Friday, 9 September 2016

Orang kanan Geng 77 ditahan polis


KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang dipercayai menjadi orang kanan dalam kumpulan kongsi gelap Geng 77 ditahan di Klang, Selangor petang semalam.

Penahanan lelaki berusia 38 tahun dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Kuala Lumpur, susulan penglibatannya dalam dua kejadian mencederakan orang di dua premis hiburan di Dang Wangi akhir bulan lalu.

Suspek yang dikenali sebagai Tiger Snook, dikatakan telah menumbuk dan menendang seorang pelanggan berhampiran premis hiburan di Jalan Sultan Ismail kira-kira pukul 1.30 pagi, 31 Ogos lalu.
Difahamkan insiden itu bermula selepas berlaku salah faham berhubung kehilangan air di meja mangsa.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa, yang mengesahkan penahanan lelaki itu berkata kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Thursday, 8 September 2016

Hukuman berat terhadap pengedar dadah kecil-kecilan

KUALA LUMPUR  - Pengedar dadah kecil-kecilan perlu dikenakan hukuman berat serta tempoh penahanan yang panjang supaya kegiatan jenayah dadah dapat dihapuskan dari peringkat akar umbi.

IZHAR ABU TALIB
Timbalan Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Izhar Abu Talib berkata, penagih dadah tidak mempunyai sebarang masalah untuk mendapatkan bekalan kerana pengedar kecil-kecilan sering bertindak sebagai pembekal yang menjadi salah satu punca mengapa kegiatan pengedaran dadah agak sukar untuk dibendung.

“Kegiatan pengedar kecil-kecilan ini menyebabkan dadah amat mudah untuk diperoleh, malah mendapat keuntungan atas angin hasil daripada aktiviti penjualan dadah tersebut.

“Jika mereka dikenakan hukuman yang berat, secara tidak langsung bekalan kepada penagih-penagih dadah akan terputus, sekali gus mengelakkan mereka daripada mengambil dadah secara berterusan atau yang sudah pulih, menagih semula serta menghalang kemunculan penagih-penagih yang baharu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk mengubahsuai Dasar Dadah Negara dengan memasukkan peruntukan tambahan yang membolehkan pengedar dadah kecil-kecilan menjalani hukuman yang lebih panjang.

Hukuman yang dikenakan terhadap pengedar kecil setakat ini iaitu denda tidak lebih RM5,000 atau penjara selama dua tahun dianggap tidak memadai dalam usaha membendung kegiatan pengedaran dadah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd. Yunus Pathi berkata, pihak berkuasa perlu menubuhkan mahkamah dadah dengan segera bagi memastikan kegiatan tersebut dibanteras secara menyeluruh.

“Berbanding mahkamah sedia ada, mahkamah dadah tidak akan menjatuhkan hukuman begitu sahaja, sebaliknya berperanan untuk membantu pesalah-pesalah dari segi pemulihan dan kesedaran.

“Pelbagai kaedah dan tindakan telah dilakukan oleh pihak berkuasa tetapi dengan penubuhan mahkamah yang mengkhususkan jenayah dadah, kegiatan tersebut pasti akan dapat dibanteras dengan lebih berkesan,” katanya.

Tuesday, 6 September 2016

Risiko tapak kaki jenis rata

TERDAPAT pelbagai jenis tapak kaki antaranya melengkung, sederhana rata, rata sepenuhnya atau bengkok ke dalam.
Setiap individu memiliki bentuk tapak kaki berbeza. Ada yang memiliki jenis tapak kaki melengkung, sederhana rata, rata sepenuhnya atau bengkok ke dalam.

Mungkin ramai yang tidak tahu jenis bentuk kaki masing-masing sehinggalah mula sakit dan tidak selesa yang akhirnya memaksa individu terbabit melakukan pemeriksaan kaki atau bertemu pakar perubatan.

