Monday, 4 April 2016

Doktor 'tanam' tangan pesakit dalam perut

Tangan mangsa yang 'ditanam' dalam perut.
ORLEANS - BRAZIL. Memang pelik namun inilah yang berlaku. Doktor di selatan Brazil menggunakan kaedah kreatif untuk menyelamatkan tangan seorang lelaki selepas kulit tangannnya terkoyak dengan memasukkan tangan tersebut ke dalam perut mangsa.

Laporan Dailymail UK mengatakan, tangan yang cedera tersebut akan 'ditanam' di celah tisu lembut perut selama enam minggu untuk mengelakkan jangkitan kuman dan proses reput.

Kulit tangan mangsa, Carlos Mariotti, 41, terkoyak sehingga menampakkan tulang dan tendon ketika sedang mengendalikan sebuah mesin.

"Tanpa prosedur ini, tangan Carlos pasti akan mereput dan jangkitan kuman pasti akan berlaku," kata pakar bedah hospital Santa Otilia, Boris Brandao.

Bahagian perut Carlos kemudian dibalut bersama-sama tangan yang dimasukkan untuk meyembuhkan luka pembedahan.

"Rasa pelik sedikit kerana saya boleh gerakkan jari-jari saya di dalam perut," kata Carlos sambil mengetap bibir.

Dalam kemalangan di tempat kerjanya, Carlos kehilangan dua jarinya.

"Sekurang-kurangnya jari saya yang lain masih OK dan saya masih boleh memegang stereng kenderaan untuk pergi kerja," kata Calors sambil tersenyum. -Dailymail

Sunday, 3 April 2016

Tak boleh ambil

LAPORAN Harian Metro 31 Mac lalu.
Kuala Terengganu: Boleh gali tetapi tidak boleh ambil. Itu kata Presiden Institut Geologi Malaysia Datuk Yunus Abd Razak berhubung aktiviti menggali emas oleh penduduk Kampung Jenang, Marang di kawasan tanah berhampiran kediaman masing-masing.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) berkata, bahan galian seperti emas tersenarai antara mineral yang menjadi milik kerajaan walaupun berada di dalam kawasan tanah persendirian mengikut undang-undang.

“Pada asasnya semua sumber mineral adalah tertakluk dan menjadi hak kerajaan negeri.

“Penduduk dibenarkan menggali tanah tetapi sekiranya menemui sumber mineral antaranya emas dan timah, ia adalah milik kerajaan seperti termaktub dalam undang-undang,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Menurut Yunus, penduduk terbabit bagaimanapun boleh membuat permohonan Lesen Melombong Tuan Punya untuk mencari dan menggali emas di tanah milik masing-masing.

“Lesen ini perlu dipohon daripada Pejabat Tanah dan Galian negeri (PTG) dan selepas memperolehnya, mereka perlu memohon lesen operasi pula daripada JMG.

“Pemilik tanah juga perlu mengemukakan satu skim yang mana perlu mendapatkan bantuan jurutera perlombongan berdaftar.

“Skim ini secara mudahnya untuk menunjukkan keluasan, sistem pengairan dan beberapa aspek keselamatan lain yang perlu dipatuhi.

“Selain itu, wujud peruntukan dalam Enakmen Mineral Negeri yang memerlukan mereka membayar royalti sekitar 2.5 peratus daripada keuntungan kepada kerajaan negeri,” katanya.
Sehubungan itu, Yunus menasihatkan penduduk kampung berkenaan supaya merujuk kepada JMG untuk mendapatkan nasihat bagaimana mereka boleh meneruskan aktiviti menggali emas di tanah milik masing-masing.

“Tidak perlu terburu-buru, sebaliknya dapatkanlah nasihat daripada pakar. Mereka juga boleh mengadakan kerjasama dengan mana-mana syarikat yang mampu melakukan aktiviti berkenaan secara lebih berkesan dan terserah kepada persetujuan mereka mengenai nisbah pembahagian keuntungan,” katanya. -myMetro

Saturday, 2 April 2016

Empat rakyat Malaysia diculik lapan lelaki bersenjata

KOTA KINABALU - Polis Sabah mengesahkan empat rakyat Malaysia diculik oleh lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan, kira-kira 6.15 petang, semalam.     

