Thursday, 4 May 2017

Ejen FBI jatuh cinta, kahwin militan Daesh

GREENE (kiri) jatuh cinta dan berkahwin dengan militan Daesh, Cuspert (kanan).

WASHINGTON – Seorang penterjemah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) yang diberi tugas menyiasat seorang anggota militan Daesh akhirnya jatuh cinta dan berkahwin dengan lelaki berkenaan, lapor portal berita Aol semalam.

Laporan saluran berita CNN pada minggu ini pula mendedahkan bahawa penterjemah itu, Daniela Greene jatuh cinta dengan militan Daesh, Denis Cuspert.

Wanita itu turut meninggalkan suaminya yang merupakan seorang askar untuk berkahwin dengan Cuspert pada tahun 2014.

Cuspert merupakan seorang bekas penyanyi rap dikenali sebagai ‘Deso Dogg’ sebelum dia menyertai Daesh. Lelaki itu muncul dalam beberapa rakaman video yang menunjukkan dia memegang kepala manusia dan melaungkan slogan Daesh.

Cuspert turut digelar ‘Bintang Pop Jihad’. Dia dikenali di Syria dengan nama Abu Talha al-Almani.

Greene pula dilahirkan di Czechoslovakia dan dibesarkan di Jerman sebelum berkenalan dan berkahwin dengan askar Amerika Syarikat (AS) berkenaan. Wanita itu turut belajar di universiti AS.

Greene yang bekerja sebagai penterjemah bahasa Jerman ditugaskan untuk menyiasat Cuspert.

Namun, dalam masa enam bulan, dia jatuh cinta dan melarikan diri ke Syria untuk menemui lelaki itu.

Greene memberitahu FBI bahawa dia melawat keluarganya, namun wanita itu berlepas ke Turki sebelum melakukan perjalanan ke sempadan Syria untuk menemui Cuspert.

Mereka kemudiannya bertemu dan berkahwin tetapi tidak lama selepas tiba di kawasan perang berkenaan, Greene sedar bahawa dia tersilap langkah.

“Saya lemah dan tidak tahu bagaimana untuk menangani sesuatu perkara lagi. Saya melakukan kesilapan besar kali ini,” kata Greene kepada seorang rakannya dalam satu e-mel.

Dia kemudian melarikan diri ke AS dan ditangkap. Greene dijatuhi hukuman ringan iaitu penjara dua tahun kerana bersetuju untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa AS. – Agensi 

Wednesday, 3 May 2017

Telefon pintar semak status muflis

SEMAKAN status kebankrapan mana-mana individu boleh dibuat menerusi telefon bimbit mulai 11 Mei ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Insolvensi Malaysia memperkenalkan aplikasi MyDI yang boleh digunakan untuk membantu orang ramai menyemak status keban­krapan mana-mana individu melalui telefon pintar mulai 11 Mei ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, aplikasi itu akan dapat membantu orang awam berurusan dengan jabatan itu secara online sekali gus meningkatkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada pelanggan. 

Beliau berkata, menerusi perkhidmatan itu majikan juga boleh memeriksa status kebankrapan bakal pekerja dan institusi yang memberi pinjaman kewangan.

Menurutnya, ibu bapa pula boleh memeriksa status kebankrapan bakal menantu mereka hanya dengan menggunakan aplikasi MyDI.

“Dengan adanya kemudahan ini, orang ramai tidak perlu lagi datang ke pejabat atau menghubu­ngi Jabatan Insolvensi Malaysia untuk mengetahui status kebankrapan mereka kerana ia boleh dibuat dengan menggunakan aplikasi pada te­lefon pintar,” katanya.

Beliau berkata pada sidang akhbar selepas pelancaran aplikasi MyDI dan Jelajah Rang Undang-Undang (RUU) Kebankrapan (Pindaan) 2016 di Dewan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri di sini semalam.

