Tuesday, 7 February 2017

Gangguan mental ibarat bom jangka


SAYA ingin mengulas kes menyedihkan melibatkan seorang ibu bertindak kejam membunuh bayi sendiri dengan mengelar leher menggunakan sebilah pisau pemotong sayur dalam kejadian di kuarters Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas, Kelantan, pada 4 Februari lalu.

Bayi perempuan berusia dua bulan yang ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di atas sebuah tilam di ruang tamu rumah berkenaan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian leher.

Suspek berusia 32 tahun yang tidak melarikan diri ditahan polis yang tiba di kediaman berkenaan selepas menerima panggilan telefon daripada jiran wanita itu.

Hasil siasatan awal polis yang mengaitkan masalah gangguan emosi sebagai punca wanita itu tergamak membunuh anak sendiri tidaklah mengejutkan.

Ini selari dengan perangkaan didedahkan badan penyelidikan swasta pada 2015 yang mendapati setiap seorang daripada tiga penduduk Malaysia berpotensi menghidap penyakit mental.

Penyakit itu berpunca daripada tekanan perasaan akibat perubahan gaya hidup masyarakat yang lebih mementingkan kebendaan dan prestasi.

Satu kajian lain yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan pada tahun sama iaitu Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan 2015 juga menghasilkan keputusan serupa iaitu satu daripada tiga orang dewasa di negara ini bergelut dengan masalah mental sama ada mereka sedar atau tidak.

Kajian itu mendapati gangguan mental paling tinggi dalam kalangan remaja yang berumur antara 16 hingga 19 tahun dan individu daripada keluarga berpendapatan rendah.

Antara faktor yang menyumbang kepada gangguan mental adalah masalah kewangan, tiada pekerjaan dan tekanan di tempat kerja. Masalah lain adalah perceraian suami isteri dan penyalahgunaan dadah.

Walaupun kerajaan menyediakan perkhidmatan rawatan sakit mental, individu yang mengalami kemurungan lazimnya tidak tampil mendapatkan bantuan disebabkan bimbang digelar ‘orang gila’ berikutan sikap masyarakat yang memandang serong kepada mereka yang mempunyai sejarah penyakit berkenaan.

Sehubungan itu, saya berharap semua pihak tampil untuk mengatasi masalah berkenaan termasuk pertama, keluarga yang mempunyai individu disyaki mengalami tanda-tanda awal gangguan mental perlulah memainkan peranan bagi memastikan pesakit diperiksa oleh pakar psikiatri dan mendapat rawatan lanjut.

Orang ramai juga perlu lebih peka untuk menghulurkan bantuan kepada rakan-rakan yang didapati menunjukkan tanda-tanda masalah emosi atau kemurungan. Bantulah dengan cara mendengar luahan hati mereka dan bawa mendapatkan bantuan pakar sekiranya diperlukan.

Kedua, kerajaan memberikan insentif kepada klinik swasta di seluruh negara untuk menyediakan kaunselor yang berupaya memberikan kaunseling kepada mereka yang menghadapi tekanan perasaan.

Pada masa sekarang, perkhidmatan kaunselor hanya disediakan di 671 klinik kesihatan kerajaan.

Ketiga, lebih banyak kajian harus dilakukan oleh universiti tempatan bagi mencari kaedah baharu untuk merawat pesakit mental. Teknik rawatan juga perlu dipelbagaikan dan tidak hanya menjurus kepada memakan ubat-ubatan antipsikotik.

Saya tertarik dengan kaedah terbaharu yang popular di Amerika Syarikat (AS) dan Australia yang dinamakan sebagai Access Consciousness yang dikatakan cukup berkesan untuk merawat pesakit mental.

Kaedah yang diperkenalkan oleh dua pakar, Gary Douglas dan Dr. Dain Heer melibatkan teknik urutan di 32 bahagian di kepala pesakit.

Seperti akupuntur, urutan itu dikatakan dapat membantu individu membebaskan segala emosi dan trauma yang dipendam dalam diri yang sekiranya dibiarkan akan menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan perasaan.

