menurut data rasmi, China ketika itu hanya mempunyai kira-kira 300,000 komputer dengan sekitar 620,000 mempunyai akses terhadap internet.

Sekolah yang menelan kos operasi 36,000 yuan setahun (RM23,280) itu mempunyai liputan Wi-Fi tetapi tiada kata laluan disediakan untuk pelajar.

April lalu, seorang remaja berusia 17 tahun dari Guangzhou dilaporkan mengalami strok selepas bermain permainan yang dipanggil League of Legends selama 40 jam tanpa henti.

Menyorot sebuah dokumentari yang dibuat tahun 2014, ketua sebuah kem pemulihan mendakwa penagih internet sanggup memakai lampin bagi menghalang mereka meninggalkan skrin komputer. Disebabkan itu, gejala tersebut dipanggil heroin elektronik.


Terapi

SESI pemulihan secara psikoterapi turut dijalankan secara berkumpulan.

Tidak jauh dari sekolah Xiangyang, terdapat sebuah kem yang menggunakan terapi elektrokonvulsif iaitu terapi arus elektrik untuk merawat ketagihan internet.

“Ia tidak boleh ditanggung. Ada ketikanya kami diminta menutup mata menggunakan kain dengan ketat,” dedah seorang pesakit berusia 22 tahun kepada laman web berita China, Sixth Tone baru-baru ini.

Begitupun, Xiangyang menegaskan, beliau menolak kaedah yang tidak rasional dan tidak berperikemanusiaan. Kurikulum yang disusunnya mempengaruhi penagih internet untuk berpijak di bumi nyata menerusi aktiviti seperti balet, muzik dan persembahan komedi.

Menjengah ke salah sebuah kelas di sekolah tersebut, puluhan warganya kelihatan ceria ketika dalam sesi pengajaran mendengar dan melagukan puisi klasik China.

Guru seninya, Zhang Yifan menjelaskan, tugas guru sekolah adalah menjaga dan mendidik pelajar-pelajarnya melihat keindahan dunia.

“Sesetengah ibu bapa menggunakan kaedah yang teruk, seperti bergaduh, memarahi dan memukul anak-anak mereka. Ia membuatkan anak menjadi lebih jauh dan berhati keras,” katanya.

Tidak jauh dari situ, kedengaran riuh rendah sorakan sekumpulan pelajar yang sedang mengikuti kelas renang di kolam yang terletak di belakang bangunan sekolah.

Selain itu, dengan semangat perajurit mengalir di dalam darahnya, Xiangyang turut melatih pelajarnya dengan disiplin kawad dan perbarisan.

Tiga kali setahun, penuntut sekolah itu dibawa dalam perjalanan merentasi kawasan pedalaman sejauh 300 kilometer dan singgah di desa Bafang yang permai selama sebulan sebelum kembali ke pangkalan.

Ketenteraan


SEORANG pelatih dipakaikan alat pengimbas elektroensefalogram untuk merakam aktiviti otak.

“Setiap hari, kami perlu berjalan sejauh 40 kilometer. Dengan suhu mencecah 40 darjah Celsius, saya berasa seperti terbakar.

“Kadangkala kaki saya melepuh. Proses ini membuatkan saya berfikir apa yang telah saya lakukan selama ini. Lama-kelamaan saya menikmati rumah baharu ini. Ia tempat yang baik,” ujar seorang pelajar yang dikenali sebagai Jian.

Seperti Xiangyang, ahli psikiatri dari Pusat Rawatan Ketagihan Daxing, Tao Ran turut menggunakan elemen ketenteraan untuk mengatasi ketagihan.

“Ketagihan internet membawa kepada masalah di otak yang serupa dengan penggunaan heroin. Ia merosakkan tubuh dan memusnahkan hubungan tanpa disedari.

“Kesemua yang terlibat mempunyai masalah penglihatan, sakit belakang dan mengalami gangguan makan. Kami dapati kapasiti otak mereka berkurang sekitar lapan peratus,” jelasnya.

Menurutnya, pusat yang ditubuhkan pada 2013 itu menganggap seseorang yang menghabiskan masa selama enam jam atau lebih di internet, mengalami masalah ketagihan.

Beliau yang juga merupakan pesara Tentera Liberalisasi Rakyat berpangkat kolonel mendedahkan, 90 peratus pesakit yang dimasukkan ke situ mengalami kemurungan teruk sementara 57 peratus tergamak menyerang ibu bapa sendiri.

“Ini satu petanda buruk, saya khuatir trend ini akan meningkat,” tuturnya.

Rakan tenaga pengajarnya, Ma Liqiang berkata, golongan muda terbabit perlu belajar mengenal jati diri dan hidup mengikut peraturan. Mereka juga perlu belajar erti menghormati.

“Kebanyakan mereka sangat angkuh apabila mula-mula tiba di sini. Keupayaan fizikal dan stamina mereka teruk. Mereka akan termengah-mengah selepas berjoging beberapa langkah.

“Proses membentuk mereka mungkin sukar, tetapi ia tidak mustahil. Mereka masih mempunyai harapan. Hasilnya dapat dilihat dalam beberapa bulan,” ungkapnya optimis.