Saturday, 23 July 2016

Semak status akreditasi MQA, elak penipuan

KUALA LUMPUR - Majikan di negara ini dinasihat merujuk dengan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi menyemak status sijil calon yang memohon pekerjaan bagi mengelak penipuan diploma dan ijazah palsu yang semakin berleluasa di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata kaedah itu bertujuan mengenal pasti sama ada institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut diakreditasikan MQA dari segi kualiti dan kesetaraan.

"Jangan mengambil pekerja dengan mudah. Setiap agensi pekerjaan atau majikan perlu semak dahulu dengan MQA sama ada IPT tersebut wujud atau tidak.

"Mereka juga perlu semak nama program bagi mengetahui ia ada ditawarkan di IPT terbabit sebagaimana dicatat pada diploma atau ijazah graduan yang mahu mencari pekerjaan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media mengenai pembelian diploma dan ijazah palsu yang mudah diperoleh secara dalam talian dan digunakan mereka yang terdesak bagi mendapatkan pekerjaan atau gaji lumayan.

Laporan itu memetik bahawa 9.6 juta carian di Google memaparkan kaedah pembelian sijil diploma dan ijazah palsu yang diperlukan.

Zaini berkata hanya program yang mematuhi standard kualiti dan kriteria ditetapkan sahaja akan diberikan Perakuan Akreditasi (status akreditasi) dan program berkenaan layak menggunakan perkataan 'Pengiktirafan Dari Malaysia Qualifications Agency' (MQA).

Beliau turut menasihatkan mana-mana agensi pekerjaan atau majikan melaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) sekiranya berhadapan dengan situasi tersebut untuk tindakan selanjutnya.

Timbalan Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara Prof Datuk Dr Abdul Rashid Mohamed percaya langkah kementerian bersama MQA itu merupakan jalan terbaik dalam menangani isu itu.

Beliau bagaimanapun menyarankan KPT dan MQA menyediakan suatu mekanisme baharu yang dapat membantu agensi pekerjaan atau majikan dalam mengenal pasti keaslian diploma dan ijazah dalam masa singkat bagi mengelak penipuan.

Pensyarah Kanan Pengajian Komunikasi Kolej Universiti Taylor's Dr Roslina Abdul Latif pula menyarankan KPT dan MQA mempertingkat lagi kaedah sedia ada dalam mengekang perkara tersebut.

"Perkara ini tidak mudah untuk dibanteras namun tidak semestinya mustahil jika kerajaan dan jabatan bertanggungjawab serius dalam menangani perkara ini," katanya. - Bernama

Nisbah penduduk lelaki meningkat berbanding wanita


KUALA LUMPUR - Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan nisbah penduduk lelaki di negara ini terus meningkat berbanding wanita iaitu 107:100 atau 16.4 juta orang lelaki manakala wanita 15.3 juta orang pada tahun ini berbanding nisbah 106:100 enam tahun lepas.

Pada 2010, statistik yang dikeluarkan oleh jabatan itu menunjukkan bilangan penduduk lelaki 14.56 juta manakala wanita 13.77 juta.

Menurut jabatan tersebut, statistik yang dikeluarkan tahun ini merangkumi jumlah penduduk Malaysia yang dianggarkan 31.7 juta orang.

Jelas kenyataan itu, berlaku peningkatan sebanyak 0.5 juta penduduk berbanding 31.2 juta orang pada tahun lepas.

“Taburan penduduk mengikut kumpulan umur bagi tahun ini tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding 2015.

“Penduduk dalam kumpulan umur kosong hingga 14 tahun berkurang 0.4 peratus pada 2016 (24.5 peratus) berbanding 2015 (24.9 peratus).

“Penduduk dalam kumpulan umur bekerja 15 hingga 64 tahun meningkat 0.2 peratus pada 2016 kepada 69.5 peratus berbanding 2015 dan penduduk berumur 65 tahun dan lebih juga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 6.0 peratus bagi tempoh yang sama,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kenyataan tersebut menjelaskan, bagi peratusan penduduk mengikut negeri, Selangor mencatatkan peratusan negeri penduduk tertinggi pada tahun ini iaitu 19.9 peratus diikuti Sabah (12.0 peratus) dan Johor (11.5 peratus).

“Negeri yang mencatatkan peratusan penduduk terkecil pula ialah Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya iaitu masing-masing sebanyak 0.3 peratus,” jelasnya.

Dalam pada itu, peratusan penduduk bukan warganegara pada tahun ini adalah 10.3 peratus daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia.

“Etnik bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak 68.6 peratus diikuti oleh etnik Cina (23.4 peratus), India (7.0 peratus ) dan lain-lain (1.0 peratus),” katanya.

Friday, 22 July 2016

'Saya tahu saya akan dipenjarakan'

Lim Guan Eng bercakap kepada media hari ini.

GEORGETOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menafikan beliau tergesa-gesa untuk  mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) lebih awal adalah atas kepentingan dirinya.