Hakikatnya, individu yang memiliki tapak kaki sederhana rata, rata sepenuhnya dan bengkok ke dalam adalah individu mempunyai pelbagai masalah kaki. Manakala bagi mereka yang mempunyai tapak kaki melengkung tidak perlu risau kerana bentuk kaki jenis itu normal.

Menurut Pakar Orthotik Myortho Datuk Dr Edmund Lee, di negara ini kebiasaannya ramai individu yang mengalami masalah bentuk tapak kaki rata sepenuhnya.

Masalah itu disebabkan faktor keturunan, pemakaian kasut yang tidak sihat dan otot kaki tidak kuat.

“Individu yang mempunyai jenis tapak kaki rata sepenuhnya bakal berdepan masalah kesihatan apabila meningkat dewasa dan seterusnya ketika tua.

“Ini kerana jenis tapak kaki rata sepenuhnya ialah satu bentuk kecacatan kaki, namun jangan risau kerana kecacatan ini boleh diperbetulkan dan diatasi,” katanya.

Menurutnya, masalah terbabit boleh diperbetulkan sebelum individu terbabit berusia 14 tahun kerana ketika itu tulang masih lembut dan boleh dibentuk semula.

“Bagaimanapun, sekiranya masalah ini tidak diperbetulkan sehingga individu itu dewasa, mereka akan kekal dengan keadaan kaki itu selama-lamanya.

“Keadaan itu bukan saja memberi tekanan kerana perlu menanggung kesakitan dalam tempoh lama malah lebih membimbangkan apabila ia bakal memberi kesan negatif terutama kepada kesihatan individu itu,” ujarnya.

Normal atau luar biasa


Menurut Dr Lee, berdasarkan keadaan itu, ibu bapa atau golongan dewasa seharusnya memainkan peranan dengan bersikap lebih prihatin memantau perkembangan tapak kaki anak sama ada normal atau luar biasa kerana jenis atau kecacatan kaki hanya boleh dilihat selepas berusia lima tahun.

Mengenai komplikasi kesihatan bagi individu yang mempunyai tapak kaki rata sepenuhnya, Dr Edmund berkata, golongan itu akan mengalami masalah kesakitan seperti sakit pada tumit, tulang kering, tulang belakang, leher, lutut, postur badan yang tidak seimbang dan pergerakan jalan yang tidak cantik.

“Semua kesakitan akibat kecacatan itu hanya akan dirasai selepas individu terbabit meningkat dewasa kerana ia tidak terlihat ketika individu itu masih kanak-kanak.

“Lama-kelamaan individu terbabit akan berterusan berasa sakit kerana keadaan kaki akan bertambah teruk sekiranya ia tidak ditangani dengan betul,” katanya.

Tambahnya, kaki rata merujuk kepada keadaan gerbang atau lengkungan kaki tersentuh sepenuhnya atau hampir lengkap pada tanah ketika individu itu berdiri.

“Bagi individu yang memiliki tapak kaki rata, pemilihan kasut sangat penting dengan mengikut saiz kaki kerana sekiranya tidak dilakukan dengan betul, ia menyebabkan kesakitan serta berdepan dengan masalah penjajaran kaki.

“Individu yang mengalami masalah tapak kaki rata, ketika berjalan atau berdiri, beban tekanan dan lebihan tenaga akan tertumpu sepenuhnya kepada tapak kaki yang akan menyebabkan kaki berasa sakit,”ujarnya.

Selain itu, individu yang mengalami masalah tapak kaki rata sepenuhnya bakal menghadapi kesukaran untuk berjalan atau berdiri terlalu lama.

Kasut dan pelapik kasut sesuai


Menurut Dr Lee, kecacatan tapak kaki rata boleh diperbetulkan tanpa sebarang pembedahan, sebaliknya ditangani dengan penggunaan kasut atau pelapik kasut yang sesuai dengan kaki.

Bagaimanapun, katanya, tidak semua pelapik kasut sesuai dengan setiap orang kerana keperluan yang berbeza-beza.

