Friday, 4 August 2017

Satu kes cerai berlaku setiap hari di Perlis

Facebook antara medium laman sosial yang sering digunakan untuk mengesan kenalan yang lama terpisah.

KANGAR – Satu kes perceraian melibatkan pasangan Islam berlaku di Perlis setiap hari disebabkan pelbagai faktor termasuk suami atau isteri menjalinkan hubungan semula dengan kekasih lama menerusi laman sosial.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Datuk Khairi Hasan berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, seramai 2,030 pasangan Islam berkahwin di negeri itu.

Menurutnya, bagaimanapun, seramai 710 pasangan suami isteri yang tidak mencapai persefahaman dalam hubungan telah bercerai.

“Rata-rata pasangan yang bercerai berumur dalam lingkungan 30-an.

“Daripada jumlah itu, cuma 119 pasangan yang mengambil keputusan untuk merujuk kembali,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Anak bilionair Malaysia tinggalkan harta kerana cinta

KOMBINASI gambar Kay Peng (kiri) dan Pauline. ANGELINE (kanan) bersama suaminya, Francis.


LONDON – Anak perempuan bilionair Malaysia, Tan Sri Khoo Kay Peng mendedahkan bahawa dia menolak harta kekayaan keluarganya kerana mahu berkahwin dengan lelaki pilihan yang tidak direstui bapanya.

Dalam wawancara eksklusif bersama You Magazine dalam akhbar The Daily Mail pada minggu lalu, Angeline Francis Khoo, 34, berkata, dia kini tidak bercakap dengan bapanya.

Kay Peng, 78, merupakan pengerusi Malayan United Industries, sebuah syarikat pelaburan yang mempunyai kepentingan yang besar dalam jenama gaya hidup, Laura Ashley dan kumpulan hotel mewah, Corus.

Majalah Forbes menganggarkan kekayaan Kay Peng berjumlah AS$300 juta (RM1.28 bilion) de­ngan beliau menduduki tangga ke-44 senarai 50 orang paling kaya di Malaysia pada tahun 2015.

Angeline merupakan anak keempat daripada lima anak Kay Peng de­ngan bekas isterinya yang pernah meraih gelaran ratu cantik Malaysia, Pauline Chai.

Angeline berkenalan dengan saintis kelahiran Carribean, Jedidiah Francis semasa belajar di Universiti Oxford pada tahun 2008.

Kay Peng dan Pauline berkahwin pada 1970 sebelum berpisah dalam tahun 2013.

Mereka berbelanja lebih AS$7.8 juta (RM34 juta) untuk membayar peguam bagi menyelesaikan masalah pembahagian harta sepencarian selepas bercerai, demikian menurut akhbar The Guardian.

Angeline memberitahu bapanya bahawa dia mahu berkahwin dengan Francis, namun beliau enggan merestui mereka.

“Saya fikir pendirian ayah adalah salah, jadi tiada persoalan tentang apa yang betul.

“Saya bertuah memiliki perspektif ini: anda boleh mendapatkan wang dan ia adalah satu rahmat; anda boleh melakukan banyak perkara dan punyai pelbagai pilihan dengan wang, namun ia ada harganya seperti kongkongan.

“Wang (kekayaan) juga menyerlahkan lagi sifat buruk yang ada pada seseorang dan ini boleh me­ngundang masalah. Untuk meninggalkan kekayaan sebenarnya sangat mudah (bagi saya). Saya tidak perlu mempertimbangkannya,” kata Angeline dalam temu bual tersebut.

Pasangan itu dilaporkan berkahwin di sebuah gereja kecil di Kolej Pembroke yang merupakan tempat Francis bekerja.

Perkahwinan mereka berlangsung sederhana dan hanya menelan belanja sekitar AS$1,980(RM8,500). Majlis itu dihadiri oleh 30 tetamu tanpa kehadiran seorang pun ahli keluarga pengantin perempuan.

Sebelum berkahwin, keluarga Angeline mahu dia bekerja dalam perniagaan keluarga.

Angeline pertama kali berpindah ke Britain pada tahun 2001 untuk belajar undang-undang di Universiti Buckingham.

Dia yang kini merupakan seorang pereka fesyen, turut mendakwa tidak mengetahui tentang kekayaan sebenar bapanya sehingga ia didedahkan di mahkamah semasa proses penceraian tersebut.

Angeline merupakan satu-satunya saksi yang dipanggil semasa perbicaraan penceraian ibu bapanya.

Kay Peng diperintahkan oleh sebuah mahkamah Britain pada April tahun ini untuk membayar sebanyak AS$84 juta (RM359.8 juta) kepada ibunya yang berumur 68 tahun sebagai bayaran penyelesaian perceraian mereka. – Agensi

Thursday, 3 August 2017

AS sedia serang Korea Utara

GAMBAR yang didedahkan oleh Tentera Udara Jepun menunjukkan pesawat pengebom Tentera Udara AS, B-1B terbang bersama jet F-2 milik Jepun di selatan Pulau Kyushu ketika latihan bersama pada 30 Julai lalu.

