Tuesday, 6 December 2016

Obama ‘buta’ pasal Myanmar

Barack Obama beramah mesra dengan Aung San Suu Kyi dalam pertemuan baru-baru ini. 
NEW YORK - Ketika dunia terus mengutuk Myanmar kerana tentera negara itu melakukan pembunuhan kejam ke atas penduduk etnik Rohingya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama seolah-olah membutakan matanya apabila menarik balik sekatan yang dikenakan sebelum ini atas alasan Myanmar menunjukkan kemajuan besar dalam meningkatkan hak asasi manusia.

Menurut laporan portal Arakan News Agency yang memetik sumber New York Times, pengumuman yang dikeluarkan pada Jumaat lalu menerusi e-mel me­rupakan usaha terakhir Obama yang akan menyerahkan tampuk kepemimpinan kerajaan AS kepada Donald Trump awal tahun depan, mengubah hubungan negara kuasa besar dunia itu dengan Myanmar.

Antara sekatan yang ditarik balik meliputi perdagangan batu permata dan jed serta perniagaan dengan beberapa pegawai tentera Myanmar atau sekutu mereka.

Pengumuman tersebut tidak menyentuh tentang penindasan dan kekejaman negara itu terhadap penduduk minoriti Ro­hingya yang semakin berleluasa di sebalik harapan sebelum ini kemena­ngan Kaunselor Myanmar, Aung San Suu Kyi dapat memulihkan keadaan di negara itu.

Seorang pegawai White House menegaskan, keadaan di Myanmar adalah jauh lebih baik berbanding semasa sekatan dikuatkuasakan pada 1990-an ketika pemerintahan kerajaan di bawah junta tentera.
Pengarah Polisi Human Rights Watch Asia, John Sifton berkata, keputusan itu sebagai ‘mengejutkan’.

“Malah dengan kekejaman yang sedang berlaku sekarang, perkara terakhir kerajaan AS perlu lakukan adalah meningkatkan tekanan terhadap tentera Myanmar,’’ katanya.

Dalam pada itu Suu Kyi terus berdiam diri ketika kempen pembunuhan berlangsung sekali gus mencemarkan imejnya di peringkat antarabangsa sebagai tokoh demokrasi dan penerima hadiah Nobel Keamanan.

Obama telah melawat Myan­mar sebanyak dua kali dan pegawai pentadbirannya ber­kata, lawatan pertamanya ke negara itu adalah yang paling hebat sepanjang memegang jawatan sebagai Presiden.

Sunday, 4 December 2016

7 universiti kita makin meningkat

Universiti Utara Malaysia (UUM).
KUALA LUMPUR: Tiga universiti tempatan berjaya tersenarai dalam kedudukan 100 teratas dunia dalam Times Higher Education (THE) BRICS and Emerging Economies University Rankings 2017.

Berdasarkan kaji selidik yang dikeluarkan semalam, Universiti Putra Malaysia (UPM) berada pada kedudukan ke-89, Universiti Teknologi Petronas (UTP) ke-91 dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-100, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masing-masing pada kedudukan ke-114 dan 136. 

Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris, berkata kejayaan UPM meningkat 14 anak tangga berbanding kedudukan ke-103 pada tahun lalu itu adalah kejayaan sangat bermakna kepada universiti itu. 

Pencapaian UPM "Ranking itu adalah antara penanda aras pencapaian UPM dalam penyelidikan dan inovasi kerana lebih 60 peratus kriteria penilaian tertumpu kepada komponen penyelidikan," katanya dalam satu kenyataan, semalam. 

Dua lagi universiti tempatan yang turut tersenarai dalam ranking itu adalah Universiti Utara Malaysia (UUM) yang menyertai kelompok 201-250 dan Universiti Teknologi MARA (251-300) berdasarkan penilaian yang membabitkan 300 universiti dari 41 negara membangun termasuk China, Brazil, Russia, India dan Afrika Selatan. 

