Friday, 18 March 2016

Pembangkang dicabar terima Tun M sebagai ahli

Md Shukri Shuib
ALOR SETAR - Pembangkang dicabar menerima bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ahli dan diberi jawatan yang sesuai jika benar ikhlas mahu berjuang bersama dengan aspirasi bekas presiden Umno itu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, perkara itu akan lebih berkesan dalam hala tuju Deklarasi Rakyat jika pembangkang menerima Mahathir sebagai ketua mereka buat masa ini.

“Adakah mereka berani dan Ikhlas? Beranikah DAP menggantikan Lim Kit Siang dengan Mahathir sebagai peneraju parti atau PKR mengambilnya sebagai Ketua Umum menggantikan Anwar yang sedang dipenjara.

“Inilah persoalan politik hala tuju mereka jika benar parti pembangkang seia sekata dengan Mahathir,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, Jika Mahathir mahukan sokongan segera, mungkin alternatifnya ialah menyertai parti yang sedia wujud seperti PKR, DAP, Amanah atau Pas atas kesediaan mereka bekerjasama baik dengannya.

“Buat masa ini mungkin Mahathir tidak akan menubuhkan parti baru. Saya fikir Mahathir masih menunggu pujukan dari pemimpin Umno supaya kembali kepada parti itu. Hasratnya hanyalah mahu Datuk Seri Najib Tun Razak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Itu objektif yang cuba sampaikan. Namun saya tidak fikir dengan tindakan keluar Umno menjadikan Najib atau mana-mana pemimpin kanan Umno akan memujuk beliau dan menggesa Najib berundur,” katanya.

Md Shukri berkata, realitinya tindakan Mahathir menyertai gerakan bersama parti pembangkang jelas membantu mereka untuk melebarkan sokongan politik.

“Pembangkang juga jelas mengambil kesempatan terhadap dilema yang dihadapi Mahathir, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

“Pasukan 3M (Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz) ini yang pada asalnya bersuara bagi tujuan menyampaikan apa yang dianggap benar oleh mereka kini sudah tersasar akibat kerjasama dengan individu dan parti yang jelas bukan sahaja anti Najib tetapi ultra anti Umno sejak era Mahathir lagi,” katanya.

Menurutnya, persoalan dalam kalangan orang ramai ialah kenapa bekas pemimpin nombor satu negara itu boleh bersekongkol dengan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dipecat olehnya dari Umno dan kabinet.

“Soal penubuhan parti baru saya ingat tidak relevan lagi bagi Mahathir berbuat demikian kerana Muhyiddin dan Mukhriz masih menjadi ahli Umno dan mempunyai pengikut tersendiri.

“Jika mahu, Mahathir mungkin boleh sertai parti pembangkang sedia ada. Tetapi saya yakin beliau akan kekal bebas dengan masih berharap akan kembali semula kepada Umno jika permusuhannya dengan Najib dapat diselesaikan,” katanya.

Pada 29 Februari lalu, Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah mengumumkan keluar Umno buat kali kedua sebagai tanda protes terhadap Najib.

Mahathir berkata, keputusan itu dibuat kerana Umno tidak lagi seperti dahulu sebaliknya merupakan sebuah parti penyokong Najib.

Beliau pernah meninggalkan parti keramat itu pada Mei 2008 kerana kekecewaannya terhadap pucuk pimpinan Umno tetapi menyertai semula pada 2009. -SH

Thursday, 17 March 2016

Isu dana RM2.6 bilion tidak boleh lagi dibahas

Azalina Othman Said
KUALA LUMPUR - "Kerajaan tidak lagi akan menjawab soalan‎ berhubung isu melibatkan dana RM2.6 bilion di Dewan Rakyat disebabkan ia tertakluk kepada proses yang sedang berlangsung di Mahkamah," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata isu RM2.6 bilion dan SRC International kini berhadapan dengan satu tindakan saman pemula yang difailkan di Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) oleh Majlis Peguam Malaysia terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Isnin lalu.

