Saturday, 30 December 2017

Ujian sampel rambut mulai tahun depan - PDRM

Pengarah Jabatan Intergriti Pematuhan Standart (JIPS), Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi (tengah) menyaksikan Penyerahan Tongkat Kuasa Jawatan Ketua Polis Pulau Pinang daripada Datuk Chuah Ghee Lye (kiri) kepada penggantinya, Datuk A. Thaiveegan (kanan) pada Majlis Serah Terima Tugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri.

GEORGE TOWN - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan lagi proses pengambilan anggota baharu bermula tahun depan dengan mewajibkan ujian sampel rambut bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemohon.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata, mekanisme baharu itu dijangka dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

"PDRM memandang serius isu dadah dalam kalangan pegawai dan anggota polis kerana sejak 2010 hingga November tahun ini, seramai 2,738 orang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Jadi, bermula tahun depan semua yang ingin menyertai pasukan (PDRM) akan menjalani ujian ini.

"Ujian ini membolehkan kita mengetahui adakah orang itu menggunakan dadah dalam tempoh lama, dengan mengambil sampel rambut untuk pengesahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk A.Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Datuk Chuah Ghee Lye yang bersara wajib.

Abdul Rahim berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati 25 peratus daripada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah mengambil bahan terlarang itu sebelum menyertai PDRM.

Sementara itu, beliau berkata sehingga November lepas, terdapat 10,607 pegawai dan anggota polis yang masih mengalami masalah hutang serius berbanding 15,478 orang pada awal tahun ini.

Mereka ini hanya menerima gaji bersih tidak sampai 40 peratus daripada gaji kasar dan kebanyakan yang terlibat berusia 30 hingga 35 tahun dan 50 hingga 55 tahun, katanya.

"Mulai tahun ini pegawai dan anggota polis hanya boleh berhutang menerusi koperasi PDRM sahaja dalam usaha kami mengurangkan jumlah mereka terlibat dalam keberhutangan," katanya. - BERNAMA

Thursday, 28 December 2017

Palestin ditawar ibu negara baharu

RAKYAT Palestin melontar batu ketika bertempur dengan pasukan keselamatan Israel di Ramallah.

BAITULMUQADDIS - Semua pihak termasuk rak­yat Palestin diberi amaran supaya tidak me­nerima atau menyokong tawaran Amerika Syarikat (AS) kepada pihak berkuasa pentadbiran Pa­lestin supaya sebuah kawasan pinggir bandar, Abu Dis di Baitulmuqaddis dijadikan sebagai ibu negara alternatifnya.

Ketua Pergerakan Hamas, Ismail Haniya melabelkan keputusan Pre­siden AS, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel merupakan usa­ha ‘terbesar’ kuasa besar dunia untuk menghancurkan perjuangan Pa­lestin.

Ismail yang dipetik Al-Jazeera, memberi amaran kepada semua pihak terbabit tanpa mengambil kira mereka dari Pa­lestin, komuniti Arab, beragama Islam atau antarabangsa supaya tidak me­laksanakan pelan AS bagi Timur Tengah yang belum lagi diterbitkan.

Ismail berkata: “AS menawarkan sebuah ibu negara baharu yang terletak jauh dari Baitulmuqaddis iaitu di Abu Dis dan sebuah jambatan yang dihubungkan dengan Masjid Al-Aqsa untuk memudahkan aktiviti beribadah.”

“Terdapat kuasa serantau yang berusaha membahagikan Tebing Barat kepada tiga seksyen, selain mewujudkan entiti politik di Semenanjung Gaza dengan kuasa (pentadbiran) sendiri,” kata Ismail ketika mengadakan pertemuan dengan para pemimpin puak Palestin di Semenanjung Gaza semalam.

Katanya, terdapat tanda-tanda Israel akan mengambil ke­sempatan dengan memasukkan fakta-fakta versinya sendiri seperti rang undang-undang menyahudikan Baitulmuqaddis yang melalui proses pengundian esok.

Ismail menjelaskan, keputusan AS mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel secara tidak langsung mewujudkan risiko baharu yang boleh memberi kesan terhadap hubungan Palestin dengan Jordan.

Ismail berkata: “Saya sudah bercakap dengan Raja Jordan, Raja Abdullah mengenai kesan buruk yang boleh timbul daripada keputusan AS, projek pe­nempatan semula dan cadangan negara atau tanah air alternatif .

Beliau juga menggesa penduduk Palestin ‘meneruskan’ penentangan terhadap keputusan Trump dan bantahan oleh kumpulan-kumpulan gerakan di negara Arab dan Islam yang lain.

Ismail menambah isu politik dalaman antara Fatah dan Hamas perlu diselesaikan segera supaya kerajaan perpaduan Pa­lestin dapat mengutamakan isu-isu negara yang lebih besar.

Beliau memberi amaran bahawa rundingan damai yang ditandatangani di Mesir pada Oktober lalu berdepan kegagalan jika lambat dilaksanakan.

Wednesday, 27 December 2017

Wanita buta ramal 2018 China kuasai dunia, atasi AS

VANGA popular dengan pelbagai ramalan kejadian besar dunia.

SOFIA, Bulgaria – Seorang wanita buta dari Bulgaria meramalkan China akan mengatasi Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia pada tahun 2018.

Menurut beberapa individu yang mempercayai kuasa ghaib, Baba Vanga yang turut dikenali sebagai ‘Nostradamus dari Balkan’ itu membuat ramalan sehingga abad ke-51 sebelum dia meninggal dunia.


