Friday, 6 May 2016

Tentera Hamas-Israel kembali bertempur

KELIHATAN asap yang berkepul di udara selepas serangan udara Israel di Rafah, semalam.
BANDARAYA GAZA: Tentera Israel dan pejuang Hamas bertempur buat kali pertama sejak insiden berdarah 2014 dengan Zionis didakwa menceroboh Wilayah Gaza. 

Sayap bersenjata Hamas, Briged Ezzedine al-Qassam, menuduh tentera Israel menceroboh wilayah itu dan berkata, mereka bersedia untuk bertindak balas. 

"Kami tidak akan sama sekali membenarkan sikap agresif pihak lawan berterusan," kata kumpulan berkenaan. Menurut sumber keselamatan dan perubatan, serangan semalaman oleh tentera Israel terkena empat sasaran di Gaza dengan empat orang cedera, tiga daripada mereka kanak-kanak.

Sementara itu, tentera Zionis mendakwa terowong kedua merentas sempadan digunakan kumpulan militan. Jurucakap tentera, Peter Lerner mendakwa dalam tempoh 24 jam lalu mereka berdepan sekurang-kurangnya enam insiden membabitkan serangan Hamas ke atas aktiviti IDF.

Beliau berkata, Zionis menyerang balas dalam konfrontasi yang disifatkan yang pertama antara tentera Israel dan pejuang Hamas sejak perang terakhir di Gaza pada 2014. 

Menurut saksi, pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera IDF berterusan di timur Rafah di selatan Semenanjung Gaza, petang semalam. - AFP

Thursday, 5 May 2016

DAP rayu PKR, Izzah rujuk kajian UUM

Nurul Izzah
SHAH ALAM - Susulan rayuan DAP agar rakan sekutunya, PKR menarik diri daripada bertanding di Dun Batu Kitang dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak, Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar mahu agar kajian Universiti Utara Malaysia (UUM) dirujuk.

Melalui perbualan aplikasi Whatsapp, Nurul Izzah melalui pegawai medianya memberitahu perkara tersebut.

“YB maklumkan rujuk kenyataan daripada kajian yang dibuat oleh UUM. Terima kasih,” katanya ringkas ketika diminta mengulas tentang rayuan DAP itu.

Melalui kajian yang dijalankan 27 April hingga 1 Mei lalu itu, calon PKR, Voon Shiak Ni lebih diminati pengundi Dun Batu Kitang dengan 33 peratus berbanding calon DAP, Abdul Aziz Isa, 31 peratus.

Hari ini, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata kaji selidik yang dijalankan sejurus hari penamaan calon itu tulen dan tiada sebab untuk meraguinya.

“Kaji selidik ini dijalankan secara bebas dan tanpa pengetahuan kami. Keputusan tersebut diberikan kepada kami oleh individu yang tidak mahu dikenali,” katanya.

Kaji selidik itu juga menunjukkan tahap penerimaan pengundi Batu Kitang terhadap calon BN, Lo Khere Chiang 35 peratus daripada keseluruhan responden yang mengatasi calon PKR dan DAP.

Semalam, DAP merayu PKR supaya menarik diri daripada bertanding kerusi baharu Dun Batu Kitang kerana parti sekutu itu tidak mempunyai peluang memenanginya pada pilihan raya negeri, Sabtu ini.

Selain Voon, Abdul Aziz, dan Lo, kerusi Batu Kitang itu menyaksikan pertandingan lima penjuru dengan dua calon Bebas, Sulaiman Kadir dan Datuk Seri Othman Bojeng. -SH

Wednesday, 4 May 2016

Rasuah: Dua pemimpin Umno berdepan hukuman penjara

Nor Azamuddin (kiri) kelihatan menuding jari ke arah pengamal media sambil memberi amaran supaya tidak merakam wajahnya. 
ALOR SETAR - Dua pemimpin Umno Pulau Pinang berhadapan hukuman penjara selama 20 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar, hari ini atas tiga pertuduhan berkaitan rasuah.

Mereka adalah Bendahari Umno Bahagian Permatang Pauh, Nor Azamuddin Ahmad dan Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Permatang Pauh, Farid Idris Khan.

Masing-masing dihadapkan ke mahkamah untuk sebutan semula kes selepas diikat jamin RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin pada 9 Mac lalu.

Nor Azamuddin yang hadir mengenakan baju kemeja bercorak petak dan Farid memakai baju kemeja berwarna kelabu kelihatan tenang ketika berada dalam kamar mahkamah.

Bagaimanapun, pengamal media yang membuat liputan kes dimarahi dan diberi amaran oleh mereka agar tidak merakam gambar ketika di luar mahkamah.

Mereka kemudian cuba menyembunyikan diri di satu sudut selama beberapa minit untuk mengelak gambar dirakam.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Persiaran KTC 4/3, Kulim Techno City Golf View, Kulim Hi-Tech Park, Kulim, pada 2014.

