Sunday, 30 July 2017

Jakim tunggu keputusan mahkamah isu nasab anak



PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berpendirian yang sama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tentang penasaban anak tidak sah taraf orang Islam diteruskan seperti sedia ada sehinggalah keputusan Mahkamah Persekutuan diperoleh.

Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha dalam kenyataan di sini semalam berkata, beliau turut menasihati umat Islam di negara ini supaya bertenang berhubung keputusan penghakiman Mahkamah Rayuan apabila memutuskan kanak-kanak yang dikandung semasa luar nikah boleh dibinkan kepada nama lelaki yang mengaku sebagai bapa.

“Semoga usaha pihak JPN melalui Jabatan Peguam Negara untuk memfailkan rayuan terhadap kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan akan berjalan lancar,” katanya.

Saturday, 29 July 2017

Ramai PATI diberkas di Putrajaya

Datuk Seri Mustafar Ali
SINTOK – Kawasan Putrajaya merupakan lokasi paling ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) diberkas oleh Jabatan Imigresen sejak operasi secara besar-besaran dilancarkan bermula 30 Jun lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, semakan mendapati, seramai 997 PATI ditangkap di Putrajaya diikuti Johor (854), Kuala Lumpur (608), Sabah (474), Sarawak (428), Negeri Sembilan (381) dan Kedah (368).

Katanya, secara keseluruhan pihaknya telah menahan seramai 5,437 PATI yang tidak memiliki Enforcement Card (E-Kad) dan 117 majikan yang menggaji mereka setakat semalam.

Friday, 28 July 2017

Pesta kaut beras di Tanjong Karang

Orang ramai berpusu-pusu mengutip beras yang tumpah di atas jalan raya di Tali Air 3, Sungai Burong, Tanjong Karang malam kelmarin.


TANJONG KARANG – Puluhan penduduk dan pengguna jalan raya di Tali Air 3, Sungai Burong di sini tanpa rasa bersalah berpesta mengaut beras yang tumpah di atas jalan raya sehinggakan ada yang sanggup membawa lori sendiri malam kelmarin.

Walaupun pemandu dan pihak berkuasa menghalang perbuatan tersebut, namun jumlah orang yang terlalu ramai menyebabkan 28 tan beras licin hanya dalam tempoh empat jam.

Kejadian kira-kira pukul 10.50 malam itu berlaku ketika sebuah treler jenis Scania membawa muatan beras dalam guni seberat 40 tan metrik sedang dalam perjalanan dari Setiawan, Perak menuju ke Senai, Johor.

Bagaimanapun, setibanya di tempat kejadian, muatan beras yang dibawa menjadi tidak stabil ketika melalui jalan yang rosak sebelum puluhan guni beras tumpah dan terjatuh di atas jalan raya.

Kejadian tersebut turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas sejauh hampir tiga kilometer apabila hanya satu lorong sahaja yang boleh digunakan sehingga kerja pembersihan tamat.

Pemandu treler, Risat Abd. Rahim, 43, mendakwa, kejadian itu berpunca daripada faktor jalan raya yang mendap berikutan kerja-kerja pembinaan serta naik taraf jalan persekutuan di kawasan berkenaan.

Dakwa Risat, dia memandu kenderaan berat itu dengan agak perlahan berikutan keadaan jalan yang rosak sebelum muatan beras yang dibawanya tiba-tiba menjadi tidak stabil dan terjatuh di atas jalan raya.

“Saya kemudian berhenti di tepi jalan untuk mengelakkan treler saya terus senget dan terbalik.

“Tetapi saya tidak sangka, tiba-tiba orang ramai menyerbu kawasan kejadian. Saya kesal, tindakan orang ramai mengutip beras yang tumpah tanpa rasa bersalah walaupun saya dan pihak polis telah menghalang mereka.

“Malah, ada yang sanggup membawa lori satu tan untuk mengaut beras yang tumpah itu,” ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Thursday, 27 July 2017

Tan Sri, anak didakwa SPRM


KUALA LUMPUR – Bekas Naib Pre­siden MIC, Tan Sri S. Balakrishnan dan anak lelakinya didakwa secara berasingan di Mahkamah Sesyen di sini semalam masing-masing atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan bersubahat berkaitan projek mengindah dan memulihkan Sungai Melaka bernilai hampir RM13 juta empat tahun lalu.

Balakrishnan, 63, dan anaknya, B. Ashok Kumar, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka masing-masing dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail dan ­Azura Alwi.

Di hadapan Allaudeen, Balakrishnan yang merupakan bekas Pengarah Syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa membuat tuntutan bayaran yang mengandungi butiran palsu bagi kerja-kerja membekal dan menghantar bekas takungan air sebanyak 358 unit bernilai RM12,888,000 sedangkan bekas takungan air yang dibekalkan hanya 89 unit.

Dokumen tuntutan ber­kenaan dikemukakan melalui juruukur bahan yang dilantik syarikat Sinnayah & Sons iaitu Nuri Abdullah kepada pengarah bahagian projek khas Ibu Pejabat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Bekas Naib Presiden MIC pada tahun 2013 hingga 2015 itu didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi.

Di hadapan Azura, Ashok Kumar yang merupakan pengurus projek syarikat Sinnayah & Sons Sdn. Bhd. didakwa bersubahat dengan bapanya melakukan kesalahan tersebut.

Wednesday, 26 July 2017

China buka pawagam di Laut China Selatan

Bandar Sansha di Pulau Woody.

BEIJING – China membuka pawagam di sebuah pulau tuntutan bertindih di Laut China Selatan dalam usaha berterusan Beijing untuk membina infrastruktur awam dan mengukuhkan kedaulatannya, lapor agensi berita Xinhua.

Menurut Xinhua pada Ahad lalu, panggung wa­yang dilengkapi peralatan paling canggih itu dibuka di Pulau Woody, dalam Kepulauan Paracel yang turut dituntut oleh Vietnam dan Taiwan.

“Pembukaan pawagam ini merupakan sebahagian daripada rancangan pihak berkuasa kebudayaan tempatan untuk mewujudkan perkhidmatan masyarakat di pulau-pulau di bawah pentadbiran Sansha,” kata Xinhua.

Pulau Woody menempatkan bandar Sansha yang menjadi pusat pentadbiran China di Laut China Selatan.

China menguasai kepulauan Paracel dalam tahun 1974 selepas bertempur de­ngan Vietnam.

Walaupun China meng­gelarnya sebagai bandar, penduduk tetap di Sansha hanyalah beberapa ribu orang, manakala banyak pulau kecil dan terumbu di sekitarnya tidak berpenghuni.

China menuntut 90 peratus daripada keseluruhan Laut China Selatan dengan Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut membuat tuntutan bertindih di perairan itu. – Reuters