Friday, 4 March 2016
Rakyat Malaysia Paling Banyak Hutang
Kuala Lumpur – Kaji selidik oleh Manulife menunjukkan bahawa 68% daripada rakyat Malaysia berhutang, kadar tertinggi dalam kalangan lapan pasaran yang ditinjau di Asia, dan lebih dua kali ganda purata serantau sebanyak 33%.
Kaji selidik Indeks Sentimen Pelabur Manulife itu adalah berasaskan 500 temubual di Hong Kong, China, Taiwan, Jepun, Singapura, Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Dalam satu kenyataan, Manulife berkata, purata hutang rakyat Malaysia ialah sebanyak RM56,000 iaitu hampir 10 kali purata pendapatan peribadi bulanan, sebahagian besarnya disebabkan oleh perbelanjaan hidup harian (60%), dengan bayaran sewa (44%) dan pendidikan anak-anak (37%).
“Kebanyakan hutang itu adalah jangka panjang, dengan satu perempat daripada mereka yang berhutang tidak dapat membayarnya selama tiga tahun atau lebih.
“Paras hutang yang tinggi mencerminkan pengurusan kewangan yang lemah, dan gagal mengurus aliran tunai dengan berkesan,” katanya.
Sejumlah 89% daripada responden Malaysia yang dikaji selidik memantau perbelanjaan mereka secara tetap, 44% membelanjakan 70% atau lebih daripada bulanan pendapatan bulanan mereka setiap bulan, yang menunjukkan mereka tidak memantau perbelanjaan untuk berjimat.
Ketua Pegawai Eksekutif Manulife Holdings Bhd Group, Mark O ‘Dell berkata, pelabur perlu mengurus kewangan mereka dan mengesan perbelanjaan bagi menghalang mereka daripada menanggung hutang yang terlalu banyak, terutama ketika pasaran kewangan tidak menentu dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan.
“Tanpa pengurusan hutang yang berkesan, rakyat Malaysia kurang cenderung untuk mencapai matlamat simpanan jangka panjang, yang boleh menjejaskan jaminan kewangan masa depan mereka,” katanya. – Bernama
Thursday, 3 March 2016
Slip Keputusan SPM Mangsa Lemas Viral Di Media Sosial
BIARPUN jasadnya sudah tiada lagi di dunia ini, Allahyarham Muhammad Wafiq Mohd Noor, 17, tetap mampu memberikan senyuman dan rasa bangga buat ibu bapa dan keluarganya.
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini, menyaksikan Allahyarham cemerlang dengan keputusan 9A.
Slip keputusan peperiksaan Wafiq itu dimuat naik pelakon Mustapha Kamal ke akaun Facebook, dan ia pantas meraih perhatian.
Wafiq, pelajar Sekolah Menengah Sains Batu Pahat, memperoleh A untuk kesemua sembilan mata pelajaran yang diambil, termasuk Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan.
| Allahyarham masih mampu beri senyuman buat ibu bapa walaupun sudah tiada lagi di dunia.Foto/Facebook Mustapha Kamal |
Majoriti berkongsi rasa sebak namun dalam masa yang sama bangga dengan kejayaan Allahyarham.
Disember lalu, Wafiq dan rakannya Muhamad Naim Adnan, lemas ketika bermain air di Pantai Rhu Sepuluh, Setiu.
Allahyarham ketika itu menyertai satu program keagamaan bersama sembilan pelajar lain. – Awani
Latihan di Saudi dedahkan ATM peperangan bentuk lain - PM
| PERDANA Menteri, Najib Razak berucap ketika melawat anggota ATM yang menjalani latihan di Hafar Al Batin, wilayah utara Arab Saudi, petang semalam. |
RIYADH: Datuk Seri Najib Razak berkata penyertaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam latihan ketenteraan di utara Arab Saudi dapat meningkatkan kemampuan pasukan itu. Perdana Menteri berkata, latihan ketenteraan 'Thunder of the North' bersama 19 negara termasuk Arab Saudi yang mengetuainya, mendedahkan pasukan itu kepada peperangan bentuk lain.
Katanya, oleh kerana ancaman sekarang boleh datang dari pelbagai sudut, dengan penyertaan dalam latihan itu, ATM akan mempunyai kemampuan untuk bergerak dan bertindak dalam persekitaran yang berbeza.
