Wednesday, 17 February 2016

Kenapa Allah SWT Pilih Nabi Isa Untuk Membunuh Dajjal


Pada akhir zaman akan datang seorang makhluk yang selalu berusaha untuk menyesatkan seluruh umat manusia, makhluk ini bernama Dajjal dan akan dibinasakan oleh Nabi Isa a.s, Kenapa Allah SWT Pilih Nabi Isa Untuk Membunuh Dajjal? Mengapa bukan yang lainnya? Jika Nabi Isa turun kembali ke bumi untuk membunuh Dajjal maka Nabi yang terakhir bukanlah Nabi Muhammad s.a.w, benarkah demikian?


Kenapa Allah SWT Pilih Nabi Isa Untuk Membunuh Dajjal? Inilah Jawapannya!

Dalam hadis sahih telah diberitakan bahawa kelak pada akhir zaman Nabi Isa akan turun semula untuk membunuh Dajjal yang telah menyesatkan seluruh umat manusia. Dengan demikian, apakah bermakna bahawa Nabi Muhammad bukanlah Nabi yang terakhir? Jawapannya tidak. Nabi Muhammad adalah Nabi terakhir umat Islam dan tidak akan ada lagi Nabi lain yang akan muncul selepas Nabi Muhammad. Kemunculan semula Nabi Isa bukanlah sebagai Nabi yang akan membawa ajaran yang baru, melainkan sebagai pengikut Nabi Muhammad SAW dan beliau telah memikul tugas untuk membunuh Dajjal.

Kenapa Allah SWT memilih Nabi Isa untuk membunuh Dajjal? Kemunculan Nabi Isa kelak di akhir zaman telah dijelaskan secara teliti dalam hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Bukhari. Dalam hadis Nabi itu telah dijelaskan bahawa kelak Isa Ibnu Maryam akan turun kembali ke bumi untuk menegakkan kebenaran dan menjadi hakim yang adil, dia akan mematahkan salib-salib, menghentikan jizyah, membunuh babi-babi yang ada, memberikan harta dalam jumlah yang sangat besar sehingga tidak akan ada seorang manusia pun yang akan mau menerima harta itu.

Nabi Isa turun ke bumi untuk yang kedua kalinya di menara putih Damsyik. Hal ini juga telah dijelaskan secara jelas dalam hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Sahih Muslim. Dalam hadis telah disebutkan bahawa Isa akan diturunkan semula di atas menara putih Damsyik dan kedua tangannya akan memegang bahu kedua malaikat yang mendampinginya. Nafas Isa tidak boleh dicium oleh orang-orang pengikut Dajjal dan Isa akan mencari serta membunuh Dajjal di pintu Lud. Setelah berjaya membunuh Dajjal, Isa pergi untuk mendatangi suatu kaum yang dilindungi oleh Allah dari Dajjal dan dia menceritakan kepada kaum yang dilindungi Allah itu akan darjat mereka kelak di syurga.

Kenapa Allah pilih Nabi Isa untuk hancurkan Dajjal? Kemunculan Isa di bumi ini adalah untuk memimpin umat manusia ke jalan yang benar. Isa akan muncul kedua kalinya sebagai pengikut Nabi Muhammad. Hal ini telah dijelaskan dalam hadis Nabi s.a.w iaitu selepas berjaya membunuh Dajjal, Isa akan pergi ke Al-Quds dan dia akan solat di belakang seorang imam/khalifah muslim. Tidak hanya itu saja, Isa akan mematahkan seluruh salib yang ada di dunia ini, membunuh babi, dan menghapuskan jizyah. 

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya telah dekat masa Isa anak Maryam akan turun di tengah-tengah kamu. Dia akan menjadi hakim yang adil, akan dihancurkannya salib, dibunuhnya babi, dihapuskannya pajak dan kekayaan akan melimpah ruah, sehingga tidak seorang pun lagi yang bersedia menerima pemberian.” Sahih Muslim [No: 0127] 

Dari Jabir bin Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Akan senantiasa ada hingga hari kiamat, segolongan umatku yang berjuang menegakkan kebenaran dan mereka pasti menang.” Kata Nabi saw selanjutnya : “Sementara itu Nabi Isa a.s akan turun ke tengah-tengah umat. Lalu pemimpin-pemimpin mereka berkata kepadanya, ‘Sudilah Anda solat dan menjadi pemimpin kami.’ Jawab Nabi Isa a.s, ‘Tidak! Masing-masing kamu boleh menjadi pemimpin bagi yang lain, selaku suatu kehormatan yang dilimpahkan Allah kepada umat ini.” Sahih Muslim [No: 0128]


Kemunculan kembali Isa ini untuk menepati janjinya kepada umat Kristian dan Yahudi. Dalam kitab mereka telah tertulis bahawa akan datang seorang juru selamat atau sang messiah pada akhir zaman untuk mendirikan kerajaan Tuhan. Nabi Isa kembali untuk menepati janjinya dan Dia adalah sang messiah itu yang akan mendirikan kerajaan Tuhan, iaitu kerajaan Allah, sehingga kelak semua umat manusia akan memeluk agama Islam. Inilah kisah Nabi Isa A.S. membunuh Dajjal dan menjadi hakim adil yang akan membawa seluruh umat manusia ke jalan yang benar.