"Isu tersebut kini tertakluk di bawah Peraturan Mesyuarat 23(1)(g) yang menyatakan ‘Sesuatu pertanyaan tidak boleh dikarangkan cakapnya sekira-kira harus mengelencongkan perkara yang sedang dibicarakan oleh Mahkamah dan tidak boleh ditanya berkenaan dengan apa-apa perkara dalam pertimbangan Mahkamah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Azalina memberi jaminan bahawa kerajaan sentiasa komited untuk memberikan jawapan mengenai sebarang isu yang melibatkan akauntabiliti termasuk dalam isu RM2.6 bilion dan SRC International. -  Bernama

Pesta bogel di Taman Negara P.Pinang dapat kebenaran

BALIK PULAU - Mahkamah Majistret di sini diberitahu hari ini bahawa petugas Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang memberi kebenaran kepada sekumpulan pelawat yang meminta untuk tidak berpakaian ketika mengadakan aktiviti di pantai Teluk Kampi di taman itu.

Pekerja Rendah Awam Sharudin Isa, 41, berkata, dia membenarkan mereka berbuat demikian dengan syarat perlu mengenakan semula pakaian jika ada pelancong lain di kawasan itu.

"Seorang wanita berambut pendek datang kepada saya meminta kebenaran untuk bermalam di situ dan meminta bagi pihak kumpulan itu, kebenaran untuk tidak berpakaian.

"Pada masa itu, lebih kurang 15 orang ada di situ.

"Saya benarkan dan minta mereka memakai semula pakaian jika ada pelancong lain di situ.

"Hari itu hanya saya seorang sahaja yang bertugas menjaga pos kawalan di pantai Teluk Kampi dan tidak ada pelancong lain selain mereka," kata saksi keenam itu di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Sharudin berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Mahadi berhubung kes empat individu didakwa menyertai pesta bogel di Teluk Kampi, Taman Negara itu pada 30 Mei dua tahun lalu.

Pada 28 Ogos 2014, tiga wanita iaitu Chew Tok Hwa, 59; Chan Chia Wen, 29; Teh Guan Hoon, 39; serta seorang lelaki, Kong Meng Leong, 40; mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di Pantai Teluk Kampi.

Kejadian berlaku antara pukul 3 dan 6 petang, 30 Mei dua tahun lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama enam lagi individu - Loh Kok Hong, 43; Mu Wai Peng, 36; Justin Ang Ji Keng, 26; Yam Kam Hoong, 56; Lionel Loo Joo Heng, 54; dan R. Nanda Kumar, 42.

Bagaimanapun enam individu terbabit mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan.

Ditanya apa lagi yang berlaku pada hari kejadian, Sharudin yang berkhidmat selama 12 tahun dengan Taman Negara itu berkata, mereka mengadakan aktiviti di tepi pantai pada sebelah petang sebelum mengadakan aktiviti di dewan serbaguna yang  berdekatan pada sebelah malam.

"Mereka tidak membawa khemah dan meminta kebenaran untuk menggunakan dewan serbaguna yang terdapat di situ.

"Saya benarkan mereka gunakan (dewan). Mereka juga meminta kebenaran untuk membuat unggun api dan saya beri mereka zink untuk alas unggun api. Selepas itu saya kembali ke pos kawalan.

"Saya lihat mereka menari mengelilingi unggun api dalam keadaan tidak berpakaian. Saya nampak lelaki dan wanita yang tidak berpakaian...mereka beraktiviti di dewan itu sehingga lewat malam," katanya.

Peguam Haijan Omar yang mewakili Chew, Chan dan Kong kemudian bangun mempersoalkan waktu kejadian berikutan saksi mengatakan nampak kesemua tertuduh tidak berpakaian pada sebelah petang dan malam sedangkan kertas pertuduhan menyebut waktu kejadian antara pukul 3 dan 6 petang.