Selain itu, Vanga meramalkan satu bentuk tenaga baharu akan ditemui di planet Zuhrah pada tahun hadapan.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada pihak yang membuat perancangan menghantar misi penerokaan ke Zuhrah sekali gus menunjukkan penemuan tenaga baharu di planet itu tidak mungkin menjadi kenyataan.

Tukang tilik buta tersebut sempat meramalkan beberapa perkara besar yang akan mengubah dunia sebelum mati pada tahun 1996 ketika berusia 85 tahun.

Kejadian besar yang pernah diramalkan ialah mengenai ‘dua burung besi’ yang menyerang AS iaitu merujuk kepada serangan 9/11 pada tahun 2001, kehadiran militan Daesh di Eropah dan peristiwa Brexit.

Antara perkara lain diramalkan wanita tua itu adalah penduduk dunia akan kelaparan menjelang tahun 2028, koloni di planet Marikh mempunyai kuasa nuklear pada 2256 dan Bumi tidak akan berpenghuni pada tahun 2341.– AGENSI

Tuesday, 26 December 2017

AS kurangkan bajet PBB

Donald Trump
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB) – Amerika Syarikat (AS) berjaya memotong bajet Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak AS$285 juta (RM1.16 bi­lion) tidak lama selepas Presiden AS, Donald Trump mengugut berbuat demikian jika badan dunia itu menolak keputusannya untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel.

Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, keputusan bersejarah itu bertujuan untuk menjadikan badan dunia tersebut supaya lebih cekap dalam pe­ngurusan dan tidak berbelanja secara berlebihan.

Perhimpunan Agung PBB menerima anggaran bajet sebanyak AS$5.39 bilion (RM22 bilion) bagi tahun 2018-2019.

Jumlah itu mengalami pe­ngurangan sedikit berbanding AS$5.4 bilion (RM22.02 bilion) seperti yang diminta oleh Setia­usaha Agung PBB, Antonio Guterres.

AS merupakan penyumbang utama kepada bajet PBB dengan menyediakan 22 peratus daripada bajet keseluruhan.

“Kami tidak akan membenarkan kemurahan hati rakyat Amerika diambil kesempatan dan tidak diteliti,” katanya menerusi satu kenyataan.

Haley berkata, badan dunia itu sebelum ini dikenali dengan ketidakcekapan selain berbelanja lebih.

Friday, 22 December 2017

Shahrir akui FELDA 'hilang' status tiga aset tanah

PENGERUSI FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR: "Saya tidak faham bagaimana tanah milik FELDA boleh dipindah milik kepada syarikat lain. Saya hanya diberitahu tanah kita sudah ditukar milik apabila masuk ke sini (FELDA)," kata Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang dilantik sebagai Pengerusi FELDA, 6 Januari lalu.

Beliau yang mengakui agensi itu 'kehilangan' tiga bidang tanahnya bernilai lebih RM250 juta di Jalan Semarak di sini, mahu mengambil tindakan undang-undang bagi mendapatkan kembali hak FELDA yang sudah bertukar tangan kepada pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).

Katanya, keseluruhan kawasan milik FELDA itu bernilai lebih RM270 juta, namun hanya sebahagian kecil tanah dikenali SPA3 masih di bawah nama FELDA, manakala tiga SPA lain iaitu SPA1, SPA2 dan SPA4 bernilai keseluruhan lebih RM250 juta sudah bertukar tangan.

"Kita bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pemaju KLVC dan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sebagai agensi yang meluluskan pindah milik tanah itu.

"Saya sendiri tidak tahu bagaimana nak uruskan perkara ini, apa yang kita mampu buat adalah cuba meletakkan Kaveat Persendirian, Februari lalu apabila dapat tahu hal ini berlaku untuk menghalang semua transaksi," katanya dalam pertemuan bersama wartawan.

Beliau mengesahkan tanah FELDA bertukar tangan apabila wartawan menunjukkan Catatan Carian Persendirian Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan bertarikh 1 November 2017.

Catatan itu menunjukkan nama pemilik bagi lot 390 atau dikenali SPA1 adalah milik sebuah syarikat yang ada kaitan dengan pemaju KLVC dan bukan lagi FELDA.

Shahrir juga pelik apabila usaha pihaknya meletakkan Kaveat Persendirian pada 28 Februari lalu ke atas tanah itu dihalang atas alasan FELDA tidak berhak, kerana pemaju memiliki semua dokumen sah untuk pendaftaran.

"Lembaga Pengarah FELDA terpaksa meminta bantuan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa selaku Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk bantu meletakkan Kaveat Persendirian dan berjaya pada 14 April lalu," katanya.

Kaveat Persendirian adalah kaveat yang dimasukkan oleh individu atau badan yang mempunyai kepentingan ke atas pemilikan hartanah bagi menyekat atau menghalang sebarang urus niaga tanah itu, termasuk dipindah milik dan hanya boleh ditarik balik menerusi perintah mahkamah.

Shahrir mengulas, FELDA berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi diragui sejak 2015.

Tanah itu, dipercayai dibangunkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Ditanya sama ada orang dalam terbabit dalam urus niaga itu, Shahrir berkata: "Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan membuat audit, jadi soal kesilapan mana-mana pihak akan diketahui kelak, termasuk individu yang terbabit dalam meluluskan transaksi," katanya.