Naib Canselor UUM, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Mustafa Ishak, berkata pencapaian UUM adalah di luar jangkaan dan amat membanggakan seluruh warga kampus. "Saya berharap semua warga UUM terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan lain yang lebih besar dan yakin UUM mampu berada setanding dengan universiti terkemuka dunia," katanya. 

Sementara itu, Pengarang THE World University Rankings, Phil Baty dalam satu kenyataan, berkata pada tahun ini tujuh universiti di Malaysia disenaraikan dalam ranking berprestij itu berbanding hanya empat universiti pada tahun lalu.

Institusi terbaik 


"Tahniah kepada semua universiti yang berjaya tersenarai dalam kedudukan 300 teratas tahun ini memandangkan hanya institusi terbaik sahaja disenaraikan dalam BRICS & Emerging Economies University Rankings 2017," katanya. 

Ranking itu menggunakan 13 petunjuk prestasi yang sama dalam THE World University Rankings untuk menilai institusi daripada segi pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan pandangan antarabangsa. 

Institusi pengajian tinggi (IPT) di China nyata menyerlah dalam senarai itu dengan enam IPT menduduki kedudukan 10 teratas, selain dua universiti Afrika Selatan yang berjaya mengungguli senarai itu.

Friday, 2 December 2016

Minyak Masak Malaysia Diseludup Hingga Ke Nigeria


KLANG - Satu sindiket penyeludupan minyak masak yang didalangi oleh warga Nigeria terbongkar apabila polis menahan empat lelaki di sebuah gudang alat ganti terpakai kenderaan di Jalan Bakti, Kapar di sini pagi tadi.

Serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 11 pagi diketuai oleh Asisten Superintendan Norsanizam Nordin berjaya menahan tiga lelaki warga Nigeria dan seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30an.

Turut serta dalam serbuan terbabit ialah beberapa pegawai dan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor.

Selain menahan empat suspek, turut dirampas ialah lebih 2,000 botol minyak masak lima liter yang dianggarkan berjumlah kira-kira RM40,000.

Difahamkan minyak masak tersebut akan diseludup ke Nigeria menggunakan kontena yang akan diletakkan bersama alat ganti terpakai kenderaan bagi mengaburi pihak berkuasa.

Anggaran harga minyak masak di negara tersebut mencecah RM10 seliter.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil soal siasat ke atas pemilik premis yang juga seorang wanita tempatan berusia 28 tahun mendapati salah seorang warga Nigeria yang mendalangi sindiket tersebut adalah suaminya.

"Berdasarkan siasatan kita premis alat ganti kenderaan terpakai ini menggunakan nama wanita terbabit, namun premis itu diurus oleh seorang daripada tiga lelaki Nigeria terbabit.

"Mereka akan menyeludup minyak masak ini ke Nigeria menggunakan kontena yang diisi sekali dengan alat ganti kenderaan terpakai,"katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara di sini hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan Akta Kawalan Bekalan 1991 kerana menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran.

Sejarah kewujudan tentera Indonesia

Anggota TNI Angkatan Darat antara pasukan pertahanan yang dikenali di seluruh dunia.
Perjalanan sesebuah bangsa tidak terlepas daripada sejarah para pejuangnya. Mengimbau kewujudan tentera merupakan bukti negara tersebut mampu mempertahankan kedaulatan daripada serangan penjajah.

Bagaimanapun, tugas tentera tidak hanya mempertahankan negara daripada ancaman luar. Keberadaan pasukan keselamatan itu merupakan jaminan bahawa kedaulatan yang datang daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat adalah terjamin pelaksanaannya.

Kepada ahli falsafah seperti Thomas Hobbes, John Locke dan Rousseau, kedaulatan hanya mampu terjamin sekiranya badan keamanan seperti angkatan bersenjata dimiliki oleh sesebuah negara.