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, empat rakyat Malaysia berumur 21 hingga 34 tahun itu merupakan antara sembilan kru kapal tunda yang sedang dalam perjalanan balik dari Filipina ke Malaysia.

Mereka ialah Wong Teck Kang, 31; Wong Hung Sing, 34; Wong Teck Chii, 29, dan Johnny Lau Jung Hien, 21.

"Di dalam kapal tunda itu, terdapat juga lima individu lain masing-masing warga Myanmar dan Indonesia, tetapi mereka dilepaskan oleh kumpulan bersenjata itu," katanya.     

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri 2/2015 di sini hari ini.

Abdul Rashid berkata, polis juga sedang menyiasat dan mengumpul maklumat termasuk mengenal pasti lokasi sebenar kejadian itu berlaku.

"Kita jangan terus membuat kesimpulan mengatakan ini kawasan kita, mungkin juga ini berlaku di perairan antarabangsa, tetapi oleh kerana mereka dalam perjalanan nak ke Tawau, maka laporan segera dibuat kepada kita.

"Kawasan perairan Ligitan yang dikatakan berlakunya kejadian itu luas dan ada aset kita (di sana). Jadi kita sedang menyiasat dan menunggu keputusan adakah betul berlaku di perairan kita, ataupun belum masuk ke perairan kita," katanya.

Abdul Rashid berkata, beliau difahamkan kapal tunda dan kru telah dibawa ke Tawau, selain pihaknya turut mengambil keterangan daripada kru berkenaan bagi mendapatkan maklumat mengenai kes tersebut.

Setakat ini, belum ada panggilan diterima daripada penculik bagi permintaan wang tebusan, katanya.

Empat rakyat Malaysia yang bertugas di sebuah kapal didaftarkan atas nama 'Masfive 6' diculik ketika dalam perjalanan pulang ke Malaysia setelah selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina.

Pengurus pentadbiran syarikat perkapalan tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri, Sarawak semalam setelah menerima panggilan telefon daripada rakan setugas memaklumkan mengenai penculikan itu. - Bernama

Friday, 1 April 2016

Analisis: Masa Depan Malaysia Dalam Krisis Laut Cina Selatan

KETIKA ramai rakyat Malaysia menyangka bahawa lanskap politik nasional sudah cukup ganas berkocak tatkala ini, rupa-rupanya di ‘belakang rumah’ mereka ada ribut dan badai yang lebih dahsyat, yang hanya menanti masa untuk datang menderu.

Kemelut politik di Malaysia di antara Datuk Seri Najib Razak dan penyokongnya serta Tun Dr Mahathir Mohamad dan penyokongnya telah mencuri perhatian segenap lapisan rakyat Malaysia semenjak hujung tahun lepas lagi. Tanpa kita sedari, krisis pertikaian antara pelbagai negara termasuklah Malaysia sendiri di Laut Cina Selatan semakin rancak berlaku, dan mula menunjukkan pelbagai perkembangan yang sepatutnya menggusarkan kita.

Aktiviti Ketenteraan Meningkat

Hari demi hari berlalu, tiada tanda bahawa ketegangan perseteruan antara AS dan China dalam membina pengaruh mereka di kawasan Laut Cina Selatan akan mereda. Malah dalam perkembangan terkini, pergerakan kedua-dua belah pihak kelihatan semakin agresif dalam menunjukkan taring ketenteraan mereka.

AS giat mengarahkan kapal-kapal tentera mereka masuk ke perairan Laut Cina Selatan, selain mula meletakkan jet-jet pengebom strategik (strategic bombers) di pengkalan di Australia. China yang sudahpun membina pengkalan tentera di kepulauan Paracel sejak beberapa tahun lepas, mengejutkan ramai pihak apabila mereka dilaporkan sudahpun menghantar ‘HQ-9 anti-air missiles’ di kepulauan tersebut.