Tuesday, 2 May 2017

Kim Jong-un mahu hancurkan dunia

KAPAL pengangkut helikopter Izumo milik Jepun akan meninggalkan pelabuhan Yokosuka di selatan Tokyo untuk melindungi kapal-kapal pengangkutan bekalan Amerika Syarikat.

MANILA - Amerika Syarikat (AS) digesa supaya lebih berhati-hati berdepan dengan isu Korea Utara bagi mengelakkan ‘malapetaka’ dengan pe­mimpin negara itu, Kim Jong-un dilihat ‘mahu menghancurkan dunia’.

Gesaan itu disuarakan oleh Presiden Filipina, Rodrigo Duterte yang menegaskan, rantau Asia Tenggara amat bimbang ke­tegangan yang semakin memun­cak antara AS dan Korea Utara bakal mengundang ‘sesuatu yang dahsyat’, sekali gus menyebabkan negara-negara Asia menjadi mangsa pertama perang nuklear.

Duterte yang kini menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN memberitahu, pihaknya menggesa Donald Trump supaya tidak meneruskan konfrontasi dengan Jong-un, selepas be­liau dijemput ke White House semasa dihubungi melalui telefon oleh Presiden AS itu awal pagi ini.


“AS perlu bersabar kerana kita tahu mereka bermain de­ngan seseorang yang terlalu taksub de­ngan kekuatan peluru berpandunya. Saya benar-benar tidak tahu apa yang berada dalam fikiran Jong-un tetapi tindakannya itu seakan-akan mahu memusnahkan dunia.

“Siapa saya untuk mengarahkan pe­mimpin dunia itu supaya menghentikan tindakannya, tetapi saya hanya akan katakan kepada Trump tolong pastikan tiada pe­perangan berlaku kerana wilayah ini akan menderita dengan te­ruk,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pemimpin agama Vatican City, Pope Francis turut mencadang­kan negara ketiga seperti Norway mengambil peranan sebagai orang tengah bagi menyelesaikan pertikaian antara dua negara tersebut sekali gus meredakan keadaan yang sudah ‘terlalu panas’ itu.

Francis berkata, beliau percaya ‘sifat kemanusiaan’ akan musnah sekiranya peperangan dibiarkan berleluasa sambil menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memainkan se­mula peranan diplomasinya yang semakin diperkecilkan sejak kebelaka­ngan ini.

“Ada ramai fasilitator di dunia ini termasuk orang tengah yang boleh menawarkan khidmat mereka, contohnya Norway yang sentiasa bersedia memberikan pertolongan. Tetapi laluannya adalah melalui rundingan dan penyelesaian diplomatik,” katanya.

Sementara itu, Jepun mengesahkan akan menghantar kapal perang terbesarnya sejak Perang Dunia Kedua untuk melindungi kapal-kapal AS, manakala Korea Utara me­lancarkan ujian peluru berpandu terbaharu semalam.

Kapal pengangkut helikopter Izumo akan meninggalkan pelabuhan Yokosuka di selatan Tokyo, esok untuk mengiringi kapal pengangkut bekalan AS masuk lebih jauh ke kawasan barat laut Pasifik Barat.

Usaha itu menjadi penempatan pertama aset terbesar pertahanan Jepun di luar latihan tentera bagi menyokong armada Tentera Laut AS di Pasifik termasuk kapal pengangkut pesawat, USS Carl Vinson telah memulakan latihan dengan Tentera Laut Korea Selatan beberapa jam selepas Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistiknya itu.

Korea Selatan turut mengesahkan kesediaan Washington untuk menampung sebahagian daripada kos pemasangan pera­latan Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) di negara itu.

Sebelum ini, Trump dilaporkan berkata, Korea Selatan perlu membiayai kos pemasangan THAAD sebanyak AS$1 bilion (RM4.34 bilion) bagi menangkis serangan senjata nuklear dari Korea Utara.