Ini kerana rakyat mengikat diri mereka sebagai warganegara menerusi kontrak sosial dengan harapan hak-hak asas seperti kehidupan, kebebasan dan mempunyai aset dapat dilindungi.

Kedaulatan


Dalam konteks itu, jaminan atas hak kehidupan, kebebasan daripada penjajahan dan perlindungan terhadap harta benda hanya mungkin dapat dikecapi jika sesebuah negara mempunyai angkatan tentera.

Hasilnya, angkatan tentera seperti inilah yang bertugas untuk menjaga keamanan negara sesuai dengan ketentuan undang-undang dan tidak terikat dengan kepentingan atau kelompok tertentu.

Kewujudan angkatan tentera di Indonesia bermula daripada semangat yang sama iaitu untuk menjaga kemaslahatan dan kedaulatan rakyat serta keutuhan negara.

Angkatan tentera pertama negara tersebut bermula daripada Badan Keamanan Rakyat (BKR) yang dibentuk seminggu selepas Indonesia mengecapi kemerdekaan pada 17 Ogos 1945.

Nama tersebut kerap ditukar. Antara nama yang pernah digunakan untuk angkatan tentera Indonesia ialah Tentera Keamanan Rakyat, Tentera Republik Indonesia dan Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Perjuangan TNI kelihatannya cukup berat pada awal kemerdekaan sehingga memasuki era reformasi. Dalam rentang waktu tersebut, negara itu menghadapi serangan sehingga dua kali iaitu pemberontakan golongan pemisah pimpinan Kartosoewiryo dan Permesta.

Insiden kedua pula berlaku kudeta pada tahun 1965 iaitu serangan daripada golongan yang mempertahankan Irian Barat, referendum Timor-Timor sehingga berlaku demonstrasi besar-besaran pada tahun 1997 hingga 1998.

Dalam tempoh tersebut, banyak cerita-cerita buruk menimpa TNI seperti pelanggaran hak, sikap tidak neutral kerana terlibat dalam Parlimen dan pelbagai tuduhan lain.

Bagaimanapun, sebahagian besar rakyat Indonesia masih percaya dan menaruh harapan besar bahawa TNI merupakan angkatan utama yang mampu diberi amanah untuk menjaga kedaulatan serta keutuhan negara.

Imej

Benteng pertahanan Indonesia didokong kuat pasukan TNI.
Kebelakangan ini, banyak cerita-cerita kurang enak berkait dengan TNI pada pandangan orang awam sekali gus mencalar imej baiknya.

Misalnya, kes-kes pembunuhan, rompakan sehingga terlibat sebagai pengedar dan penagih dadah yang dilakukan oleh segelintir tentera. Bahkan ada juga kedengaran tentera mengasari wartawan.

Baru-baru ini, seorang wartawan televisyen nasional Indonesia mengaku dipukul oleh tentera ketika sedang membuat liputan di Madiun, Jawa Timur.

Sebelum insiden itu, kes seumpamanya berulang. Ia melibatkan anggota Angkatan Udara TNI terhadap wartawan yang sedang membuat liputan pergaduhan di Medan, Sumatera Utara.

Beberapa kes lain juga sedikit sebanyak mencalarkan imej baik TNI. Antaranya ada anggota tentera yang terlibat kes rompakan Rp10 bilion (RM3.2 juta), terlibat dalam transaksi penjualan dadah sebanyak Rp60 juta (RM19,700) dan pembunuhan pelajar agama.

Bertitik tolak dari situasi itu, timbul persoalan, apakah terdapat ketidaktelusan dalam proses rekrut anggota?

Ini kerana masalah seperti itu perlu dirungkai bermula dari akar umbi. Dalam konteks ini, proses pemilihan anggota merupakan titik awal yang perlu diberi perhatian.

Jika diteliti dalam perkara tersebut, beberapa proses pemilihan ternyata terpalit dengan kes rasuah dan pilih kasih.

