Sunday, 14 August 2016

Gesa kerajaan tambah baik skim perjawatan


PUTRAJAYA - Persatuan Pegawai Kanan Kastam memohon kepada kerajaan untuk menambah baik skim perjawatan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) selaras dengan kepentingan fungsinya sebagai jabatan pengutip hasil negara.

Presidennya, Mohd Noor Yusoff berkata permohonan tersebut adalah sejajar dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini yang mengiktiraf JKDM sebagai wira ekonomi negara melalui pelaksanaan tahun pertama Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

"Inilah masanya kecemerlangan JKDM diiktiraf oleh kerajaan dengan menambah baik skim jabatan ini," katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Dwitahunan Persatuan Pegawai Kanan Kastam di sini hari ini.

Antara perkara yang diminta persatuan itu untuk ditambah baik ialah tambahan kepada kekuatan logistik, sistem pengauditan dan kadar bayaran kerja lebih masa.

"Sebagai sesebuah organisasi yang mengutip hasil yang banyak kepada negara kita perlukan logistik yang mencukupi kerana kenderaan JKDM kali terakhir dibeli adalah pada 2006," katanya.

Mohd Noor berkata, tanpa sistem pengauditan yang baik, jabatan itu tidak akan dapat melakukan pengauditan GST ke atas semua syarikat secara cekap dan menyeluruh.

Mengenai kadar bayaran kerja lebih masa yang ditetapkan kepada pegawai kastam gred WK41 dan ke atas yang dihadkan RM600 sebulan katanya telah memberi kesukaran kepada JKDM membuat pembahagian tugas.

"Had RM600 bayaran kerja lebih masa dalam 10 hari bekerja sudah habis kerana JKDM terlibat dengan aktiviti penguatkuasaan, oleh itu kita minta agar kadar bayaran ini dikaji semula," katanya.

Katanya, JKDM juga menyambut baik cadangan perdana menteri sebelum ini yang mahu agar jabatan itu dikorporatkan sebagai langkah untuk meningkatkan kecemerlangan penguatkuasaan dan pungutan hasil negara.

"Warga kastam sudah pun buat kajian (berkenaan cadangan pengkorporatan) dan selesaikan beberapa isu dan kini telah sedia untuk dikorporatkan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memohon agar kerajaan melantik Ketua Pengarah Kastam dari kalangan pegawai kastam sendiri.

 "Sudah sampai masanya JKDM diketuai mereka dalam kalangan kastam sendiri, kerana hanya kastam yang faham budaya kerja dan teknikaliti jabatan ini lebih-lebih lagi apabila sistem baharu yang akan dilancar Januari tahun depan, sistem U-Customs adalah sangat teknikal," katanya.

Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia, Datuk Seri Khazali Ahmad difahamkan  akan menamatkan perkhidmatannya pada September ini.

Khazali sebelum ini merupakan Setiausaha Persekutuan Sabah, sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) di JKDM. - Bernama

Saturday, 13 August 2016

PROTON lancar Persona versi baharu 23 Ogos ini

SHAH ALAM: PROTON Holdings Bhd (PROTON) akan melancarkan Proton Persona serba baharu pada 23 Ogos ini, kereta sedan yang bakal memberikan impak positif kepada prestasi pengeluar kereta nasional. 

Ditawarkan dengan lima varian, Persona yang didatangkan dengan ciri keselamatan terbaik itu dijangka dibuka untuk tempahan mulai Isnin ini. Sarat dengan penambahbaikan berbanding model terdahulu, Persona serba baharu dijangka mendapat sambutan hangat dan mengembalikan keyakinan orang ramai terhadap jenama Proton. 

Menggunakan enjin 1.6 Liter VVT untuk semua varian, Persona yang menerima pengiktirafan 5-bintang daripada ASEAN NCAP, mampu memecut 0-100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 10.9 saat, prestasi lebih baik berbanding 12 saat untuk model terdahulu. 