Menurut Pejabat Presiden Korea Selatan, jaminan itu diberikan hari ini oleh Penasihat Keselamatan Tertinggi AS, HR McMaster kepada rakan sejawatannya, Kim Kwan-jin, dalam satu panggilan telefon sambil menyatakan AS menganggap negara tersebut sebagai sekutu pentingnya di wilayah Asia Pasifik– REUTERS

Trump akui Jong-un seorang yang bijak



WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Do­nald Trump (gambar) secara tidak langsung telah memuji pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un sebagai ‘kelihatan agak bijak’ pada satu program wawancara televisyen kelmarin.

Kata-kata pujian Trump muncul ketika ketegangan semakin meruncing dengan Korea Utara disebabkan siri ujian peluru berpandu dan nuklear yang menyebabkan Washington terpaksa me­minta bantuan China untuk mengekang Jong-un.

Trump turut menyatakan beliau ‘tidak pasti’ sama ada Jong-un seorang yang waras atau tidak, tetapi mengakui pemimpin Korea Utara itu berdepan cabaran hebat kerana mengambil alih kepimpinan negara pada usia 27 tahun selepas kematian bapanya pada tahun 2011.

“Beliau berurusan dengan orang-orang yang sukar khususnya jene­ral dan lain-lain. Pada usia begitu muda, beliau berjaya mengambil alih kuasa,” kata Trump dalam program wawancara Face the Nation oleh stesen televisyen CBS.

“Ramai orang yang saya pasti, cuba me­rampas kuasa itu, sama ada bapa saudaranya atau individu lain. Dan beliau mampu menanganinya.

“Jadi, beliau secara jelas adalah sejenis manusia yang bijak,” katanya.

Korea Utara berjaya membuatkan Barat me­nunggu selama beberapa minggu berhubung kemungkinan berlakunya ujian nuklear keenam selepas melakukan beberapa ujian misil yang menakutkan AS.

Washington bimbang rejim itu membangunkan peluru berpandu balistik dengan kepala peledak nuklear serta berupaya membedil sehingga ke tanah besar AS.

Korea Utara, yang tidak menghiraukan tekanan AS, mengadakan ujian pelancaran misil terbaharu pada Sabtu lalu. Korea Selatan mendakwa ujian itu gagal.

“Keadaan sekarang seperti permainan catur. Saya tidak mahu orang lain mengetahui apa yang saya fikirkan,” tambah beliau. – AFP

Monday, 1 May 2017

Penjawat awam banyak hutang

Kakitangan kerajaan yang banyak membuat pinjaman dengan bank berpontesi diisytihar muflis.

KUALA LUMPUR – Lebih 60,000 daripada 1.6 juta penjawat awam berdepan risiko muflis berikutan kegagalan menguruskan hutang pinjaman yang dibuat melebihi kemampuan mereka.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda (gambar kecil) berkata, penjawat awam terbabit didapati melakukan beberapa pinjaman peribadi daripada institusi kewangan yang mudah meluluskan permohonan mereka.

“Jumlah lebih 60,000 kakita­ngan kerajaan bakal muflis ini saya lihat semakin serius dan ia terjadi kerana ada penjawat awam yang bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman.

“Namun cara mana mereka memalsukan slip gaji saya tidak boleh dedahkan,” kata beliau kepada pemberita pada Seminar Hari Pekerja di sini semalam.

Katanya, berdasarkan angka golongan berisiko muflis itu pula melibatkan semua peringkat umur iaitu 30 hingga 50 tahun.

Secara nisbah setiap seorang daripada 27 kakitangan kerajaan didapati berdepan masalah pengurusan kewangan.

Beliau berkata, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman yang dilakukan penjawat awam juga merupakan antara punca mereka berjaya membuat pinjaman melebihi kemampuan dan melakukan pinjaman bertindih.

“Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain (institusi pinjaman).

“Mereka (penjawat awam) boleh meminjam daripada mana-mana institusi kewangan dengan hanya membawa slip gaji mereka sebelum institusi pinjaman akan membuat potongan gaji setiap bulan,” kata beliau.