Thursday, 2 November 2017

Pelajar sekolah, universiti Indonesia sokong kerajaan Khalifah



JAKARTA: Hampir 20 peratus pelajar sekolah tinggi dan universiti di Indonesia menyokong penubuhan kerajaan Khalifah di negara paling ramai umat Islam di dunia itu berbanding kerajaan sekular sedia ada, menurut satu tinjauan baru minggu ini.

Reputasi negara itu yang mengamalkan toleransi agama sejak sekian lama mula diperhatikan apabila kumpulan konservatif Islam mula memasuki kehidupan umum dan politik Indonesia.

Majoriti rakyat negara itu mengamalkan Islam secara sederhana dan ia mempunyai ramai minoriti Hindu, Kristian dan mereka yang memegang kepercayaan tradisional.

Kepelbagaian agama ada dalam Perlembagaan negara itu.

Tinjauan oleh pertubuhan beribu pejabat di Jakarta itu menemubual lebih 4,200 pelajar Islam, kebanyakannya di sekolah dan universiti terkenal di Jawa, yang mempunyai lebih separuh daripada penduduk negara itu.

Hampir satu dalam empat pelajar berkata mereka, pada pelbagai tahap, bersedia melancarkan jihad untuk mencapai matlamat penubuhan kerajaan Khalifah.

"Ini menunjukkan ketiadaan toleransi sudah memasuki sekolah tinggi dan universiti utama.

"Kerajaan dan pertubuhan Islam sederhana perlu mula mengambil langkah ketara menjangkakan perkara ini dan berada dalam kalangan pelajar dengan cara yang boleh difahami mereka," kata pusat tinjauan itu, Alvara, dalam laporan yang disiarkan Selasa lalu.

Kumpulan konservatif Islam, lewat tahun lalu mengetuai bantahan jalanan besar-besaran menentang bekas gabenor Jakarta yang berketurunan Cina dan beragama Kristian, yang dipercayai menghina Islam. - Reuters

Doktor muda HSNZ ditemui mati

Deretan gerai jualan makanan di Pasar Malam Kuala Ibai iaitu lokasi seorang pegawai perubatan HSNZ dipercayai membeli makanan sebelum mengalami keracunan dan ditemui mati di dalam bilik rumah sewanya kelmarin.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai perubatan yang bertugas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu ditemui mati dalam bilik rumah sewanya di Kampung Nyiur Sepohon di sini kelmarin.

Mayat Mohd. Muaz Mohd. Sabri, 30, ditemui kira-kira pukul 10.40 malam dalam keadaan terbaring di atas katil selepas anak pemilik rumah sewa berkenaan berjaya membuka pintu bilik tersebut.

Mangsa dipercayai telah meninggal dunia sejak beberapa hari yang lalu.

Menurut anak pemilik rumah berkenaan, Hakim Mat Lazim, 32, dia dimaklumkan bahawa mangsa mengalami keracunan makanan selepas memakan juadah yang dibeli di sebuah pasar malam di Kuala Ibai.

Katanya, pasar malam berkenaan dibuka setiap hari Rabu pada waktu malam.

“Saya difahamkan tunang mangsa yang turut bertugas sebagai seorang pegawai perubatan di HSNZ terpaksa ditahan beberapa hari di wad untuk rawatan kerana turut mengalami keracunan makanan.

“Bagaimanapun, arwah yang enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan mengambil keputusan untuk berehat di bilik sewanya sahaja,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Wednesday, 1 November 2017

Kerajaan pantau aktiviti Zakir Naik

Dr Zakir Naik

KUALA LUMPUR - Kerajaan sentiasa memantau aktiviti dijalankan oleh penceramah terkenal, Zakir Naik di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan akan diambil sekiranya Zakir didapati terlibat dengan terrorisme.

"Sepanjang berada di negara ini, beliau tidak pernah melanggar undang-undang dan peraturan,"

Menurutnya, kerajaan juga tidak menerima sebarang permintaan rasmi daripada India berhubung dakwaan terrorisme.

"Tiada alasan dari segi peruntukan undang-undang untuk menahan atau menangkap Zakir," katanya.

Berhubung dengan isu kewarganegaraan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, hasil semakan di Jabatan Pendaftaran Negara mendapati tiada rekod permohonan dikemukakan.

"Untuk makluman, tiada sebarang layanan istimewa diberikan kepada warga India itu sebagaimana dilaporkan," katanya.

Terdahulu, Teresa Kok (DAP-Seputeh) meminta kerajaan menyatakan status kewarganegaraan dan rasionalnya layanan istimewa yang diberikan.

Zahid berkata, pengeluaran Kad Pengenalan Permastautin Tetap (MyPR) kepada Zakir dilakukan mengikut prosedur berdasarkan pemilikan Permit Masuk dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen.

Tuesday, 31 October 2017

Ustaz Haslin, Mufti Menk dilarang masuk Singapura

Ustaz Haslin Baharim dan Mufti Menk.

SINGAPURA – Kementerian Dalam Negeri Singapura (MHA) tidak akan membenarkan Ustaz Haslin Baharim untuk memasuki republik ini.

Seorang lagi yang tidak dibenarkan ialah Ismail Menk yang lebih dikenali sebagai Mufti Menk.

Keputusan itu dibuat hasil rundingan dengan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Lembaga Pelancongan Singapura dan Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura.

Dalam kenyataan di laman webnya, MHA berkata, peme­rintah mendapat maklumat bahawa mereka berceramah di atas sebuah kapal persiaran yang belayar dan kembali ke Singapura dari 25 hingga 29 Nov lalu.

Ismail Menk dan Haslin sebelum ini ditolak permohonan Pas Kerja Pelbagai mereka bagi berceramah di Singapura, katanya.

Menurut kementerian itu, Ismail Menk diketahui berce­ramah ajaran yang memisah dan memecah-belah.

“Sebagai contoh, beliau berceramah bahawa adalah menjadi dosa besar dan jenayah bagi seorang Muslim untuk mengucapkan kepada bukan Islam Selamat Hari Krismas dan Selamat Deepavali, yang secara ringkas orang Islam tidak dibenarkan mengucapkan perasaan gembira semasa perayaan agama orang bukan Islam,” katanya.

Haslin pula telah melahirkan pandangan yang menggalakkan ketidakharmonian antara orang Islam dan bukan Islam yang beliau sifatkan sebagai ‘menyeleweng’. – Bernama

Monday, 30 October 2017

Polisi baharu usia kereta di Malaysia

KERAJAAN kini dalam proses kajian mengenai polisi jangka hayat kenderaan di Malaysia.

IPOH – Kementerian Pengangkutan kini di peringkat akhir melakukan kajian polisi baharu bagi jangka hayat kenderaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian itu yang turut mengandungi cadangan pemberian insentif bagi menukar kenderaan lama kepada baharu, perlu mendapat kelulusan Kabinet terlebih dahulu sebelum dibentang di Parlimen.

“Kita tidak letakkan jangkaan tempoh untuk laksanakan polisi ini kerana kita tahu ia membabitkan pelbagai perkara selain perlu meminda undang-undang pengangkutan terutamanya Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Bagaimanapun, kita memahami kebimbangan rakyat kerana semakin 'berusia' kenderaan itu, semakin banyak isu atau masalah yang timbul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvesyen MCA Perak 2017 di sini semalam.