Nor Azamudin Ahmad didakwa melakukan kesalahan pertama pada 4 Mei 2014 dengan menerima suapan wang tunai RM45,000 daripada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk sebagai dorongan mendapatkan kuota beras Standard Tempatan dengan 15 peratus hancur (ST15) sebanyak 100 tan metrik untuk perniagaan sebuah syarikat bagi bulan Mei dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Nor Azamuddin didakwa menerima rasuah masing-masing berjumlah RM45,000 daripada individu sama sebagai dorongan mendapatkan bekalan beras ST15 sebanyak 100 tan metrik pada 6 Jun dan 2 Julai 2014.

Nor Azamuddin dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Sementara itu, Farid dituduh bersubahat dengan Nor Azamuddin yang menerima suapan RM45,000 daripada individu sama pada 4 Mei 2014 sebagai upah untuk mendapatkan kuota beras ST15 sebanyak 100 tan metrik.

Farid didakwa mengulangi kesalahan itu pada 6 Jun dan 2 Julai di lokasi sama.

Kes disebut mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang dibaca bersama Seksyen 28 Akta yang sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Bagi kesalahan itu, masing-masing boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya SPRM, A Hafizh Abu Bakar manakala kedua-duanya diwakili peguam, Ang Chun Pun.

Hakim, Zanol Rashid Hussain menetapkan 2 Jun untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes. -SH

Tuesday, 3 May 2016

China latih nelayan jadi militia

BOT-BOT nelayan China berlabuh di pelabuhan Baimajing, Pulau Hainan, China pada 7 April lalu. 

BAIMAJING, China – Golongan nelayan yang tinggal di bandar pelabuhan kecil Baimajing, Pulau Hainan diberikan latihan ketenteraan dan pelbagai subsidi termasuk bahan api serta ais untuk berperanan sebagai militia nelayan di zon tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Beberapa pegawai pemerintah dan diplomat asing berkata, nelayan-nelayan itu diminta untuk mengumpulkan maklumat mengenai kapal-kapal asing.

“Militia nelayan ini diperluaskan memandangkan Beijing memerlukan khidmat mereka,” kata seorang pegawai di Hainan.

Bagaimanapun, kehadiran militia nelayan itu berisiko menimbulkan konfrontasi dengan tentera laut asing di Laut China Selatan yang dilalui kapal-kapal membawa dagangan bernilai AS$5 trilion (RM19.61 trilion) pada setiap tahun.

Amerika Syarikat (AS) sebelum ini melakukan rondaan di laut dan udara berhampiran pulau-pulau yang ditambak China di zon tuntutan bertindih di Kepulauan Spratly, termasuk penerbangan dua pesawat pengebom strategiknya, B-52 pada November lalu.

Malah, Washington berkata pada Februari lalu bahawa rondaan di kawasan tuntutan bertindih itu akan ditingkatkan seiring dengan dasar ‘kebebasan belayar’ AS.

Menurut pegawai pentadbiran Hainan tersebut, Beijing menyediakan latihan ketenteraan asas kepada golongan nelayan itu, namun operasinya dikawal oleh Parti Komunis dan Tentera China.

Pemerintah China turut menyediakan peralatan Pengesanan Kedudukan Global pada sekurang-kurangnya 50,000 bot nelayan supaya mereka dapat menghubungi unit Pengawal Pantai China jika berlaku kecemasan, atau konfrontasi dengan kapal asing.

Malah, sebahagian bot nelayan itu turut mempunyai senjata ringan.

Koordinasi antara militia nelayan dan tentera China itu terbukti dalam kejadian pada Mac lalu apabila Indonesia cuba menahan sebuah bot nelayan China dekat Kepulauan Natuna miliknya di Laut China Selatan.

Sebuah kapal Pengawal Pantai China segera menghalang tentera laut Indonesia daripada menunda bot itu sekali gus mencetuskan perbalahan diplomatik antara Beijing dan Jakarta.

Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, manakala sebahagian pulau dan terumbu karan di laut itu turut dituntut oleh Filipina, Vietnam, Brunei, Taiwan dan Malaysia. – Reuters

Monday, 2 May 2016

Lelaki cipta ‘basikal terbang’

FURZE dirakam terbang dengan hoverbike yang dibina menggunakan kerangka basikal.

LONDON – Seorang lelaki Britain mencipta sebuah kenderaan futuristik yang dinamakan sebagai hoverbike dan boleh bergerak di udara menggunakan dua buah kipas baru-baru ini.

Colin Furze yang mencipta hoverbike itu menyifatkannya sebagai kenderaan paling hebat pernah ditunggangnya. Penciptaan kenderaan itu dibina berdasarkan cadangan daripada beribu-ribu penonton yang mahu dia mencipta mesin boleh terbang.

Furze mencipta mesin itu menggunakan dua buah kipas besar yang dihadapkan ke bawah dan disambungkan kepada dua buah motor serta sebuah rangka basikal. Kipas tersebut digunakan untuk membolehkan kenderaan itu terapung dan berlegar di udara.

Empat rakaman video yang dimuat naik di laman perkongsian video YouTube menunjukkan cara pembinaan kenderaan itu serta hasil terakhir yang diperoleh Furze.

Berdasarkan video terakhir yang dimuat naiknya, Furze dilihat mengendalikan mesin yang sukar dikawal itu di sebuah padang. – Agensi