Saturday, 10 December 2016

Rakyat Thailand terima bantuan ala BR1M

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha.
BANGKOK  – Hampir tujuh juta rakyat Thailand yang dikategorikan sebagai miskin tegar hari ini mula menerima pemberian wang tunai daripada kerajaan bernilai antara 1,500 hingga 3,000 baht (RM186-RM434).

Agensi berita Xinhua melaporkan, pemberian wang tunai yang terus dikreditkan ke bank penerima itu menyaksikan mereka yang berpendapatan kurang 30,000 baht (RM3,722) setahun layak menerima RM434.

Syarat oleh Kementerian Kewangan itu turut menetapkan penduduk berpendapatan lebih 30,000 namun kurang 100,000 baht (RM3,722-RM12,406.81) setahun layak menerima RM186 wang tunai.

Menurut seorang pegawai kementerian tersebut, sebanyak 8.27 juta rakyat Thailand memohon untuk skim tersebut sebelum ini. – BERNAMA

Muncul dari alam ghaib

Muhammad Anuar Elias didukung rakan untuk dibawa ke hospital selepas dua minggu hilang.
Kuala Terengganu: “Selama dua hari saya berenang dan merangkak untuk keluar dari alam ghaib. Saya nampak kawan mencari saya dan memanggil mereka untuk minta tolong tetapi mereka tidak nampak dan mendengar panggilan saya,” kata Muhammad Anuar Elias, 34, yang hilang secara misteri di Kampung Losong Atap Zin di sini, sejak dua minggu lalu.

Pencari udang itu akhirnya ditemui seorang rakannya, Mohamad Hamdan Mohamad Daud, 38, kelmarin berhampiran pokok rengas, 100 meter dari pondok yang menjadi tempat tinggalnya di tepi Sungai Terengganu di kampung berkenaan dalam keadaan lemah.

Mohamad Hamdan berkata, dia menemui rakannya itu selepas terdengar suara lelaki meminta tolong dari arah pokok berkenaan.

“Ketika itu, saya menjala di sungai dan terdengar suara memanggil saya meminta tolong.

“Pada mulanya, saya sangkakan hanya mainan perasaan, namun nekad pergi ke arah suara berkenaan sebelum terkejut melihat Anuar dalam keadaan lemah di kawasan semak di pokok berkenaan.

“Saya kemudian segera mengangkatnya dan membawanya ke pondok serta memandikannya sebelum menghantarnya ke rumah saudara-maranya di kampung berkenaan,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, rakannya itu mendakwa berada di alam lain selepas terjatuh dalam lubang berhampiran pokok berkenaan.

Katanya, sejak kehilangannya dua minggu lalu, Muhammad Anuar mendakwa berada di pulau berhampiran yang terletak kira-kira 100 meter dari darat.

“Dia mendakwa hanya hilang selama dua hari dan berusaha untuk keluar dari kawasan berkenaan dengan berenang dan merangkak,” katanya.

Mohamad Hamdan berkata, kehilangan rakannya itu agak misteri dan sukar dipercayai tetapi apa yang berlaku hanya dia yang tahu.

“Sepanjang usaha kami mencarinya, ada ustaz memberitahu Muhammad Anuar ‘disembunyikan’ makhluk halus di kawasan pokok berkenaan.

“Walaupun kehilangannya penuh misteri, saya dan rakan lain serta saudara-maranya bersyukur dia ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.

Katanya, Muhammad Anuar dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, untuk merawat kecederaan pada kaki dan tangan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman mengesahkan mangsa ditemui dalam keadaan selamat, jam 7.45 malam kelmarin di bawah sebatang pokok rengas berhampiran pondok tempat tinggalnya.

Beliau berkata, mangsa dibawa ke HSNZ untuk rawatan dan kini stabil.

Thursday, 8 December 2016

Laporan pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi tidak benar - Kementerian Luar

Kenyataan media Kementerian Luar Negeri.

PUTRAJAYA - Kementerian Luar Negeri dengan ini mengesahkan bahawa laporan mengenai pembatalan kadar baru visa Arab Saudi yang tersebar di dalam media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini adalah TIDAK BENAR.

Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi telah menyemak perkara ini dengan Kementerian Luar Negeri Arab Saudi dan sehingga 6 Disember 2016 tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan bahawa tiada arahan terkini yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi yang merujuk kepada pembatalan kadar baru visa negara itu yang telah berkuat kuasa pada 1 Muharram 1437H iaitu bersamaan 2 Oktober 2016.

Oleh yang demikian, pihak media serta orang ramai dipohon agar tidak mudah percaya kepada maklumat-maklumat yang belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan.

