Wednesday, 5 July 2017

Ikan ‘transgender’ ancam manusia

Ikan sungai atau kolam mudah terdedah kepada kesan perubahan jantina akibat pencemaran yang berpunca daripada pembuangan sisa pil hormon, ubat-ubatan dan sisa bahan kimia.

KUALA LUMPUR – Pembuangan sampah yang mengandungi bahan kimia dan sisa ubatan seperti pil perancang ke dalam sungai atau kolam bukan sahaja membahayakan kesihatan manusia, malah ia boleh menukar jantina ikan jantan kepada betina.

Selain pil perancang, antara ubat-ubatan yang mampu mencemarkan hidupan marin ialah ubat merawat ken­cing manis seperti metformin dan racun serangga se­perti atrazine dan bahan kimia dari najis haiwan.

Pakar Genetik dan Pembiakbakaan Ikan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Yuzine Esa berkata, feno­mena ‘transgender’ itu akan memberi kesan negatif jangka panjang termasuk kepupusan spesies ikan jika tidak dikawal.

Katanya, fenome­na itu bagaima­napun bukanlah sesuatu yang pelik dalam kalangan hidupan marin kerana selain pencemaran, ia juga boleh berlaku secara semula jadi ke atas hidupan jenis hermafrodit seperti ikan te­rubuk, salmon dan giru (ikan badut).

“Namun, kes ‘transgender’ ikan akibat terdedah kepada pencemaran sebenarnya telah berlaku sejak beberapa tahun lalu terutama di negara-negara Barat.

“Ia turut berlaku di Malaysia namun tiada kajian lanjut dilakukan. Hakikatnya, segala hidupan dalam air terutamanya ikan memang boleh bertukar jantina daripada jantan kepada betina sekiranya terdedah kepada pencemaran sisa-sisa ubatan,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 

Kepakaran Anak Malaysia bantu Huddersfield ke saingan EPL

Firdaus Maasar (kiri) mengambil data daripada seorang pemain Huddersfield Town untuk tujuan profil fisiologi.

SEREMBAN – Seorang anak kelahiran Kuala Pilah, Negeri Sembilan memainkan peranan penting dalam kejayaan kelab bola sepak Huddersfield Town FC layak ke saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim depan.

Firdaus Maasar, 31, yang merupakan penuntut ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sukan dan Fisiologi di Liverpool John Moores University (LJMU) terlibat dalam mengetuai pengurusan profil fisiologi pemain utama kelab itu musim lalu.

Antara tugasnya termasuklah melakukan penilaian terhadap tindak balas laktat dan pengambilan oksigen secara maksimum dalam kalangan pemain kelab berkenaan.

Hasil kepakarannya membantu skuad bimbingan ketua jurulatih David Wagner itu muncul sebagai salah satu daripada tiga kelab dari Liga Kejuaraan menempah tempat dalam EPL musim depan yang dijadual bermula 12 Ogos ini.



Firdaus berkata, dia berasa gembira kerana turut sama membantu melonjakkan semula kelab itu ke saingan utama Liga Inggeris selepas hampir 45 tahun tersingkir ke liga bawahan.

Ujarnya, ia merupakan pe­ngalaman berharga dan sumbangannya turut mendapat pengiktirafan daripada Ketua Perkhidmatan Prestasi kelab itu, Dr. John Iga baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya dapat membantu kelab itu layak ke EPL pada musim akan datang,” katanya ketika dihubungi menerusi laman sosial Facebook baru-baru ini.

Huddersfield menempah tempat ke saingan EPL selepas mengatasi Reading 4-3 menerusi sepakan penalti penentuan dalam playoff. Kelab itu menyertai juara Liga Kejuaraan, Newcastle United dan Brighton & Hove Albion yang akan beraksi dalam liga termahal dunia itu.

Firdaus berkata, semasa di Huddersfield dia bekerjasama dengan petugas kelab dalam menyusun jadual, melatih pelajar sains sukan dalam pengambilan data, melakukan ujian fisiologi dan menyediakan analisis data pemain secara terperinci untuk kegunaan kelab berkenaan.

“Untuk musim baharu, se­mua­nya masih di peringkat pe­rancangan dan kalau Huddersfield mahu menggunakan khid­mat saya, sudah tentu saya bersedia,” katanya yang juga salah seorang petugas dalam mengendalikan latihan kecergasan untuk kelab Liverpool sejak 2015.

Mengulas mengenai tugasnya bersama Liverpool pula, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia kini sedang membuat persediaan untuk latihan pramusim kelab itu yang dijadual bermula Rabu ini.

Dia ditugaskan membantu Jabatan Sains Sukan Liverpool sebagai sebahagian daripada program pengajiannya di LJMU sekali gus membolehkannya me­nyalurkan kepakaran kepada kelab bimbingan Jurgen Klopp itu atau kelab lain di Eropah.

“Pada masa ini pemain Liver­pool masih bercuti dan saya akan menjalankan penilaian kecergasan pemain akademi dan skuad utama apabila mereka melaporkan diri nanti. Saya juga akan menyediakan analisis kecergasan mereka untuk digunakan jurulatih bagi merancang sesi latihan,” katanya.

Tuesday, 4 July 2017

Qatar diberi tempoh hingga hari ini

QATAR menghadapi krisis diplomatik apabila enam buah negara Arab bertindak memutuskan hubungan pada 5 Jun lalu.

RIYADH – Qatar perlu memenuhi kata dua Arab Saudi dan sekutu-sekutunya hari ini yang mahukan negara itu bersetuju terhadap 13 tuntutan sebagai syarat untuk membatalkan sekatan diplomatik, komunikasi dan ekonomi ke atas Doha.