Meskipun kedua-dua kuasa besar tersebut memberi kenyataan bahawa aktiviti ketenteraan bukanlah pilihan mereka dalam isu pertikaian di Laut Cina Selatan, pergerakan yang sedang berlaku kelihatan sebaliknya.

Bolehkah Perang Meletus?

Di dalam sebuah penerbitan CFR (Council on Foreign Relations) berkenaan pertembungan antara AS dan China di Laut China Selatan, pertembungan secara bersenjata atau secara ketenteraan disebut sebagai sebuah situasi yang tinggi kemungkinannya untuk berlaku.

Menurut penerbitan tersebut, berdasarkan situasi sedia ada, terdapat sekurang-kurangnya tiga pertembungan bersenjata yang mungkin berlaku.

Pertembungan yang pertama, iaitu yang paling tinggi kemungkinan untuk berlaku dan juga yang paling berbahaya jika tercetus ialah di antara AS dengan China sendiri. Berdasarkan perkembangan sekarang, sebarang kesilapan kecil atau salah faham di peringkat politik boleh menjadi punca untuk pertembungan ini meletus. Krisis politik yang besar boleh terhasil dan seluruh rantau ini akan menerima implikasi secara ketenteraan.

Yang kedua ialah di antara China dengan Filipina. Filipina yang juga merupakan pengkalan besar AS di Asia Tenggara dilaporkan ingin meneroka sumber gas asli di kawasan Reed Bank, tidak jauh dari Palawan. Jika Filipina berkeras untuk meneruskan usaha penggalian ini tidak mustahil China akan memberikan respon balas yang agresif. Manakala yang ketiga ialah di antara China dengan Vietnam. Vietnam juga dilaporkan turut berhasrat menggali minyak di perairan Laut Cina Selatan, khususnya di kawasan yang sedang dipertikaikan. Jika China memberi amaran kepada Vietnam dan amaran ini tidak dihiraukan, kemungkinan besar akan berlaku serangan ke atas Vietnam oleh China.

Implikasi Kepada Malaysia

Malaysia tidak terlepas daripada menerima provokasi dan tekanan daripada kedua-dua belah pihak, khususnya China yang semenjak beberapa tahun lepas mengambil pendekatan yang lebih ‘physically provocative’ dalam isu di Laut Cina Selatan. Terkini, 100 bot yang berdaftar dengan China dikesan berada di kawasan perairan Malaysia yang terlibat dalam pertikaian hak di Laut China Selatan.

Memandangkan Malaysia turut merupakan salah sebuah negara utama yang terlibat secara langsung dalam mempertahankan hak ke atas sebahagian kawasan di Laut Cina Selatan, sebarang konflik dan krisis ketenteraan yang berlaku akan turut membabitkan Malaysia samada Malaysia sudah bersedia atau tidak.

Terdapat pengulas yang menyebut bahawa tidak mustahil negara-negara yang terbabit di rantau ini menerima implikasi seperti yang diterima oleh negara-negara di Timur Tengah, seperti Syria khususnya, yang telah berubah menjadi medan pertempuran oleh pelbagai pihak yang berkepentingan. Jika melihat kembali kepada sejarah, Vietnam pernah menerima implikasi yang sama di era 60-an apabila ia menjadi medan pertempuran kuasa AS dan kuasa Soviet.

Implikasi utama yang boleh diramalkan ialah penghakisan kedaulatan rakyat dan kerajaan di negara-negara yang terbabit. Jika di Malaysia, secara khusus bangsa Melayu-Islam adalah kelompok yang paling banyak akan menerima impak kerana secara sosio-sejarah bangsa ini tidak pernah memberikan kesetiaan selain kepada kerajaan di tanah air mereka sendiri. Berbeza dengan rakyat berbangsa lain yang memiliki sejarah kesetiaan kepada kuasa di tanah air mereka seperti bangsa Cina misalnya. Bahkan sehingga kini jika diteliti dalam lanskap politik negara, terdapat parti-parti politik yang terang-terangan lebih menjayakan agenda kuasa besar seperti AS dan China berbanding menjayakan pembinaan negara dan integrasi nasional yang berkesan.

