Tuesday, 12 April 2016

Kesan sampingan jika terlebih minum air detoks lemon

BAGI yang sedang diet air lemon ini memang tak asing lagi. Ia menjadi sebahagian minuman untuk tujuan detoks membuang toksin yang juga salah satu cara untuk menurunkan berat badan.

Botol air berisi hirisan lemon ini selalunya bekalan wajib mereka yang berdiet hingga kadang-kadang ada yang membawa beberapa botol besar untuk minuman seharian di tempat kerja.

Tapi tahukah anda bahawa air lemon ini kalau diminum berlebihan boleh mendatangkan kesan sampingan yang tidak baik untuk tubuh.

Tiga perkara berikut mungkin anda alami jika mengambilnya terlalu banyak. Kurangkan pengambilannya jika kesan ini sudah anda rasai.

1. Hakisan gigi

Terlalu banyak mengambil makanan atau minuman berasid seperti air lemon bergelas-gelas akan menyebabkan gigi turut kerap diselaputi asid.

Ia mampu menghakis enamel gigi dan membuat gigi semakin sensitif pada makanan sejuk dan panas. Bagi melindungi gigi ketika minum minuman berasid sebaiknya gunakan straw.

2. Pedih ulu hati

Minum air lemon juga boleh mencetuskan pedih ulu hati. Ia akan menjadi lebih serius jika anda pernah mengalaminya sebelum ini.

Pedih ulu hati ini akan menyebabkan rasa panas dan juga sakit di bahagian dada. Kurangkan pengambilan makanan dan minuman berasid untuk mengelak serta mengurangkan simptom pedih ulu hati.

3. Kerap buang air dan dehidrasi

Ini juga salah satu kesan sampingan yang mungkin anda alami jika terlebih minum air lemon. Buah ini mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi.

Nutrien ini memang bersifat diuretik yang bermakna ia meningkatkan penghasilan urin oleh buah pinggang untuk membantu tubuh mengeluarkan cecair dan sodium berlebihan dengan cepat.

Sekiranya anda merasai tanda-tanda dehidrasi seperti mulut kering, haus, pening kepala atau mengantuk segera kurangkan pengambilan air lemon.

Apa-apa makanan pun kalau diambil berlebihan tak elok, jadi bersederhanalah. jangan kerana mahu kurus cepat, penyakit lain pula yang datang. -SH

Monday, 11 April 2016

DCA gantung Rayani Air tiga bulan

PUTRAJAYA - Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan penggantungan sementara Sijil Operator Udara (AOC) Rayani Air selama tiga bulan berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, notis penggantungan dihantar kepada syarikat penerbangan patuh syariah itu hari ini.  

Katanya, siasatan ke atas Rayani Air akan dijalankan pada 12 Mei berhubung perintah penggantungan.

"Penggantungan akan ditarik balik jika mereka memenuhi semua syarat atau kami boleh menggantung secara kekal (Rayani Air) atau mengenakan masa lebih lama. Tiga bulan adalah sementara.

"Kami telah berbincang dengan syarikat penerbangan itu dan mereka tahu mengenainya. Terpulang kepada mereka menambah baik perkhidmatan," kata Azharuddin pada sidang akhbar di sini.

Azharuddin berkata ini kali pertama AOC sebuah syarikat penerbangan digantung di bawah Peraturan 24 Peraturan Penerbangan Awam 1996.

Ditanya sama ada penggantungan syarikat penerbangan itu menjejas reputasi industri penerbangan negara, Azharuddin berkata DCA setakat menjalankan kuasanya selaras dengan peraturan berkaitan.  

"Kita tidak boleh biarkan syarikat penerbangan yang telah melanggar peraturan meneruskan penerbangan. Kita perlu berbuat sesuatu," katanya.

Rayani Air menggantung operasinya Jumaat lepas sehingga diberitahu kelak, sambil menyebut tindakan mogok juruterbangnya sebagai alasan.  

Syarikat penerbangan perkhidmatan penuh itu dilancarkan tiga bulan lepas.      

Ia merupakan syarikat penerbangan patuh syariah yang pertama di Malaysia dan keempat di dunia selepas Royal Brunei Airlines, Saudi Arabian Airlines and Iran Air.

Rayani Air, dalam catatan Facebooknya, berkata pelanggan oleh menghubungi pusat penggilannya di +603-27214925 untuk pertanyaan lanjut. - Bernama

Tikus sama saiz dengan bayi!

Tikus yang ditangkap oleh Jeff Sullivan
GRIMSBY - BRITAIN. Seorang anggota pengawal binatang perosak berjaya menangkap seekor tikus besar yang mempunyai saiz sama dengan seorang bayi.

Laporan Dailymail UK mengatakan tikus yang berukuran 2 kaki panjang tersebut ditangkap di Humberston selepas dilaporkan orang awam.