Walau bagaimanapun, terdapat segolongan besar orang Kristian dan Yahudi akan mengikuti Dajjal (Anti-Christ). Hal ini kerana, mereka menyangka Dajjal ialah juru selamat dan sang messiah yang sebenar seperti dijanjikan dalam kitab suci mereka.


Menurut hadis Nabi, Isa a.s akan memimpin umat manusia dalam tempoh waktu 40 tahun lamanya dan pada masa itu tidak akan ada lagi agama lain selain agama Islam. Itulah beberapa maklumat ringkas mengenai jawapan "Kenapa Allah SWT Pilih Nabi Isa Untuk Membunuh Dajjal."

Wallah hu a'lam .

Tuesday, 16 February 2016

Malaysia Tidak Terlibat‎ Misi Arab Saudi


KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan akan mendapatkan‎ pengesahan lanjut daripada Angkatan Tentera Malaysia berhubung laporan pembabitan anggota tentera Malaysia dalam misi ketenteraan di Arab Saudi.

Menteri berkenaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Malaysia menyokong usaha membanteras keganasan dari segi fahaman dan ideologi, namun bukan dari sudut ketenteraan.

“Dari segi ketenteraan saya telah nyatakan dari dulu lagi bahawa kita memang tidak terbabit,” katanya.

Beliau mengulas laporan agensi berita Arab Saudi, SPA, mengenai Malaysia turut bersama kira-kira 20 negara lain dalam misi ketenteraan besar-besaran yang disifatkan ‘terpenting’.

“Latihan ketenteraan saja tidak bermakna kita terlibat secara langsung dalam konteks operasi dan itu memang saya tidak benarkan pun…cuma apa yang dilaporkan hari ini, saya tidak tengok sejauh mana pembabitan dalam latihan,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan Piala Menteri Pertahanan kepada juara Pertandingan Debat Keamanan Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2016 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Kem Perdana Sungai Besi di sini malam ini.

Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara, menewaskan pasukan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) A di tempat kedua, diikuti UIAM B di tempat ketiga, dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di tempat keempat.

UiTM yang diwakili Mohamad Johan Mat dan Muhammad Haziq Jamaluddin, pelajar ijazah undang-undang, membawa pulang wang tunai RM3,000, piala utama dan sijil penghargaan.

Turut hadir Naib Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Zulkifli Zainal Abidin. – Bernama

Benarkah semua buruh Bangladesh boleh diharap?


Isu mengenai pengambilan 1.5 juta warga Bangladesh makin berlarutan apabila orang ramai mempertikaikan keputusan kerajaan membawa masuk mereka ke negara ini.

Pelbagai pendapat disuarakan menerusi laman sosial seperti Facebook dan Twitter, namun rata-rata orang awam tidak bersetuju dengan langkah tersebut.

Salah satu pendapat disuarakan seorang pengguna Facebook bernama Mohd Faizal Zulkifly yang menimbulkan isu sama ada semua pekerja Bangladesh memenuhi kriteria yang diperlukan bagi melakukan kerja sukar, kotor dan bahaya seperti dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.



Tulisnya berdasarkan pengalaman dengan pemilik-pemilik ladang kelapa sawit, kebanyakan pekerja Bangladesh lebih gemar mencuri tulang berbanding pekerja Indonesia yang disifatkan jauh lebih rajin.

"Kononnya, (pekerja) Bangladesh ni rajin, tak memilih kerja, kerja kuat. Siapa kata? Selagi tak kena maki hamun, jerit pekik, selagi tu lah tak buat kerja.

"Orang suruh potong buah (kelapa sawit) masak, dia potong buah muda. Lepas tu diorang punya berkira kerja, kalau pokok sawit tinggi sikit, diorang tak nak potong buah. Susah katanya.

"Jauh lebih rajin pekerja Indonesia. Pekerja Indonesia ni diorang kata kalau (pekerja) Bangladesh tak nak potong buah pokok tinggi, diorang sanggup asalkan tambah upah sikit," katanya yang statusnya disukai dan dikongsi lebih 2,000 pengguna Facebook.

Bos semua baik-baik

Beliau menambah tidak perlu menuduh belia Malaysia enggan melakukan kerja susah dan kotor selagi gaji minimum ditetapkan RM900 sebulan dan perlu menanggung pelbagai kos termasuk bayaran rumah dan kenderaan.