Saya berharap masalah gangguan mental dalam kalangan masyarakat diatasi dengan sebaik mungkin. Jangan biarkan pesakit menjadi bom jangka yang bila-bila masa boleh meletup.

GURU MUDA

Sungai Buloh, Selangor

Monday, 6 February 2017

Guru besar dipenjara 8 bulan kerana rasuah

BEKAS Guru Besar, M. Subramaniam dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sessyen Shah Alam selepas didapati bersalah menerima rasuah berjumlah RM4400.00 daripada pengusaha kantin sekolah bagi melanjutkan kontrak peniagaan kantin, hari ini.
SHAH ALAM - Seorang guru besar dijatuhkan hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4,400 tiga tahun lalu.

Hakim Asmadi Hussin memerintahkan tertuduh, M. Subramaniam, 56, dipenjarakan berasingan masing-masing empat bulan bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, dia yang sebelum ini berkhidmat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Rawang didakwa menerima cek bernilai RM1,500 dan wang tunai RM2,900 daripada seorang pengusaha kantin untuk melanjutkan kontrak kantin sekolah.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di kantin sekolah berkenaan pada 30 Januari dan 8 Oktober 2014.

Sunday, 5 February 2017

Bisikan suara ghaib dorong ibu kelar anak

Meriam (kanan) ketika ditemui wartawan di rumahnya malam tadi.
TUMPAT - Bisikan suara 'ghaib' dikatakan menjadi punca kepada seorang ibu, Fadhilah Mohd. Zin, 32, bertindak luar kawalan sehingga sanggup mengelar leher anaknya yang berusia 2 bulan dalam kejadian di Kem Desa Pahlawan, Kok Lanas petang semalam.

Ibu wanita berkenaan, Meriam Ismail, 56, berkata bisikan tersebut telah menyuruh Fadhilah supaya membunuh anaknya.

"Fadhilah beritahu saya, suara itu menyuruhnya menutup Nur Areesa Sofea Jiry, 2, (mangsa) menggunakan bantal.

"Bukan itu sahaja, suara tersebut juga menyuruh Fadhilah mengelar anaknya itu menggunakan pisau," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Jal Kechik di sini malam tadi.

Dalam kejadian kejadian kira-kira pukul 2.45 petang semalam, seorang bayi perempuan dikelar ibunya yang berusia 32 tahun, di kuarters tentera di Kok Lanas, di sini.

Saturday, 4 February 2017

Batu Puteh bukan dalam Singapura - dokumen

Pulau Batu Puteh.
KUALA LUMPUR: Pentadbiran penjajah British di Singapura dalam urusan surat-menyurat dan petanya sekitar 1958-60an tidak meletakkan Batu Puteh dalam wilayahnya. Penemuan fakta baharu itu terkandung dalam tiga dokumen yang dikemukakan oleh Malaysia sebagai menyokong permohonan semakan semula penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang memberi hak kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.

Dokumen itu menunjukkan pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan Batu Puteh bukan sebahagian wilayah kedaulatan Singapura dalam urusan surat menyurat dalam tempoh 1958-1960an.

Permohonan semakan semula yang difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada 2 Februari lalu, kini boleh didapati menerusi laman web mahkamah berkenaan.

Dalam permohonan itu, Malaysia mengemukakan penemuan tiga dokumen di Arkib Negara United Kingdom (UK) dalam tempoh 4 Ogos 2016 hingga 30 Januari 2017 sebagai fakta baharu. Fakta baharu itu adalah urusan surat menyurat dalaman pihak berkuasa penjajah Singapura pada tahun 1958; laporan kejadian oleh pegawai angkatan tentera laut British yang difailkan pada tahun 1958 dan peta beranotasi operasi tentera laut dari 1960-an.

PETA menunjukkan kedudukan Batu Puteh.

Malaysia mendakwa dokumen berkenaan membuktikan fakta baharu yang menyebut: "Officials at the highest levels in the British colonial and Singaporean administration appreciated that Pedra Branca/Batu Puteh did not form part of Singapore's sovereign territory" during the relevant period.

