Thursday, 2 June 2016

Pantau anak jika bela haiwan di rumah


BINATANG peliharaan seperti kucing, arnab dan hamster adalah antara yang paling ‘dekat’ dengan anak-anak. Namun, bagaimana cara kita untuk memastikan anak-anak bermain dengan selamat bersama haiwan peliharaan kesayangan anda sekeluarga ini?

Tip ini dapat membantu anak-anak anda selamat bermain dengan binatang peliharaan.

1. Jangan benarkan anak ganggu haiwan peliharaan

haiwan peliharaan sangat sensitif ketika makan atau tidur. Sekiranya rasa terkejut atau terganggu dengan tindakan anak anda, ini mungkin akan bertindak agresif dan boleh menyebabkan anak anda tercedera.

Jangan sesekali membenarkan anak anda mengganggu haiwan peliharaan ketika ia sedang makan atau tidur.

2.  Pantau anak ketika dia bermain dengan haiwan

Anak-anak biasanya tidak begitu peka pada reaksi dan tindak balas liar yang ada pada binatang. Biarpun anak anda hanya berniat untuk mengusik atau bermain, ini tidak memberi apa-apa makna kepada binatang peliharaan anda.

Tidak mustahil binatang peliharaan anda akan bertindak liar. Jangan benarkan anak anda mengasari atau menyakiti binatang peliharaan.

3. Jangan biar haiwan main permainan anak

Anda perlu menjauhkan segala barang permainan  daripada haiwan peliharaan anda agar anak terhindar daripada sebarang bakteria. Biasanya haiwan peliharaan gemar bermain dengan barang permainan.

Dikhuatiri haiwan peliharaan anda menjilat atau merosakkan barangan permainan. Ini boleh menyebabkan jangkitan kuman kepada anak anda.

4. Jangan biar anak hampiri anak haiwan

Biasanya ibu haiwan begitu sensitif apabila ada yang cuba mengganggu anaknya. Tidak mustahil binatang peliharaan anda akan mencakar, menggigit atau menyerang anak anda jika merasakan keselamatan anaknya terancam.

Jangan biarkan anak anda menghampiri anak binatang peliharaan.

5. Elak anak dekat haiwan peliharaan sakit/tercedera

Anak-anak mungkin tidak haiwan peliharaan berkenaan sedang sakit atau tercedera. Pantau dan elakkan anak anda menghampiri haiwan peliharaan yang sedang sakit atau tercedera agar penyakit atau kuman yang ada pada haiwan peliharaan anda tidak berjangkit.

6. Terus rawat jika cedera sebab haiwan

Biarpun lukanya terlalu kecil, langkah pencegahan daripada sebarang kemungkinan amat perlu.

Pastikan anda basuh tangan, kaki atau bahagian gigitan pada tubuh anak anda dengan menggunakan sabun atau krim khas untuk mengelakkan atau menghindari jangkitan bakteria.

Sekiranya kesan gigitan agak besar dan berdarah, rawatan lanjut perlu diberikan kepada anak anda. Bawa anak anda ke hospital atau klinik berdekatan.

Pedofilia mengaku rogol kanak-kanak ketika di Malaysia

Richard Huckle
LONDON - BRITAIN . Seorang ‎pedofilia‎ mengaku melakukan serangan seksual ke atas bayi seawal usia enam bulan, beberapa daripadanya berasal dari keluarga miskin di Malaysia.

Richard Huckle, 30, didakwa turut mengambil gambar dan ‎rakaman‎ video terhadap tindakan tidak bermoral itu lalu memuat naik ke web haram.

Huckle, menghadapi 91 tuduhan termasuk melakukan serangan terhadap 23 kanak-kanak di Kuala Lumpur, ketika dia bertugas sebagai guru Bahasa Inggeris.

Memetik laporan AFP, penyiasat mendapati lebih 20,000 imej tidak senonoh pada komputer tertuduh, manakala Huckle juga menyimpan buku lejer senarai serangannya dan menulis manualnya sebagai: “Paedophiles And Poverty: Child Lover Guide”.

Huckle muncul buat kali pertama di mahkamah London untuk pendakwaan pada Rabu.

Dia didakwa melakukan kesalahan antara tahun 2006 dan 2014 terhadap mangsa yang berusia enam bulan hingga 12 tahun.

Pendakwa Brian O'Neill berkata, tertuduh sering mengambil gambar kanak-kanak dan meletakkannya di atas talian.

"Imej penderaan kanak-kanak itu dapat dikongsi dengan pedofilia lain dan  menjadi subjek pengagihan yang tidak terkawal di seluruh dunia," kata O'Neill.

