Tuesday, 9 August 2016

Jangan kena buang kerja kerana Pokemon


Kuala Lumpur: Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot menasihati mereka yang ketagih ‘Pokemon Go' supaya tidak bermain permainan itu di tempat kerja kerana boleh menyebabkan kemerosotan produktiviti yang mengakibatkan kerugian, pemotongan gaji dan dibuang kerja.

"Apakah yang akan terjadi apabila kadar produktiviti menurun? Gaji tidak boleh dibayar dan seterusnya, pembuangan pekerja akan berlaku," katanya media selepas Persidangan Gaji Berkaitan Produktiviti Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Riot, beliau menangani ribuan kes pembuangan pekerja atau pekerja diminta berhenti kerja.

"Ada syarikat tidak mampu membayar gaji pekerja dan setiap minggu, saya mengendalikan tidak kurang 1,000 kes pekerja dibuang atau diminta berhenti kerja kerana pelbagai sebab, sesetengahnya kerana salah laku mereka sendiri," kata beliau.

Beliau berkata demikian mengulas kegilaan bermain 'Pokemon Go' yang dilaporkan melanda banyak negara hingga banyak pekerja bermain permainan itu pada waktu bekerja.

Nenek dipenggal cucu


KOTA TINGGI - Seorang nenek di Felda Pengeli Timur dekat di sini dibunuh dengan kejam apabila badannya dikerat manakala kepalanya dipenggal oleh cucunya sendiri petang tadi.

Mangsa yang berusia 76 tahun dipercayai dibunuh suspek yang berusia 19 tahun dipercayai mengalami gangguan mental.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, suspek yang merupakan cucu mangsa tidak bekerja dan dikatakan tidak makan ubat sakit mental sejak beberapa bulan yang lalu.

"Mayat mangsa dijumpai dalam keadaan kepala mangsa dipenggal dan berada di hadapan pintu masuk rumah.

"Manakala badan mangsa pula berada di ruang dapur di bawah singki. Kedua-dua kaki telah dipotong di bahagian peha tetapi tidak putus.

"Manakala kedua-dua tangan dipotong dan hanya kelihatan sebelah kiri masih berada di sisi tubuh mangsa," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Tambah Rahmat, siasatan mendapati senjata yang digunakan suspek ialah sebilah pisau lebih kurang enam hingga tujuh inci panjang dijumpai didalam pasu bunga di luar rumah.

Katanya, suspek kemudiannya telah melarikan diri memasuki ladang sawit berhampiran.

"Usaha memburu suspek oleh Team Task Force Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi dan anggota Balai Polis Bandar Tenggara dengan bantuan penduduk kampung telah dijalankan. Suspek telah dikesan dan berjaya ditangkap pada jam 8.30 malam,"katanya.

Jelasnya, kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Haram masih carum skim lama

Orang ramai beratur panjang untuk menukar skim simpanan KWSP mereka daripada Simpanan Konvensional kepada Simpanan Shariah.

KUALA LUMPUR – Pencarum beragama Islam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menanggung dosa sekiranya tidak beralih kepada skim Simpanan Shariah memandangkan mereka kini sudah mempunyai pilihan untuk berbuat demikian.

Menurut pakar kewangan Islam, Dr. Zaharuddin Abd. Rahman, kelebihan Simpanan Shariah terletak pada kesucian dividen memandangkan ia diperoleh daripada sumber yang halal.

“Dengan pelaburan patuh syariah ini, tidak timbul lagi isu berapa bahagian daripada dividen itu yang harus dibersihkan,” ujarnya.

Beliau menambah, pencarum dianggap tidak berdosa menca­rum dalam Simpanan Konvensio­nal sebelum ini kerana ia bukan pilihan sendiri manakala Simpanan Shariah belum diwujudkan.

“Namun, pencarum akan menanggung dosa sekiranya tidak menukar kepada Simpanan Shariah kerana mereka sudah mempunyai pilihan,” tegasnya.

Monday, 8 August 2016

Maharaja Jepun mungkin umum turun takhta hari ini

Maharaja Jepun, Akihito melambai tangan kepada orang ramai yang berkumpul di Istana Imperial untuk menandakan ulang tahun ke-82nya di Tokyo, Jepun pada 23 Disember, 2015.

TOKYO: Maharaja Jepun, Akihito, 82 akan bertitah kepada rakyat menerusi televisyen hari ini antara lain menggariskan kebimbangan baginda yang tidak mampu lagi melaksanakan tugas sepenuhnya, seolah mahu turun takhta. 

Penyiar awam NHK melaporkan bulan lalu Akihito, yang menjalani pembedahan jantung dan menghidap kanser prostat, mahu melepaskan takhta dalam beberapa tahun lagi, satu langkah yang tidak pernah berlaku dalam sejarah Jepun moden.

Selepas ditabalkan, Maharaja Jepun ditakrifkan dalam perlembagaan sebagai simbol "perpaduan rakyat" dan tidak mempunyai kuasa politik. Kerana itu, baginda tidak akan menyatakan secara terang-terangan mahu berundur, yang boleh ditafsirkan adanya sebagai campur tangan dalam politik. 