‎Dari segi keselamatan, ia didatangkan dengan enam beg udara bagi varian Premium dan dua beg udara bagi varian lain, serta ciri lain termasuk Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Brek (BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Brek Anti-kunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD). 

Lebih menarik, ruang but juga dipertingkatkan dengan kapasiti 510 liter berbanding 430 liter bagi model terdahulu, selain penjimatan bahan api yang mengagumkan iaitu kurang 13 peratus bagi transmisi manual dan 10 peratus (automatik) berbanding Persona yang dilancarkan pada 2007.

Tidak hanya sistem keselamatan dipertingkatkan, PROTON juga menerapkan inovasi terkininya untuk struktur badan dengan menggunakan teknologi Hot Press Forming, yang mana kekuatannya lima kali ganda dari besi biasa. 

Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata Persona baharu menawarkan produk yang bakal mencetuskan kebangkitan pengeluar kereta nasional itu. "Apa yang penting, walaupun sarat dengan pelbagai fungsi dan keselamatan terkini, kami dapat memberikan bayangan bahawa model segmen B ini amat kompetitif," katanya yang enggan mengulas lanjut berhubung harga jualan Persona serba baharu itu. 

Beliau berkata demikian ketika majlis preview dan pandu uji media bagi model Persona di sini, hari ini. Kebanyakan media tempatan menjangkakan Persona serba baharu bakal dijual bermula daripada harga di bawah RM50,000. 

Info: Proton Persona

* Generasi pertama diperkenalkan pada tahun 2007 mengantikan Wira 
* Model itu digantikan dengan Preve pada 2012

Friday, 12 August 2016

KJ jadi pengutip sampah pula

Foto yang dimuatnaik KJ di laman Facebooknya.
SHAH ALAM - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sekali lagi menunjukan bakat lakonannya dan kali ini, menteri itu memainkan watak sebagai pengutip sampah dalam satu filem pendek.

Bakal tampil dengan filem pendek berdurasi 5 minit itu, Khairy melalui laman sosial Facebook miliknya berkata, filem pendek itu adalah bagi meningkatkan kesedaran para belia terhadap pengurusan sisa pepejal, kitar semula dan menjaga alam sekitar.

Katanya, dia membawakan watak sebagai Ahmad Khairy dengan menjadi pekerja Alam Flora untuk membawa mesej yang penting kepada para belia.

"Respek kepada abang-abang Alam Flora dan pengurusan sisa ini. Bila dah 'pakai kasut' mereka barulah kita tahu kerja yang sangat penting ini," tulisnya.

Tinjauan di laman sosial miliknya itu, foto KJ memakai seragam pekerja pembersihan, memengang penyapu di sebelah lori sampah mendapat 679 perkongsian dengan 6200 like sejak dimuatnaik semalam.

Sementara itu, memetik The Malay Mail Online, pegawai Khairy meminta orang ramai menunggu video yang akan dikeluarkan nanti.

Penggambaran yang dilakukan di Kuala Lumpur tengah hari semalam dibuat untuk persidangan antarabangsa Persatuan Wanita Asia Tenggara dan Pan Pasifik (PPSEAWA).

Persidangan tujuh hari itu, yang bermula 22 Ogos, membincangkan tajuk “Hormati Alam Sekitar Demi Masa Depan Aman dan Mapan”

Ibu Khairy, Rahmah Abdul Hamid mengetuai PPSEAWA Malaysia.

Ditangkap Kerana Cuba Memasuki Kem Tentera Untuk Mencari POKEMON

Lee Kan Seng ditahan oleh anggota tentera ketika cuba memasuki Kem Majidee, Batu Pahat.
Hasil siasatan mendapati punca sebenar untuk masuk kem tersebut ialah mencari pokemon..padah akibat taksub bermain Pokemon GO.

Assalamualaikum YBhg Dato'.