Huckle ditahan di lapangan terbang London Gatwick pada  Disember 2014 selepas pulang dari Malaysia untuk menyambut Krismas.

Dia pada mulanya menafikan semua 91 tuduhan, tetapi kemudian mengakui 71 daripadanya semasa perbicaraan selanjut.

Dakwaan yang dikenakan terhadap lelaki itu termasuk 14 tuduhan rogol dan 31 serangan seksual.

Hakim Peter Rook berkata, beliau sedang mempertimbangkan hukuman penjara seumur hidup dalam kes itu, yang katanya ia adalah salah satu perbuatan 'luar biasa'. -SH

Wednesday, 1 June 2016

Penjara Pokok Sena jual kuih hasil tangan banduan

PENGARAH Penjara Kedah, Timbalan Komisioner Penjara, Ahmad Faudzi Awang (tiga dari kanan) bersama pegawainya melancarkan Promosi Kuih Raya di Penjara Pokok Sena.
POKOK SENA: Seramai 30 banduan Penjara Pokok Sena berganding bahu menyiapkan tempahan kuih muih sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri sekali gus mencapai sasaran hasil jualan melebihi RM350,000. 

Pengarah Penjara Negeri Kedah, Ahmad Fauzi Awang, berkata Penjara Pokok Sena adalah penjara yang berjaya mengeluarkan hasil produktiviti yang paling banyak dan turut mendapat tempahan daripada pelbagai pihak. 

Katanya, sasaran yang dibuat adalah berdasarkan rekod tahun lalu apabila Penjara Pokok Sena menerima tempahan bernilai sebanyak RM300,000. 

"Tempahan yang dibuka kali ini membabitkan 27 jenis kuih muih termasuk tiga ciptaan baharu yang sering menjadi pilihan tempahan oleh pelanggan. "Tiga jenis kuih baharu iaitu biskut shandong, biskut valvet merah dan kuih kapal terbang. 

Selain itu, pelbagai kek turut ditawarkan seperti kek keju, kek lapis asam, kek oreo dan kek buah," katanya. Beliau berkata pada sidang media di Majlis Perasmian Promosi Kuih Raya 2016 di Galeri Vokasional dan Industri Penjara Pokok Sena di sini hari ini. 

Ahmad Fauzi berkata, pihaknya mengalu-alukan pelanggan untuk membeli secara pukal kerana label tidak diletakkan supaya kuih muih mudah dijual. 

"Pelanggan juga boleh membuat tempahan awal seminggu sebelum tarikh hari raya dengan harga yang lebih murah antara 25 hingga 35 peratus berbanding harga pasaran," katanya. -BH

Malaysia tawar dua aspek kepakaran kepada Jepun

AHMAD ZAHID HAMIDI menyampaikan cenderahati kepada Shinzo Abe ketika melakukan kunjungan hormat di pejabat Perdana Menteri Jepun itu di Tokyo, semalam.
TOKYO 31 Mei – Malaysia sedia membantu Jepun mendapatkan kepakaran dalam menangani ancaman militan dan menjayakan industri halal memandangkan negara Matahari Terbit itu sudah bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesediaan Malaysia itu dinyatakan hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe di pejabat Perdana Menteri itu, hari ini.

Beliau berkata, Jepun telah menyatakan hasrat untuk mempelajari kejayaan Malaysia yang berpengalaman luas dalam menangani ancaman militan sejak Zaman Darurat lagi hingga kini.

Di samping itu, katanya, kemampuan serta piawaian Malaysia menyediakan industri halal juga menarik perhatian Jepun dan kedua-dua kejayaan itu (menangani ancaman militan dan industri halal) boleh membantu Jepun menjayakan Sukan Olimpik 2020.

Jelasnya, Jepun mahu Sukan Olimpik 2020 berlangsung de­ngan sempurna termasuk menghindarkan ancaman militan dan pengganas Negara Islam (IS) di samping kehadiran ramai atlet beragama Islam memerlukan penyediaan makanan halal.

Beliau berkata, kerajaan Jepun tidak mahu ada anasir luar cuba menyusup masuk ketika Sukan Olimpik 2020 berlangsung yang akan mengancam keselamatan atlet.

“Dalam hal ini, kita sedia bertukar-tukar maklumat risikan bagi menangani ancaman militan.

“Mengenai industri halal, Jepun berpandangan lebih jauh bahawa industri tersebut dapat menjadi pasaran yang lebih luas dan terbuka. Ini terbukti apabila ada syarikat Jepun melabur jutaan ringgit dalam industri wangian halal di Malaysia selain jumlah penduduk Islam dunia dijangka mencecah 2.8 bilion menjelang 2050.

