Tuesday, 2 August 2016

Ketum bakal tingkat pendapatan


Pasir Mas: Penanaman pokok ketum di negara ini bakal meningkatkan pendapatan pekebun kecil melebihi RM1,000 sebulan bagi satu hektar berbanding RM150 hingga RM200 untuk tanaman kelapa sawit dan getah.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, jika kerajaan bersetuju, pihaknya akan melaksanakannya bagi membantu pekebun kecil.

Katanya, permintaan untuk tanaman itu sudah ada dari Amerika Syarikat dan Eropah untuk kegunaan pada musim sejuk.

"Mereka memberi tempoh dalam sebulan ini dan jika Malaysia tidak mampu membekalkan, negara berkenaan akan meminta dari negara lain.

"RISDA hanya mahu membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, di samping hasil menoreh getah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasminan Gerakan Peningkatan Produktiviti Peringkat Kelantan 2016 di TSB Sg Keladi, To' Uban, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pokok ketum boleh dituai dalam masa enam bulan sahaja.

‘Islam bukan keganasan’ - Pope

POPE Francis bercakap dengan pemberita pada sidang akhbar di dalam pesawat selepas lawatannya ke Poland sempena Hari Belia Sedunia kelmarin.
VATICAN CITY, Itali – Ketua gereja Roman Katolik, Pope Francis kelmarin berkata, Islam tidak boleh disamakan dengan keganasan dan memberi amaran bahawa Eropah memberikan tekanan kepada belia sehingga golongan itu mudah dikuasai pelampau.

“Adalah tidak benar dan tidak betul untuk menyatakan Islam ialah keganasan. Saya tidak fikir Islam boleh disamakan dengan keganasan,” katanya kepada wartawan di dalam pesawatnya semasa penerbangan pulang dari lawatan ke Poland.

Menjawab soalan wartawan, Pope Francis turut mempertahankan keputusannya untuk tidak menamakan Islam semasa mengutuk pembunuhan kejam seorang paderi Katolik di Perancis oleh kumpulan militan Islamic State baru-baru ini.

“Hampir dalam setiap agama, pasti ada segelintir pelampau. Kita juga mempunyai puak sebegini. Jika saya perlu bercakap mengenai keganasan Islam, saya juga perlu bercakap tentang keganasan Kristian.

“Setiap hari di akhbar saya melihat keganasan di Itali, ada yang membunuh teman wani­tanya, ada juga yang membunuh ibu mertuanya dan mereka ini penganut Katolik,” katanya.

Ketua gereja Katolik itu berkata demikian selepas orang Islam menghadiri perhimpunan gereja Katolik di sekitar Perancis kelmarin bagi menunjukkan penyatuan susulan pembunuhan paderi itu.

Mengulangi kenyataan yang dibuat semasa lawatan lima harinya ke Poland, Pope Francis berkata, agama bukan punca keganasan.

“Lidah manusia boleh membunuh sama seperti pisau,” katanya merujuk kepada pe­ningkatan parti bersifat populis yang menyemarakkan api perkauman dan fahaman xenofobia iaitu bencikan orang asing. – AFP

Monday, 1 August 2016

Pengasas Mydin meninggal dunia


KUALA LUMPUR – Pengasas Mydin, Mydin Mohamed, meninggal dunia jam 5.06 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin menerusi laman Facebook Mydin Malaysia.

Menurut beliau, Allahyarham meninggal dunia kerana sakit tua.

“Pengasas dan Pengerusi Mydin Mohamed Holdings Bhd, Tuan Mydin bin Mohamed kembali kerahmatullah hari ini, 1 Ogos 2016, pukul 5.06 petang. ”

“Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang mukminin. Al-Fatihah…”, tulis beliau.

Lembu import, babi eksport

SABAN tahun bila tiba musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, naik muak mendengar kenyataan, bekalan daging cukup, harga terkawal. Realitinya, bekalan tidak pernah cukup. Harga pula tidak terkawal. Sehinggakan ayam biasa mencecah harga RM30 seekor.

Bila berlaku kenaikan mendadak barangan terkawal, kedengaran kata-kata jangan makan itu dan ini, kita boikot. Rakyat marhaen seperti saya yang kurang berwang pun ikutlah kempen tersebut, malangnya orang lain yang berwang terus makan dengan sedapnya.

Peliknya, bila tiba Tahun Baharu Cina, amat jarang sekali masalah ini muncul. Bekalan babi sentiasa cukup, harga terkawal. Tiada siapa merungut, kecuali rumah orang Melayu tinggal berdekatan dengan kandang babi.

Pendek kata, selagi kita menjadi pengguna, selagi itulah kita akan terus berhadapan dengan masalah demi masalah yang tidak pernah akan selesai ini. Kita akan terus menjadi mangsa.

ALLAH telah mengurniakan kita dengan bumi yang sangat subur. Cucuklah tanamannya apa pun, esok bertunaslah ia. Sawit, kelapa, getah, kopi, koko dan kurma misalnya, bukan tanaman asal di sini, tetapi dari negara lain. Campak sahaja di bumi bertuah ini, menjadi sokmo. Tidak bersyukur lagi dengan nikmat ALLAH ini.

Hasil bumi, laut dan langit semua kita ada, sehingga melimpah ruah. Tetapi tidak pernah cukup. Ini tidak termasuk sumber minyak yang biasanya kedapatan di negara Arab.

Persoalannya, kenapa kita masih mengimport? Bukan mengeksport? Kita cuma bangga menjadi pengeksport babi, bukan hasil tani yang lain?