("Pegawai tertinggi pejabat penjajah British dan pentadbiran Singapura menggunakan tetapan bahawa Pedra Branca/Batu Puteh bukanlah sebahagian daripada wilayah kedaulatan Singapura pada tempoh berkaitan). 

Sehubungan itu, Malaysia menegaskan ICJ akan mencapai keputusan berbeza mengenai persoalan kedaulatan Batu Puteh jika mahkamah mengetahui bukti baharu berkenaan. 

"Berhubung dengan peruntukan perkara 61 Statut ICJ, Malaysia menegaskan fakta baharu itu tidak diketahui oleh Malaysia atau mahkamah ketika keputusan dibuat kerana "fakta itu hanya ditemui ketika menyemak fail arkib Pejabat Pentadbiran Kolonial British selepas dokumen berkenaan dibuka untuk kegunaan awam oleh Arkib Negara UK selepas penghakiman dibuat pada 2008. 

"Selain itu, Malaysia menegaskan pihaknya yang tidak mengetahui kewujudan fakta baharu itu, bukan disebabkan oleh kecuaian kerana dokumen berkenaan adalah dokumen rahsia yang tidak boleh diakses oleh orang awam selagi tidak dijadikan dokumen awam oleh Arkib Negara UK," katanya.

Malaysia berkata, permohonan itu juga memenuhi tempoh yang diperuntukkan oleh Statut, iaitu memfailkan permohonan dalam tempoh enam bulan penemuan fakta baharu pada atau selepas 4 Ogos 2016. 

Katanya, selain itu permohonan dikemukakan sebelum tamat tarikh tempoh 10 tahun dari penghakiman pada 23 Mei 2008. Berikutan itu, Malaysia memohon kepada ICJ untuk memutuskan dan mengisytiharkan bahawa permohonan semakan semula keputusan 2008 boleh diterima sekali gus memohon supaya mahkamah menetapkan tempoh masa untuk mendengar merit permohonan.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, dalam satu kenyataan menyatakan, Malaysia memfailkan permohonan semakan semula penghakiman ICJ ke atas Pulau Batu Puteh (Pedra Branca), Batuan Tengah (Middle Rocks) dan Tubir Selatan (South Ledge). Permohonan berkenaan difailkan di ICJ, The Hague, Belanda pada Khamis.

Thursday, 2 February 2017

TM antara syarikat paling teruk dimaki oleh Netizen


KEBIASAANNYA, ramai di antara kita menggunakan sambungan internet di rumah melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia. Baik Streamyx mahupun Unifi kedua-dua produk sambungan internet ini sudah tidak asing lagi dikalangan pengguna warga tempatan. 

Namun, dalam kerancakan penyedia perkhidmatan komunikasi di Malaysia yang sering bersaing bagi mempromosi produk dan perkhidmatan mereka timbul pula isu-isu yang menyebabkan rasa ketidakpuasan hati pengguna terhadap prestasi perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini.

Antara isu-isu tersebut ialah seperti prestasi kelajuan internet tidak seperti yang dijanjikan ketika promosi, yuran langganan bulanan yang mahal dan sambungan internet yang tidak stabil serta sering putus-putus.

Setelah diteliti, syarikat Telekom Malaysia (TM) adalah antara syarikat yang paling teruk dikecam dan dikritik hebat oleh pelanggan mereka mengenai prestasi perkhidmatan pembekalan internet di laman rasmi perkongsian video Youtube mereka.



Antara luahan ketidakpuasan hati pelanggan terhadap prestasi perkhidmatan yang ditawarkan oleh TM.
Sebagai sebuah syarikat utama bagi penyediaan rangkaian perkhidmatan internet di Malaysia, harapannya agar TM dapat memastikan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan ketika ini dapat diperbaiki di masa hadapan.  Tambahan pula, kualiti perkhidmatan yang ditawarkan sepatutnya berbaloi dengan apa yang telah dibayar oleh pengguna kepada mereka.