WASHINGTON – Seorang senator daripada Parti Republikan kelmarin berkata, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump telah memberitahunya bahawa beliau sanggup berperang untuk memusnahkan Korea Utara daripada mem­biarkan negara itu membangunkan peluru berpandu bersenjata nuklear jarak jauh.

Senator Lindsey Graham (gambar kecil) yang merupakan orang kuat dalam dasar luar AS memberitahu ran­cangan Today Show terbitan NBC: “Terdapat pilihan ketenteraan, untuk memusnahkan program Korea Utara dan negara itu sendiri.”

Minggu lalu, pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan bangga menyatakan bahawa negaranya kini boleh me­nyerang mana-mana sasaran di Amerika Syarikat selepas menjalankan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) terbaharu.

Kuasa-kuasa dunia telah cuba untuk menyekat program senjata Pyongyang melalui sekatan yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi gagal sekali gus membuatkan Washing­ton semakin kecewa.

Graham berkata, jika diplomasi dan tekanan khusus daripada jiran Korea Utara, China gagal menghentikan program tersebut, maka AS tidak mempunyai pilihan selain mengambil tindakan ketenteraan yang dahsyat.

“Perang akan tercetus de­ngan Korea Utara berhubung program peluru berpandu jika mereka terus cuba mensasarkan AS dengan ICBM,” katanya menerangkan perbincangan de­ngan Trump.

“Presiden memberitahu saya sedemikian. Saya percaya padanya. Jika saya China, saya akan mempercayainya juga dan melakukan sesuatu. Kamu boleh menghentikan Korea Uta­ra sama ada secara ketenteraan atau diplomasi.

“Saya lebih suka pendekatan diplomasi. Tetapi, mereka tidak akan dibenarkan memiliki peluru berpandu untuk menyerang AS dengan senjata nuklear di atasnya,” ujar beliau. – AFP

Wednesday, 2 August 2017

6 pegawai kastam disyaki pengedar dadah



Kuala Lumpur : Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kelmarin dan semalam kerana disyaki terbabit dengan Geng 360 Devan.

Difahamkan, semua suspek ditahan di lokasi berbeza sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurut sumber, semua suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah untuk geng itu.

"Kesemua suspek direman 28 hari mengikut Seksyen 4 (5) Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

"Mereka ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan kini ditempatkan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

"Kes ini masih dalam siasatan,” katanya.

Tuesday, 1 August 2017

Ramai rakyat Yemen terkandas di Malaysia

KAD hijau AS bagi melayakkan seseorang warga asing menjadi Pemastautin Tetap di negara tersebut telah menarik kira-kira 14 juta permohonan pada setiap tahun.

WASHINGTON – Yemen menggesa kerajaan Amerika Syarikat (AS) supaya menerima berpuluh-puluh rakyatnya yang melakukan perjalanan ke Malaysia sejak beberapa bulan lalu dengan harapan untuk berhijrah ke AS, namun terkandas akibat larangan perjalanan sementara yang dilaksanakan oleh Presiden Donald Trump.

Duta Yemen ke AS, Ahmed Mubarak berkata, pegawai-pegawainya di Washington mengadakan rundingan dengan Jabatan Negara pada bulan ini bagi mencari jalan penyelesaian supaya berpuluh-puluh pemenang loteri kad hijau dari Yemen boleh memasuki AS di sebalik sekatan perjalanan Trump.

“Mereka berada di Malaysia lebih enam bulan dan telah menjual segala-galanya di Yemen. Kami melakukan apa yang termampu,” kata Ahmed.

Situasi tersebut sangat sukar untuk rakyat Yemen. Oleh kerana AS tidak mempunyai kedutaan di Yemen, rakyatnya terpaksa pergi ke negara ketiga untuk memohon visa dengan kebanyakan mereka memilih melakukan perjalanan ke Kuala Lumpur, Malaysia.

Perjalanan ke Malaysia sejauh 6,400 kilometer itu menelan belanja tinggi dan sukar untuk rakyat Yemen, apatah lagi ketika negara termiskin di rantau Teluk itu dibelenggu perang saudara.

Sebahagian besar warga Yemen yang datang ke Malaysia akan menginap sementara di bangunan-bangunan apartmen di pinggir Kuala Lumpur di mana mereka membina sebuah komuniti kecil.

Berikutan sekatan imigresen, kumpulan itu tidak dibenarkan untuk bekerja dan lama-kelamaan, mereka kehabisan wang. Kebanyakan rakyat Yemen di Malaysia bergantung kepada dana yang disumbangkan oleh rakyat Yemen lain atau dihantar oleh saudara mara mereka.

Larangan perjalanan selama 90 hari itu akan tamat pada 27 September depan, hanya tiga hari sebelum kelayakan untuk mendapatkan kad hijau berakhir.

Loteri kad hijau AS menarik kira-kira 14 juta permohonan pada setiap tahun, kebanyakannya melihat ia sebagai peluang untuk menetap di negara kaya tersebut. – Reuters