Shafiq kemudiannya memohon pindaan lisan kepada pertuduhan untuk menukar waktu kejadian kepada antara pukul 3 petang hingga 11 malam.

Mahkamah membenarkan permohonan itu selepas mendapat persetujuan pihak pembelaan dan pertuduhan dibacakan semula kepada keempat-empat tertuduh.

Ketua Unit Pendakwaan, Datuk Razali Che Ani turut mewakili pihak pendakwaan manakala peguam Jason Khor mewakili Teh.  

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan bersambung 15 April depan. - Bernama

Wednesday, 16 March 2016

Orang kaya Malaysia akan bertambah

Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Jumlah penduduk Individu Sangat Kaya (UHNWI) Malaysia dijangka meningkat 64 peratus dalam dekad akan datang, demikian menurut Knight Frank.

Firma perundingan hartanah global bebas itu mengunjurkan peningkatan UHNWI kepada 1,629 orang pada 2025 daripada 993 orang pada 2015 dengan kelebihan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan sumber.

Bagaimanapun, bilangan UHNWI pada 2015 itu turun mendadak sebanyak 15 peratus daripada 1,168 orang pada 2014.

"Ia bukan semata-mata disebabkan penurunan 22 peratus pasaran saham dalam nilai dolar AS, tetapi juga penurunan nilai ringgit dan kejatuhan harga minyak mentah," kata Ketua Penyelidikan Asia Pasifik Knight Frank, Nicholas Halt.

Beliau berkata demikian pada pelancaran edisi Ke-10 The Wealth Report 2016 Knight Frank, di sini, hari ini.

Berdasarkan kaji selidik sikap dalam laporan itu, cabaran ekonomi global dan isu pewarisan atau pusaka menjadi potensi ancaman utama kepada penciptaan dan pengekalan harta di Malaysia.
Sementara itu, Asia menerajui peningkatan mutlak penduduk UNHWI, dalam tempoh 10 tahun lalu dan juga bagi dekad akan datang.

Asia mencatat 17,531 orang UHNWI pada 2005 dan ia meningkat kepada 41,072 orang pada 2015. Angka ini dijangka terus meningkat kepada 67,999 orang pada 2025.

UHNWI merujuk kepada individu yang memiliki aset boleh dilabur bernilai sekurang-kurangnya US$30 juta, tidak termasuk aset peribadi dan hartanah seperti kediaman utama seseorang, koleksi dan barangan pengguna. -BERNAMA

Tuesday, 15 March 2016

Najib tak terima faedah, pendapatan lain

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media bersama wartawan Malaysia berkaitan Sidang Kemuncak Pemimpin AS-Asean yang berakhir Selasa. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menerima sebarang pendapatan lain daripada mana-mana syarikat.

Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat memaklumkan Najib juga tidak menerima sebarang faedah dalam bentuk kad kredit korporat.

JPM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) yang ingin tahu sama ada perdana menteri mempunyai pendapatan lain atau menikmati sebarang faedah dalam bentuk kad kredit korporat.

Mengenai perbelanjaan protokol perdana menteri bagi lawatan rasmi pada 2015 dan 2016, JPM memaklumkan bahawa semua perbelanjaan protokol Najib bagi tujuan tersebut telah mengambil kira pelbagai langkah perbelanjaan berhemah kerajaan.

"Perbelanjaan protokol dilakukan ke atas perkara yang benar-benar perlu sahaja tanpa menjejaskan objektif utama lawatan rasmi tersebut," menurut JPM dalam jawapan itu.


JPM berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wong Chen (PKR-Kelana Jaya) yang meminta JPM menyatakan jumlah perbelanjaan protokol perdana menteri memandangkan beliau mengumumkan niat mengurangkan perbelanjaan protokol bagi lawatan rasmi perdana menteri dan anggota Kabinet. - Bernama