Guan Eng berkata, beliau bimbang pentadbiran kerajaan negeri akan terjejas sekiranya PRN tidak diadakan lebih awal berikutan merasakan beliau akan dipenjarakan diatas dua pertuduhan rasuah.

Menurutnya, beliau amat menitikberatkan kepentingan rakyat dan mahu menyerahkan kepada rakyat dalam memberi mandat baharu bagi memimpin Pulau Pinang.

"PRN bukan untuk selamatkan Lim Guan Eng. Saya tahu saya akan dipenjara oleh BN dan Umno melalui konspirasi jahat mereka. Saya tahu, semua pihak pun sedar perkara ini. Apa yang kita mahu, selamatkan rakyat, Malaysia dan juga Pulau Pinang.

"Rakyat, negara dan negeri ini masih boleh diselamatkan tetapi Lim Guan Eng tidak boleh diselamatkan lagi. Sebarang kemungkinan akan berlaku dan sekiranya saya dipenjarakan, kerajaan negeri tetap milik rakyat Pulau Pinang.

"Walaupun kerajaan negeri dan parti percaya saya tidak bersalah, tetapi kami bersedia menyerahkannya kepada rakyat. Sebab itu kita mahu ikut saluran demokrasi bagi memberi laluan kepada rakyat sama ada sokong semula kerajaan negeri Pakatan Harapan yang dipimpin oleh saya dengan mengadakan PRN. Kita mencari mandat baharu supaya kesahihan, perundangan dan kredibiliti tidak terjejas," katanya kepada media, hari ini.

Guan Eng berkata, PRN adalah langkah untuk menentukan sokongan rakyat terhadap dirinya dan Pakatan Harapan selepas dirinya diheret dalam konspirasi BN dan Umno.

"Saya ingin mencabar Perdana Menteri. Jika benar beliau tidak salah, jalankan pilihan raya umum bagi mencari mandat baharu untuk memerintah negara. Beri laluan kepada rakyat buat keputusan.

"Tiada pendakwaan ke atas saya tetapi mereka mampu bawa saya ke mahkamah. Saya didakwa kerana membeli rumah, bukannya makan wang rakyat sedangkan bapa segala rasuah tidak pula didakwa," katanya.

Sebelum ini, Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan salah guna kuasa dalam pengezonan semula tanah di Lot 436 dan 437 daerah Barat Daya kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau turut dituduh mendapatkan balasan dalam bentuk rumah banglo bernilai RM2.8 juta di Jalan Pinhorn yang dijual kepadanya di bawah harga pasaran.

Rancangan PRN yang akan diadakan lebih awal itu dikatakan tidak direstui sekutu DAP dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah.

Wujudkan semula ISA banteras IS

Dr. Nasharuddin Mat Isa
KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mewujudkan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha mengekang ancaman negara terutama daripada militan Islamic State (IS).

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global, Dr. Nasharuddin Mat Isa berkata, ancaman IS adalah sesuatu yang benar manakala mangsanya tidak mengenal bangsa, agama­ atau parti politik.

Katanya, ISA mempunyai skop yang lebih luas berban­ding Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA), Akta Pencegahan Ke­ganasan (POTA) yang ada kini.

“ISA bukan mengenai tahan tanpa bi­cara. Sebaliknya, peruntukan dalam akta terbabit boleh dikemas kini bagi menyekat penyebaran fahaman yang mengajak kepada keganasan,” katanya ketika ditemui selepas sidang khas Ancaman Daesh (IS) Bertapak di Malaysia di Dewan Besar Utusan Melayu di sini semalam.

Sidang khas anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kumpulan Utusan yang berlangsung selama dua jam itu dipengerusikan Pengerusi Biro Keselamatan MPM, Tan Sri Shamsuri Arshad.

Thursday, 21 July 2016

Bukan semua bersara 62 tahun

Kakitangan awam ketika perhimpunan bulanan di Putrajaya.

Kuala Lumpur: Cadangan melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 tahun kepada 62 tahun hanya membabitkan antara 1,200 dan 2,000 daripada kira-kira 25,000 penjawat awam yang bersara setiap tahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu membabitkan antara lima dan lapan peratus bakal pesara saja, bukan semuanya.

“Kita tidak mahu kehilangan penjawat awam seperti profesor, pensyarah dan doktor pakar yang sudah mempunyai pengalaman cukup berguna kepada kerajaan dan negara," katanya pada majlis sambutan Aidilfitri Cuepacs di sini, hari ini.

Beliau berkata tidak semua penjawat awam dicadang dilanjutkan umur persaraan kerana mahu memberi peluang kepada golongan muda mengisi kekosongan jawatan di dalam sektor perkhidmatan awam.

Semalam, dalam temu bual program Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel yang disiarkan secara langsung, Azih mencadangkan kerajaan mewujudkan satu dasar baharu untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam kepada 62 tahun.