*Laporan awal tangkapan orang Awam berpakaian lengkap tentera untuk memasuki kem Tentera.*

1. Pasukan: 10 RAMD Kem Majidee, Batu Pahat.

2. Tarikh penangkapan: pada *10 Ogos 16.*

3. Lokasi penangkapan: Balai Pengawal Hadapan 10 RAMD Kem Majidee, Batu Pahat.

4. Ringkasan Tangkapan: Pada 10 1155H Ogos 2016. 1 x orang Awam berpakaian lengkap Tentera Darat Malaysia dengan menaiki motosikal Yamaha LC 135, warna merah No pendaftaran JMR 3251 telah Cuba memasuki kem melalui balai pengawal utama kem. Ketua Pengawal bertugas iaitu 1143500 Kpl Mohamad Rafidi bin Che Man telah menahan anggota tersebut dan mengarahkannya memperkenalkan diri. Anggota tersebut gagal memperkenalkan diri kerana tidak membawa My Kad bersamanya Dan memaklumkan tujuan hendak masuk kem adalah untuk belajar tentera. Anggota seterusnya telah ditahan untuk soal siasat.

5. Butiran penangkapan adalah seperti berikut:

a. Nama : Lee Kan Seng.
b. No My Kad : 990712-01-5119
c. Alamat : 1151 SP/5 Taman Sri Panchor, Japan Kluang Batu Pahat.
d. Umur : 17 Tahun.
e. Warganegara : Malaysia.
f. Bangsa : Cina.

6. Perkara telah dimaklumkan kepada DKM Kluang dan MIO Batu Pahat untuk siasatan selanjutnya.

Sekian untuk maklumat YBhg Dato'. Terima Kasih.

Sumber: Grup Gerak Khas

Thursday, 11 August 2016

Warisi harta RM48.7 bilion

Gerald Cavendish Grosvenor
Hugh Grosvenor



LONDON – Bilionair dan salah seorang manusia terkaya di dunia, Gerald Cavendish Grosvenor yang memakai gelaran Duke of Westminster Keenam, meninggal dunia pada usia 64 tahun kelmarin.

Menurut kenyataan syarikatnya, Grosvenor Estate, beliau meninggal dunia di sebuah hospital di Preston, barat daya England selepas jatuh sakit secara tiba-tiba di kediamannya di Abbeystead Estate.

Anak lelakinya, Hugh Grosvenor, 25, yang merupakan bapa pembaptisan kepada Putera George akan mewarisi gelaran Duke of Westminster dan syarikat Grosvenor Estate yang merangkumi 121 hektar kawasan mewah di London.

Beliau juga akan mewarisi kekayaan bapanya berjumlah sekitar £9.35 bilion (RM48.7 bilion).

Keluarga Grosvenor berasal daripada bangsa Norman yang menyerang England pada tahun 1066. Puak Norman berasal dari rantau Normandy di Perancis.

Moyang duke berkenaan, Sir Thomas Grosvenor mengahwini seorang pewaris harta, Mary Davies dan memperoleh tanah paya yang luas pada 1677.

Sejak beberapa generasi, keluarganya membangunkan tanah itu menjadi dua kejiranan paling berprestij dan mewah di London iaitu Mayfair dan Belgravia.

Portfolio keluarga Grosvenor termasuk tanah di seluruh Britain selain memiliki kawasan perumahan, pejabat dan hartanah untuk disewa di seluruh dunia.

Sejak sekian lama, senarai akhbar Sunday Times Rich List meletakkan Grosvenor sebagai lelaki terkaya di Britain, namun sejak beberapa tahun lalu, beliau kehilangan gelaran itu kepada beberapa bilionair paling kaya yang menetap di negara itu.

Pada tahun ini, Sunday Times menganggarkan duke berkenaan mempunyai kekayaan berjumlah £9.35 bilion.

Ratu Elizabeth II menerusi kenyataan dikeluarkan oleh Istana Buckingham turut menyampaikan mesej takziah kepada keluarga Grosvenor. Pada masa sama, Pejabat Putera Charles memberitahu beliau dan isterinya, Camilla terkejut dan berasa sedih dengan berita kematian Grosvenor.

Duke berkenaan meninggalkan seorang balu, Natalia, anak lelakinya, Hugh dan tiga anak perempuan. – AP