Oleh kerana itu, negara kita juga mungkin akan menyaksikan timbulnya pertembungan dan perpecahan antara rakyat yang akhirnya akan membuka laluan kepada kuasa luar campur tangan dalam melakar rupa bentuk baru kepada negara dan menyusun cengkaman baru ke atas negara, khususnya dalam bentuk penguasaan hasil bumi (seperti minyak dan gas asli) serta penguasaan politik dan ekonomi.

Diplomasi Sebagai Jalan Keluar?

Kebarangkalian untuk Malaysia menjadi medan pertempuran jika meletusnya pertempuran di Laut Cina Selatan adalah amat tinggi memandangkan kedudukan Malaysia serta sempadan perairannya yang berada di tengah-tengah Asia Tenggara.

Tambahan pula, krisis politik dalaman sedia ada di Malaysia yang melibatkan ahli politik dan parti politik yang mewakili kehendak-kehendak kuasa besar AS dan China, serta keterikatan Malaysia kepada perjanjian seperti TPPA, sebenarnya telah meletakkan Malaysia di dalam keadaan yang amat ‘fragile’ dan ‘vulnerable’ kepada sebarang cetusan api pertembungan ketenteraan di Laut Cina Selatan.

Datuk Seri Najib cuba mempamerkan sikap optimis dalam ucapannya di Sunnyland, AS, pada Februari yang lalu apabila beliau menasihatkan semua pihak dalam krisis Laut Cina Selatan untuk bertenang dan mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh menambah ketegangan. Begitu juga kenyataan Datuk Seri Hishamuddin yang meminta semua pihak untuk mematuhi deklarasi mengenai tatalaku (DoC) pihak-pihak di Laut Cina Selatan.

Jelas sekali ini adalah sekadar kenyataan politik yang agak jauh daripada menyentuh krisis sebenar yang sedang memuncak di Laut Cina Selatan, apatah lagi menggariskan langkah-langkah yang lebih kukuh dan tegas dalam memastikan kedaulatan negara tidak terancam sekiranya pertembungan ketenteraan meletus kelak.

Dalam keadaan ‘terikat tangan’ dengan perjanjian TPPA yang dikemukakan oleh AS, serta kemasukan pelaburan skala besar yang bertali-arus daripada China, ditambah lagi dengan kucar-kacir politik yang melibatkan salah laku ramai pemimpin negara, adakah mungkin negara ini mampu merayu dan berdiplomasi agar kuasa-kuasa besar tunduk dan patuh dengan peraturan dan undang-undang yang tidak menguntungkan kuasa-kuasa besar tersebut? Adakah negara ini mampu mempertahankan kedaulatannya daripada dirobek oleh kuasa-kuasa besar tersebut yang inginkan penguasaan ke atas hasil bumi yang kaya di negara ini dan di rantau ini?

Dalam situasi sekarang, jawapan kepada persoalan tersebut amat-amat merisaukan.

Syed Ahmad Israa’ Syed Ibrahim
Ketua Pusat Kajian IRIS

Pembonceng motosikal tembak Penjara Alor Setar

ALOR SETAR - Penjara Alor Setar dikejutkan dengan insiden tembakan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali kira-kira jam 11.02 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Kedah, Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, tembakan itu telah mengenai Balai Pengawal dan Menara Kawalan yang sedang dikawal oleh warden-warden penjara.

"Siasatan awal mendedahkan sejurus sebelum kejadian, warden penjara yang bertugas di Balai Pengawal Penjara Alor Setar ternampak seorang lelaki yang membonceng sebuah motosikal  turun dari motosikal dan terus melepaskan beberapa dan tembakan ke arah Penjara Alor Setar.

"Tiada kecederaan di mana-mana pihak berlaku. Di tempat kejadian pihak polis telah menemui beberapa kelonsong peluru," katanya.

Menurutnya, motif kejadian sedang disiasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh. -SH