Tarikh akhir tuntutan itu sepatutnya tamat tengah malam kelmarin namun Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir akhirnya bersetuju memberikan masa selama 48 jam lagi supaya Doha dapat memberikan tindak balas yang positif.

Tempoh lanjutan itu diberikan bagi memenuhi permintaan Kuwait selaku orang tengah dalam krisis rantau Asia Barat itu, kata satu kenyataan bersama yang disiarkan agensi berita Arab Saudi, SPA.

Kerajaan Kuwait telah memohon tempoh lanjutan itu berikutan pengumuman Qatar bahawa ia akan menyerahkan keputusannya kepada pemerintah Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah semalam.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, UAE, Bahrain, Yemen, Libya dan Mesir mengumumkan hubungan diplomatik dengan Qatar diputuskan sekali gus mencetuskan krisis diplomatik terburuk di rantau Asia Barat dalam tempoh beberapa dekad.

Keempat-empat negara itu mendakwa Doha menyokong keganasan dan terlalu rapat dengan Iran, seteru serantau Arab Saudi, namun Qatar menafikan dakwaan itu dengan sekeras-kerasnya.

Sunday, 2 July 2017

Mufti Perlis & Wilayah Jahil, Guna Mitos Haramkan Homoseksual – Ahmad Salami



Kuala Lumpur – Seorang bekas pelajar Usul Fiqh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ahmad Salami mengecam kenyataan yang dikeluarkan oleh SS Mufti Perlis dan SS Mufti Wilayah Persekutuan yang mengharamkan perbuatan Homoseksual.

Beliau mengatakan kedua-dua Mufti terbabit mengambil pendekatan “borong”  atau hentam keromo dengan mengulang siar kembali stigma dan mitos atas diskusi kompleks yang perlukan perbincangan secara akademik. Kenyataan itu dikeluarkan selepas isu kenyataan Homoseksual tidak dilarang dalam al Quran yang dikeluarkan oleh saudara Afiq M Noor. 

Ahmad Salami menggambarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua Mufti terbabit sebagai petanda kurang baik. Sewajarnya kedua-dua mufti ini mengambil kira pelbagai elemen hujah seperti perkembangan pendapat ulama kontemporari, aspek ilmu psikologi, ilmu seksualiti (SOGIE), sampel buah fikir komuniti minoriti seksual, aktivis sosial, termasuk juga kajian sains semasa yang gagal dibahaskan dalam mengeluarkan hukum berkenaan isu homoseksualiti ini. 

“Dalam surah An-Nahl dan Al-Anbiya, Allah berfirman: Maka bertanyalah kepada ahl az-zikr (pakar) jika kamu tidak mengetahui. Bukankah Allah menyuruh supaya merujuk pihak yang pakar dalam bidangnya jika kurang arif? pesan beliau kepada dua Mufti terbabit.

Alumni Sekolah Demokrasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) ini juga kesal kerana kedua-dua Mufti terbabit tidak membezakan antara perbuatan liwat dan perlakuan homoseksual. Meletakkan isu Homoseksual ini sepertimana isu khilafiyah lain, Alumni Sekolah Demokrasi ini turut menggesa supaya perkara homoseksual ini diraikan dengan kepelbagaian pemikiran. “Usah pelik jika penafian dan kejahilan berterusan sesetengah agamawan berinteraksi menyebabkan masyarakat awam mencemuh keilmuan institusi keagamaan.” tambah beliau. 

Beliau yang kini aktif bersama Komuniti Muslim Universal (KMU), NGO yang merupakan cabang Malaysia kepada Muslims For Progressive Values di bawah Zuriani Khalid (Ani Zonneveld) menambah, “Pada pandangan saya, kenyataan mufti pada Hari Sedunia Menolak Homofobia dan Transfobia adalah tidak wajar.”

Saturday, 1 July 2017

PBB dilarang masuk Myanmar

GAMBAR fail menunjukkan bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Aung San Suu Kyi.

YANGON - Wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak akan dibenarkan memasuki dan menjalankan siasatan terhadap dakwaan penindasan yang dilakukan pasukan keselamatan Myanmar terhadap penduduk Rohingya.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Myanmar, Kyaw Zeya di Nayphidaw, hari ini.

“Jika mereka (PBB) tetap dengan pendirian untuk menghantar mana-mana individu bagi menjayakan misi siasatan ini, maka tidak ada sebab untuk kami membenarkan mereka masuk,” katanya.

Tambah Kyaw Zeya, pihaknya juga tidak akan mengeluarkan sebarang visa kemasukan ke Myanmar kepada individu atau kakita­ngan yang dilantik untuk misi itu.

Myanmar menerusi Menteri Luarnya, Aung San Suu Kyi sebelum ini memaklumkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan misi anjuran Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang diterima pakai pada Mac lalu itu.

Walaupun tidak menjaga perihal ketenteraan, Suu Kyi yang juga Kaunselor Myanmar tetap dikritik kerana gagal membela nasib lebih sejuta penduduk Islam Rohingya di Rakhine, barat negara ini.

Dalam kunjungannya ke Sweden bulan ini, pemimpin itu mendakwa, misi PBB itu hanya akan ‘memburukkan permusuhan’ antara pelbagai kaum di Myanmar ketika ini.

Sementara itu, Kyaw Zeya menganggap tindakan PBB mengenakan tekanan terhadap negaranya berhubung isu itu sebagai tidak wajar.

“Tindakan ini sebenarnya tidak akan membantu usaha kami untuk menyelesaikan isu Rohingya ini menggunakan pendekatan yang lebih holistik,” ujar beliau. – REUTERS