"Pergi la tengok sektor2 kritikal macam oil and gas (minyak dan gas) atau shipping (perkapalan). Boleh je orang kita kerja bahaya dan kotor. Kerja welding (kimpalan) di laut dalam yang bahaya. Kerja technician engine (juruteknik enjin) kapal yang panas nak mati. Pasal apa? Gaji bayar cantik, makan pakai semua cukup," tulis beliau.

Status Facebook itu turut mendapat komen daripada orang ramai dan salah seorang ialah Dzul Affandy, yang mendakwa mempunyai pengalaman bekerja dengan warga Bangladesh sebagai 'penyelia tapak'.

"(Pekerja Bangladesh) kerja kalau susah sikit dah bagi macam-macam alasan, letihlah, tak cukup orang la. Tak semua diorang ni rajin. Cuma mentaliti diorang nak gaji tinggi kerja di Malaysia. Rajin ke tak, tolak tepi," tulisnya.

Bagaimanapun ada juga komen yang mengingatkan siapapun pekerja asing berkenaan, mereka perlulah dilayan sebagai manusia tanpa perlu dimaki hamun.

"Sebagai majikan, itu bukanlah sikap yang elok. Diorang tu manusia juga. Saya dulu pernah kerja petik strawberi kat UK (United Kingdom), tak pernah pun kena maki hamun. Lepas tu bos semua baik-baik," tulis Syamin Mohd Noor.

Lelaki Bakar Teman Wanita


JOHOR BAHRU – Seorang pengganggur lelaki berusia 31 tahun ditahan polis di sini semalam selepas dipercayai membakar teman wanitanya, Khamis lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamarulzaman Mamat berkata, suspek yang mempunyai empat rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, ditahan di sebuah rumah di Jalan Teratai, Taman Johor Jaya, kira-kira jam 5 petang.

“Kami dapati ada kesan terbakar di tangan dan kakinya dipercayai akibat kejadian itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Khamis lalu, teman wanita suspek melecur 40 peratus di badan selepas dipercayai dibakar lelaki itu menggunakan minyak tanah di sebuah premis berhampiran sebuah pasar raya di Pandan Seri Alam, di sini kira-kira 11.30 pagi, Khamis.

“Suspek dikatakan bertindak demikian kerana cemburu dan wanita itu kini masih tidak sedarkan diri dan sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail,” katanya sambil menambah suspek ditahan reman tujuh hari bermula hari ini hingga 21 Februari. – Bernama

Monday, 15 February 2016

Polis Nafi Suspek Tembak ‘Amin Beyond’ Diberkas


Kuala Lumpur – Para pengguna media sosial sebelum ini dikejutkan dengan penyebaran gambar kononnya pihak polis telah berjaya menahan suspek pembunuhan Syed Amen Jainul Abidin, 46 atau lebih dikenali sebagai ‘Amin Beyond’.

SuaraTV sebelum ini dimaklumkan suspek tersebut telah ditahan dan ketika pemeriksaan dibuat, pihak polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock 18C Austria 9X9 berwarna hitam dan bernombor siri iaitu ESR 315 tanpa kelopk dan peluru.

Pihak polis bagaimanapun menafikan suspek pembunuh tersebut telah ditahan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata, gambar seorang lelaki bertatu di lengan dan dada yang tersebar itu bukan merupakan suspek seperti yang didakwa.

Difahamkan lelaki berkenaan ditahan di Kepong, Kuala Lumpur pada Khamis lalu bagi membantu siasatan berhubung penemuan sepucuk pistol.

Sementara itu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Dato’ Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihak polis telah menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang membabitkan kes pembunuhan di Jalan Datuk Keramat Khamis lalu ke makmal untuk dianalisis.

Menurut Mohd Zakaria pihaknya percaya laporan makmal akan diperoleh dalam tempoh terdekat untuk memberi petunjuk baharu bagi membantu siasatan kes berkenaan.

“Selain rakaman CCTV, polis turut menghantar peluru jenis win 9mm Luger yang digunakan suspek ke makmal,” katanya kepada Bernama.

Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, Syed Amen Jainul Abidin, 46, maut ditembak di hadapan sebuah kedai motosikal berkuasa tinggi.

Mohd Zakaria juga berkata masih terlalu awal untuk mengaitkan kes dengan motif dendam atau sindiket tertentu.

“Biar pihak polis jalankan siasatan dan saya beri jaminan kami akan maklumkan perkembangan kes ini dari semasa ke semasa kepada orang ramai. Cuma saya minta orang ramai jangan membuat sebarang spekulasi,” katanya.

Balu peniaga nasi kandar berkenaan, Masita Abu Bakar, 46, turut meminta orang ramai agar tidak menyebar maklumat tidak tepat mengenai kes pembunuhan suaminya kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

“Pihak keluarga kami memang sedih dan berdoa agar polis dapat menangkap mereka yang terlibat dalam kejadian itu secepat mungkin,” katanya.

Sumber: SuaraTV