“Majoriti masyarakat Malaysia cenderung memilih kasut tanpa mengukur kaki mereka terlebih dulu. Sebenarnya, apa yang mereka perlu lakukan adalah menyarungkan kaki terus ke dalam kasut.

“Apabila memilih kasut, jangan pilih kasut yang muat-muat dengan kaki dan pilihlah saiz longgar sedikit, sekurang-kurangnya lebihkan dua jari pada bahagian hadapan kasut supaya jari-jemari kaki tidak tersekat serta boleh digerakkan,” katanya.

Dia turut memberi panduan supaya mencuba kasut dengan kaki kanan terlebih dahulu kerana kaki kanan lebih besar saiznya daripada kaki kiri ketika membeli kasut.

“Salah satu faktor terjadinya masalah tapak kaki rata sepenuhnya ialah pemakaian kasut yang tapaknya terlalu lembut.

“Oleh itu, mereka yang mengalami masalah kaki digalakkan bertemu dengan pakar ortotik bagi menjalani rawatan manakala kesedaran mengenai penjagaan kaki dari awal amat penting supaya tidak memudaratkan,”ujarnya.

Sunday, 4 September 2016

Bayar jika pam tandas berlebihan

Pelajar diberikan kad untuk menggunakan tandas.

YUNNAN - CHINA. Sebuah kolej di China melaksanakan sistem pas elektronik kepada setiap pelajar bagi menghentikan tindakan mengepam tandas secara berlebihan.

Setiap pelajar Kolej Kesihatan Vokasional Kunming di wilayah Yunnan hanya dibenarkan menggunakan 3000 liter air setiap bulan dan mereka akan diberikan kad prabayar yang digunakan setiap kali menggunakan tandas, lapor Chuncheng Evening News.

Jika mereka menggunakan tandas dan melebihi kuota yang ditetapkan, pelajar perlu membuat bayaran tambahan namun jumlah tidak dinyatakan.

Daerah Yunnan mengalami kemarau berulang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pada tahun 2013, China Daily melaporkan perubahan pola hujan menyebabkan kemarau dan pakar iklim mengatakan ia boleh menjadi lebih buruk dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Sementara itu, seorang guru di kolej berkenaan berkata, catuan adalah lebih daripada cukup untuk kegunaan sehari-hari dan sistem baharu ini akan menggalakkan pelajar untuk menjimatkan air.

Friday, 2 September 2016

Husam ikrar takluk Kelantan


SHAH ALAM - Selepas mengumumkan secara rasmi menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) secara rasmi pada 31 Ogos lalu, Datuk Husam Musa berikrar untuk menakluk Kelantan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, usaha itu dilakukan bagi memastikan Kelantan tidak jatuh ke tangan Umno yang dakwanya lebih 'rakus' daripada Pas.

"Saya hendak minta izin rakyat Kelantan untuk Amanah mengambil alih pemerintahan Kelantan dalam PRU akan datang, kita tidak mahu Kelantan jatuh kepada Umno yang lebih rakus daripada Pas.

"Pas berada dalam keadaan goyang kaki, tiga tahun kita beri ruang kepada pemimpin kerajaan Kelantan tapi yang disiapkan ialah tugu banjir, kita tak marah kalau nak buat tugu tetapi siapkanlah rumah mangsa banjir dahulu... siap tugu dulu rumah tak siap macam mana," katanya.

Mengulas lanjut Husam berkata, untuk  memastikan Amanah berjaya menggantikan Pas di Kelantan pada PRU akan datang, Amanah perlu bekerja kuat daripada sekarang.

"Kita akan fokuskan 30 atau 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), sementara sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru pula Amanah perlu dapatkan 35 peratus, dan Insya-ALLAH lah," katanya.

Dun Kelantan kini terdiri daripada 45 kawasan iaitu diwakili oleh  Pas 31 kawasan, 12 BN, PKR 1 dan Amanah 1.