"Contohnya, ATM yang ada kemampuan dalam peperangan di hutan, dapat meningkatkan kebolehan dalam peperangan padang pasir dan juga bandar. Jadi latihan sebegini amat berguna," katanya.
Beliau bercakap kepada wartawan Malaysia selepas majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di sini malam tadi. Majlis itu turut dihadiri Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.
Petang semalam Perdana Menteri turut melawat anggota ATM yang menjalani latihan di Hafar Al Batin. Najib berkata, penyertaan Malaysia dalam latihan itu sebagai sokongan terhadap usaha untuk mewujudkan keselamatan dan bersama tangani sebarang ancaman terhadap dunia Islam.
Katanya, ia juga sebagai satu bentuk solidariti dalam kalangan negara Islam. Sebelum ini, penyertaan Malaysia dalam latihan ketenteraan membabitkan negara bukan Islam seperti Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA) serta negara dalam ASEAN. "Arab Saudi amat penting kepada umat Islam. Oleh kerana itu kita perlu berikan segala sokongan dan satu daripada caranya ialah menyertai latihan itu," katanya. -BH
Wednesday, 2 March 2016
Ulama Saudi Nyaris Maut Ditembak Pelampau Syiah Filipina
Manila – Ulama terkenal warga Arab Saudi, Sheikh Dr A’idh Al-Qarni telah menjadi sasaran bunuh oleh dua orang pelampau Syiah 8.30 malam tadi waktu tempatan.
Kejadian berlaku ketika Sheikh A’idh berada dalam kereta selepas menyampaikan ceramah di sebuah universiti di bandar Zamboanga yang terletak kira-kira 1 jam 30 minit perjalanan menaiki pesawat dari Manila.
Seorang penyerang dipercayai penganut Syiah warga Filipina telah dibunuh manakala seorang lagi telah ditangkap.
Mengikut kenyataan rasmi Kedutaan Arab Saudi di Filipina, Sheikh A’idh telah ditembak oleh penyerang yang mengekori rapat kereta yang dinaikinya.
Ulama yang terkenal dengan bukunya bertajuk ‘La Tahzan’ (Jangan Bersedih) itu cedera di bahu lalu dibawa ke sebuah hospital di Zamboanga.
Sheikh A’idh datang ke Filipina atas jemputan pertubuhan Islam tempatan.
Sejurus selepas kejadian, pihak kedutaan terus berhubung dengan pihak berkuasa tempatan dan menghantar pesawat khas untuk membawa Sheikh A’idh ke Manila bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Duta Arab Saudi telah menghubungi Sheikh A’idh melalui telefon dan beliau dalam keadaan baik, Alhamdulillah.
“Pengiring beliau juga dalam keadaan baik,” kata kenyataan itu lagi.
Sebuah portal berita Indonesia, www.lppipusat.com memetik seorang ulama Arab Saudi, Sheikh Salih Al-Munajjid bahawa kejadian itu didalangi oleh pelampau Syiah.
“Untuk pengetahuan umum, Syiah telah berkembang pesat di Zamboanga melalui kunjungan ulama dan pendakwah Iran,” kata laman web itu lagi. -STV
Tuesday, 1 March 2016
Suruhanjaya Penerbangan Malaysia mula operasi
| Jabatan Penerbangan Awam - Department of Civil Aviation of Malaysia, Putrajaya |
Putrajaya: Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAC) yang beroperasi berkuatkuasa hari ini akan menyumbang kepada usaha berterusan negara dalam mengukuhkan mutu penerbangan negara serta menangani cabaran sedia ada.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, suruhanjaya ini akan diterajui Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad selaku Pengerusi Eksekutif dibantu enam ahli lain.
Katanya, mereka adalah Tan Sri Chor Chee Heung; Datuk Mah Weng Kai; Datuk Ir Dr Shaik Hussein Mydin; Datuk Seri Long See Wool; Datuk Fauziah Yaacob dan Dr Nungsari Ahmad Radhni.
"Di samping itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) akan turut memegang jawatan sebagai ahli tetap dalam suruhanjaya ini.
"Saya yakin suruhanjaya ini juga dapat memajukan sektor penerbangan Malaysia seiring dengan aspirasi negara untuk menjadi hab utama industri penerbangan di rantau ini," katanya dalam kenyataan di sini. -mymetro
Subscribe to:
Posts (Atom)