Kes pada bulan lalu menunjukkan 11 anggota tentera Komando Daerah Militer VII Wirabuana ditangkap menjadi perantara dan menerima rasuah dalam pemilihan anggota tentera.

Panglima Komando Daerah Militer VII Wirabuana, Mayor Jeneral TNI Agus Surya Bakti berkata, pihaknya telah membuat siasatan dalaman sejak sembilan bulan lalu selepas mengetahui terdapat laporan cubaan rasuah.

“Kami berjaya menahan 11 anggota tentera yang terlibat. Ada antara mereka dikenakan tindakan disiplin dan hukuman oleh Mahkamah Tentera.

“Jumlah wang sogokan yang dirampas lebih Rp1.5 bilion (RM492,000) dan anggota tersebut mengaku mampu meluluskan ujian calon tentera yang hadir dalam pemilihan,” katanya.

Namun, sikap dan perbuatan segelintir anggota ini tidak menggambarkan keseluruhan mereka.

Maruah


Namun, kewujudan anggota tentera yang tidak bertanggungjawab tumbuh seperti cendawan, mati sepohon, tumbuh seribu.

TNI perlu mempertimbangkan kembali proses merekrut anggota dilaksanakan dengan lebih profesional dan telus oleh panel penilai.

Pemantauan dalaman secara berkala, pengawasan rutin yang ketat serta pendedahan kepada ilmu pengetahuan perlu dilaksanakan kepada tentera bagi menjadikan mereka lebih amanah serta bertanggungjawab.

Profesionalisme kerja perlu diterapkan dalam setiap anggota tentera kerana ancaman tidak semestinya datang dari luar.

TNI harus terus berpegang teguh menjaga dan mempertahankan maruahnya sebagai badan yang neutral, bergerak sendiri dan profesional sehinggakan ucapan Dirgahayu 71 yang ditujukan kepadanya itu sangat bermakna untuk diingati.

Thursday, 1 December 2016

Sembelih 100 kucing sehari

Gambar yang menunjukkan puluhan bangkai kucing beku dan baru disembelih di gudang kecil lelaki itu di Chengdu, barat daya China.
Beijing: Seorang lelaki yang mendakwa dia pencinta haiwan dan memelihara kucing liar di rumahnya ditangkap kerana menyembelih haiwan itu dan menjual bangkainya kepada restoran.

Seorang wartawan yang menyamar untuk melakukan siasatan bagi Akhbar Chengdu Business mendapati lelaki itu, Huang Fuping menjual bangkai kucing berkenaan sebagai arnab kepada restoran di pedalaman China dengan harga 20 yuan (RM13) sekilogram.

Pihak berkuasa menutup rumah penyembelihan kucing Huang yang beroperasi sejak 30 tahun lalu sebaik menerima maklumat daripada sukarelawan 23 November lalu.

Jurucakap Pusat Penyelamat Haiwan Aizhijia Chengdu yang mahu dikenali sebagai Chen berkata, pihaknya merampas dua tan bangkai kucing dan menyelamatkan 49 ekor yang belum disembelih pada hari berkenaan.

Aktivis berkata, Huang sempat menjual 13 tan bangkai haiwan itu sebelum gudangnya diserbu hari itu.

Huang memberitahu wartawan yang menjalankan intipan itu, dia menyembelih 100 kucing sehari, meraih pendapatan kira-kira 3,000 yuan (RM2,000) semalam.

Kerana jualan daging kucing diharamkan di Chengdu, dia terpaksa menjualnya di pasar dan restoran di luar bandar berkenaan dengan mendakwa ia daging arnab.

Dia memberitahu wartawan berkenaan, daging kucing dan arnab hampir sama dan apabila dikisar, tidak seorang pun dapat membezakannya.

Untuk memenuhi permintaan tinggi daripada restoran, Huang bukan sahaja menangkap kucing yang berkeliaran, tetapi juga mengupah orang lain untuk mencuri kucing peliharaan penduduk sekitar.