Pemilik syarikat kawalan binatang perosak, Jeff Sullivan, 58 mengesahkan tikus tersebut adalah yang paling besar beliau pernah lihat.

"Sebelum ini terdapat ilusi dalam gambar tikus yang ditangkap, menunjukkan saiz tikus lebih besar dari yang sepatutnya," kata Jeff.

"Tikus ini adalah yang paling besar pernah saya saksikan," tambah Jeff lagi yang sudah berkhidmat selama 18 tahun dalam bidang tersebut.

Kata beliau, kehadiran tikus membuktikan terdapat pencemaran yang boleh menjejaskan kesihatan manusia.

"Tikus membawa 35 jenis penyakit termasuk kencing tikus dan gigitannya yang merbahaya.

"Tikus juga boleh melindungi diri sendiri terhadap racun tikus, jadi adalah lebih baik jika anda gunakan khidmat pakar," jelas Jeff panjang lebar. -Dailymail

Sunday, 10 April 2016

Api misteri belum padam

ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh meninjau rumah Intan semalam selepas api misteri kembali muncul dengan membakar pintu bilik (gambar kecil) rumahnya.
IPOH – Selepas membakar sebahagian kecil anjung rumah, api misteri yang mengganggu kehidupan sebuah keluarga ibu tunggal di Taman Rima Gamelan di Bercham Khamis lalu muncul semula dan hampir memusnahkan sebuah kereta Proton Gen 2 milik salah seorang anaknya semalam.

Api berkenaan muncul di tepi kereta milik Norlezawati Hassan, 31, yang diletakkan di hadapan sebuah rumah jiran sebelum ia disedari oleh salah seorang jiran lain.

Menurut Intan Mohamad, 52, api misteri itu muncul secara tiba-tiba kira-kira pukul 1 petang sebelum dia terdengar jeritan jiran memberitahu kereta anaknya hampir terbakar.

“Semasa kami berada di dalam rumah, terdengar jeritan jiran yang mengatakan ada api di sebelah kereta.

“Kami bergegas keluar sebelum anak saya mengalihkan keretanya ke tempat lain. Api berkenaan bagaimanapun padam sendiri secara perlahan-lahan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. -kosmo

Friday, 8 April 2016

Harga kenderaan turun sehingga 30% menjelang 2018

Datuk Seri Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR: Harga kenderaan akan mengalami penurunan sehingga 30 peratus menjelang 2018, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata kerajaan komited terhadap manifesto yang dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bagi menurunkan harga kenderaan secara berperingkat 20 hingga 30 peratus menjelang tempoh berkenaan.

"Sehubungan itu pelbagai usaha telah dijalankan termasuk pemberian insentif dan pengurangan jumlah duti eksais yang perlu dibayar kepada syarikat-syarikat pengeluar kereta yang terlibat dalam aktiviti nilai tambah automotif tempatan. 

"Insentif ini dilihat membuahkan hasil apabila jumlah pengurangan (harga kenderaan) dicatat pada tahun 2013 sebanyak tiga peratus, diikuti 2014 sebanyak tujuh peratus dan pada tahun lalu sebanyak 2.7 peratus," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut). Lim mahu kerajaan menyatakan status janji kerajaan untuk menurunkan harga kereta kebangsaan dan mengurangkan kadar tol yang dibuat pada PRU-13 lalu.

Mengenai kadar tol, Azalina berkata kerajaan sejak tahun 2008 telah mula berunding dengan syarikat konsesi lebuh raya bagi mengurangkan beban kewangan tol yang ditanggung oleh pengguna. Beliau berkata rundingan berkenaan bertujuan mencari mekanisme terbaik bagi meringankan beban tol dengan mengambil kira pendekatan 'menang-menang' kepada semua pihak terlibat iaitu kerajaan, syarikat konsesi, pelabur dan juga pengguna. 

"Antara pencapaian dari rundingan tersebut termasuk menangguhkan kenaikan kadar tol di lebuh raya negara ini sejak lapan tahun lalu iaitu dari tahun 2008 hingga 14 Oktober tahun lalu, memansuhkan kutipan tol dan menutup lebih awal lapan plaza tol di lebuh raya serta mengurangkan kadar tol di tiga konsesi lebuh raya," katanya. 

Beliau berkata ia juga termasuk menstruktur semula kadar tol untuk lebuh raya di bawah PLUS Malaysia Berhad dan Kumpulan ANIH Berhad serta menambah baik klausa-klausa dalam perjanjian konsesi termasuk memperuntukan klausa Mekanisme Semakan Semula Tol yang mana ia menyebabkan kenaikan kadar tol tidak lagi dibenarkan secara automatik. - BERNAMA