Tinjauan menunjukkan majoriti rakyat biasa Jepun bersimpati dengan keinginan Maharaja untuk bersara, tetapi perubahan undang-undang diperlukan untuk membenarkan baginda berbuat demikian. 

Idea ini mencetuskan bantahan daripada parti konservatif Perdana Menteri Shinzo Abe, yang bimbang perdebatan mengenai masa depan keluarga diraja itu boleh merebak kepada topik membiarkan wanita mewarisi dan melepaskan takhta. Kebelakangan ini Akihito mengurangkan tugas rasmi, dan diganti warisnya, Putera Naruhito, 56. 

Naruhito hanya mempunyai seorang anak perempuan. Oleh kerana hanya lelaki yang boleh mewarisi takhta, Naruhito akan melepaskan takhta seterusnya kepada adiknya, Putera Akishino dan seterusnya kepada anaknya Hisahito, 9. - Agensi

Sunday, 7 August 2016

Kepala botak akibat tekanan peperiksaan


“BETULLAH kata orang, tekanan yang melampau boleh menyebabkan rambut menjadi gugur sehingga botak dan kini ia berlaku kepada saya,” ujar Katie-Anna Moore, seorang pelajar dari Universiti Bournemouth, Britain itu dengan nada sedih.

Gadis berusia 20 tahun itu kehilangan semua rambutnya dan kini botak selepas disahkan menghidap satu keadaan pelik yang dipanggil Alopecia.

Tiada lagi rambut tebal berwarna perang di kepalanya selepas rambut Moore gugur dengan banyaknya setiap hari selama dua bulan.

“Siapa sangka rambut saya yang dahulunya lebat dan sering dicemburui rakan-rakan itu gugur semuanya hanya kerana saya terlalu tertekan.

“Di universiti, saya sering mengikat rambut saya dengan ikatan ekor kuda dan setiap kali berjalan, ia akan beralun ke kiri dan kanan dan rakan-rakan amat cemburukan rambut saya yang sihat itu.

“Kini yang tinggal hanyalah kulit kepala dan saya amat sedih,” dedah Moore tentang masalah keguguran yang dialaminya.

Terus botak

Doktor mengesahkan Moore menghidap satu keadaan yang dipanggil Alopecia iaitu satu masalah keguguran rambut yang teruk.

Ia boleh menyerang sesiapa sahaja sama ada lelaki, wanita mahu pun kanak-kanak.

Menurut pakar, ia terjadi akibat tekanan yang melampau selain masalah pada sistem imunisasi badan.

Gadis cantik itu berkata, mimpi ngerinya bermula sekitar bulan Mac yang lalu apabila dia menyedari bahawa rambutnya gugur dengan amat banyak.

“Semasa saya sedang mandi dan meletakkan syampu di kepala, sejumlah rambut begitu banyak melekat pada tangan saya dan ia benar-benar membuatkan saya terkejut.

“Selepas itu, saya mula sedar rambut saya sering gugur semasa saya tidur dan katil saya dipenuhi rambut setiap hari,” ujarnya.

Begitu pun, gadis itu masih bertenang dan menyangka keguguran rambut itu adalah normal memandangkan dia gemar meluruskan rambut dengan pelurus rambut elektronik.

Oleh itu, Moore enggan berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan kepastian tentang masalah keguguran rambut tersebut.

Beberapa minggu kemudian, Moore yang risaukan peperiksaan musim panasnya yang bakal menjelang itu mula mengulang kaji pelajaran di rumah bapanya, Danny, 45.

Selepas dua hari, bapanya mula perasan yang Moore telah kehilangan banyak rambut.

“Bapa menegur saya dan berkata mempunyai ‘tompokan botak’ yang sangat banyak di kepala. Saya terus menangis selepas sedar saya telah kehilangan hampir 70 peratus rambut asal saya.

“Saya benar-benar hilang keyakinan diri dan tidak mahu keluar rumah langsung selama sebulan kerana terlalu malu,” ujarnya.

Alopecia Arata

Moore mula berjumpa dengan doktor dan selepas menjalani pemeriksaan, dia disahkan menghidap Alopecia Arata yang merupakan satu penyakit autoimun.

Penyakit itu berlaku apabila sistem imunisasi badan terjejas dan mengurangkan kebolehannya untuk melawan penyakit.

Doktor mengesahkan rambutnya akan terus gugur sehingga dia botak kerana penyakit tersebut dan menyarankan agar dia memotong rambut atau membotakkan kepalanya terus.

Moore mengambil keputusan untuk membotakkan kepalanya dan menunggu sehingga rambut baharu tumbuh.

“Saya kelihatan seperti seorang pak cik tua walhal saya hanyalah seorang gadis muda. Saya akui saya tertekan, namun rakan-rakan dan ibu bapa saya sering meyakinkan saya bahawa saya masih cantik dan akan kelihatan cantik semula seperti dahulu.

“Saya hanya perlu terus bersabar,” ujarnya menutup bicara.