Sebarang perubahan (sekiranya ada) hanya akan diumumkan oleh Kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi Kerajaan negara terbabit.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan lalu telah dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baru tersebut adalah - untuk kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma tetapi bagi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (RM2,364). - Bernama

Wednesday, 7 December 2016

Bekas Permaisuri Agong fail petisyen terhadap Syed Hussein

Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman.
KUALA LUMPUR - Bekas Raja Permaisuri Agong, Siti Aishah Abdul Rahman memfailkan petisyen pemiutang terhadap penerbit Syed Hussein Alwee kerana gagal membayar wang berjumlah RM2,005,383.55 kepadanya seperti yang diperintahkan Mahkamah Tinggi Temerloh.

Wang itu merupakan bayaran ganti rugi yang perlu dibayar oleh Syed Hussein kepada Siti Aishah kerana melanggar maklumat sulit beliau (Siti Aishah) dalam satu kes saman di Mahkamah Tinggi Temerloh, Pahang.

Mahkamah Tinggi Temerloh memerintahkan Syed Hussein membayar jumlah ganti rugi am dan teladan yang dituntut Siti Aishah sebanyak RM1.5 juta itu pada 23 Okt 2013.

Dalam notis kebankrapan yang dikemukakan Siti Aishah, wang yang perlu dibayar itu merangkumi ganti rugi am dan teladan berjumlah RM1.5 juta, faedah terhadap jumlah itu pada kadar lapan peratus setahun sebanyak RM500,383.56 dan kos sebanyak RM5,000 yang kesemuanya berjumlah RM2,005,383.55.

Siti Aishah, 45, memfailkan petisyen pemiutang itu pada 25 Ogos lepas melalui peguam T.Gunaseelan di Mahkamah Tinggi di sini.

Dalam petisyen itu, Siti Aishah memohon supaya satu perintah penerimaan dan penghukuman dibuat berhubung dengan wang yang kena bayar atas penghakiman terhadap penghutang penghakiman iaitu Syed Hussein.

Petisyen pemiutang itu menyatakan bahawa Syed Hussein telah gagal mematuhi arahan-arahan di dalam notis kebankrapan bertarikh 29 Jan 2016 yang menghendakinya membayar hutang berjumlah RM2,005,383.55 kepada Siti Aishah dalam masa tujuh hari selepas notis itu disampaikan kepadanya pada 12 April 2016.

Gunaseelan, yang ditemui pemberita selepas kes itu disebut di hadapan Timbalan Pendaftar Tania Arissa Andi Sanrang, berkata mahkamah menetapkan 20 Dis ini untuk pendengaran petisyen pemiutang itu. Syed Hussein tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Guru disaman banyak berlaku di bandar


Kuala Lumpur: Kes menyaman guru oleh ibu bapa kebanyakannya berlaku di bandar besar, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kamarozaman Abd Razak.

Namun, kes sedemikian sangat terpencil dengan NUTP merekodkan tidak sampai satu peratus berbanding jumlah ahli kesatuan seramai 200,000 orang.

“Jumlah guru di seluruh negara kira-kira 430,000 orang.

“Sebagai contoh daerah saya, Pahang, ada kira-kira 3,000 guru, tidak ada kes dibawa ke mahkamah. Kes yang berlaku kebanyakannya membabitkan kawasan bandar besar yang ibu bapa dilihat ‘over-protective’ dan terlalu mendengar nasihat peguam," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian memberi jaminan melindungi guru sekiranya mereka disaman ibu bapa.

Beliau bagaimanapun, berharap tindakan undang-undang menjadi langkah terakhir ibu bapa, kerana sebarang masalah boleh diselesaikan melalui rundingan dalaman.

Kamarozaman menjelaskan pelantikan guru dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard dan kelayakan ditetapkan.

"Walaupun berhadapan pelbagai kerenah murid, mereka sebagai profesional akan terus mendidik.

“Cuma kadang-kadang perbuatan mereka disalah tafsir sebagai mendera oleh sebilangan kecil ibu bapa," katanya.

Kamarozaman menarik perhatian bahawa secara umumnya, hubungan antara ibu bapa dan guru tiada masalah, tambahan selepas pengenalan program Sarana Ibu Bapa dan Sarana sekolah - satu program dirancang kementerian untuk membabitkan ibu bapa dalam program anjuran sekolah.

“Melalui program ini ibu bapa boleh masuk sekolah, boleh menyertai program yang sekolah buat bersama anak-anak mereka dan sekiranya ada pertelingkahan, ibu bapa juga akan turut sama mencari penyelesaian," katanya.

Beliau menyambut baik pengumuman Mahdzir itu dan menyifatkannya satu perkembangan positif kepada guru dan memberi semangat untuk mereka berkhidmat tanpa tekanan.

“Ini satu pembelaan... tahniah kepada menteri sebab ini langkah susulan yang baik, kita dah bincang lama isu ini dengan menteri," katanya.

Beliau berkata sekiranya ada guru disaman, mereka boleh merujuk kepada persatuan guru yang menaungi mereka, penasihat undang-undang Kementerian Pendidikan atau pejabat pendidikan daerah masing-masing.