“Jepun juga kagum dengan piawaian industri halal Malaysia termasuk peranan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) dan Perbada­nan Pembangunan Halal (HDC).

“Malaysia setuju membantu Jepun termasuk menyediakan kepakaran dalam dua aspek ini termasuk melatih pegawai-pegawai Jepun,” katanya dalam sidang akhbar kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Ahmad Zahid dalam rangka lawatan kerja lima hari ke Jepun yang bermula sejak kelmarin.
Sebelum itu, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Jepun, Taro Aso di sini.

Ahmad Zahid yang merupakan Pengerusi Majlis Halal Malaysia (MHM) berkata, Malaysia juga sedia memudahkan segala urusan pelaburan kepada Jepun yang berminat menambah pe­laburan di Malaysia.

Menjawab pertanyaan mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) antara Malaysia-Singapura, Ahmad Zahid berkata, Malaysia amat menghargai minat Jepun untuk menyertai tender terbuka projek berkenaan.

“Bagi Malaysia, selepas perjanjian HSR itu ditandatangan dengan Singapura, kita akan umumkan tender terbuka kepada mana-mana negara yang berminat,” katanya.

Sementara itu Ahmad Zahid menegaskan, mana-mana ahli UMNO yang bertanding di pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai calon Bebas, akan diambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti.

Katanya, tindakan itu termasuk mereka akan hilang keahlian kerana tindakan tersebut bertentangan dengan prinsip parti.

Malah kata beliau, tindakan digugurkan sebagai ahli parti juga sejajar dengan dasar yang ditetapkan oleh Lembaga Disiplin UMNO.

“Kita tidak halang mana-mana ahli yang sengaja mahu bertanding sebagai calon Bebas di PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Ini negara demokrasi dan itu hak masing-masing,” katanya.

Pas tegur ahli jangan lancang berkata-kata

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
KOTA BHARU- Pas menegur sikap ahlinya yang mengkritik dan mendedahkan rahsia parti sebagai trend untuk menghuru-harakan keadaan serta menghakis sokongan rakyat.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, terkini wujudnya golongan menggunakan ceramah dan facebook untuk menghentam parti bagi melepaskan dendam serta memuaskan hati tanpa memberikan faedah.

Menurutnya, disebabkan sikap golongan terbabit yang tidak berdisiplin dan sengaja mendedahkan rahsia parti mendorong kepada pemecatan, bukannya pimpinan Pas tidak boleh ditegur.

"Dalam jemaah kita diajar untuk setia dengan pemimpin selagi pemimim tidak langgar syariah dan diajar cara menegur.

"Kita boleh berbeza pandangan dan kritik pemimpin. Pemimpin tidak pernah anggap maksum.

"Kita ada salah, silap dan kekurangan. Kesilapan dalam politik bukan satu maksiat. Itu kesilapan manusia biasa," katanya.

Malam tadi, beliau merasmikan Muktamar Muslimat Pas Pusat Ke 56 yang berlangsung di Dewab Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam.

Hadir sama, Ketua Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh dan Setiausaha Muslimat Pas Pusat, Kartini Ahmad.

Selain itu, Mohd Amar berkata, Pas masih mampu meraih undi bukan Melayu walaupun sudah berpecah dengan DAP.

"Ramai mengatakan Pas mendapat undi bukan Melayu selama ini disebabkan DAP. Namun DAP juga diingatkan mereka mendapat undi Melayu selama ini juga disebabkan bantuan Pas.

"Pas yakin untuk meraih undi bukan Melayu bukan hanya dengan satu cara sahaja iaitu bekerjasama dengan DAP, sebaliknya sekiranya jentera parti bekerja kuat, kita masih mampu mendapat undi mereka," katanya.

Dalam masa sama, Timbalan Menteri Besar Kelantan itu juga menyedarkan semua ahli parti supaya terus memperkasakan perjuangan dan lebih menampilkan keyakinan kepada masyarat terhadap perjuangan parti.

Katanya, jika Pas gagal menganjurkan program ataupun melakukan gerak kerja yang dapat menimbulkan aura keyakinan maka sukar untuk rakyat memilih parti itu pada pilihan raya akan datang.

Pas katanya, dalam berdepan dengan gelombang cabaran politik yang hebat semenjak akhir-akhir ini perlu memiliki bacaan politik yang tinggi dan peka bahkan tidak melihatnya dalam satu sudut pandangan sahaja.

Sesi perbahasan peringkat sayap Muslimat akan bersambung hari ini bermula jam 8 pagi di lokasi yang sama. -SH