Ke manakah perginya dasar yang sangat baik seperti Dasar Pertanian Negara dan Buku Hijau yang mahu meningkatkan hasil tani dan daya saing? Apakah kita semua lupa? Kedua dasar ini saban tahun dibincangkan tetapi tidak ke mana?

Saya masih ingat, pada tahun 2006, kempen ini telah dihidupkan semula. Tiga komponen utama difokuskan iaitu Tanaman (bercucuk tanam), Ternakan dan Akuakultur. Program ini akan memberi fokus di kawasan bandar dan luar bandar dengan menggalakkan rakyat bercucuk tanam dan menternak ayam dan ikan atau dengan kombinasi yang sesuai untuk kegunaan sendiri dan selebihnya boleh diproses/guna sendiri.

Tujuannya untuk meringankan beban kewangan rakyat akibat kesan kenaikan harga barangan makanan dan kesan kenaikan kadar inflasi. Pada masa sama ia dapat mewujudkan kesedaran dan menggalakkan rakyat mengeluarkan sendiri makanan segar, berkhasiat dan selamat.

Kerajaan telah meluluskan sebanyak RM15 juta bagi tahun 2008 dan untuk fasa 1, sebanyak RM5 juta telah diagihkan. Dengan peruntukan tersebut Jabatan Pertanian telah menetapkan sasaran seramai 187,000 keluarga di 2,880 Kampung dan Taman Perumahan di seluruh negara.

Apa hasilnya? Bidang pertanian yang sepatutnya menjadi bidang kepakaran kita sudah jauh ketinggalan berbanding dengan Thailand dan negara lain.

Kita ada Jabatan Pertanian, Mardi, UPM, Risda dan badan berkaitan pertanian. Malangnya semua membawa haluan masing-masing. Inilah perangai orang Melayu. Maaf. Semua mahu menunjukkan kehebatan, meskipun mereka tidak sehebat mana. Kenapa tidak disatukan kepakaran ini menuju kepada negara pertanian hebat seperti negara lain?

Kita buat kertas cadangan untuk mendapatkan kelulusan. Apabila sudah dapat, kita pun sub kepada orang lain. Akhirnya, Cina jadi kaya, kita kaya sekejap. Kemudian berbini ramai. Di Dusun Trolak kini heboh dengan anak-anak kita curi durian.

Sebagai orang Islam saya amat malu sungguh apabila Malaysia lebih terkenal sebagai pengeksport babi, sedangkan permintaan dalaman tidak banyak berbanding dengan lembu, kambing dan ayam.

Saya sarankan, pada tahun depan dan seterusnya, tidak payah lagilah buat pengumuman bekalan daging cukup ke tidak? Pakat-pakat buat kerja. Kurangkan NATO, no action talk only.

Lebih malangnya, belum pun isu hasil tani reda, tiba-tiba muncul pula idea untuk menjadikan ketum sebagai tanaman komersial. Apakah ketum boleh mengenyangkan perut? Atau meramaikan lagi penagih dadah yang rata-ratanya orang Melayu?

Fokuslah kepada hasil pertanian yang boleh mengenyangkan perut dan bukan sebaliknya. Saya tidak boleh bayangkan jika suatu masa nanti negara kita dikenakan sekatan ekonomi oleh kuasa besar, apakah kita bersedia atau mati kelaparan?

Negara pertanian seperti China sejak dahulu hingga sekarang, tidak pernah tergugat, meskipun pernah mengamalkan dasar tutup pintu dan dikena sekatan ekonomi suatu ketika dahulu. Kenapa? Mereka tidak bergantung kepada hasil import. Apakah kita terpaksa makan binatang haram suatu masa nanti kerana terlalu bergantung kepada import? Lembu import babi eksport.  


* Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah Felo Utama Inspire Dan Pensyarah Ppi Unisza

Usia baru 4 tahun tapi rupa parasnya...


MAGURA - BANGLADESH. Tidak pernah dibayangkan oleh pasangan Luvelu Hossain dan Tripti Khatun yang anak mereka Bayezid Hossain akan kelihatan seperti seorang datuk berusia 80 tahun.

Bayezid, yang dilahirkan pada 2012 lalu di hospital kerajaan di Magura, Bangladesh Selatan dikatakan menghadapi penyakit langka Progeria dan Cutis Laxa. Kini ketika baru berumur 4 tahun, dia sudah terlihat seperti orang tua.

"Saya merasa ketakutan melihatnya ketika dia dilahirkan. Dia seperti hanya memiliki daging serta tulang saja. Ia kelihatan seperti 'alien' dan itu membuat hati saya hancur," kata Tripti yang kini berumur 18 tahun.

"Doktor tak tahu apa yang harus mereka dilakukan. Mereka mengatakan mereka tak pernah melihat bayi sepertinya. Mereka memberitahu kami bahawa tidak ada yang dapat mereka lakukan," katanya lagi.

Umur mungkin tidak panjang

Malah apa yang lebih menyedihkan katanya, menurut doktor, buat masa ini tiada ubat yang boleh memulihkan keadaan Bayezid. Menurut doktor, usia Bayezid dijangka tidak akan melebihi 15 tahun

"Bayezid baru berjalan pada umur tiga tahun, tapi dia memiliki susunan gigi yang sempurna  pada umur tiga bulan. Perkembangan fizikalnya  sangat tidak normal, tapi secara mental dia mampu berbicara dengan baik," kata Tripti.

Dalam pada itu menurut Tripti, dia berharap anaknya sembuh dan dapat menjalani kehidupan seperti orang lain.

"Dia tidak kelihatan seperti anak-anak lain. Dia terlihat seperti orang tua. Sebagai anak sulung saya, saya tak boleh melihat anak saya dalam kondisi seperti ini," katanya- Mirror Uk